June 1, 2026
Info X Reporters
Tambahan dana RM1.5 bilion bolehkan kerajaan tumpu selesai isu asas secara menyeluruh – Azrul
KOTA KINABALU: Dana RM1.5 bilion yang bakal diterima Sabah menerusi bayaran interim pemberian khas dari Kerajaan Persekutuan disifatkan sebagai perkembangan penting dalam agenda pembangunan infrastruktur negeri ini. Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim, berkata tambahan dana itu meletakkan Sabah di landasan yang semakin kukuh dalam usaha mengatasi masalah infrastruktur asas, khususnya berkaitan jalan raya, air dan elektrik. “Peningkatan Pemberian Khas (Interim) kepada Sabah sehingga RM1.5 bilion setahun yang diumumkan oleh Perdana Menteri merupakan satu perkembangan penting yang dijangka memberi impak besar terhadap usaha kerajaan menangani isu-isu asas rakyat dalam tempoh beberapa tahun akan datang. “Tambahan peruntukan ini diyakini akan membolehkan Kerajaan Negeri (khususnya) dan Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan yang lebih menyeluruh kepada penyelesaian keperluan asas rakyat, khususnya berkaitan jaringan jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrik yang sekian lama menjadi antara cabaran utama pembangunan Sabah. “Keutamaan terhadap sektor-sektor ini amat penting kerana ia berkait secara langsung dengan kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi serta daya saing negeri,” katanya mengulas usaha kerajaan negeri menyelesaikan isu infrastruktur asas menerusi tambahan dana dari bayaran interim pemberian khas kerajaan Persekutuan. Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan bayaran interim pemberian khas untuk Sabah kepada RM1.5 bilion ketika merasmikan sambutan Kaamatan di Hongkod Koisaan, KDCA Penampang. Azrul yang juga pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata momentum yang ditunjukkan kerajaan ketika ini membuktikan kesungguhan untuk menyelesaikan isu-isu asas di negeri ini secara berperingkat dan terancang. Jelasnya, pelbagai projek infrastruktur sedang dilaksanakan di seluruh negeri merangkumi jalan raya utama, jalan luar bandar, jambatan serta kemudahan utiliti yang menjadi asas kepada pembangunan jangka panjang Sabah. “Antara bukti paling jelas ialah perkembangan positif Projek Pan Borneo Sabah yang kini menunjukkan kemajuan memberangsangkan. Ini merupakan antara projek infrastruktur terbesar yang sedang dilaksanakan di negeri ini, melibatkan jajaran sepanjang 706 kilometer dengan 35 pakej pembinaan dan peruntukan keseluruhan hampir RM25 bilion. “Setakat April 2026, sebanyak 288 kilometer jajaran di bawah Fasa 1A telah mencapai kemajuan hampir 88 peratus dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat. Pada masa yang sama, pelaksanaan Fasa 1B yang melibatkan 388 kilometer sedang giat diteruskan secara berperingkat,” katanya. Beliau menyatakan keyakinannya, projek itu akan menjadi tulang belakang rangkaian perhubungan Sabah yang menghubungkan kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman dengan lebih cekap, selamat dan berdaya saing apabila ia siap nanti. Jaringan jalan raya yang baik, katanya bukan saja memudahkan pergerakan rakyat, malah mempercepat aktiviti perdagangan, mengurangkan kos logistik, membuka akses pelaburan dan merancakkan pembangunan ekonomi setempat. Dalam masa yang sama, Azrul berkata Kerajaan Negeri turut memberi perhatian serius terhadap pembangunan jalan raya di kawasan luar bandar dan pedalaman melalui pelaksanaan projek menaik taraf jalan Sistem Rangkaian Jalan Sekunder (SRT2 dan SRT3) serta Non-Qualified Road (NQR) yang dibiayai menggunakan dana Kerajaan Negeri dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah. “Sehingga kini, sebanyak 40 projek melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM687.7 juta telah dan sedang dilaksanakan di seluruh Sabah dengan panjang jalan yang dinaik taraf mencecah 126.47 kilometer. “Daripada jumlah tersebut, 78.8 kilometer telah siap sepenuhnya, manakala 25.4 kilometer sedang dalam pelaksanaan dan 22.3 kilometer berada di peringkat semakan reka bentuk sebelum kerja pembinaan diteruskan. “Projek-projek ini merangkumi pelbagai daerah termasuk Beaufort, Beluran, Keningau, Kota Belud, Kuala Penyu, Kudat, Lahad Datu, Nabawan, Papar, Pitas, Ranau, Sandakan, Tambunan, Tawau, Telupid, Tenom dan Tuaran. “Pelaksanaannya memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya dari segi akses perhubungan, keselamatan jalan raya, kemudahan pengangkutan hasil pertanian serta peningkatan aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar,” katanya. Perkembangan itu, katanya membuktikan komitmen Kerajaan Negeri bukan hanya tertumpu