Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

May 13, 2026

Info X Reporters

Dua beradik wanita dikuatiri hilang selepas keluar memancing

SIPITANG: Dua beradik wanita dikhuatiri hilang selepas gagal pulang ke rumah ketika keluar memancing di kawasan hutan berhampiran Kampung Padang Berempah, di sini, hari ini. Mangsa Maimun Sibun, 59, dan adiknya Zaleha Sibun, 56, dipercayai keluar menjalankan aktiviti memancing kira-kira jam 8.30 pagi sebelum ahli keluarga menyedari mereka masih belum pulang dan gagal dihubungi sehingga malam. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Penolong Penguasa Bomba Calvin Joe Jeafery berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.54 malam. Katanya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Toyota Vigo dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai. “Menurut pemanggil, kedua-dua mangsa keluar dari rumah sekitar jam 8.30 pagi untuk menjalankan aktiviti memancing, namun sehingga malam masih belum pulang dan gagal dihubungi. “Pemanggil yang bimbang dengan keselamatan mangsa kemudian menghubungi pasukan bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi, malam ini. Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 9.14 malam sebelum mendapatkan maklumat lanjut dan membuka Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR). “Setakat ini kedua-dua mangsa masih belum ditemukan dan operasi SAR sedang giat dijalankan. “Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X

May 13, 2026

Info X Reporters

Mayat masih belum dituntut, waris Wei Guan dicari

KOTA KINABALU: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan waris seorang lelaki warga emas yang meninggal dunia dan sehingga kini masih belum dituntut. Dalam hebahan yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu hari ini, lelaki dikenali sebagai Soon Wei Guan, 60, berbangsa Cina. Alamat terakhir lelaki berkenaan direkodkan di 59, Lorong Ikan Lais, Jalan Mat Salleh, Tanjung Aru, di sini. Mayatnya kini ditempatkan di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu sementara menunggu waris tampil untuk urusan pengecaman dan tuntutan. Sehubungan itu, ahli keluarga, saudara-mara atau mana-mana individu yang mengenali lelaki terbabit diminta segera menghubungi pihak polis bagi membantu urusan pengesanan waris. Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Timbalan Ketua Polis Balai Manggatal, Sarjan Nor Sham Yunus di talian 013-8589335 atau Balai Polis Manggatal di talian 088-492222. Kerjasama orang ramai dalam membantu menyalurkan maklumat amat dihargai bagi memudahkan urusan pengecaman dan tuntutan. – Info X

May 13, 2026

Info X Reporters

Tangguh pelaksanaan AKPS bukti kerajaan negeri tegas pertahan hak Sabah – Azrul Ibrahim

KOTA KINABALU: Keputusan Kerajaan Negeri menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Sabah menunjukkan ketegasan dan komitmennya mempertahankan hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azrul Ibrahim, berkata ketegasan mempertahan hak Sabah itu juga sama dalam semua peruntukan undang-undang sedia ada yang berkaitan kuasa autonomi imigresen negeri. Sejajar dengan itu, katanya Pemuda Gagasan Rakyat menyokong penuh keputusan menangguhkan pelaksanaan AKPS yang ditegaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sehingga semua perkara berkaitan kuasa autonomi imigresen dan hak istimewa negeri ini diperjelaskan serta dipelihara sepenuhnya. “Keputusan yang dibuat oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri Sabah menunjukkan ketegasan dan komitmen Kerajaan Negeri dalam mempertahankan hak Sabah sebagaimana yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan kuasa autonomi imigresen negeri. “Pemuda Gagasan Rakyat berpandangan bahawa sebarang pelaksanaan dasar berkaitan kawalan sempadan dan imigresen di Sabah mesti dilakukan secara teliti, sistematik dan berpandukan peraturan serta undang-undang sedia ada agar tidak menjejaskan kedudukan serta bidang kuasa negeri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Azrul turut mengakui aspek keselamatan sempadan dan pengurusan imigresen perlu diperkasakan demi menjaga keselamatan serta kestabilan negeri. Bagaimanapun, beliau menegaskan, pelaksanaannya perlu menghormati kuasa dan hak negeri yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan dan MA63. “Pemuda Gagasan Rakyat yakin pendekatan tegas tetapi berhemah yang diambil Kerajaan Negeri ini adalah demi memastikan kepentingan Sabah sentiasa terpelihara, tanpa menjejaskan keperluan penguatkuasaan dan keselamatan di pintu-pintu masuk negeri. “Kami akan terus berdiri teguh bersama kepimpinan Kerajaan Negeri dalam mempertahankan hak Sabah serta memastikan setiap dasar yang melibatkan negeri ini dilaksanakan dengan semangat Persekutuan yang menghormati hak dan autonomi Sabah,” katanya. – Info X

