September 16, 2026
Info X Reporters
Rusdin kekal setia bersama KDM, teguh mendukung kepimpinan parti
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman menzahirkan pendirian beliau terus utuh bersama Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan berdiri teguh di belakang kepimpinan Presidennya, Priscella Peter. Beliau menjelaskan, bahawa, sebarang ketetapan yang dirangkul oleh kepimpinan tertinggi KDM, termasuk hala tuju parti dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), akan sentiasa dihormati dan didukung luhur demi kemaslahatan parti serta rakyat. Mengulas lanjut, Rusdin menegaskan bahawa kenyataan beliau berhubung kedudukannya di dalam kerajaan ketika menghadiri sebuah program di Ranau baru-baru ini , tidak wajar disalahtafsirkan sebagai anjakan pendirian atau cubaan membelakangkan parti. Sebaliknya, beliau menerangkan bahawa butir bicara tersebut dicetuskan atas kapasiti dan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat yang komited untuk memastikan denyut nadi serta kepentingan masyarakat Paginatan terus dibela, terutamanya dalam memacu kelangsungan agenda pembangunan di kawasan berkenaan. “Kesetiaan saya tidak berbelah bahagi terhadap KDM dan Presiden parti, Priscella Peter. Kenyataan saya sebelum ini cerminan iltizam saya untuk memastikan kawasan DUN Paginatan terus terpelihara dan tidak terpinggir daripada arus pembangunan. “Saya menghormati dan menjunjung tinggi keputusan parti dan akan terus melangkah seiring dengan kepimpinan KDM,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini. Tegas Rusdin, memperjuangkan nasib rakyat merupakan amanah hakiki yang digalasnya selaku wakil rakyat, manakala hal ehwal berkaitan pendirian serta kompas politik diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan ketetapan bersama kepimpinan parti. Terdahulu, pada 14 Ogos lalu, KDM telah mengumumkan keputusan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri di bawah teraju Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Ketika mengumumkan perkara tersebut, Priscella menyatakan bahawa ketetapan itu dimuktamadkan secara sebulat suara dengan meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan, selain merintis jalan untuk menawan semula ketelusan serta kepercayaan akar umbi. Tambah beliau, KDM memikul tanggungjawab untuk membina semula keyakinan rakyat sebagai persiapan rapi menjelang pilihan raya, dan bukannya sekadar mengorak langkah apabila penggal Parlimen atau Dewan Undangan Negeri menghampiri tempoh pembubaran. Bagi mendepani cabaran PRU16, KDM memilih untuk tidak bergerak secara bersendirian. Parti itu sebaliknya membuka pintu rundingan untuk menjalin kerjasama strategik dengan parti-parti tempatan bagi membentuk sebuah blok politik ampuh yang berteraskan hak serta kepentingan Sabah.Dalam pada itu, KDM turut dikaitkan dengan potensi jalinan kerjasama bersama Parti Warisan (Warisan) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), namun setakat ini belum ada sebarang pengumuman rasmi dimeterai berhubung perkara tersebut.-Info X
September 16, 2026
Info X Reporters
Curi wang kakak, wanita ditahan kurang 24 jam
TAWAU: Seorang wanita ditahan kurang 24 jam selepas disyaki mencuri wang tunai milik kakaknya di sebuah rumah di Kampung Pangkalan Asli, Merotai Besar, di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah sebelum dimaklumkan ahli keluarga bahawa adik kandungnya mengambil wang daripada dompet di dalam bilik tidur. Katanya, perbuatan suspek disedari mangsa sebelum berlaku pergelutan antara mereka, namun wanita terbabit berjaya melarikan diri dari rumah berkenaan. “Suspek turut dipercayai sering mengambil barangan berharga di dalam rumah berkenaan. “Susulan laporan dibuat di Balai Polis Bombalai, sepasukan anggota berjaya mengesan dan menahan suspek di pekarangan balai polis itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rosdi berkata, suspek warga tempatan berusia 41 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – Info X
September 16, 2026
