Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

May 20, 2026

Info X Reporters

‘Jemputan kahwin’ tular, dua pemimpin Warisan buat laporan polis

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Chin Tek Ming dan bekas calon kerusi DUN Bengkoka, Fauziah Tun Fuad Stephens membuat penafian bersama berhubung penyebaran jemputan perkahwinan membabitkan mereka berdua yang tular di media sosial. Menerusi satu kenyataan bersama, mereka mengutuk sekeras-kerasnya penyebaran jemputan perkahwinan yang direka-reka itu di TikTok, sebelum tular di media sosial, kononnya untuk menjemput orang ramai bagi menghadiri majlis perkahwinan mereka. ‘Majlis perkahwinan’ kedua-dua pemimpin Parti Warisan itu, kononnya diadakan di Sacred Heart Cathedral, di sini, pada 23 Mei 2026 seperti dinyatakan dalam jemputan tular itu. Tek Ming berkata, hantaran mengenai jemputan itu di media sosial adalah palsu, berniat jahat, fitnah, bertujuan untuk mempersenda, memalukan dan menimbulkan salah faham orang ramai terhadap mereka berdua. “Ia adalah tindakan pembunuhan watak yang disengajakan yang dilakukan melalui media sosial dengan mengabaikan reputasi peribadi, kesopanan awam dan sensitiviti agama. “Rekaan itu bukan sahaja tidak masuk akal dan tidak logik pada wajahnya, tetapi juga sangat menyinggung dari perspektif agama. “Puan Fauziah Stephens adalah seorang Muslim, dan gambaran palsu majlis perkahwinan yang dikatakan diadakan di sebuah gereja adalah jelas provokatif dan tidak menghormati kepercayaan agama dan sensitiviti dalam masyarakat berbilang agama di Malaysia,” katanya. Beliau berkata, tingkah laku yang tidak bertanggungjawab itu tidak boleh dinormalisasi di bawah nama ‘sindiran politik’ atau kelakuan dalam talian tanpa nama. Tegasnya, kebebasan bersuara tidak meliputi penyebaran palsu berniat jahat, provokasi agama atau kandungan fitnah yang direka untuk merosakkan maruah dan reputasi orang lain. “Memandangkan keseriusan perkara ini, kami bersama-sama membuat laporan polis dan menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk kemungkinan kesalahan berkaitan jenayah fitnah, penyalahgunaan kemudahan rangkaian dan sebarang kesalahan lain di bawah undang-undang sedia ada. “Kami seterusnya menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya segera menyiasat akaun TikTok yang bertanggungjawab, termasuk mengesan identiti individu atau individu di sebalik penerbitan itu dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya,” katanya. Beliau juga memberi amaran untuk menggunakan hak undang-undang, termasuk memulakan prosiding sivil fitnah terhadap pelaku dan mana-mana pihak yang terbabit dalam penyebaran bahan fitnah. “Kami ingin mengingatkan semua pihak bahawa perbezaan politik tidak seharusnya membenarkan fitnah, kandungan palsu, ketidakpekaan agama atau serangan peribadi. “Politik Sabah mesti dijalankan dengan matang, bertanggungjawab dan menghormati kedaulatan undang-undang,” katanya. – Info X

May 20, 2026

Info X Reporters

Jet pejuang TUDM lakukan pendaratan kecemasan di KKIA

KOTA KINABALU: Sebuah jet pejuang dilaporkan melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, malam ini. Jet pejuang jenis F/A-18D milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu dipercayai mengalami masalah teknikal membabitkan enjin kiri atau ‘left engine flame out’ sebelum berjaya mendarat dengan selamat kira-kira jam 7.47 malam. Difahamkan, jet berkenaan kemudian diparkir di Terminal 2 KKIA untuk tindakan lanjut. Keadaan jet pejuang dilaporkan baik selain kelihatan beberapa jurutera berada di sisi pesawat sejurus selepas pendaratan bagi menjalankan pemeriksaan lanjut. Terdahulu, bunyi dentuman kuat yang kedengaran di beberapa kawasan sekitar Sepanggar dan Kota Kinabalu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan orang ramai sehingga ada yang berkongsi pengalaman mereka di media sosial. Difahamkan sehingga kini, jet pejuang berkenaan masih berada di kawasan Terminal 2 KKIA sambil dipantau pihak berkaitan. Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak TUDM berhubung kejadian berkenaan. – Info X

