Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

May 14, 2026

Info X Reporters

‘Ingat kain bergerak kena tiup angin, rupanya ular senduk sembur’

KOTA KINABALU: Perbualan santai sekumpulan penghuni rumah mengenai keadaan atap bertukar cemas apabila mereka menyedari ‘sesuatu’ sedang bergerak di sebalik kain siling rumah di Jalan Mawillah Dua, Sepanggar, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, tiga orang dewasa bersama empat kanak-kanak berada di dalam rumah sebelum salah seorang daripada mereka ternampak kain pada bahagian siling bergerak-gerak seperti ditiup angin. Namun, keadaan bertukar panik selepas mereka menyuluh ke arah siling berkenaan dan terlihat bayang seekor ular sedang bersembunyi di atas bumbung rumah. Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.32 petang sebelum sepasukan anggota dari PKOU Sulaman digerakkan ke lokasi. Katanya, setibanya di lokasi, pengadu memaklumkan mereka pada awalnya hanya berbual mengenai keadaan atap rumah sebelum rakannya menyedari pergerakan mencurigakan pada kain siling. “Apabila disuluh, mereka nampak bayang seekor ular dan terus menghubungi pihak APM untuk bantuan. “Dua anggota lengkap memakai PPE kemudian melakukan penilaian sebelum menggunting kain siling bagi memudahkan kerja menangkap ular berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, ular jenis senduk sembur (spitting cobra) sepanjang kira-kira satu meter dan seberat 500 gram itu berjaya ditangkap menggunakan penyepit serta ‘hook’ khas. “Operasi tamat pada jam 5.16 petang dan ular berkenaan berjaya dibawa keluar dengan selamat. “Tiada mangsa cedera, namun penghuni rumah terutama kanak-kanak sempat panik sebaik menyedari reptilia berbisa itu berada betul-betul di atas siling rumah mereka,” katanya. – Info X

May 14, 2026

Info X Reporters

‘Jangan terpedaya naratif pembangkang, GRS komited tuntut hak 40 peratus’ – Joniston

KIULU: Rakyat Kiulu diminta tidak terpedaya dengan dakyah pembangkang yang mencanang naratif kononnya kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak bersungguh-sungguh menuntut hak 40 peratus hasil bersih yang dikutip dari negeri ini. Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, sebaliknya menegaskan kepemimpinan negeri komited sepenuhnya untuk mendapatkan hak itu secepat yang mungkin. Katanya, pendekatan kerajaan negeri mengutamakan rundingan, libat urus dan mengekalkan hubungan kerja harmoni dengan kerajaan Persekutuan yang sudahpun menghasilkan keputusan positif. “Ini boleh dilihat menerusi peningkatan pemberian khas daripada RM53 juta ketika pentadbiran Warisan sebelum ini kepada RM600 juta di bawah kerajaan pimpinan GRS sekarang,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Kaamatan dan sesi libat urus bersama wakil Mahkamah Anak Negeri dan Ketua Kampung, di sini, pada Ahad. ADUN Kiulu yang juga Ketua Penerangan GRS itu, berkata pentadbiran GRS di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor juga berjaya memeterai Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS yang disifatkan sebagai langkah strategik yang menjana berbilion ringgit pulangan kepada Sabah. “Kerajaan GRS kekal teguh dan tidak akan mengalah dalam usahanya untuk mendapatkan kelayakan hasil 40 peratus itu. “Selain terus mendesak perkara ini, kepimpinan kerajaan negeri juga terus berusaha mendapatkan bayaran pemberian khas yang lebih tinggi dan lebih banyak perjanjian kerjasama dengan Putrajaya,” katanya. Berikutan itu, beliau meminta Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya membantu memberi penjelasan yang tepat mengenai dasar serta inisiatif kerajaan kepada rakyat akar umbi. Sementara itu, Joniston mengumumkan penubuhan satu panel bebas untuk menilai prestasi dan keberkesanan Ketua Kampung di Kiulu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing. “Panel itu juga akan menerima dan melihat aduan berkaitan prestasi dan tatalaku Ketua Kampung. Kita tidak akan teragak-agak untuk menukar mereka yang gagal menunjukkan prestasi yang baik,” katanya. Panel itu katanya merangkumi individu yang berintegriti dan melapor secara terus kepada pejabat ADUN Kiulu. Beliau menjelaskan inisiatif itu adalah sebahagian usaha yang sedang dijalankan bagi memastikan pemimpin akar umbi kekal memberikan khidmat yang berkesan kepada rakyat. – Info X

