May 21, 2026
Info X Reporters
Jamawi akan panggil pemaju, siasat kelewatan projek ternakan khinzir Tongod
TONGOD: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar akan memanggil pihak pemaju projek ternakan khinzir di Tongod pada 8 Jun depan bagi membincangkan serta mengenal pasti punca kelewatan pelaksanaan projek berkenaan. Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas meninjau sendiri tapak projek berkenaan ketika dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu selepas menghadiri Pesta Kaamatan Tongod, pada Rabu. Menurutnya, projek yang diputuskan kerajaan pada 2022 itu bertujuan memusatkan aktiviti penternakan khinzir di Sabah di satu lokasi khusus selain memastikan aspek pengurusan, kawalan dan sensitiviti masyarakat dapat ditangani dengan lebih baik. Jamawi berkata, kerja-kerja infrastruktur asas termasuk jalan raya, pagar serta utiliti di kawasan projek itu sudah hampir siap sepenuhnya dan dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah. “Prasarana dan utiliti disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan saya ingat sudah lebih kurang 80 peratus siap termasuk pagar. “Kita cuma ada masalah dengan pihak pemaju dan melihat bagaimana supaya projek ini dapat dilaksanakan,” katanya ketika meninjau tapak projek berkenaan. Beliau berkata, pihaknya juga sudah menghubungi Pengarah DVS Sabah yang memaklumkan pemaju ketika ini sedang dalam proses tender bagi menyiapkan kandang moden yang dirancang di kawasan tersebut. Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak menolak kemungkinan mencari pemaju lain sekiranya syarikat sedia ada tidak berminat atau gagal meneruskan pelaksanaan projek berkenaan. “Kalau pemaju tidak mahu, kita boleh cari pemaju lain kerana ramai lagi yang berminat untuk masuk ke kawasan ini,” katanya. Jamawi berkata, kawasan berkenaan dipilih kerana lokasinya jauh daripada kawasan kediaman dan penempatan penduduk selain mempunyai persekitaran yang sesuai bagi pembangunan industri penternakan berskala besar. Katanya, projek itu juga bakal menggunakan teknologi moden dan mematuhi piawaian tempatan serta antarabangsa termasuk aspek alam sekitar dan sensitiviti masyarakat majmuk di Sabah. “Kawasan ini dipilih kerana jauh daripada kediaman dan penempatan selain alam sekitar yang terjaga.“Pelbagai teknologi moden juga akan digunakan di sini,” katanya. Beliau berkata, kawasan projek itu melibatkan keluasan kira-kira 200 ekar dan berpotensi menempatkan sehingga dua juta ternakan khinzir apabila beroperasi sepenuhnya. Menurutnya, pengoperasian projek itu kelak bukan sahaja bertujuan memenuhi permintaan pasaran tempatan, khususnya masyarakat bukan Islam di Sabah, malah berpotensi menjadi sumber eksport ke luar negara. Katanya, kawasan itu juga akan menjadi pusat utama penternakan khinzir di negeri ini dan pewartaannya dibuat bagi mengelakkan aktiviti sama berkembang di kawasan lain yang berisiko menimbulkan isu sensitiviti. “Saya lebih suka melihat segala perancangan kerajaan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, teratur dan sesegera mungkin. “Itu komitmen kita di bawah kementerian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah,” katanya. – Info X
May 21, 2026
Info X Reporters
Operasi empat hari JPJ kesan 108 kes lebih muatan di Sabah
KOTA KINABALU: Sebanyak 108 kesalahan lebih muatan dikesan dalam tempoh empat hari Ops Khas Lebih Muatan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah bermula 16 hingga 20 Mei lalu. Dalam operasi berkenaan, sebanyak 1,530 kenderaan diperiksa di seluruh negeri dengan 259 kenderaan perkhidmatan barangan diambil tindakan. Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, operasi khas itu dilaksanakan secara lebih drastik dan bersasar bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan. Menurutnya, operasi berkenaan turut bertujuan memastikan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya selain membantu kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam. “Sepanjang operasi dijalankan, tiada arahan sekatan perjalanan dikenakan terhadap kenderaan perkhidmatan barangan. “Bagaimanapun, semua pengusaha kenderaan perkhidmatan barangan dinasihatkan supaya mematuhi syarat permit yang ditetapkan dan tidak membawa lebihan muatan,” katanya dalam kenyataan media, semalam. Beliau berkata, kesalahan membawa lebih muatan adalah pelanggaran Seksyen 19(1)(b)(vi) Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (ALPKP) 