May 19, 2026

Info X Reporters

Provokasi ketika operasi perobohan, empat ditahan polis

KUDAT: Empat individu ditahan selepas dipercayai menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam operasi perobohan struktur binaan di atas tanah simpanan kerajaan di daerah kecil Matunggong, hari ini. Dalam operasi kira-kira jam 9.30 pagi itu, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Kudat bersama beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan perobohan di kawasan tapak tambahan Pekan Baru Matunggong. Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, semasa operasi dijalankan terdapat kehadiran beberapa pelajar Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta penduduk kampung di lokasi kejadian. Katanya, polis sudah melaksanakan kawalan keselamatan bagi memastikan keadaan terkawal dan operasi berjalan lancar. “Bagaimanapun, empat individu ditahan selepas dipercayai menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas. “Sebelum tindakan penahanan dibuat, pihak polis sudah memberikan nasihat dan amaran supaya semua yang berada di lokasi memberi kerjasama serta mengosongkan kawasan perobohan,” katanya menerusi kenyataan media malam ini. Menurutnya, arahan terbabit bagaimanapun tidak dipatuhi selain berlaku provokasi dan tindakan menghalang penjawat awam semasa operasi dijalankan. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. “Dalam insiden itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun turut mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat terjatuh. “Mangsa dihantar ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya. Mohd Haris berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa bertenang dan tidak mengambil tindakan bertentangan undang-undang termasuk mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni menerusi media sosial. – Info X

May 19, 2026

Info X Reporters

JPJ Sabah sita dua kenderaan mewah dalam Ops Luxury

KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah terus mempergiat Ops Luxury apabila menyita dua kenderaan mewah jenis Toyota Land Cruiser dan BMW X5 di dua lokasi berasingan di Sabah serta Labuan, hari ini. Toyota Land Cruiser berkenaan disita di Jalan Lintas, Kepayan, Kota Kinabalu selepas dikesan menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh selain tidak memiliki perlindungan insurans yang sah. Sementara itu, sebuah BMW X5 pula disita di Jalan Merdeka, Wilayah Persekutuan Labuan atas kesalahan menggunakan LKM tamat tempoh. Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, kedua-dua kesalahan itu melanggar peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) mengikut Seksyen 23(1), manakala kes Toyota Land Cruiser turut membabitkan Seksyen 90(1). “Semua kenderaan terbabit disita untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987. “Operasi ini akan diteruskan secara berterusan dan JPJ tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan mahkamah terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang jalan raya,” katanya menerusi kenyataan media, malam ini. Menurutnya, semua pemilik kenderaan diingatkan supaya memastikan LKM dan insurans sentiasa aktif bagi melindungi pengguna jalan raya selain memastikan pematuhan undang-undang demi keselamatan bersama. – Info X

May 19, 2026

Info X Reporters

112 PATI warga Filipina dihantar pulang

LAHAD DATU: Seramai 112 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan Asing ke Negara Asal melalui Pelabuhan Lahad Datu, hari ini. Semua tahanan terbabit dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan feri komersial. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi kenyataan malam ini berkata, kumpulan PATI itu terdiri daripada 63 lelaki dewasa, 34 perempuan dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 66 tahun. Menurut kenyataan itu, semua kanak-kanak yang menyertai program berkenaan turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing. “Sehingga hari ini, seramai 1,947 tahanan PATI warga Filipina sudah dipindahkan ke negara asal daripada keseluruhan 3,085 tahanan warga asing yang dihantar pulang. “Kesemua tahanan terbabit sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan selain memiliki dokumen perjalanan sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan,” katanya. Dalam pada itu, JIM Sabah turut mengingatkan majikan supaya menyertai program pendataan digital warga asing yang sedang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah menerusi Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (S.W.I.M.S). Menurutnya, inisiatif itu dijangka membantu mengurus dan merekod keberadaan pekerja asing sekali gus mengekang isu lambakan PATI serta masalah dokumentasi di negeri ini. “JIM Sabah akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah. “Majikan boleh dikenakan hukuman berat mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, penjara dan sebatan,” katanya. – Info X