May 14, 2026

Info X Reporters

285 PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal

LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah memindahkan seramai 285 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan Asing di Pelabuhan Lahad Datu, semalam. Semua PATI terbabit dihantar pulang ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan feri komersial selepas selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan. Program itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan. JIM Sabah dalam kenyataannya berkata, daripada jumlah itu, seramai 88 lelaki dewasa, 82 perempuan dewasa, 60 kanak-kanak lelaki dan 55 kanak-kanak perempuan berusia antara lapan bulan hingga 77 tahun. Menurutnya, kanak-kanak terbabit turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing sepanjang proses penghantaran pulang. “Sehingga hari ini, seramai 1,835 warga Filipina sudah dipindahkan ke negara asal daripada keseluruhan 2,970 tahanan PATI warga asing. “Semua tahanan yang dipindahkan memiliki dokumen perjalanan sah selain selesai menjalani hukuman yang ditetapkan,” katanya. Menurut kenyataan itu, majikan di negeri ini turut disaran menyertai Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (S.W.I.M.S) yang dilaksanakan kerajaan negeri. Katanya, sistem berkenaan diwujudkan bagi mengurus serta merekod keberadaan pekerja asing di Sabah selain membantu mengekang lambakan PATI dan isu dokumentasi. JIM Sabah turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah. “Majikan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan,” katanya. – Info X

May 14, 2026

Info X Reporters

Empat rumah terbakar di Kampung Sepagaya

LAHAD DATU: Empat rumah di Kampung Sepagaya, di sini, musnah dan rosak dalam kebakaran, tengah hari tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, dua rumah dilaporkan musnah sepenuhnya manakala dua lagi mengalami kerosakan sebahagian. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian. Katanya, seramai 11 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Fire Rescue Vehicle (FRV) dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 18 kilometer dari balai. “Sebaik tiba di lokasi pada jam 12.55 tengah hari, pasukan mendapati kebakaran membabitkan empat rumah dua tingkat. “Rumah pertama jenis separuh kekal berkeluasan 40×40 kaki dan rumah kedua jenis tidak kekal berukuran 30×40 kaki musnah 100 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, dua lagi rumah masing-masing jenis separuh kekal dan rumah kekal berukuran 50×40 kaki hanya mengalami kebakaran kira-kira 10 peratus. Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur sepanjang 200 kaki dengan sumber air daripada jentera bomba. “Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini dan operasi pemadaman berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran. “Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X

May 14, 2026

Info X Reporters

CFLC bukan sekadar balai bomba, komuniti boleh guna fasiliti

PUTATAN: Community Fire Learning Centre (CFLC) yang diwujudkan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan bukan hanya berfungsi sebagai pusat pendidikan kebombaan, malah turut dibuka kepada komuniti untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada pelan strategik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta JBPM dalam memperkukuh pendidikan keselamatan awam. Menurutnya, sebanyak 16 CFLC dirancang di seluruh negara dengan lima dibangunkan menggunakan peruntukan jabatan manakala baki lain direalisasikan melalui kerjasama komuniti dan sektor swasta. “Kita sasarkan lapan CFLC tambahan tetapi berjaya laksanakan 11 menerusi inisiatif 4P iaitu People, Public, Private dan Partnership. “CFLC di Sabah ini dibangunkan bersama tujuh entiti swasta dan saya lihat ia antara yang paling lengkap,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian CFLC BBP Putatan, hari ini. Beliau berkata, komuniti dibenarkan menggunakan fasiliti di balai bomba termasuk untuk mesyuarat, jamuan atau sambutan tertentu.Bagaimanapun katanya, syarat utama ialah setiap program perlu diselitkan slot pendidikan keselamatan kebakaran sebelum aktiviti dijalankan. “Kalau ada orang mahu buat sambutan hari jadi secara beramai-ramai, kita alu-alukan. “Tetapi sebelum program bermula, kita akan gunakan satu slot untuk ajar berkaitan keselamatan kebakaran kepada komuniti,” katanya. Menurutnya, pendidikan keselamatan penting kerana kebanyakan orang jarang berdepan pengalaman kebakaran sehingga mudah melupakan langkah asas keselamatan. “Perkara kecil seperti lokasi simpan kunci pagar, cara mengunci suis utama elektrik atau kedudukan kunci rumah sebenarnya boleh menentukan hidup dan mati ketika kecemasan,” katanya. Sementara itu, beliau berkata, JBPM turut menyasarkan melatih 50,000 pelajar di seluruh negara dalam tempoh lima tahun menerusi program asas menyelamatkan diri daripada lemas. Katanya, program itu penting khususnya di Sabah yang mempunyai banyak kawasan berisiko seperti sungai, laut dan kawasan banjir. “Kita mahu kanak-kanak ada asas menyelamatkan diri kerana berdasarkan kajian, 83 peratus risiko kematian akibat lemas dapat dikurangkan jika seseorang tahu berenang,” katanya. – Info X