kepada projek mega seperti Pan Borneo Sabah, malah turut memastikan pembangunan infrastruktur asas sampai ke kawasan luar bandar dan pedalaman. Azrul yang juga pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata pendekatan itu penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat di seluruh Sabah. Dalam masa yang sama, beliau berkata penyelesaian tuntutan Pemberian Khas 40 peratus hasil bersih yang dikutip oleh Persekutuan di Sabah wajar terus dipercepatkan. “Hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ini penting untuk memperkukuh kedudukan kewangan negeri serta meningkatkan keupayaan Sabah melaksanakan lebih banyak projek pembangunan pada masa hadapan,” katanya. Beliau berkata, secara keseluruhannya, kemajuan projek Pan Borneo Sabah serta pelaksanaan projek jalan raya luar bandar melalui SRT2, SRT3 dan NQR menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu asas rakyat khususnya dalam soal jaringan jalan raya. Momentum pembangunan itu, katanya perlu diteruskan agar jaringan perhubungan yang lebih baik dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri. – Info X
June 1, 2026
Info X Reporters
Cubaan ‘bunuh diri’ di tiang lampu gagal
KOTA KINABALU: Seorang remaja memanjat tiang lampu dalam cubaan ‘bunuh diri’ selepas merajuk dimarahi ibunya di Kampung Sembulan Lama, dekat sini, pada Isnin. Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi tadi, lelaki berumur 18 tahun itu dikatakan merajuk setelah dimarahi ibunya sebelum lari ke tebingan Sungai Sembulan dekat Sadong Jaya dan memanjat tiang lampu. Dia dikatakan mahu membunuh diri dan enggan turun setelah dipujuk orang ramai yang melihat kejadian berkenaan sebelum pihak bomba dipanggil bagi mendapatkan bantuan. Berikutan itu, seramai 14 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu tiba di lokasi kejadian pada jam 9.56 pagi bagi memujuk remaja terbabit turun. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I, Ordine Gilu berkata setelah tiba, pasukan Bomba menjalankan usaha memujuk mangsa untuk turun dari tiang. “Mangsa berjaya diselamatkan dan seterusnya diserahkan kepada ibunya untuk tindakan selanjutnya. “Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud di lokasi operasi ditamatkan,” katanya. Operasi memujuk mangsa mengambil masa kira-kira sejam setengah sehingga operasi tamat pada jam 11.32 pagi. Turut berada di lokasi ialah sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu mengawal keadaan. – Info X
June 1, 2026
Info X Reporters
12 pemimpin, 288 ahli ajaran sesat ditahan dalam operasi JHEAINS – PDRM
KOTA KINABALU: Seramai 300 individu termasuk 12 pemimpin dan penganjur utama sebuah kumpulan yang dikaitkan dengan ajaran sesat ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dewan sebuah sekolah menengah di Likas, semalam. Operasi itu dijalankan ketika satu program yang menghimpunkan pengikut Jemaah Ahmadiyah Qadiani sedang berlangsung sempena Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 yang diadakan dari 29 hingga 31 Mei lalu. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, operasi berkenaan dilaksanakan susulan aduan awam yang diterima JHEAINS pada 28 Mei lalu berhubung penganjuran program berkenaan. Katanya, hasil semakan mendapati program itu dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah serta diwartakan sejak 2007. “Seramai 300 individu ditahan bagi membantu siasatan yang terdiri daripada 12 pemimpin dan penganjur utama serta 288 ahli jemaah. “Program itu turut dihadiri kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) selain ahli-ahli dari beberapa daerah di Sabah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pihak berkuasa turut merampas 24 helai banting yang memaparkan pengasas dan pemimpin tertinggi kumpulan berkenaan. Selain itu, katanya, kira-kira 200 buah buku dan bahan bacaan berkaitan ajaran terbabit, dokumen program, senarai kehadiran, bahan penerbitan serta pelbagai dokumen lain yang mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan berkenaan turut dirampas. “Kes disiasat mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995. “Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut oleh pihak JHEAINS sebelum dibebaskan dengan jaminan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. Syed Lot berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan panduan agama daripada sumber yang sahih dan diiktiraf serta merujuk pihak berkuasa agama sekiranya mempunyai sebarang keraguan berkaitan sesuatu ajaran atau fahaman agama. “Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang didapati menyebarkan fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam,” katanya. – Info X
