May 19, 2026
Info X Reporters
Tokoh korporat, ADUN, Ketua Setiausaha Politik terima pingat
KOTA KINABALU: Seramai 151 individu menerima darjah, bintang dan pingat kebesaran Sabah yang dikurniakan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Isnin. Istiadat dimulakan dengan pengurniaan darjah kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima kepada tokoh korporat industri minyak dan teknologi, Datuk Seri Panglima Abdul Farish Abdul Rashid. Ia kemudian disusuli penerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk dengan dimulai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Musa, diikuti 22 penerima lain. Turut menerima PGDK ialah Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim; Pengurus Besar Ko-Nelayan, Datuk Yusof Ag Besar; Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset Awam, Kementerian Kewangan, Datuk Alan Abdul Rahim. Tun Musa turut mengurniakan darjah Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) kepada 19 individu antaranya, Pegawai Daerah Tuaran, Ibrahim Terki dan Pengarah Pengambilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ak Ashaari Ak Yussof. Sementara itu, Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Sandakan Komander Maritim, Ahmad Firdaus Shaari dan Ketua Pegawai Operasi Sri Pelancongan Sabah, Fidelis Francis Andam antara penerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK). Dalam pada itu, seramai 33 individu dianugerahkan Bintang Setia Kinabalu (BSK), diikuti 29 individu menerima darjah Bintang Kinabalu (BK) dan seramai 12 individu dikurniakan Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT). Hadir sama ialah Menteri Belia, Sukan dan Industri Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ceaser Mandela Malakun. Istiadat itu bersempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Yang Tun Musa. – Info X
May 19, 2026
Info X Reporters
Salleh dilantik Ketua Merinyu Projek Sabah
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak dilantik sebagai Ketua Merinyu Projek Sabah. Beliau menerima surat pelantikannya daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, dekat sini, pada Selasa. Bekas ADUN Usukan itu menyatakan penghargaan kepada Ketua Menteri atas kepercayaan yang diberikankepadanya. Salleh menyatakan janji untuk melaksanakan tanggungjawab itu dengan penuh komitmen, ketelusan dan integriti. – Info X
May 19, 2026
Info X Reporters
Bekas Pengarah JANS dipenjara 96 tahun, denda RM284.3 juta kes pengubahan wang haram
KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib, dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 96 tahun serta denda RM284.3 juta selepas didapati bersalah atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini. Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bagi setiap pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh. Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan, sekali gus menjadikan tempoh sebenar hukuman penjara yang perlu dijalani tertuduh adalah lapan tahun. Selain hukuman penjara, mahkamah turut mengenakan denda keseluruhan RM284.3 juta terhadap Ag Mohd Tahir.Sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan, tertuduh berdepan tambahan hukuman penjara selama 78 bulan. Dalam prosiding sama, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi. Kes berprofil tinggi membabitkan Jabatan Air Sabah itu sebelum ini mendapat perhatian meluas susulan tempoh perbicaraan yang berlarutan hampir sedekad serta dikaitkan dengan antara rampasan terbesar pernah direkodkan dalam kes pengubahan wang haram di negeri ini. – Info X
May 19, 2026
Info X Reporters
Bekas Pengarah JANS didapati bersalah babit pengubahan wang haram RM45 juta
KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah melebihi RM45 juta yang dikaitkan dengan kes berlaku kira-kira sedekad lalu. Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Ag Mohd Tahir, 63. Bagaimanapun, mahkamah melepaskan dan membebaskan isterinya, Fauziah Piut, 61, daripada 19 pertuduhan pengubahan wang haram selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan dihadapinya. Turut dibebaskan ialah bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 72, yang berdepan empat pertuduhan serupa. Dalam perkembangan sama, mahkamah turut melepaskan Ag Mohd Tahir dan Fauziah daripada dua pertuduhan bersama berkaitan pengubahan wang haram. Mengikut pertuduhan, kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di beberapa lokasi sekitar Sabah dan Kuala Lumpur antara 4 Oktober hingga 4 November 2016 serta antara 13 Oktober hingga 8 November tahun sama. Mereka didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001. Kes terbabit menjadi antara skandal rasuah paling mendapat perhatian di Sabah apabila siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2016 membawa kepada rampasan wang tunai dan barangan berharga bernilai puluhan juta ringgit. Ketika itu, gambar timbunan wang tunai yang ditemukan di dalam bilik dan bertaburan di lantai tular meluas di media tempatan sehingga mencetuskan perhatian besar masyarakat terhadap siasatan berkenaan. Kes yang berlangsung hampir sedekad itu dianggap antara kes pengubahan wang haram terbesar di Sabah. Perbicaraan bermula pada 7 Mei 2018 selepas melalui beberapa siri penangguhan, dengan pihak pendakwaan memanggil seramai 46 saksi di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat. Pihak pembelaan pula memanggil 15 saksi termasuk beberapa individu yang sebelum itu disenaraikan pihak pendakwaan, antaranya bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan bekas menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim. Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili peguam Ansari Abdullah, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Fadzidahtul Ardianah, Rasrina Patrick T Rining dan Noorsyazwani Sapri, manakala Lim Lam Beng diwakili Tan Hock Chuan, Baldev Singh dan Kelvin Wong. Laporan lanjut menyusul…
May 19, 2026
Info X Reporters
Warga emas hilang ketika menjala ikan di Sungai Pagalan
TAMBUNAN: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang selepas dipercayai keluar menjala ikan di Sungai Pagalan berhampiran Kampung Nouduh, di sini, sejak petang semalam. Mangsa Markus @ Marchous Antigang, 74, dilaporkan keluar dari rumah kira-kira jam 4 petang menuju ke sungai berkenaan namun tidak pulang sehingga kini. Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tambunan pada jam 8 pagi tadi berhubung kejadian itu. Katanya, sepasukan 12 anggota BBP Tambunan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai. “Pasukan bomba bergerak ke IPD Tambunan bagi sesi taklimat operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama agensi penyelamat lain sebelum operasi dijalankan. “Operasi SAR dijalankan menggunakan kaedah ‘Water Surface Searching’ dengan bantuan bot rafting milik kakitangan Lobou-Lobou Resort bagi pencarian di kawasan sungai sejauh 9.7 kilometer,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Operasi turut membabitkan tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 11 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), lima kakitangan Lobou-Lobou Resort, dua anggota Pasukan Bomba Sukarela Kampung Tangaban serta tujuh anggota Bomba Komuniti Kampung Rompon. Setakat ini katanya, mangsa masih belum ditemukan dan operasi SAR masih diteruskan. – Info X
May 19, 2026
Info X Reporters
Pemenang pingat Sukan SEA, Para ASEAN 2025 terima insentif RM383,116
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri pada Selasa menyampaikan insentif kemenangan sukan berjumlah RM383,116 kepada seramai 57 atlet Sabah yang memenangi pingat pada Sukan SEA Ke-33 dan Para ASEAN Ke-13 di Thailand pada tahun lalu. Daripada jumlah itu, sebanyak RM146,500 adalah insentif kemenangan bagi Sukan SEA Ke-33, manakala sebanyak RM236,616 insentif kemenangan kepada atlet Para ASEAN Ke-13. Pada kejohanan Sukan SEA Ke-33, seramai 91 atlet dari Sabah mewakili negara dan membantu kontinjen Malaysia memenangi lima pingat emas, 14 perak dan 11 gangsa. Bagi temasya sukan Para ASEAN Ke-13 pula, seramai 22 atlet para Sabah terpilih dan berjaya membawa pulang kejayaan besar untuk negara dengan 14 pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa. Insentif kemenangan sukan itu disampaikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada majlis penyampaian insentif kemenangan di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini. Dalam ucapannya, Hajiji menzahirkan harapan agar insentif itu menjadi pembakar semangat untuk atlet Sabah terus melangkah lebih jauh bagi mencapai tahap yang lebih