May 19, 2026

Info X Reporters

Inkues kematian Zara: Ibu saudara lihat kesan cedera, lebam di tubuh arwah

KOTA KINABALU: Ibu saudara Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner mengenai kesan kecederaan dan lebam di tubuh arwah yang dikesan ketika dirawat dan semasa pengurusan jenazahnya di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, pada 17 Julai tahun lalu. Nur Shira Abdullah, 46 yang juga kakak ipar ibu arwah Zara, Noraidah Lamat yang memberi keterangan pada inkues kematian Zara di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, di sini, pada Selasa, mengaku melihat sendiri kecederaan arwah. Dalam Keterangan bertulisnya, Nur Shira menceritakan apa yang dilihatnya bermula dari keadaan di bahagian kepala hingga kaki arwah Zara dan penjelasan doktor mengenai kecederaan yang dialami arwah. “Semasa melihat Zara di hospital dan semasa pengurusan jenazah, saya ada memerhatikan keadaan fizikal arwah. Pada bahagian kepala terdapat kawasan rambut yang dicukur namun saya tidak melihat luka terbuka besar atau kesan jahitan. “Pada bahagian kepala sebelah kiri berhampiran kawasan rambut yang dicukur, apabila saya menyentuhnya, saya merasakan keadaan seperti lembik dan berair di bahagian dalam kepala. “Pada bahagian belakang badan, saya melihat kesan lebam yang jelas terutama di kawasan rusuk dalam bentuk garis panjang dari pinggang hingga ke bahu dan lebam tersebut kelihatan berwarna biru kehitaman,” katanya. Saksi itu memberitahu mahkamah, beliau juga melihat kesan lebam halus seperti urat yang menjalar di bahagian belakang badan arwah, manakala bahagian tangan dan kaki kiri Zara dibalut oleh pihak hospital dan mendapati tubuh Zara kelihatan kekuningan. Katanya, beliau tidak melihat tulang kaki yang terkeluar secara luaran, namun melihat keadaan buku lali arwah Zara yang kelihatan terkehel. Nur Shira yang menetap di Kuala Lumpur, sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa beliau dimaklumkan oleh Noraidah mengenai insiden menimpa Zara melalui aplikasi WhatsApp pada jam 10.20 pagi, 16 Julai tahun lalu sebelum segera membeli tiket penerbangan ke Kota Kinabalu. Ketika di hospital, katanya beliau ada bercakap dengan seorang doktor wanita bertugas di wad yang menjelaskan kepadanya mengenai keadaan kecederaan Zara berdasarkan laporan perubatan yang dibacanya. Katanya, ia termasuk kecederaan serius pada bahagian kepala, kerosakan teruk pada tengkorak dan keadaan otak yang tidak lagi berfungsi. “Doktor juga menerangkan kemungkinan terdapat kerosakan pada saraf tunjang belakang akibat impak yang kuat, patah pada tulang dan kaki serta kecederaan pada buku lali kiri. “Doktor itu turut memaklumkan kemungkinan berlaku pendarahan dalaman yang teruk sehingga menyebabkan kegagalan fungsi organ,” katanya. Beliau berkata, doktor terbabit menjelaskan kepadanya bahawa prosedur CPR atau tekanan dada untuk membantu pernafasan dan edaran darah serta penggunaan mesin kejutan elektrik jantung tidak dapat dilakukan kerana keadaan pesakit ketika itu sangat kritikal. Katanya, ia disebabkan keadaan pembengkakan yang teruk dan prosedur itu tidak sesuai serta tidak memberi manfaat kepada pesakit pada ketika itu. Sementara itu, ketika tiba di HQE pada 17 Julai tahun lalu, Nur Shira berkata beliau melihat arwah Zara dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kritikal sebelum dimaklumkan oleh doktor bahawa keadaan Zara sangat serius dan berada dalam keadaan ‘brain death’. “Zara dipantau menggunakanmesin bantuan pernafasan dan mesin pemantauan jantung. Namun, pada jam lebih kurang jam 1 tengah hari, mesin pemantauan jantung terpadam secara tiba-tiba dan saya memaklumkan perkara tersebut kepada jururawat. “Jururawat kemudian datang dan memeriksa keadaan tersebut serta memaklumkan pemantauan akan dilakukan dari kaunter depan. Doktor ada datang memeriksa Zara tetapi tidak memberikan penjelasan khusus kepada saya ketika itu,” katanya. Beliau memberitahu mahkamah bahawa pihak hospital juga beberapa kali menyarankan agar keluarga menimbangkan untuk menghentikan bantuan pernafasan oksigen pada 16 dan 17 Julai 2025, dengan penjelasan kemungkinan komplikasi jika rawatan diteruskan. Pada awal, katanya keluarga bersetuju berdasarkan penjelasan itu, namun proses untuk menghentikan mesin tidak sempat dilakukan kerana mesin pemantau jantung terhenti secara tiba-tiba tanpa sebarang tindakan daripada mana-mana pihak. Nur Shira menjelaskan, beliau berada di hospital bersama Zara kerana ibu arwah dan suaminya mengaturkan urusan laporan polis. Katanya, Zara disahkan meninggal dunia sekitar antara jam 4 hingga 4.30 petang oleh seorang doktor yang bertugas bersama seorang pegawai penyiasat polis sebagai saksi. – Info X