June 1, 2026
Info X Reporters
Lima cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kudat
KUDAT: Lima individu cedera dalam kemalangan jalan membabitkan lima kenderaan di Jalan Kampung Kandawayon, di sini, tengah malam tadi. Dalam kejadian jam 12.39 tengah malam itu, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia, Proton, dua Perodua Myvi dan sebuah Toyota Revo. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, PKPgB Darickson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.39 tengah malam. Katanya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat dan bantuan kecemasan. Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 1.07 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan lima kenderaan dengan lapan mangsa. “Hasil pemeriksaan mendapati lima mangsa mengalami kecederaan manakala tiga lagi tidak mengalami sebarang kecederaan. “Mangsa yang cedera membabitkan dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 33 tahun yang menaiki Perodua Axia, selain seorang wanita berusia 49 tahun serta dua lelaki berusia 26 dan 24 tahun yang berada dalam Perodua Myvi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, semua mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kudat menggunakan EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Katanya, tiga lagi mangsa iaitu pemandu Toyota Revo, pemandu Perodua Myvi dan pemandu Proton dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan. “Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.20 pagi,” katanya. – Info X
May 31, 2026
Info X Reporters
Gelvia Vanessa dinobat juara unduk Ngadau Kaamatan 2026
PENAMPANG: Wakil daerah Papar Gelvia Vanessa Jenny dinobatkan sebagai Juara Unduk Ngadau Kaamatan 2026 pada pertandingan akhir yang berlangsung di Hongkod Koisaan, di sini, hari ini. Kemenangan itu menyaksikan beliau berjaya mengetepikan saingan daripada 52 lagi finalis yang mewakili pelbagai daerah dan cawangan Kadazandusun Cultural Association (KDCA) dari seluruh Sabah serta Semenanjung Malaysia. Naib Juara disandang oleh Juje Elor @ Francis (Tuaran) manakala tempat ketiga menjadi milik wakil Criszelbellkah Lorris (Matunggong). Sementara itu, tempat keempat hingga ketujuh masing-masing disandang oleh Liane Melve Grace Lias (Bandaraya Kota Kinabalu), Kerishine Danil (Pagalungan), Gadrette Gregory (Penampang) dan Myra Evana Robert (Sook).Pertandingan tahun ini menggunakan format baharu yang menyaksikan 25 peserta terbaik dipilih ke pusingan seterusnya sebelum tujuh finalis terbaik mara ke pentas akhir. Juara membawa pulang wang tunai RM15,000 berserta pelbagai hadiah tajaan, manakala pemenang lain turut menerima hadiah wang tunai dan tajaan daripada penganjur. Terdahulu, para peserta dinilai berdasarkan penampilan, keperibadian, kemahiran komunikasi, pengetahuan budaya serta pemahaman terhadap warisan Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR). Majlis kemuncak pertandingan itu turut disaksikan ribuan pengunjung yang hadir sempena sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026. Pertandingan Unduk Ngadau yang diadakan setiap tahun merupakan simbol penghormatan kepada legenda Huminodun dan kekal sebagai acara kemuncak yang paling dinantikan dalam sambutan Pesta Kaamatan di Sabah. – Info X
May 31, 2026
Info X Reporters
Dua sepupu lemas ketika mandi di kolam kuari
SANDAKAN: Dua remaja perempuan yang juga sepupu ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi-manda di sebuah kolam kuari di Kampung Gum-Gum, Jalan Kuari 5, di sini, petang tadi. Mangsa dikenali sebagai Nurfatin, 15, dan Nurdina Nirmala, 17, yang berjaya dikeluarkan dari kolam berkenaan hasil usaha orang awam serta pasukan penyelamat. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.31 petang. Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 27 kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi, pasukan bomba dimaklumkan kejadian membabitkan dua remaja perempuan yang dipercayai lemas ketika mandi-manda di kolam kuari berkenaan. “Seorang mangsa ditemukan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala seorang lagi berjaya ditemukan hasil usaha bersama pasukan bomba dan orang awam di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.01 malam,” katanya. Difahamkan, kedua-dua mangsa berada di kolam kuari berkenaan untuk mandi sebelum dipercayai mengalami kesukaran di dalam air dan tenggelam. Kejadian itu turut mengundang kesedihan ahli keluarga yang berada di lokasi. – Info X
May 31, 2026
Info X Reporters
Warga emas hilang dalam gua ketika cari sarang burung walit
LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas dipercayai sesat ketika menjalankan aktiviti mencari sarang burung walit di dalam Gua Tepadung, Segama, di sini, sejak lima hari lalu. Mangsa, Ismail Ibrahim, 61, dikatakan memasuki gua berkenaan bersama dua rakannya pada Selasa lalu untuk mencari sarang burung walit sebelum dilaporkan hilang. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada jam 2.10 petang hari ini. Susulan laporan diterima, katanya, seramai lapan anggota bomba dari BBP Lahad Datu bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Fire Rescue Vehicle (FRV) dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 36 kilometer dari balai. “Berdasarkan maklumat awal, dua rakan mangsa keluar dari gua untuk mendapatkan bekalan air minuman dengan meninggalkan mangsa bersendirian. “Apabila mereka kembali semula ke dalam gua, mangsa didapati sudah tiada dan gagal dikesan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, usaha pencarian yang dilakukan oleh kedua-dua rakannya juga tidak berjaya menemukan mangsa. “Keluarga mangsa yang tinggal di Sandakan turut dihubungi dan mengesahkan lelaki itu belum pulang ke rumah sejak memasuki gua berkenaan,” katanya. Sumsoa berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan kerjasama anggota polis bagi mengesan mangsa yang masih hilang. “Sehingga petang ini, operasi SAR masih diteruskan dan mangsa belum ditemui,” katanya. – Info X
May 31, 2026
Info X Reporters
KM ajak rakyat terus kukuhkan perpaduan, kebersamaan untuk kemajuan
PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan keteguhan perpaduan dan kebersamaan sebagai teras utama untuk maju ke arah memastikan kelestarian pembangunan Sabah selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0. Katanya, perkara itu seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang sememangnya komited dan akan terus melipatgandakan usaha bagi memastikan kepesatan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat terus terbela. “Pelbagai inisiatif sedang dan akan terus dilaksanakan, termasuklah memperkukuhkan ekonomi negeri menerusi agenda yang ditetapkan dalam Hala Tuju Sabah SMJ 2.0. “Usaha ini termasuklah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan produktiviti sektor pertanian, memperkasa modal insan, melestarikan kesejahteraan rakyat baik di luar bandar mahupun bandar dan memajukan sektor pelancongan melalui kebudayaan. “Dalam usaha mencapai matlamat ini, sudah tentulah kerajaan memerlukan segenap lapisan rakyat di negeri ini untuk terus bersatu hati dan bersama dalam membangunkan negeri ini,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA Penampang di sini pada Ahad. Dalam pada itu, Ketua Menteri mahu rakyat terus sepakat, berganding bahu dalam menangani apa juga cabaran, seiring dengan tema sambutan Kaamatan kali ini, ‘Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’. “Tema ini amat signifikan dengan suasana dan cabaran semasa yang kita sedang hadapi. Ketidaktentuan ekonomi, cabaran kenaikan kos sara hidup dan pelbagai cabaran lain menuntut kita untuk terus sepakat, berganding bahu dalam menangani apa juga cabaran,” katanya. Mengenai sambutan Kaamatan, beliau berkata ia bukan sekadar perayaan budaya tetapi platform penting untuk memelihara tradisi etnik daripada pupus, memupuk toleransi dan memperkukuh kestabilan politik serta pembangunan negeri. “Pesta Kaamatan juga mengingatkan kita bahawa setiap usaha yang membuahkan hasil tuaian memerlukan usaha gigih, kesetiaan bekerja dan pengurusan kerjasama. “Masa depan Sabah yang makmur tidak akan terbina dengan retorik semata-mata, tetapi melalui kerja keras, kesepakatan, keharmonian dan keikhlasan seluruh lapisan rakyat. “Semoga Sabah akan terus melangkah ke hadapan sebagai negeri yang aman, sejahtera, maju jaya dan dihormati berteraskan nilai-nilai budayanya yang unik, ditambah dengan sokongan padu daripada rakyat keseluruhannya,” katanya. Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan kehadiran seluruh lapisan masyarakat pelbagai kaum selain presiden-presiden pertubuhan dan persatuan etnik seluruh Sabah. “Kehadiran kita semua menjadikan perayaan ini bukti perpaduan yang utuh masyarakat Sabah. Tidak lupa kepada semua pelancong yang datang untuk sama-sama memeriahkan perayaan ini. “Perayaan ini adalah manifestasi kesyukuran atas tuaian padi yang melimpah dan simbol perpaduan kaum yang utuh,” katanya. Majlis penutupan sambutan Kaamatan itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman. Turut hadir ialah isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag; Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2026, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong. – Info X