Info X Reporters
Nampak maritim, kru terjun bot lari ke daratan
KOTA KINABALU: Tindakan sekumpulan kru memecut bot pancung ke kawasan cetek sebelum terjun dan melarikan diri ke daratan membongkar kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan barat daya Pulau Mengalum, semalam. Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu disedari bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sedang menjalankan rondaan berkala di kawasan berkenaan. Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, kru terbabit bertindak melarikan diri sebaik menyedari bot mereka dihampiri untuk pemeriksaan. “Bot itu memecut laju ke kawasan cetek sebelum semua kru terjun dan melarikan diri ke daratan. “Pemeriksaan kemudian menemukan peralatan menyelam serta kira-kira 80 kilogram ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, ujian awal terhadap hasil tangkapan berkenaan menunjukkan keputusan positif penggunaan bahan letupan. “Bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan bernilai keseluruhan kira-kira RM45,000 disita sebelum dibawa ke Jeti Maritim Malaysia, Sepanggar untuk siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(b) akta sama, yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya. Mohd Khairulanuar berkata, penggunaan bahan letupan untuk menangkap ikan memberi kesan buruk terhadap ekosistem marin selain memusnahkan habitat dan sumber perikanan. “Orang awam diminta supaya menyalurkan maklumat segera sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara. “Sebarang maklumat dan aduan boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-387 774 atau MERS 999 bagi kes kecemasan di laut,” katanya. – Info X
September 15, 2026
Info X Reporters
JBPM periksa sistem keselamatan kebakaran bangunan ikonik Menara Tun Mustapha
KOTA KINABALU: Sistem keselamatan kebakaran Menara Tun Mustapha diberi perhatian menerusi kerja pembaikan dan penaiktarafan bagi memastikan bangunan ikonik berkenaan selamat digunakan. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Mohd Pisar Aziz bersama pegawai kanan jabatan itu melakukan pemeriksaan dan tinjauan di bangunan berkenaan, hari ini. Beliau berkata, hasil pemeriksaan menunjukkan perkembangan sangat positif apabila kerja pembaikan dan penaiktarafan sistem keselamatan kebakaran dilaksanakan dengan baik serta mengikut perancangan. Katanya, pemeriksaan memberi tumpuan kepada aspek teknikal, keadaan sistem keselamatan kebakaran serta status dan kemajuan kerja yang sedang dilaksanakan. “Langkah penambahbaikan turut dinilai bagi memastikan sistem keselamatan kebakaran bangunan ini sentiasa berada pada tahap ditetapkan. “Kerjasama berterusan antara JBPM, pihak pengurusan bangunan, pemilik premis dan semua pihak berkepentingan amat penting supaya kerja pembaikan serta pematuhan keselamatan dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, aspek keselamatan kebakaran perlu sentiasa diberi keutamaan, terutama membabitkan bangunan yang mempunyai kepentingan kepada orang ramai demi melindungi nyawa dan harta benda. Terdahulu, rombongan menghadiri taklimat bersama pihak pengurusan di Menara Innoprise sebelum meneruskan pemeriksaan di Menara Tun Mustapha. Turut hadir, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Pengerusi Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya. – Info X
September 15, 2026
Info X Reporters
Sabah Moto Day: Lihat juga positifnya, jangan hanya menghentam – aktivis masyarakat
