May 11, 2026
Info X Reporters
UMNO perlu terus kukuh, relevan perjuang nasib rakyat – Mohd Nazri
SIPITANG: Ahli UMNO perlu terus memperkukuhkan perpaduan dan merapatkan saf perjuangan bagi memastikan parti itu kekal relevan serta menjadi wadah membela nasib rakyat dan negara. Ketua Cawangan UMNO Kampong Sabandar Lanting, Datuk Mohd Nazri Abdullah, sehubungan itu berkata sambutan ulang tahun UMNO ke-80 pada hari ini perlu dijadikan medan memperbaharui semangat perjuangan, kesetiaan dan iltizam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air. Beliau yang pernah memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sipitang, berkata sepanjang lapan dekad sejak 11 Mei 1946, UMNO melalui pelbagai cabaran dan ujian politik, namun tetap berdiri kukuh hasil kesetiaan ahli serta semangat perjuangan yang tidak pernah luntur. “UMNO bukan sekadar sebuah parti politik tetapi wadah perjuangan yang lahir daripada suara rakyat demi mempertahankan maruah bangsa dan kestabilan negara. “Dalam menghadapi cabaran semasa, seluruh ahli perlu mengetepikan perbezaan dan terus bersatu demi memperkukuhkan parti serta memastikan perjuangan rakyat terus terbela,” katanya dalam perutusan sempena Ulang Tahun Penubuhan UMNO Ke-80, hari ini. Selaku bekas Ketua Penerangan Pemuda UMNO Sabah, Nazri turut menegaskan kepentingan memperkasa generasi muda sebagai pelapis perjuangan parti agar UMNO terus relevan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik semasa. Beliau berkata, golongan muda perlu diberi ruang dan peluang untuk bersama memimpin perjuangan parti demi memastikan kesinambungan UMNO pada masa hadapan. “Semangat perjuangan yang diwarisi sejak penubuhan parti perlu terus dipertahankan agar UMNO kekal gagah dan dihormati rakyat,” katanya. Beliau turut mengucapkan Selamat Ulang Tahun Penubuhan UMNO Ke-80 kepada seluruh ahli UMNO di seluruh negara dan berharap parti itu terus menjadi payung perjuangan rakyat untuk generasi akan datang. – Info X
May 11, 2026
Info X Reporters
Peserta, petugas Borneo International Marathon cedera dilanggar lari
KOTA KINABALU: Kemeriahan Borneo International Marathon 2026 dicemari insiden langgar lari membabitkan seorang peserta larian dan petugas RELA ketika acara itu berlangsung, semalam. Kinabalu Running Club dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua mangsa yang cedera menerima rawatan segera daripada pasukan perubatan acara sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan pemerhatian. Menurut kenyataan itu, ahli jawatankuasa penganjur turut menghubungi keluarga mangsa dan sedang memantau keadaan mereka selain memberi sokongan kepada individu yang terjejas. “Perkara ini sudah dilaporkan kepada polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa berkaitan. “Kami akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan,” menurut kenyataan itu, hari ini. Penganjur turut menegaskan keselamatan pelari, sukarelawan, pegawai dan semua petugas acara sentiasa menjadi keutamaan utama sepanjang penganjuran acara berkenaan. Sehubungan itu, semua pengguna jalan raya diminta supaya menghormati penutupan jalan, langkah keselamatan maraton serta kehadiran pelari dan petugas ketika acara sukan berlangsung. Dalam masa sama, Kinabalu Running Club turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan, anggota penguat kuasa, sukarelawan dan orang awam yang bertindak pantas membantu ketika kejadian. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan berhubung insiden berkenaan. Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta mengesan pihak yang terbabit. – Info X
May 11, 2026
Info X Reporters
Phoong Jin Zhe dilantik Ahli Dewan Negara
KOTA KINABALU: Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara selepas dilantik mewakili DAP Sabah. Beliau menggantikan bekas Ahli Parlimen Tenom dari DAP, Noorita Sual yang tamat tempoh perkhidmatan sebagai Ahli Dewan Negara atau Senator. Jin Zhe dalam perkongsian di akaun Facebook beliau menyifatkan pelantikannya sebagai amanah untuk negara. “Hari ini, seperti juga sepanjang perjalanan ini, saya tetap berpijak pada keyakinan dan perjuangan yang tidak pernah berubah. “Tidak kira apa jua jawatan dan peranan yang saya galas, saya sentiasa mencintai amanah ini — untuk terus berkhidmat kepada rakyat. “Dengan sokongan parti dan negara, serta perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya diberikan amanah untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara. “Amanah ini mengingatkan saya untuk bekerja lebih keras demi tanah air yang kita cintai ini,” katanya. Beliau yang tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), November tahun lalu, mengakui menerima pelbagai kritikan, teguran dan harapan selepas berakhirnya pilihan raya itu. “Sepanjang enam bulan lalu, suara, kritikan, teguran dan harapan daripada rakyat, semuanya saya dengar dan saya simpan dalam hati. “Melangkah ke Parlimen, saya akan terus berdiri tanpa rasa gentar. Suara rakyat mesti mengatasi kepentingan politik dan parti. “Saya akan terus berani bersuara dan berjuang demi Sabah, mempertahankan hak Sabah dibawah MA63, serta bertekad membina sebuah Persekutuan Malaysia yang lebih adil dan saksama buat Sabah. “Kini, izinkan saya melangkah dengan lebih tekad, bekerja dengan lebih keras dan menjadi suara Sabah yang teguh di Dewan Negara,” katanya. – Info X
