Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

May 26, 2026

Info X Reporters

Tipu projek korek sungai, lelaki dipenjara enam tahun enam bulan

KOTA MARUDU: Seorang lelaki tempatan dipenjara enam tahun enam bulan selepas mengaku bersalah menipu tawaran projek tidak wujud dan memalsukan dokumen membabitkan kerugian RM57,000. Ia berkaitan tawaran projek pengorekan dan pembersihan Sungai Kampung Damai, di sini yang didakwa dilakukan pada 2023. Berikutan itu, tertuduh, Mohd Azuan Galpun, 31, yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 468 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan, masing-masing dihukum penjara setahun dan lima tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Marudu, di sini, pada Selasa. Selain penjara, tertuduh turut diperintah oleh mahkamah membayar ganti rugi RM57,000 kepada mangsa dan jika gagal, hukuman penjara ditambah enam bulan lagi. Mahkamah menetapkan hukuman dijalankan secara berasingan bermula pada tarikh sabitan pada 26 Mei 2026 bagi kesalahan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan sebelum disambung hukuman penjara bagi kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Secara keseluruhan, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun enam bulan, selepas gagal membayar RM57,000 ganti rugi kepada mangsa. Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa menipu mangsa dengan menawarkan projek pengorekan dan pembersihan Sungai Kampung Damai, di sini ketika mangsa berurusan dengan tertuduh di Kampung Sumbilingon pada kira-kira jam 4 petang, 6 September 2023. Tertuduh mendakwa projek berkenaan dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kota Marudu sebelum mengemukakan beberapa dokumen bagi meyakinkan mangsa. Kemudian, tertuduh meminta beberapa pembayaran dibuat ke akaun Bank Islam dan Bank Rakyat atas nama sebuah syarikat. Akibatnya, mangsa membuat pembayaran keseluruhan sebanyak RM57,000 sebelum menyedari dokumen yang diberikan adalah palsu dan projek berkenaan dipercayai tidak wujud. Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis sebelum siasatan lanjut dijalankan dan tertuduh ditahan untuk tindakan lanjut hingga akhirnya dihadapkan ke mahkamah. Kes berkenaan disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu yang dikendalikan pegawai penyiasat, Inspektor Rainol Masaat. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin, menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terperinci terhadap sebarang tawaran projek atau urusan melibatkan pembayaran wang, terutama yang menggunakan dokumen rasmi jabatan kerajaan. Katanya, perkara itu penting bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan. – Info X

May 26, 2026

Info X Reporters

Perutusan Aidiladha: Ketepi segala perbezaan yang boleh renggangkan masyarakat – Tun Musa

KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memupuk nilai kasih sayang, persefahaman dan saling hormat menghormati sesama insan. Menerusi perutusan sempena Hari Raya Aidiladha yang disambut pada Rabu, beliau mengingatkan supaya rakyat Sabah mengenepikan segala perbezaan yang boleh merenggangkan hubungan masyarakat. Tun Musa sebaliknya mengajak seluruh rakyat negeri ini supaya sama-sama menyuburkan budaya muafakat demi masa depan negeri yang lebih baik dan sejahtera. “Saya juga berharap sambutan Aidiladha kali ini akan menjadi ruang untuk kita mempereratkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim sesama masyarakat. “Tradisi ziarah menziarahi, saling memaafkan dan berkongsi rezeki bersama golongan yang memerlukan hendaklah terus diamalkan kerana nilai-nilai inilah yang menjadi asas kepada masyarakat yang penyayang dan prihatin,” katanya. Tun Musa turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh petugas barisan hadapan, anggota keselamatan, petugas kesihatan, penjawat awam serta semua pihak yang terus menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka demi kesejahteraan rakyat serta keamanan negeri, termasuk ketika musim perayaan. Penghargaan juga, katanya wajar diberikan kepada jemaah haji dari Sabah dan seluruh Malaysia yang sedang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci pada ketika ini. “Marilah kita bersama-sama mendoakan agar mereka dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan dan memperoleh haji yang mabrur. “Kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah korban, saya berharap agar ibadah tersebut dapat dilakukan dengan penuh keikhlasan dan sempurna mengikut tuntutan syariat. “Semoga semangat pengorbanan yang dihayati menerusi ibadah ini akan terus menyemai rasa insaf, syukur dan keprihatinan terhadap golongan yang kurang bernasib baik,” katanya. Tun Musa juga mengingatkan rakyat agar sentiasa menjaga keselamatan sepanjang musim perayaan, khususnya kepada mereka yang melakukan perjalanan pulang ke kampung halaman atau menziarahi sanak saudara. “Utamakan keselamatan di jalan raya dan sentiasalah berhati hati demi kesejahteraan bersama,” katanya. Terdahulu, Tun Musa memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat dan izin-Nya membolehkan rakyat negeri ini sekali lagi diberikan kesempatan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah dalam suasana aman, harmoni dan penuh keberkatan. Katanya, Aidiladha adalah antara peristiwa besar dalam kalendar umat Islam yang sarat dengan pengajaran dan hikmah. “Sambutan ini mengingatkan kita kepada kisah pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan anakandanya Nabi Ismail AS yang memperlihatkan nilai ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada perintah Allah SWT. “Semangat pengorbanan, keikhlasan dan kesabaran yang ditunjukkan oleh kedua-dua insan mulia ini sewajarnya dijadikan pedoman dalam kehidupan kita seharian,” katanya. Tun Musa berkata, pengorbanan bukan hanya terhad kepada pelaksanaan ibadah korban semata-mata, malah meliputi pengorbanan masa, tenaga dan fikiran demi keluarga, masyarakat, negeri dan negara tercinta. Jelasnya, dalam dunia yang semakin mencabar ketika ini, rakyat perlu terus memperkukuhkan semangat kebersamaan, saling membantu dan bertolak ansur bagi memastikan keharmonian yang dikecapi terus terpelihara. “Sabah amat bertuah kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya yang hidup bersama dalam suasana penuh toleransi dan saling menghormati. “Keunikan ini merupakan kekuatan yang perlu terus dipelihara oleh seluruh lapisan masyarakat. Saya percaya semangat perpaduan yang kukuh akan menjadi asas penting dalam memastikan kestabilan dan kemajuan negeri terus diperkasakan,” katanya. Tun Musa dan isteri seterusnya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah kepada seluruh umat Islam, khususnya rakyat Sabah tidak kira di mana berada. “Semoga sambutan Aidiladha pada tahun ini membawa keberkatan, keamanan dan kebahagiaan kepada kita semua serta terus memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian negeri yang kita cintai ini,” katanya. – Info X

May 26, 2026

Info X Reporters

Lelaki dipenjara tiga tahun sebabkan kematian dan miliki bakakuk

KOTA MARUDU: Seorang lelaki dipenjara tiga tahun dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menyebabkan kematian dan memiliki senjata api ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, pada Selasa. Tertuduh, Ladimin Korong @ Kalong, 57, masing-masing didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 di hadapan Majistret A Akhiruddin Acho. Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara dua tahun selepas mengaku bersalah dengan cuai menyebabkan kematian Jiblon Alimin. Tertuduh juga diarah membayar pampasan RM10,000 kepada keluarga simati dan jika gagal berbuat demikian, tertuduh akan dipenjara selama enam bulan lagi. Kemudian, bagi pertuduhan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun kerana memiliki senjata api tanpa lesen yang sah. Hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 berjalan secara berasingan, iaitu setelah tertuduh selesai menjalani hukuman dua tahun penjara bagi kesalahan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan. Berdasarkan fakta kes, pada petang 19 Mei lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu menerima laporan polis berkaitan seorang lelaki warga tempatan berumur 20 tahun meninggal dunia di kawasan hutan berhampiran Kampung Bambangan, Kota Marudu akibat terkena tembakan. Berikutan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Kota Marudu melaksanakan tangkapan terhadap seorang suspek lelaki warga tempatan berumur 57 tahun. Turut dirampas selaras senjata api buatan sendiri atau bakakuk daripada suspek dan suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut. Kertas siasatan yang telah dilengkapkan kemudian dirujuk ke Jabatan Peguam Negara sebelum tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Kota Marudu pada Selasa, 26 Mei 2026. – Info X