KOTA KINABALU: Tindakan pihak tertentu, termasuk pembangkang menghentam penganjuran program Sabah Moto Day (SMD) yang berlangsung pada akhir minggu lalu disifatkan sebagai keterlaluan tanpa melihat sisi baiknya kepada rakyat, khususnya golongan muda. Aktivis masyarakat, Suhana Ong, berkata kritikan perlu dibuat secara matang dan rasional, bukan secara semborono dengan menyalahkan penganjur semata-mata dan lebih teruk lagi apabila mengaitkannya dengan kerajaan negeri serta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. “Saya berpandangan bahawa pihak pengkiritik perlu lebih matang dan rasional dalam menilai penganjuran Sabah Motor Day (SMD), khususnya apabila mengaitkan program berkenaan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan Pengerusi Skuad Anti Dadah Sabah, Datuk Mazlan @ Joehari Manan. “Jangan kerana mahu mencari kelemahan, maka segala usaha dan inisiatif yang membawa manfaat kepada masyarakat turut dihentam tanpa melihat konteks serta tujuan sebenar program tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Kenyataannya sebagai maklum balas terhadap komen pelbagai pihak yang menghentam penganjuran SMD dengan pelbagai kritikan terhadap penganjur dan kerajaan negeri. Tegasnya, program seperti SMD seharusnya dilihat dari sudut yang lebih positif, terutama dalam menyediakan platform kepada golongan belia dan komuniti permotoran untuk berkumpul, berinteraksi serta menjalankan aktiviti secara lebih tersusun dan terkawal. Katanya, adalah tidak adil jika hanya kekurangan atau kelemahan tertentu dijadikan ukuran keseluruhan program, sedangkan manfaatnya kepada komuniti, khususnya anak muda, turut perlu diberikan perhatian. “Saya juga ingin menegaskan bahawa kritikan politik tidak seharusnya dilakukan secara semborono dengan menjadikan setiap program sebagai ruang untuk menghentam Ketua Menteri atau mana-mana individu yang terlibat. “Pihak pembangkang perlu membezakan antara kritikan yang membina dengan kritikan yang semata-mata mahu mencari salah. Janganlah melihat sesuatu program hanya dengan ‘mata lalat’, sentiasa mencari kekurangan dan kesalahan sehingga gagal melihat nilai baik, manfaat serta peluang penambahbaikan yang boleh dibawa kepada rakyat,” katanya. Pada masa yang sama, beliau menyokong usaha Datuk Mazlan dan Skuad Anti Dadah Sabah dalam membawa mesej pencegahan penyalahgunaan dadah kepada masyarakat. Jelasnya, penglibatan komuniti permotoran dan golongan belia dalam aktiviti positif seperti SMD juga boleh dimanfaatkan sebagai medium untuk menyampaikan mesej kesedaran sosial, keselamatan jalan raya serta gaya hidup sihat dan bebas dadah. Katanya, pendekatan mendekati anak muda melalui program komuniti adalah lebih baik berbanding hanya menunggu masalah berlaku sebelum mengambil tindakan. “Sebagai aktivis masyarakat, saya menyeru semua pihak, termasuk pembangkang, supaya menilai sesuatu program secara adil dan menyeluruh. “Jika terdapat kelemahan, tegurlah secara membina dan kemukakan cadangan penambahbaikan, bukannya menghentam secara membuta tuli. “Sabah memerlukan budaya politik yang matang, di mana kejayaan dan usaha yang baik diberikan pengiktirafan, manakala kelemahan pula diperbaiki bersama demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya. – Info X
September 15, 2026
Info X Reporters
Hari Malaysia: Teguhkan kembali semangat, prinsip asas MA63 – Tun Musa
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menegaskan perlunya semangat dan prinsip yang mendasari Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diperteguhkan kembali. Menerusi perutusan Hari Malaysia yang akan disambut pada Rabu, Tun Musa mengingatkan perkara berkaitan hak dan kepentingan Sabah di bawah MA63 perlu terus ditangani melalui rundingan yang ikhlas dan membina. Perkara itu, katanya termasuk tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperolehi Persekutuan dari Sabah. “Pada Hari Malaysia ini, kita juga harus memperteguh kembali semangat dan prinsip yang mendasari Perjanjian Malaysia 1963. “Perkara-perkara berkaitan hak dan kepentingan Sabah di bawah MA63, termasuk pemberian khas bersamaan 40 peratus daripada hasil bersih yang diperoleh Persekutuan dari Sabah, harus terus ditangani melalui rundingan yang ikhlas dan konstruktif serta berlandaskan semangat pembentukan Malaysia,” katanya. Tun Musa berkata, Sabah dan Sarawak memegang peranan yang amat penting dalam pembentukan serta pembangunan berterusan Malaysia. Katanya, kedua-dua wilayah itu adalah rakan yang tidak terpisah dalam Persekutuan dan memberi sumbangan yang amat besar kepada kestabilan politik, pembangunan