May 11, 2026
Info X Reporters
Wanita maut, bayi antara tiga cedera dalam kemalangan
LAHAD DATU: Seorang wanita maut manakala tiga lagi termasuk bayi perempuan berusia lapan bulan cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Jalan Bukit Belacon Segama, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 4.47 pagi itu, mangsa, Nalma Ato, 29, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di dalam kenderaan jenis Toyota SR. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan. “Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 5 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota SR yang dipercayai terbabas sendiri. “Terdapat seorang mangsa wanita tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas ‘Rescue Tools’,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Katanya, tiga lagi mangsa masing-masing lelaki berusia 42 dan 25 tahun serta seorang bayi perempuan berusia lapan bulan hanya mengalami kecederaan ringan. “Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Lahad Datu menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut. “Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.39 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya. – Info X
May 11, 2026
Info X Reporters
Crizzelbellkah Unduk Ngadau Matunggong 2026
MATUNGGONG: Crizzelbellkah Lorris dinobatkan sebagai johan Unduk Ngadau Peringkat Daerah Kecil Matunggong 2026 sempena sambutan Kaamatan, di sini, pada Sabtu. Majlis yang dirasmikan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki itu turut menyaksikan Wiwielian Phang dan Ellyzzie Casey Epson, masing-masing menduduki naib johan dan tempat ketiga. Terdahulu, Julita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, mengingatkan rakyat negeri ini supaya terus menghargai keharmonian dan perpaduan yang dinikmati selama ini. Katanya, tidak semua negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum mampu mengekalkan suasana harmoni dan perpaduan, namun di Sabah rakyatnya yang berbilang kaum membuktikan keupayaan mengekalkan dua elemen penting itu. Beliau berkata, masyarakat Sabah mempunyai keistimewaan tersendiri kerana rakyatnya hidup dalam suasana saling menghormati walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama. “Kita di Sabah biasanya memandang orang sebagai orang, sebagai saudara, bukan melihat kepada bangsanya. Itulah kelebihan kita yang perlu kita jaga,” katanya dalam ucapan perasmiannya. Beliau berkata, rakyat tidak boleh memandang ringan nilai perpaduan kerana terdapat negara lain yang pernah mengalami konflik dan pergolakan akibat perpecahan dalam masyarakat. “Keamanan dan keharmonian yang kita kecapi di Sabah hari ini perlu terus dipelihara supaya negeri ini kekal stabil dan mampu berkembang dengan lebih baik pada masa hadapan,” katanya. Beliau berkata, keharmonian dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat juga memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara, sekali gus membolehkan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan dengan lebih berkesan. “Kalau masyarakat kita terus bersatu dan hidup dalam keadaan harmoni, negeri juga akan kekal stabil dari segi politik. Apabila keadaan stabil, kerajaan dapat memberi tumpuan kepada pembangunan dan keperluan rakyat,” katanya. Dalam pada itu, beliau berkata sambutan Pesta Kaamatan adalah antara contoh terbaik bagaimana rakyat Sabah mampu meraikan kepelbagaian budaya dalam suasana aman dan harmoni. Katanya, tema Kaamatan tahun ini, ‘Menuai Perpaduan, Merayakan Keharmonian’, amat bertepatan dengan identiti masyarakat Sabah yang hidup dalam keadaan saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain. “Kaamatan bukan sekadar perayaan kebudayaan, tetapi juga lambang perpaduan masyarakat Sabah yang hidup bersama dalam keadaan aman dan saling menghargai,” katanya. – Info X
May 11, 2026
Info X Reporters
Seorang parah, 10 mangsa terlibat kemalangan tiga kenderaan di Beluran