May 13, 2026

Info X Reporters

AKPS hakis kuasa autonomi imigresen Sabah, pelaksanaannya ditangguh – KM

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memutuskan untuk menangguhkan dasar dan pelaksanaan Agensi Kawalan Penguatkuasaan Sempadan (AKPS) di Sabah sehingga memperolehi persetujuan tiada sebarang penghakisan hak istimewa dan kuasa autonomi Imigresen Sabah dan pihak berkuasa negeri. Menerusi satu kenyataan pada Rabu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata langkah itu bagi menjamin perlindungan dan memelihara kedudukan Sabah dari segi perlembagaan (constitutional safeguard). Katanya, Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jemaah Menteri telah meneliti isu semasa berhubung AKPS di Sabah yang dikesan ada elemen penghakisan kuasa dan hak keistimewaan Imigresen Sabah melalui sifat perundangan dan pengoperasian imigresen. “Pelaksanaan AKPS ini akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di pintu-pintu masuk Sabah, di mana Pihak Berkuasa Negeri tidak mempunyai kuasa langsung ke atas AKPS, tetapi hanya melalui Pengarah Imigresen Negeri Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 6(3) Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860). “Selain itu, Kerajaan Negeri Sabah turut mengesan percanggahan antara Akta 860 dan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) yang boleh menjejaskan kelancaran dan kesempurnaan tugas penguatkuasaan di pintu-pintu masuk negeri Sabah,” katanya. Hajiji menegaskan kuasa autonomi imigresen kepada Sabah dan Sarawak adalah kuasa yang tidak boleh dirunding (non-negotiable) kerana implementasi penubuhan Malaysia di bawah Perjanjian Malaysia Agreement 1963 (MA63). Jelasnya, perkara itu tertaklukkepada penggubalan kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak. “Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk menangguh dasar dan pelaksanaan AKPS di Sabah sehingga memperolehi persetujuan bahawa tidak ada sebarang penghakisan kepada hak istimewa serta kuasa-kuasa autonomi imigresen Sabah dan Pihak Berkuasa Negeri,” katanya. – Info X

May 13, 2026

Info X Reporters

Dua beradik mandi sungai, adik tidak sedarkan diri abang selamat

KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan tidak sedarkan diri ketika mandi bersama abangnya di sungai berhampiran Kampung Dombung, Jalan Rampayan, Manggatal, di sini, petang tadi. Mangsa berusia 10 tahun berjaya diselamatkan pasukan bomba dalam keadaan tidak sedarkan diri, manakala abangnya yang berusia 11 tahun terselamat selepas dibantu rakannya. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.51 petang. Katanya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dari BBP Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi, terdapat dua mangsa dipercayai lemas ketika mandi di sungai. “Seorang mangsa berjaya diselamatkan rakannya, manakala seorang lagi berjaya dikeluarkan pasukan bomba dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, anggota bomba kemudian memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada mangsa sebelum ketibaan pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak KKM untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut. “Operasi yang turut dibantu polis itu tamat sepenuhnya pada jam 5.17 petang,” katanya. – Info X