1987 dan Kaedah 89 C&U 1989. Katanya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya sekali. Menurutnya, bagi memperkukuhkan penguatkuasaan Ops Khas Lebih Muatan di Sabah, enam stesen penguatkuasaan timbang statik dan tiga alat timbang mudah alih digunakan sepenuhnya bagi mengenal pasti pelanggaran had muatan. Sementara itu katanya, statistik kesalahan lebih muatan di Sabah menunjukkan peningkatan ketara apabila sebanyak 1,180 kes direkodkan pada 2024 sebelum meningkat kepada 3,350 kes tahun lalu. “Setakat April tahun ini, sebanyak 761 kes lebih muatan direkodkan dengan 76 kes sudah dihadapkan ke mahkamah. “Dalam tempoh Januari hingga April tahun ini juga, sebanyak 204,503 kenderaan diperiksa menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan di seluruh negeri. “Daripada jumlah itu, sebanyak 18,688 kenderaan persendirian diambil tindakan, diikuti 5,256 kenderaan perkhidmatan barangan dan 573 kenderaan perkhidmatan awam,” katanya. Katanya, tiga kesalahan utama direkodkan membabitkan cukai jalan tamat tempoh dengan 10,655 kes, tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh sebanyak 10,095 kes serta tiada perlindungan insurans sebanyak 7,326 kes. Selain penguatkuasaan katanya, JPJ Sabah turut melaksanakan pelbagai program advokasi keselamatan jalan raya menerusi Kempen “Pandu Cermat, Sampai Selamat”. Program advokasi berkenaan merangkumi lebih 50 aktiviti termasuk pameran, ceramah kesedaran, edaran kit keselamatan jalan raya serta kerjasama bersama Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Sabah dan rakan strategik termasuk pihak media. – Info X
May 21, 2026
Info X Reporters
Suspek utama kes pengedaran dan rampasan dadah di Kota Kinabalu dikehendaki JSJN Sabah
KOTA KINABALU: Polis Sabah sedang giat memburu seorang lelaki yang dipercayai suspek utama kes pengedaran dadah di Ibu negeri ini selepas dipercayai melarikan diri ke Sarawak. Suspek Eric Leon Frankey, 27, yang beralamat terakhir di Taman Sri Kepayan, di sini, dikesan berada di negeri jiran itu selepas kenderaan dipercayai digunakan suspek ditemukan di Lawas, Sarawak pada 12 Mei lalu. Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah kini bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak bagi mengesan keberadaan suspek terbabit. Menurutnya, suspek dikehendaki bagi membantu siasatan berkaitan satu kes dadah yang dilaporkan di Penampang dan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah di Sabah. “Usaha mengesan suspek sedang dipergiat dan polis tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit masih bergerak aktif bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya. Terdahulu, dalam notis yang dikeluarkan JSJN Sabah, lelaki terbabit dikehendaki bersabit kes bernombor Penampang/000821/2026. Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Jocelyn Merlyn Anak Sampar dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki terbabit supaya tampil membantu siasatan. Orang ramai boleh menghubungi talian 088-454650, 088-454222 atau terus menghubungi pegawai penyiasat di talian 012-8401695. Maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran. – Info X
May 21, 2026
Info X Reporters
Lima individu terperangkap 13 jam akibat arus deras di Melangkap
KOTA BELUD: Lima individu yang terkandas di seberang sungai di Kampung Melangkap, di sini, berjaya diselamatkan pasukan bomba selepas operasi mencabar yang mengambil masa hampir 13 jam, awal pagi tadi. Dalam kejadian itu, semua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat namun gagal menyeberangi sungai berikutan arus deras selepas hujan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomna Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.48 petang semalam. Katanya, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera bomba dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 35 kilometer dari balai. “Setiba di lokasi pada jam 6.33 petang, pasukan bomba dimaklumkan mangsa berada di seberang sungai namun gagal keluar berikutan arus deras. “Pasukan kemudian menyusuri tebing sungai sebelum berjaya menemui semua mangsa kira-kira jam 12.45 tengah malam pada jarak hampir lima kilometer dari jalan utama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, operasi turut berdepan pelbagai kesukaran termasuk laluan berbukit dan curam selain keadaan gelap selepas lampu suluh pasukan kehabisan cas. Katanya, ketiadaan liputan GIRN dan talian telefon juga menyukarkan komunikasi sepanjang operasi mencari dan menyelamat dijalankan. “Semua mangsa berjaya dibawa keluar ke kawasan selamat bermula jam 5.50 pagi dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius. “Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. Terdahulu, lima individu dilaporkan terperangkap di seberang sungai di Kampung Melangkap selepas gagal menyeberangi sungai akibat arus deras. – Info X