BELURAN: Seorang lelaki cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Jaya Bakti, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, kemalangan melibatkan dua buah Perodua Bezza dan sebuah Proton dengan keseluruhan 10 mangsa terlibat. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 7.01 pagi sebelum sepasukan enam anggota dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai. Katanya, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah Perodua Bezza merah, Perodua Bezza biru dan sebuah Proton. “Dalam Perodua Bezza merah, tiga wanita dewasa mengalami kecederaan. “Bagi Perodua Bezza biru pula, dua lelaki dewasa terlibat dengan seorang mengalami cedera parah dan seorang lagi cedera ringan, manakala dua wanita dewasa mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, dua kanak-kanak yang berada di dalam Perodua Bezza biru tidak mengalami sebarang kecederaan. “Pemandu Proton iaitu seorang lelaki dewasa juga dilaporkan selamat tanpa mengalami kecederaan. “Pasukan bomba menjalankan tindakan awal dengan mengawal keadaan di lokasi kejadian selain membantu mangsa sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya. Menurutnya, operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) tamat sepenuhnya pada jam 8.33 pagi selepas keadaan disahkan selamat. – Info X
May 11, 2026
Info X Reporters
Bil elektrik melambung, pengguna terbeban
KENINGAU: Penduduk di daerah ini merayu kerajaan negeri dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) supaya meneliti dan mengkaji segera punca peningkatan mendadak bil elektrik pengguna yang didakwa berlaku sejak April. Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Yazid Mohd Hasnan Tawik, berkata beliau menerima banyak aduan dan keluhan daripada pengguna elektrik yang terkejut dengan jumlah bil diterima, walaupun penggunaan harian mereka didakwa tidak banyak berubah. Katanya, sebahagian pengguna memaklumkan bil elektrik mereka meningkat sehingga sekali ganda berbanding berbanding sebelum ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat. “Ramai pengguna mendakwa penggunaan tenaga elektrik mereka masih seperti biasa, namun apabila menerima bil bulan April, jumlahnya meningkat dengan ketara. “Keadaan ini menimbulkan persoalan dan kebimbangan rakyat, terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Beliau berkata, kenaikan itu turut menyebabkan ada pengguna diarahkan menambah bayaran cagaran dalam jumlah yang tinggi. Katanya, terdapat pengguna menerima bil RM493, namun pada masa sama diminta menambah cagaran sehingga RM560. “Situasi ini amat membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang sedang berdepan tekanan ekonomi,” katanya. Sehubungan itu, Yazid merayu kepada kerajaan dan pihak SE agar menjalankan penelitian menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar peningkatan bil pengguna demi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara. Katanya, rakyat ketika ini sedang berusaha menyesuaikan diri dengan peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang keperluan harian. “Kenaikan bil utiliti secara mendadak sudah tentu memberi tekanan dan bebanan tambahan kepada rakyat, lebih-lebih lagi keluarga yang mempunyai ramai tanggungan, warga emas dan penduduk luar bandar,” katanya. Beliau menegaskan rakyat tidak menolak untuk membayar bil utiliti, namun berharap kadar dikenakan adalah munasabah dan selaras dengan penggunaan sebenar. “Sekiranya terdapat perubahan sistem, pelarasan tarif atau isu bacaan meter, penjelasanperlu diberikan supaya pengguna memahami keadaan sebenar dan tidak terus dibebani dengan tanda tanya,” katanya. Pada masa sama, beliau berharap pihak SE dapat mengambil pendekatan lebih mesra rakyat dengan memperhalusi setiap aduan pengguna dan menimbang langkah bersesuaian bagi meringankan beban rakyat. “Keutamaan ketika ini ialah memastikan rakyat tidak terus tertekan dengan peningkatan kos kehidupan. Semoga ada penyelesaian terbaik demi kesejahteraan semua,” katanya. – Info X
May 11, 2026
Info X Reporters
Kosmetik pelbagai jenis bernilai RM360,986 dipercayai dari Filipina dirampas
LAHAD DATU: Cubaan membawa masuk puluhan ribu produk kosmetik tanpa dokumen sah dari Filipina gagal apabila sebuah feri ditahan dalam operasi khas di perairan Lahad Datu, semalam. Dalam operasi kira-kira jam 8.05 pagi itu, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menahan feri berkenaan hasil maklumat risikan. Pemeriksaan menyeluruh dilakukan dari aras bawah hingga ke aras atas feri sebelum menemui kira-kira 70 longgokan kotak mengandungi pelbagai jenis kosmetik dipercayai dibawa masuk dari Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menuju ke Lahad Datu. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih kurang 24,176 unit pelbagai jenis kosmetik di dalam feri terbabit. Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM360,986. “Pemeriksaan lanjut mendapati semua barangan berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit sah daripada Bureau of Customs Filipina. “Semua rampasan kemudian dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. Beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi dan pemantauan di perairan negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta kemasukan barang tanpa cukai yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara. “Orang ramai juga diseru supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyeludupan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X