May 19, 2026

Info X Reporters

Lelaki maut Myvi terbabas masuk parit

KENINGAU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum masuk ke dalam parit berhampiran Stesen minyak Bulatan Sodomon, Jalan Keningau – Apin-Apin, di sini, har ini. Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu, mangsa Charles Lee Kong Yaw, 59, disahkan meninggal dunia selepas dikeluarkan dari kenderaan oleh pasukan bomba. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu seorang diri menggunakan Perodua Myvi dari arah Keningau menuju ke Apin-Apin. Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai tiba-tiba terbabas ke kiri bahu jalan sebelum masuk ke dalam parit bersebelahan stesen minyak berkenaan. “Ketika ditemui, mangsa masih berada di dalam kenderaan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikeluarkan pasukan bomba. “Mangsa kemudian diperiksa anggota Unit Kecemasan Hospital Keningau dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk proses bedah siasat. “Punca sebenar kematian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X

May 19, 2026

Info X Reporters

Madius gesa isu penangguhan AKPS dibawa ke Majlis Rundingan MA63

KOTA KINABALU: Penangguhan pelaksanaan Akta Kawalan Penguatkuasaan Sempadan (AKPS) disifatkan bukan sekadar isu pentadbiran, sebaliknya mencerminkan kegagalan berterusan Kerajaan Persekutuan mematuhi perlindungan perlembagaan yang menjamin hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak. Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau, berkata isu itu memperlihatkan pola membimbangkan apabila undang-undang Persekutuan yang memberi kesan kepada Sabah dan Sarawak diluluskan tanpa mendapatkan persetujuan kerajaan negeri seperti diperuntukkan di bawah Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan. Madius berkata, perkara itu bukan isu baharu kerana sejak sekian lama wakil rakyat Sabah di Parlimen sudah berulang kali membangkitkan persoalan mengenai kesahihan perlembagaan terhadap beberapa undang-undang yang didakwa memberi kesan langsung kepada hak dan kedudukan Sabah serta Sarawak. “Namun, kebimbangan dan bantahan yang dibangkitkan sering kali diketepikan atau tidak diberikan perhatian sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Menurutnya, antara contoh utama yang sering dibangkitkan termasuk peluasan Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perikanan ke Sabah serta Sarawak pada 1970, pindaan Perkara 122A Perlembagaan Persekutuan pada 1994, penggubalan Akta Laut Wilayah 2012 serta pelaksanaan AKPS. Beliau mendakwa undang-undang berkenaan memberi kesan langsung kepada hak, bidang kuasa dan kedudukan perlembagaan Sabah serta Sarawak, namun dilaksanakan tanpa persetujuan sewajarnya seperti diperuntukkan dalam Perkara 161E. Madius berkata, keadaan itu bercanggah dengan semangat serta jaminan yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang menjadi asas pembentukan Persekutuan Malaysia. Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap dakwaan bahawa pandangan pemimpin Sabah, termasuk menteri Persekutuan dari negeri itu, tidak diberi perhatian dalam isu berkaitan AKPS. Katanya, sebelum ini dimaklumkan bahawa perundangan subsidiari akan diperkenalkan bagi melindungi hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak, namun jaminan berkenaan didakwa tidak direalisasikan. “Dakwaan ini hanya mengukuhkan persepsi rakyat Sabah bahawa komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap perkara membabitkan hak perlembagaan negeri sering dipandang ringan atau tidak ditunaikan,” katanya. Sehubungan itu, Madius menggesa Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak segera membawa isu berkenaan ke Majlis Rundingan MA63 untuk dibincangkan secara menyeluruh dan segera. Pada masa sama, beliau mahu rakyat Sabah dan Sarawak dimaklumkan secara terbuka mengenai hasil perbincangan serta langkah konkrit yang akan diambil bagi mengelakkan perkara sama berulang. Tegasnya, Sabah dan Sarawak bukan wilayah bawahan dalam Persekutuan, sebaliknya rakan pengasas Malaysia yang hak, bidang kuasa dan kedudukan perlembagaannya perlu dihormati sepenuhnya. – Info X