May 26, 2026

Info X Reporters

SMJ Energy perjelas pegangan ekuiti dan pulangan kepada Sabah dari Projek SAMUR

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memiliki 25 peratus kepentingan dalam Projek Ammonia Urea Sabah (SAMUR) melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangi dengan PETRONAS sebelum ini. Kepentingan dalam SAMUR atau PETRONAS Chemicals Fertilizer Sabah Sdn Bhd (PCFSSB) itu dimiliki menerusi syarikat pelaburan tenaga milik penuh kerajaan negeri, SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy). Menerusi satu kenyataan pada Selasa, SMJ Energy menegaskan sejak menandatangi Share Purchase Agreement (SPA) pada 25 April 2023, Sabah menerima pulangan kewangan yang konsisten daripada pembabitan ekuiti strategik dalam SAMUR, dengan dividen mengalir terus ke dalam pendapatan negeri melalui SMJ Energy untuk manfaat rakyat Sabah. Berikutan itu, jelasnya dakwaan kononnya Sabah menerima kurang daripada yang sepatutnya daripada Projek SAMUR adalah tuduhan yang tidak berasas. “Untuk mencadangkan bahawa Sabah menerima ‘kurang daripada apa yang patut’ daripada SAMUR adalah tidak berasas kerana ia tidak menghiraukan usaha Kerajaan Negeri, terma komersial yang menguntungkan dan keputusan strategik yang berjaya mendapatkan pemilikan Sabah dalam satu daripada aset petrokimia terpenting di rantau ini,” katanya. Syarikat itu menjelaskan, SAMUR hari ini diiktiraf sebagai fasiliti baja granular tunggal terbesar di Asia Tenggara dan kilang ketiga terbesar di rantau Asia Pasifik. Katanya, ia dibina di Sabah dan dikuasakan gas Sabah, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai pemain penting dalam industri petrokimia dan baja di wilayah ini. “Kesan positif SAMUR melangkaui kilang itu sendiri. Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dengan SAMUR sebagai projek utamanya, dapat menarik pelaburan dan menjana peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah dalam bidang kejuruteraan, logistik, infrastruktur, perumahan, hospitaliti dan perkhidmatan teknikal. “Ini akan menggandakan dan meningkat lebih banyak pada masa akan datang. Pembangunan ini mewakili jangka panjang, pertumbuhan berasaskan tempat yang peningkatannya dirasai komuniti di Sipitang dan rantau yang lebih luas,” katanya. SMJ Energy turut mengulangi komitmennya dalam memastikan kerajaan negeri akan terus mengetengahkan pelaburan strategik dan mengukuhkan kerjasama dengan PETRONAS dan pemain industri lain bagi memastikan sumber alam Sabah terus menjana nilai jangka panjang dan manfaat ekonomi mapan untuk rakyat Sabah. – Info X