tinggi. Beliau turut menyatakan penghargaan kepada kerja keras jurulatih dan sokongan keluarga atlet yang disifatkannya sebagai tunjang kejayaan mereka. “Kerajaan negeri sangat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh kesemua atlet negeri Sabah yang mengambil bahagian dan mencipta kemenangan pingat pada Temasya Sukan SEA Ke-33 dan Para ASEAN Ke-13 di Thailand. “Kerajaan Sabah juga berbangga dengan pencapaian cemerlang dua atlet Para yang menjadi tonggak pungutan pingat kita ketika Para ASEAN baru-baru ini iaitu perenang Abdul Halim Mohammad dan atlet olahraga, Ivan Jovic Suan, secara kebetulan kedua-duanya berasal dari Tuaran,” katanya. Pada kejohanan Para ASEAN Ke-13 itu, Abdul Halim memenangi lima pingat emas dalam acara individu dengan empat rekod baharu, selain satu pingat perak dan satu gangsa menerusi acara berpasukan. Abdul Halim yang sebelum ini turut diangkat sebagai Atlet Lelaki Terbaik Malaysia ketika Para ASEAN 2025 oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) adalah penerima insentif terbesar pada hari ini. Bagi Ivan pula, kejayaan memenangi tiga pingat emas dengan satu rekod baharu adalah satu kejutan besar dalam acara pecut di peringkat Asia Tenggara kerana usianya yang baru 18 tahun. Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memperuntukkan perbelanjaan besar dan konsisten bagi memastikan lebih banyak aktiviti sukan dapat dijalankan, selain menyediakan prasarana sukan moden dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan atlet. “Menerusi Dasar Sukan yang kita rancang, kerajaan berusaha ke arah pembentukan budaya sukan dan peningkatan tahap kesihatan rakyat dengan memberikan peluang sama rata kepada semua lapisan. “Saya percaya, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah di bawah pimpinan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan timbalannya, Datuk Seri Dr Anil Sandhu yang sentiasa berjiwa muda, akan terus berusaha merancang pembangunan yang komprehensif dan jitu untuk Sabah mencapai tahap kemajuan yang lebih membanggakan lagi,” katanya. – Info X
May 19, 2026
Info X Reporters
Bangkai gajah tanpa gading, dipercayai dibunuh ditemui di Pinangah
KINABATANGAN: Bangkai seekor gajah Pygmy Borneo dengan sebahagian kepala dan gadingnya hilang ditemui dalam kawasan ladang berhampiran Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod, dekat sini, pagi semalam. Bangkai haiwan berkenaan yang disyaki sengaja dibunuh untuk mendapatkan gadingnya ditemui kakitangan ladang sekitar jam 6.30 pagi semalam, sebelum melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL). Dalam kejadian itu, kakitangan ladang melaporkan terdengar bunyi letupan yang kuat pada malam sebelum kejadian, namun pemeriksaan hanya dilakukan keesokan harinya susulan kejadian hujan lebat. Pemeriksaan lanjut anggota JHL di lapangan mendapati gajah jantan dengan ketinggian 2.9 meter dengan bahagian muka dan mulut dipercayai dipotong dengan peralatan tajam. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata beliau dimaklumkan setakat ini tiada kesan tembakan ditemui pada bahagian badan gajah, namun pemeriksaan penuh masih dijalankan. Katanya, hujan lebat juga dipercayai berlaku ketika kejadian sekali gus menyukarkan pihak JHL untuk mengenal pasti kesan tapak dan bukti di lokasi kejadian. “Bedah siasat ke atas bangkai gajah masih dijalankan oleh JHL. “Saya sudah meminta JHL untuk segera menjalankan siasatan terperinci, memperkukuh operasi penguatkuasaan dan rondaan, meneruskan kerjasama dengan polis serta meningkatkan pemantauan di koridor pergerakan hidupan liar dan kawasan berisiko tinggi,” katanya. Jafry menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab jika siasatan mengesahkan pembabitan aktiviti pemburuan haram, pengambilan gading secara haram atau kesalahan lain berkaitan hidupan liar. Katanya, kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah hidupan liar dan akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan serta pihak berkepentingan bagi memastikan perlindungan lebih kukuh terhadap hidupan liar ikonik di negeri ini. “Kita tidak boleh membiarkan Sabah menjadi tempat berlakunya jenayah hidupan liar. Setiap kehilangan spesies yang dilindungi adalah kehilangan kepada warisan semula jadi dan masa depan biodiversiti,” katanya. – Info X