May 13, 2026

Info X Reporters

10,200 liter diesel bersubsidi dirampas, pemandu tanker ditahan

SANDAKAN: Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi terbongkar selepas sebuah lori tanker bersama 10,200 liter diesel dirampas dalam serbuan Op Taring Bravo 1 di Batu 8, Kampung Melayu, Jalan Labuk, di sini, hari ini. Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun turut ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi secara tidak sah. Serbuan dijalankan Bahagian Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan. Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen atau permit bagi penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi. “Turut dirampas sebuah lori tanker berkapasiti 12,000 liter, lapan tong drum berkapasiti 200 liter, sebuah pam elektrik bersama hos serta dua skid tank berkapasiti 12,000 liter. “Sebanyak 10,200 liter minyak diesel bersubsidi turut dirampas dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan RM158,330,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, semua barang rampasan bersama suspek diserahkan kepada pegawai penyiasat KPDN Cawangan Sandakan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Katanya, operasi bersepadu itu akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dapat dibanteras sepenuhnya. – Info X

May 13, 2026

Info X Reporters

Lapor segera aktiviti sambungan haram – Sabah Electricity

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti sambungan elektrik tidak selamat atau mencurigakan untuk melaporkan perkara itu kepada syarikat utiliti berkenaan. Menerusi hantaran di Facebook Sabah Electricity Careline, syarikat itu mengalu-alukan orang ramai menyalurkan aduan mengenai perbuatan berkenaan melalui saluran rasmi Sabah Electricity untuk tindakan lanjut. Syarikat berkenaan menyatakan komitmen untuk terus menjalankan operasi pemantauan dan pemeriksaan sambungan haram dari semasa ke semasa demi keselamatan awam serta mengurangkan risiko sambungan elektrik tidak selamat. “Untuk kemudahan pengguna, aduan dan semakan berkaitan perkhidmatan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi baharu mySE+ yang kini tersedia untuk dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store. “Kerjasama semua pihak amat dihargai demi keselamatan bersama,” katanya. – Info X

May 13, 2026

Info X Reporters

Tengku Mahkota Pahang tawan puncak Kinabalu

KUNDASANG: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada ketinggian 4,095 meter sempena Ekspedisi Mahkota Borneo pada Rabu. Memetik laporan yang dikongsikan Facebook Kesultanan Pahang, baginda berjaya sampai ke puncak tertinggi di Malaysia dan antara puncak tertinggi Asia Tenggara itu pada jam 8.30 pagi tadi. Pendakian mengambil masa kira-kira enam jam selepas baginda bersama peserta ekspedisi memulakan pendakian dari checkpoint Panalaban pada jam 2.30 pagi. Menerusi laporan Facebook Kesultanan Pahang, kejayaan Tengku Mahkota disifatkan bersejarah dan mencerminkan semangat ketahanan fizikal, disiplin serta kecekalan tinggi baginda dalam menjayakan misi Ekspedisi Mahkota Borneo. Ekspedisi itu turut dilihat sebagai simbol keberanian, perpaduan dan semangat cintakan alam semula jadi, di samping menjadi inspirasi kepada golongan belia untuk terus mencabar kemampuan diri serta mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif. Facebook Kesultanan Pahang menyebut pendakian itu juga menjadi manifestasi komitmen Tengku Mahkota dalam mendekati rakyat serta menyantuni komuniti setempat sepanjang program ekspedisi. Terdahulu, Tengku Hassanal tiba di Sabah bagi memulakan Ekspedisi Mahkota Borneo pada Isnin lalu dan terus ke Kundasang bagi mendaki Gunung Kinabalu pada Selasa. Baginda memulakan pendakian dari Pondok Timpohon, Taman Kinabalu pada jam 8 pagi sebelum tiba di Panalaban, Gunung Kinabalu pada jam 3.45 petang, Selasa. Ekspedisi pendakian baginda diiringi anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) dan pengiring rapat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain pegawai dari Majlis Kesultanan Pahang. – Info X