May 26, 2026

Info X Reporters

JPJ Sabah perketat penguatkuasaan sempena Aidiladha

KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah memperketat penguatkuasaan menerusi Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) bermula 24 hingga 31 Mei ini bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan. Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, operasi itu dilaksanakan bagi memastikan kelancaran trafik, meningkatkan pematuhan peraturan jalan raya serta mengurangkan kadar kemalangan dan kematian. Katanya, operasi berkenaan memberi fokus terhadap sembilan kesalahan utama yang sering menjadi punca kemalangan maut di jalan raya. “Antara kesalahan diberi tumpuan ialah memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan serta tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar. “Turut diberi perhatian ialah kesalahan memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, membawa lebih muatan bagi kenderaan berat dan memandu secara berbahaya,” katanya semasa sidang media di sini. Menurutnya, pasukan penguat kuasa diarahkan meningkatkan tahap Perception Of Being Caught (POBC) di 18 Point of Duty (POD) seluruh Sabah yang dikenal pasti sebagai lokasi kerap berlaku kemalangan. “Tindakan penguatkuasaan dibuat secara bersasar menerusi rondaan, penyamaran, pemeriksaan mengejut dan pendekatan fizikal secara tegas serta berhemah. “Pasukan penguat kuasa juga bersedia membantu pengguna jalan raya sekiranya berlaku kerosakan kenderaan atau kemalangan,” katanya. Beliau berkata, sepanjang operasi Aidiladha ini tiada sekatan perjalanan dikenakan terhadap kenderaan perkhidmatan barangan. Bagaimanapun katanya, pengusaha kenderaan perkhidmatan barangan diingatkan supaya mematuhi syarat permit dan tidak membawa muatan berlebihan. “Dalam tempoh operasi bermula 24 hingga 26 Mei lalu, sebanyak 4,243 kenderaan diperiksa dengan 481 daripadanya dikenakan tindakan manakala 11 kenderaan disita. “Bagi tempoh 1 Januari hingga 21 Mei tahun ini pula, JPJ Sabah memeriksa 227,235 kenderaan dengan 21,339 kenderaan persendirian, 6,294 kenderaan perkhidmatan barangan dan 633 kenderaan perkhidmatan awam dikenakan tindakan. “Tiga kesalahan utama direkodkan sepanjang tempoh itu ialah cukai jalan tamat tempoh sebanyak 11,421 kes, tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh sebanyak 11,038 kes serta tiada perlindungan insurans membabitkan 8,029 kes,” katanya. Dalam pada itu katanya, JPJ Sabah turut meneruskan Ops Luxury terhadap pemilik kenderaan mewah yang gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans. “Sehingga kini, sebanyak 34 kenderaan mewah pelbagai jenama termasuk BMW, Porsche, Audi, Mercedes Benz, Toyota Supra dan Lexus disita dalam operasi berkenaan. “Operasi ini diteruskan bagi memastikan semua pemilik kenderaan mewah mematuhi peraturan jalan raya termasuk memperbaharui LKM dan insurans. “Selain penguatkuasaan, JPJ Sabah turut mempergiat advokasi keselamatan jalan raya menerusi kempen “Pandu Cermat, Sampai Selamat” membabitkan lebih 50 program seperti pameran, ceramah kesedaran, edaran kit keselamatan jalan raya dan kerjasama bersama Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Sabah (MKJR) serta pihak media,” katanya. – Info X