May 14, 2026

Info X Reporters

Lebuhraya Pan Borneo Putatan-Manggatal dijangka dibuka pada Julai

PUTATAN: Laluan baharu Lebuhraya Pan Borneo dari Putatan ke Inanam dan Manggatal dijangka dibuka pada Julai atau Ogos depan. Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata laluan itu membabitkan dua pakej pembinaan, iaitu Pakej Kerja 6 (WP6) dan WP7. Katanya, kedua-dua pakej kerja itu yang bermula dari Putatan disasar mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Kota Kinabalu. “Dua pakej kerja akan dibuka iaitu menghubungkan Putatan dengan Manggatal tanpa melalui Kota Kinabalu. Ini akan meringankan beban jalan, iaitu WP6 dan WP7. “Ini boleh meringankan kesesakan di Kota Kinabalu. Jadi kepada sesiapa yang tidak ada urusan untuk singgah ke KK, mereka boleh terus melalui jalan ini. “InsyaAllah sebelum bulan Julai atau Ogos. Ya, bulan Julai kita akan buka itu, laluan WP6 dan WP7,” katanya pada sidang media, di Wisma Pan Borneo, di sini, pada Rabu. Pakej kerja berkenaan masing-masing membabitkan jarak 21.7 kilometer dan 9.9 kilometer dengan beberapa persimpangan bertingkat dibina di sepanjang laluan. Sementara itu, Ahmad berkata sembilan lagi pakej kerja 1A projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dijangka siap pada tahun ini, termasuk di Sipitang dan dari Beaufort ke Papar. Laluan itu membabitkan pakej kerja WP1, WP3, WP4, WP7, WP8, WP10, WP29, WP30 dan WP11, menjadikan 13 pakej kerja dijadual siap sehingga tahun ini, termasuk empat yang sudah siap sebelum ini iaitu WP5, WP15, WP21 dan WP27. – Info X

May 14, 2026

Info X Reporters

JBPM rancang helikopter ringan ditempatkan di Sabah

PUTATAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merancang menempatkan sebuah helikopter ringan di Sabah bagi memperkukuh operasi pemantauan bencana terutama banjir dan tanah runtuh di kawasan pedalaman negeri ini. Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, perancangan itu dibuat selepas mengambil kira faktor jumlah kejadian, keluasan kawasan dan tempoh masa tindak balas operasi di Sabah. Menurutnya, buat masa ini pangkalan utama operasi udara JBPM untuk seluruh Borneo masih ditempatkan di Miri, Sarawak. “Kita akan kekalkan pangkalan di Miri untuk operasi seluruh Borneo bagi jangka pendek. “Tetapi perancangan seterusnya ialah meletakkan satu unit helikopter ringan supaya operasi pemantauan banjir atau tanah runtuh dapat dilakukan tanpa perlu menggunakan helikopter besar,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Community Fire Learning Centre (CFLC) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, hari ini. Menurutnya, helikopter sedia ada lebih sesuai digunakan untuk membawa logistik atau memindahkan mangsa dalam jumlah besar. Katanya, penggunaan helikopter ringan lebih menjimatkan selain sesuai untuk operasi pemantauan di kawasan sukar diakses. “Selepas kita menerima dua unit helikopter dari Itali pada Oktober nanti, kita akan susun semula kekuatan aset dan juruterbang. “Apabila semuanya siap, kita boleh tempatkan helikopter secara sementara di Sabah mengikut musim dan keperluan operasi,” katanya. – Info X

May 14, 2026

Info X Reporters

RM5 beli rokok tidak dapat, lelaki mengamuk ugut keluarga dengan pisau

TAWAU: Gara-gara permintaan wang RM5 untuk membeli rokok tidak dipenuhi, seorang lelaki bertindak mengamuk sebelum mengugut ahli keluarganya menggunakan pisau dalam kejadian di Kampung Haji Matahir, Jalan Merotai Besar, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, suspek lelaki tempatan berusia 30 tahun dipercayai mula bertindak agresif selepas ibunya hanya memberi RM2 untuk membeli rokok. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek kemudian menendang perabot rumah selain mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap ahli keluarganya. Menurutnya, suspek turut bertengkar dengan adiknya sebelum berlaku pergaduhan antara mereka. “Keadaan menjadi semakin tegang apabila suspek naik semula ke rumah dan mengambil sebilah pisau pemotong daging. “Suspek kemudian bertindak merosakkan bahagian pemegang motosikal menggunakan pisau berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, ibu suspek yang bimbang keselamatan diri serta ahli keluarga lain kemudian membawa keluar seorang lagi anaknya sebelum membuat laporan di Balai Polis Bombalai. Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai berjaya menahan suspek kira-kira jam 8.30 malam pada hari sama di hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan. “Polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging dipercayai digunakan semasa kejadian untuk siasatan lanjut,” katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. Jasmin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi sehingga mengancam keselamatan ahli keluarga dan orang sekeliling. – Info X