May 21, 2026
Info X Reporters
“Kg Asaon” bukan kampung diwartakan, dakwaan mahasiswa didakwa kelirukan keadaan
KOTA KINABALU: Dakwaan berhubung kewujudan “Kg Asaon” serta tindakan pihak yang mengaku sebagai Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam isu tanah kerajaan di Matunggong didakwa hanya mengeruhkan keadaan apabila kawasan berkenaan bukan sebuah kampung yang pernah diwartakan secara rasmi. Timbalan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) N5 Matunggong, Alexyus Matius berkata, kawasan terbabit sememangnya telah lama diketahui sebagai tanah kerajaan yang diperuntukkan bagi tujuan pembangunan Matunggong pada masa hadapan dan bukannya kawasan penempatan kampung yang sah. Beliau berkata, tindakan pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan terhadap pondok-pondok yang dibina secara tidak sah di kawasan itu juga wajar disokong demi memastikan undang-undang serta peraturan berkaitan tanah kerajaan terus dipatuhi. “Sebagai anak watan Matunggong, saya merasakan tanggungjawab untuk tampil menjelaskan perkara ini berdasarkan fakta sebenar di lapangan. “Ia bukan soal mempertahankan mana-mana pihak, sebaliknya memastikan masyarakat menerima maklumat tepat dan tidak terpengaruh dengan naratif yang boleh mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan media. Menurutnya, penduduk di kampung berhampiran termasuk Kampung Tuid, Kampung Hobut dan Kampung Sumangkap amat memahami sejarah serta status sebenar tanah berkenaan kerana kawasan itu sememangnya diketahui sebagai milik kerajaan. Katanya, penduduk setempat juga sedia maklum bahawa tanah berkenaan bukan tanah adat persendirian seperti yang cuba digambarkan pihak tertentu. Beliau percaya isu berkenaan tidak akan menjadi semakin tegang sekiranya tiada campur tangan pihak luar yang tidak memahami latar belakang serta fakta sebenar berkaitan kawasan tersebut. Mengulas penglibatan pihak yang didakwa terdiri daripada mahasiswa UMS, Alexyus berpandangan golongan mahasiswa sebagai kelompok intelektual perlu mendapatkan fakta tepat terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. “Sekiranya benar mereka adalah mahasiswa, mereka sepatutnya merujuk kepada pihak berwajib terlebih dahulu supaya maklumat yang disampaikan kepada masyarakat berasaskan fakta, profesional dan bertanggungjawab. “Mahasiswa tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan naratif pihak tertentu tanpa memahami sejarah dan kedudukan sebenar sesuatu isu,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut menepis cubaan mengaitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki dalam isu berkenaan. Menurutnya, sebagai wakil rakyat kawasan, Julita sudah tentu memahami sejarah, status serta kedudukan sebenar tanah berkenaan selain lebih arif mengenai perancangan pembangunan dan proses pentadbiran tanah di Matunggong. Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya tidak membuat tuduhan melulu atau memainkan sentimen tertentu yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan keharmonian kawasan. Katanya, semua pihak juga perlu menghentikan penyebaran fitnah dan provokasi, sebaliknya menghormati proses undang-undang serta tindakan pihak berkuasa demi menjaga kepentingan pembangunan dan kestabilan Matunggong pada masa hadapan. – Info X
May 20, 2026
Info X Reporters
5 terkandas di seberang sungai akibat arus deras
KOTA BELUD: Lima individu terpaksa menunggu bantuan pasukan bomba selepas terkandas di seberang sungai akibat arus deras di Kampung Melangkap, di sini, petang tadi. Dalam kejadian itu, semua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat namun gagal menyeberangi sungai berikutan keadaan arus yang deras. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.48 petang. Katanya, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera bomba dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 35 kilometer dari balai. “Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6.33 petang dan mendapati lima mangsa berada di seberang sungai dalam keadaan selamat. “Bagaimanapun, mereka tidak dapat menyeberangi sungai disebabkan arus deras,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, operasi sedang dijalankan bagi mencari kaedah terbaik untuk membawa keluar semua mangsa dengan selamat. Katanya, maklumat lanjut operasi akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X