May 26, 2026

Info X Reporters

Dakwaan Projek SAMUR rugikan Sabah tidak benar – Nizam

KOTA KINABALU: Projek Ammonia Urea Sabah (SAMUR) di Sipitang menghasilkan sepenuhnya baja di kilangnya yang terletak di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), bukan dihantar ke Semenanjung untuk membuat baja. Perkara itu ditegaskan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan bagi menjawab dakwaan Facebook Mawar Channel kononnya ammonia dan urea dari Sabah dihantar ke Semenanjung. Beliau menegaskan dakwaan itu salah selain memperlihatkan kegagalan memahami operasi sebenar loji SAMUR. Berikutan itu, pihaknya memandang serius penyiaran tulisan dan poster oleh MAWAR Channel berhubung Projek SAMUR kerana mengandungi dakwaan tidak benar, mengelirukan serta berniat membentuk persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri Sabah dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. “Hakikatnya, loji SAMUR di Sipitang adalah antara loji pengeluaran baja urea terbesar di Asia Tenggara dan menghasilkan produk baja siap sepenuhnya di Sabah. “Produk tersebut dipasarkan ke pasaran domestik dan antarabangsa berdasarkan pertimbangan komersial bagi memaksimumkan pulangan kepada syarikat dan negeri,” katanya. Lebih mendukacitakan, katanya poster disiarkan MAWAR Channel turut menggunakan gambar Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, mengandungi bahan berunsur politik dan fitnah. Tegasnya, TYT Sabah adalah institusi negeri yang wajib dihormati dan tidak sepatutnya diseret ke dalam propaganda politik murahan bagi membangkitkan kebencian rakyat terhadap kerajaan. “Sehubungan itu, kandungan tulisan dan poster MAWAR Channel akan dirujuk kepada pihak peguam untuk tindakan undang-undang yang sewajarnya. Kebebasan bersuara bukan lesen untuk memfitnah, memanipulasi fakta atau mencemar nama baik pemimpin serta institusi negeri. “MAWAR Channel juga perlu berhenti memperkecilkan usaha Sabah memperkukuh kedudukan dalam industri minyak dan gas. Melalui SMJ Energy, Sabah kini memiliki 25 peratus pegangan ekuiti dalam loji SAMUR, sekali gus menjadikan negeri ini rakan strategik yang mempunyai kepentingan langsung dalam aset berkenaan,” katanya. Nizam berkata, pegangan ekuiti itu memberi manfaat besar kepada Sabah melalui pulangan keuntungan, dividen dan hasil komersial yang boleh disalurkan semula untuk pembangunan negeri, penciptaan peluang pekerjaan serta pengukuhan ekonomi rakyat. Selain itu, katanya penglibatan wakil SMJ Energy dalam struktur tadbir urus syarikat berkaitan turut membuka ruang kepada Sabah untuk memainkan peranan lebih langsung dalam hala tuju korporat, penyertaan tempatan dan pembangunan industri strategik negeri. Tegasnya, tuduhan kononnya Sabah tidak mendapat manfaat daripada industri itu adalah tidak tepat dan sengaja dimainkan bagi mengelirukan rakyat. “Pembangunan industri baja, petrokimia serta minyak dan gas bukan isu yang boleh dinilai melalui sentimen semata-mata. Ia melibatkan aspek pasaran, modal, teknologi, logistik, daya maju industri, tenaga kerja mahir serta jaringan perdagangan antarabangsa. “Kerajaan yang bertanggungjawab membuat keputusan berdasarkan kepentingan ekonomi jangka panjang negeri, bukan sekadar retorik media sosial,” katanya. Pada masa sama, katanya pihak yang cuba mengangkat Datuk Seri Shafie Apdal sebagai tokoh paling tegas mempertahankan hasil Sabah juga perlu berlaku adil terhadap rekod pentadbiran beliau sendiri. “Ketika memegang jawatan Ketua Menteri, apakah model pemilikan atau penyertaan komersial besar yang benar-benar dimuktamadkan bagi memperkukuh kedudukan Sabah dalam aset strategik minyak dan gas? Mudah untuk bercakap selepas tidak lagi berada dalam kerajaan. “Namun ketika diberi mandat mentadbir negeri, pendekatan tersebut tidak diterjemahkan secara menyeluruh kepada struktur pemilikan, penyertaan ekuiti dan pulangan komersial yang nyata kepada Sabah. “Sebab itu rakyat perlu menilai berdasarkan hasil dan pencapaian, bukan sekadar slogan politik atau nostalgia kepimpinan lampau,” katanya. Beliau turut menegaskan Kerajaan GRS tidak pernah menolak kepentingan industri hiliran di Sabah, malah, hala tuju kerajaan negeri jelas iaitu memperkukuh penyertaan Sabah dalam keseluruhan rantaian nilai minyak dan gas secara berperingkat, realistik dan memberi pulangan sebenar kepada negeri serta rakyat. “MAWAR Channel boleh terus memainkan sentimen politik, namun rakyat Sabah berhak mengetahui fakta sebenar. GRS memilih untuk bekerja dan menghasilkan keputusan, bukan menunggang kemarahan kosong. “Saya menyeru MAWAR Channel supaya menarik balik tulisan serta poster tersebut, menghentikan penyebaran dakwaan mengelirukan dan memohon maaf atas tindakan tidak bertanggungjawab menggunakan imej TYT Sabah dalam propaganda politik mereka. “Sekiranya fitnah seperti ini terus dimainkan, tindakan undang-undang adalah langkah yang wajar bagi mempertahankan kebenaran serta maruah kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah. “Sabah tidak akan maju dengan politik fitnah. Sabah akan maju melalui kestabilan politik, keberanian berunding, kebijaksanaan mengurus aset strategik dan kepimpinan yang mengutamakan hasil berbanding slogan,” katanya. – Info X