ekonomi, kekayaan sumber alam serta warisan budaya negara. Atas sebab itu, tegasnya, sumbangan dan aspirasi kedua-dua negeri harus terus diiktiraf dalam usaha bersama membina masa depan negara. Bagaimanapun, katanya pada masa yang sama, masih banyak yang perlu dilakukan, khususnya di Sabah. “Jurang pembangunan perlu terus ditangani dengan memberi perhatian yang lebih serius kepada infrastruktur asas, bekalan air dan elektrik yang boleh dipercayai, jalan raya dan jaringan perhubungan, perkhidmatan kesihatan, pendidikan serta peluang ekonomi yang bermakna. “Pembangunan mesti sampai ke setiap daerah, pekan, kampung dan masyarakat luar bandar agar tiada sesiapa yang tercicir. “Sabah yang lebih kuat dan makmur akhirnya akan menjadikan Malaysia lebih kuat dan makmur,” katanya. Tun Musa juga mengingatkan nilai-nilai yang sejak sekian lama menjadi keistimewaan Sabah tidak dilupakan dalam membicarakan soal hak dan pembangunan. Katanya, Sabah adalah tempat masyarakat pelbagai etnik, budaya dan agama hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni sejak turun-temurun. “Tiada tempat bagi ekstremisme kaum atau agama di negara kita. Tradisi toleransi, saling menghormati dan menerima perbezaan yang menjadi identiti Sabah harus terus dipelihara dan diperkukuh demi generasi akan datang. “Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya mereka yang diberikan amanah kepimpinan dan mereka yang bercita-cita untuk memegang jawatan awam, agar sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan peribadi atau politik yang sempit. “Keuntungan politik tidak seharusnya dikejar dengan mengeksploitasi sentimen kaum atau agama. Perbezaan pandangan merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat, namun ia harus disuarakan secara bertanggungjawab, berhemah dan berasaskan fakta. “Kepimpinan akhirnya harus dinilai berdasarkan idea, penyelesaian dan dasar yang mampu meningkatkan kehidupan rakyat serta membawa negara kita ke hadapan,” katanya. Katanya, rakyat Sabah juga harus sentiasa peka terhadap cabaran perubahan iklim dan kejadian cuaca ekstrem yang semakin serius. Jelasnya, banjir, tanah runtuh dan bencana alam lain, sama ada di negara ini atau di seluruh dunia memberi peringatan mengenai pentingnya tahap kesiapsiagaan yang lebih tinggi, infrastruktur dan pembangunan lebih berdaya tahan serta tanggungjawab bersama yang lebih besar dalam memelihara alam sekitar. “Hari Malaysia bukan cuma sambutan ulang tahun. Ia merupakan peringatan tentang janji yang dimeterai 63 tahun yang lalu serta tanggungjawab yang kita pikul bersama pada hari ini, untuk memelihara perpaduan, menghormati asas-asas pembentukan negara, mempertahankan keamanan dan kestabilan serta memastikan kemajuan dan kemakmuran dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat Malaysia. “Dengan semangat saling menghormati, kepercayaan dan kesatuan matlamat, saya yakin kita mampu mengatasi segala cabaran yang mendatang dan terus membina sebuah Malaysia yang aman, progresif, makmur dan dihormati,” katanya. Mengenai suasana sambutan Hari Malaysia kali ini, Tun Musa berkata Hari Malaysia tahun ini disambut dalam suasana dunia yang terus berdepan ketidaktentuan. Katanya, konflik dan ketegangan geopolitik, khususnya di Timur Tengah dan beberapa bahagian lain di dunia, gangguan terhadap perdagangan antarabangsa dan rantaian bekalan, tekanan kos sara hidup serta kesan perubahan iklim yang semakin ketara mengingatkan bahawa keamanan, kestabilan dan kemakmuran tidak boleh sesekali dipandang ringan. “Dalam menghadapi ketidaktentuan ini, Malaysia harus terus berdaya tahan, bersatu padu dan berpandangan jauh. “Kita mesti terus memperkukuh ekonomi, memelihara kestabilan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat kekal menjadi teras pembangunan. “Ketahanan ekonomi harus diterjemahkan kepada taraf kehidupan yang lebih baik, peluang pekerjaan yang bermakna, peningkatan pelaburan serta peluang yang dapat dinikmati secara adil di seluruh negara,” katanya. Tegasnya, kekuatan terbesar Malaysia terletak pada rakyatnya yang dikurniakan kepelbagaian kaum, budaya, agama dan tradisi yang begitu kaya. Kepelbagaian itu, katanya tidak harus dibiarkan menjadi punca perpecahan, sebaliknya harus terus menjadi sumber kekuatan dan kebanggaan. “Walaupun berbeza latar belakang, kita berkongsi sebuah negara, satu takdir dan satu masa depan,” katanya. – Info X