May 20, 2026
Info X Reporters
Suara Mahasiswa bertindak sendiri dalam isu Kampung Asaon, bukan pendirian UMS – Pengurusan UMS
KOTA KINABALU: Pihak Pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan sebarang kenyataan, tindakan atau pendirian dizahirkan kumpulan mahasiswa yang menggelarkan diri sebagai Suara Mahasiswa UMS adalah atas kapasiti peribadi mereka sendiri. Perkara itu merujuk kepada pembabitan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan pelajar terbabit berhubung isu pertindihan tanah di Kampung Asaon, Matunggong, Kudat. Penegasan UMS itu dijelaskan menerusi satu kenyataan pada Rabu. “Sebagai sebuah institusi menara gading yang menjunjung kematangan intelektual dan menghormati kepelbagaian pandangan, UMS ingin menegaskan bahawa sebarang kenyataan, tindakan atau pendirian yang dizahirkan oleh kumpulan mahasiswa berkenaan adalah atas kapasiti peribadi mereka sendiri. “Justeru, kenyataan dan tindakan tersebut tidak mewakili pendirian rasmi, dasar mahupun pandangan pengurusan tertinggi UMS, termasuk lebih 22,000 mahasiswa aktif UMS,” katanya. Jelas pengurusan universiti itu lagi, UMS sentiasa menghormati hak kebebasan bersuara dan kebebasan akademik dalam kalangan warganya, seiring dengan komitmen UMS dalam menjunjung kematangan intelektual serta menghormati kepelbagaian pandangan. Bagaimanapun, tegasnya, kebebasan itu hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab selaras dengan peruntukan undang-undang, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta peraturan-peraturan universiti yang sedang berkuat kuasa. “UMS sentiasa mengingatkan mahasiswa agar setiap program aktivisme, kesedaran awam atau khidmat komuniti yang dilaksanakan di luar kampus hendaklah berpaksikan fakta yang sahih, mematuhi lunas undang-undang negara serta memelihara tatatertib dan nama baik universiti. “Pada masa yang sama, mahasiswa juga diseru agar sentiasa menghormati adat resam setempat, menyantuni sensitiviti masyarakat serta memelihara keharmonian dan kesejahteraan komuniti yang telah sekian lama terbina. “UMS menyeru seluruh warga mahasiswa agar terus mengamalkan sikap berdisiplin, berintegriti dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan, selaras dengan nilai universiti serta peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. Pada masa yang sama, UMS mengingatkan semua untuk menghormati peranan institusi penguatkuasa dalam memastikan ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara. – Info X
May 20, 2026
Info X Reporters
Hornet TUDM mendarat cemas di KKIA akibat masalah enjin
KOTA KINABALU: Pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), malam tadi dipercayai mengalami masalah pada sistem enjin ketika penerbangan pulang selepas latihan ketenteraan. Dalam kejadian kira-kira jam 7.47 malam itu, pesawat berkenaan berjaya mendarat dengan selamat selepas juruterbang mengambil tindakan kecemasan mengikut prosedur operasi ditetapkan. Menerusi siaran media dikeluarkan TUDM petang ini, pesawat terbabit mengalami masalah enjin ketika penerbangan pulang selepas Latihan Tembakan Udara ke Permukaan (Air To Ground) waktu malam di Kota Belud, semalam. “Juruterbang kemudian melaksanakan prosedur kecemasan sebelum membuat keputusan mendarat di KKIA sebagai langkah keselamatan. “Pesawat berkenaan berjaya mendarat dengan selamat pada jam 7.47 malam,” menurut kenyataan itu. Susulan kejadian berkenaan, TUDM turut mengaturgerakkan pasukan teknikal ke KKIA bagi melaksanakan pemeriksaan serta bantuan teknikal terhadap pesawat terbabit. Katanya, pesawat itu dijangka diterbangkan semula ke pangkalan selepas semua proses pemeriksaan dan pengesahan teknikal selesai dilaksanakan. TUDM turut memberi jaminan bahawa aspek keselamatan operasi penerbangan sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap pelaksanaan misi dan latihan. Terdahulu, media melaporkan sebuah pesawat pejuang TUDM melakukan pendaratan cemas di KKIA selepas mengalami masalah teknikal pada enjin kiri ketika penerbangan rutin. – Info X