May 26, 2026

Info X Reporters

53 finalis Unduk Ngadau Kaamatan Sabah 2026 berentap, format baharu diperkenalkan

PENAMPANG: Penganjuran Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 tampil dengan beberapa pembaharuan termasuk penambahan jumlah peserta ke pusingan seterusnya serta sistem penilaian dua peringkat bagi memperkukuh ketelusan dan memberi lebih ruang kepada peserta menyerlahkan potensi masing-masing. Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, Dr. Mary Gambidau berkata, seramai 53 finalis mewakili daerah-daerah dan cawangan Kadazandusun Cultural Association (KDCA) termasuk penyertaan dari Semenanjung Malaysia akan berkampung di Hilton Kota Kinabalu bermula hari ini sehingga malam kemuncak pertandingan. Beliau berkata, pentas akhir Unduk Ngadau Kaamatan akan berlangsung pada 31 Mei ini di Hongkod Koisaan KDCA dengan kesemua finalis bakal bersaing merebut gelaran berprestij berkenaan. “Daripada jumlah itu, seramai 25 finalis terbaik akan mara ke pusingan seterusnya berbanding hanya 15 peserta pada tahun-tahun sebelumnya. “Penambahbaikan ini diperkenalkan bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada peserta untuk menonjolkan potensi, personaliti serta kemampuan masing-masing,” katanya pada Sidang Akhbar Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, pada Selasa. Menurut beliau, pihak penganjur turut memperkenalkan sistem penilaian dua peringkat yang akan dimulakan sepanjang Minggu Unduk Ngadau bermula hari ini menerusi pelbagai aktiviti dan sesi penilaian dalaman sebelum diteruskan pada malam kemuncak. Katanya, sepanjang tempoh itu, semua finalis akan menjalani beberapa sesi rasmi termasuk temu bual berkaitan pengetahuan budaya serta adat, selain menyertai Pertandingan Filem Pendek CAN yang mengetengahkan tema “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”. Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan peserta bukan sahaja dinilai berdasarkan penampilan, malah kefahaman mereka terhadap budaya, warisan dan nilai masyarakat Sabah. Bagi memastikan proses penghakiman berlangsung secara lebih telus dan profesional, pihak penganjur turut memperkenalkan rubrik pemarkahan khusus sebagai panduan rasmi kepada panel juri. “Menerusi rubrik ini, proses penilaian akan menjadi lebih adil, profesional dan telus dengan fokus sepenuhnya diberikan kepada kriteria yang ditetapkan,” katanya. Dr Mary berkata, Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan ratu cantik, sebaliknya platform penting dalam memperkasakan wanita muda sebagai duta budaya, warisan dan komuniti Kadazandusun serta masyarakat Sabah secara keseluruhannya. Beliau berkata, pemenang Unduk Ngadau Kaamatan 2026 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 selain tajaan biasiswa pendidikan, saringan kesihatan, produk kecantikan serta pelbagai hadiah lain daripada penaja dan rakan strategik. Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memberikan sokongan terhadap penganjuran acara berkenaan termasuk penaja utama tahun ini, Sawit Kinabalu. Katanya, sokongan pelbagai agensi, organisasi, rakan media dan individu membantu memastikan Unduk Ngadau Kaamatan terus kekal relevan, dihormati dan menjadi kebanggaan rakyat Sabah. Beliau turut berharap masyarakat terus memberikan sokongan kepada semua finalis serta bersama-sama memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan tahun ini. Antara peserta yang bakal berentap ialah wakil Papar, Gelvia Vanessa Binti Jenny; Tungku (Mary-An P. Calica); Tambunan (Natalia Jinui); Tongod (Anne Theresse Justin Sentian); Membok (Yhylensiska Verron Johnny); Tanjung Aru (Joyce Nia David); Matunggong (Criszelbekillah Lorris); Banggi (Lora Derlina Lisa Jusley); Inanam (Esmerrellda Capry Clement); Nabawan (Sahira Samson); Sook (Myra Evana Robert); Kinabatangan (Vrenda Joaan Deftenev Tajipaul); Tawau (Elvyra Edna Robert); Bingkor (Alysheron Matiusiong); Pulau Pinang (Jeraahfinah Jonis); Karambunai (Natalie Ally Hepeni); Telupid (Cyra Eva Bella Stephen); Pagalungan (Kerishine Danil); Kudat (Feyrashandy Hanlin Hanis) dan Likas (Ally Denis). Turut bersaing ialah wakil Lahad Datu, Caesyzli Liakiv; Beluran (Dyann Dharlia Dominic); Sipitang (Hilda Iaynissa Godwin Patin); Melaka (Clarissa Jane Ahap Fred Michael); Sandakan (Ceelca Reeka Mosungin); Putatan (Amber Weysha Walter John); Perak (Valerieana Karen Aldrin); Bandaraya Kota Kinabalu (Liane Melve Grace Lias); Beaufort (Fedelia Liviana Venchin); Ranau (Christobelle Masius); Kunak (Rachel Justin); Membakut (Dorna Mayra Michael); Kapayan (Vivi Yana Jenny); Johor (Josephine Magdaline Joseph); Keningau (Edreen Lynn Edward) dan Bandaraya (Felecity Chen Sing Yee). Selain itu, wakil Tamparuli, Evyanarey Larry; Kalabakan (Christine Dionysius); Kuala Penyu (Lorina Brettey Johnny); Kota Marudu (Aelvereny Vahidin @ Yahidin); Wilayah Persekutuan Labuan (Sera-Vian Japrin); Pitas (Jean Christabeth Yusevender); Kota Belud (Althea Tan Pin Yan); Wilayah Persekutuan Putrajaya (Wendy Merylen S. Jasmin); Paitan (Candycyci Liakim); Kemabong (Venica Tubuh Pauzin); Tenom (Radhia Ifa Yanie Metier); Tuaran (Juje Eloro Francis); Semporna (Adylfee Arisen); Penampang (Gadrette Gregory); Klang Valley (Finafayena Primus); Kiulu (Catsween Su Sun Ping) dan Sarawak (Deanera Clarissa Jamidin) turut bakal merebut gelaran berprestij Unduk Ngadau Kaamatan 2026. – Info X

May 26, 2026

Info X Reporters

Lori sawit terbabit kemalangan, pemandu selamat

TAWAU: Seorang pemandu lori membawa muatan buah kelapa sawit terselamat selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Wakuba Gading, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 10.33 pagi itu, lori 10 tan berkenaan dipercayai terbabit dalam kemalangan sebelum pasukan bomba dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan keselamatan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi kejadian. Katanya, lokasi kejadian terletak kira-kira 29 kilometer dari BBP Tawau dan pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 11.03 pagi. “Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan buah kelapa sawit. “Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 35 tahun, namun disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Yores Postan hanya mengalami situasi cemas dan tidak memerlukan rawatan lanjut. Katanya, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya. “Selepas memastikan keadaan selamat dan terkawal, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.15 pagi,” katanya. – Info X