May 19, 2026
Info X Reporters
Terminal feri Jesselton Point pemangkin pelancongan Sabah
KOTA KINABALU: Terminal Feri Jesselton Point siap dinaik taraf di lokasi baharu seiring dengan statusnya sebagai prasarana strategik yang bakal menjadi pemangkin utama pembangunan industri pelancongan Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kemudahan yang lebih selesa itu sejajar dengan kedudukan Terminal Feri Jesselton Point yang mencatat peningkatan penumpang pada 2025 kepada seramai 552,369 orang, berbanding 388,395 orang pada 2024. “Dalam konteks ini, Terminal Feri Jesselton Point memainkan peranan signifikan dalam memperkukuh penawaran pelancongan, khususnya segmen pelancongan berasaskan pulau dan marin yang menjadi antara produk utama pelancongan teras negeri terutamanya di Kota Kinabalu dan daerah sekitarnya,” katanya pada majlis perasmian Terminal baharu feri Jesselton Point, di sini, pada Isnin. Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick. Hajiji berkata, penaiktarafan terminal feri itu mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa dan diperkasakan melalui integrasi sistem digital serta operasi fizikal yang lebih cekap, teratur dan berkesan. Jelasnya, pelaksanaan sistem tiket elektronik, pengurusan penumpang secara bersepadu dan penggunaan teknologi pintar dalam operasi harian mencerminkan peralihan ke arah konsep terminal pintar yang lebih moden dan responsif. Beliau yakin terminal baharu itu mampu menampung peningkatan penumpang sesuai dengan ketibaan pelawat yang semakin meningkat berdasarkan rekod seramai 3.8 juta orang pada tahun lalu, iaitu peningkatan lebih 20 peratus berbanding tahun sebelumnya dan menjana RM8.7 billion hasil pelancongan. “Sejak lebih dua dekad yang lalu, Terminal Feri Jesselton Point memainkan peranan penting sebagai laluan utama ke pulau-pulau peranginan di Taman Tunku Abdul Rahman, sebuah khazanah alam yang menjadi kebanggaan negeri serta tarikan utama bagi pelancong domestik dan antarabangsa. “Terminal ini bukan sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan, malah berfungsi sebagai mercu tanda penting bandar raya Kota Kinabalu, yang menghubungkan pengunjung ke gugusan pulau seperti Manukan, Gaya, Sapi dan Mamutik serta pulau-pulau sekitarnya. “Ini sekali gus memperkukuh peranan bandar raya ini sebagai salah satu hab pelancongan maritim utama negara,” katanya. Ketua Menteri berkata, beliau yakin, dengan adanya terminal yang selesa itu dapat meningkatkan keyakinan pelancong domestik dan antarabangsa untuk berkunjung ke pulau-pulau pelancongan yang ada di sekitar ibu negeri. “Ini secara langsung akan merancakkan ekonomi setempat, membuka peluang perniagaan dan meningkatkan taraf hidup penduduk. Usaha ini juga sudah pasti akan membantu dalam mencapai sasaran lebih empat juta pelancong ke Sabah pada tahun ini,” katanya. Katanya, sempena Tahun Melawat Malaysia pada tahun ini, pembangunan baharu infrastruktur Terminal Feri Jesselton Point dapat memperkukuh lagi kedudukan Sabah sebagai hab pelancongan maritim utama di rantau ASEAN. Jelasnya, pembangunan terminal itu selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menekankan pertumbuhan ekonomi berimpak tinggi, pemerkasaan ekonomi biru dan pelancongan mampan sebagai antara teras utama kemajuan negeri. “Inisiatif ini sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memperkukuh lagi kedudukan Sabah sebagai hab pelancongan maritim yang berdaya saing dan maju. “Kerajaan negeri komited dalam memastikan pembangunan ini dilaksanakan secara bertanggungjawab, seiring dengan pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti setempat agar kemajuan yang dicapai adalah menyeluruh,” katanya. Selain itu, katanya Terminal Feri Jesselton Point juga terletak di kawasan pembangunan Jesselton Waterfront City bernilai RM9.2 bilion yang bakal membentuk landskap baharu pesisir Kota Kinabalu sebagai destinasi bertaraf dunia. Beliau mengucapkan syabas kepada Suria Capital Holdings Berhad serta anak syarikatnya, Suria Bumiria Sdn Bhd atas komitmen dan dedikasi dalam merealisasikan projek terminal feri itu. “Kejayaan hari ini mencerminkan kesepaduan antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta amat penting dalam menjayakan agenda pembangunan negeri ini,” katanya. – Info X