September 15, 2026
Info X Reporters
Pemimpin Warisan lapor polis, minta pihak berkuasa siasat ucapan Noorazli
KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan membuat laporan polis berhubung ucapan Ketua Bahagian UMNO Sepang, Noorazli Said pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang disifatkan menghina institusi gereja Katolik. Pengarah Komunikasi Strategik Warisan, Christopher Masudal, berkata beliau membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pada Isnin (14 September 2026) kerana kesal dan tidak berpuas hati terhadap tindakan pemimpin UMNO Selangor itu. “Saya kesal dan tidak berpuas hati apabila seorang pemimpin politik yang sepatutnya memahami kepentingan menghormati agama dan kepercayaan yang berbeza memilih untuk membuat satu perumpamaan yang saya anggap amat tidak wajar dan menghina terhadap institusi gereja Katolik. “Gereja Katolik bukan hanya terdiri daripada paderi dan biarawati. Di seluruh negara, terdapat puluhan ribu umat awam yang dikenali sebagai ‘lay apostolate’ yang terlibat secara langsung dalam kehidupan dan pengurusan institusi gereja Katolik melalui pelbagai bentuk. “Oleh itu, apabila institusi gereja Katolik dijadikan bahan perumpamaan yang tidak wajar, perkara tersebut bukan hanya memenyentuh hati dua atau tiga orang paderi atau biarawati sahaja tetapi ribuan umat yang menjadi sebahagian daripada kehidupan dan pelayanan gereja di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Beliau bertanya kepada Noorazli mengenai kesalahan yang telah dilakukan institusi gereja Katolik terhadap beliau sehingga institusi itu dijadikan bahan perumpamaan di hadapan ribuan ahli UMNO. Berdasarkan video ucapan itu, katanya ia menimbulkan persoalan yang perlu dijawab, sama ada ucapan itu sememangnya telah dirancang dan diketahui terlebih dahulu, termasuk rujukannya kepada agama Kristian Katolik. “Kebebasan beragama adalah salah satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Dalam sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, setiap pemimpin politik mempunyai tanggungjawab untuk menjaga sensitiviti agama serta mengelakkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat. “Oleh yang demikian, saya meminta agar pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil dan bebas untuk menentukan sama ada ucapan tersebut mempunyai unsur yang melanggar mana-mana undang-undang yang berkaitan dengan 3R,” katanya. Christopher turut bertanya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sama ada ucapan Noorazli mencerminkan pandangan parti itu dan apa tindakan oleh kepimpinan tertinggi parti itu terhadap Noorazli. Katanya, laporan polis yang dibuatnya bukan untuk mengapi-apikan sentimen agama atau kaum, sebaliknya satu usaha untuk memastikan kebebasan beragama, rasa hormat antara penganut agama dan keharmonian masyarakat Malaysia terus dipelihara. “Saya berharap perkara ini menjadi pengajaran kepada semua pemimpin politik tanpa mengira parti. Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk mempermainkan atau memperlekehkan agama orang lain. “Kita boleh berbeza pendapat dalam politik, tetapi kita mesti tetap menghormati agama dan kepercayaan sesama kita,” katanya. – Info X
September 14, 2026
BERNAMA
Warga Croatia mungkin didenda, guna laluan tidak rasmi daki Gunung Kinabalu
KOTA KINABALU: Pendaki warga Croatia yang diselamatkan selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Kinabalu baru-baru ini mungkin berdepan tindakan undang-undang kerana disyaki menggunakan laluan tidak rasmi dan mendaki tanpa permit. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata pihak Taman-Taman Sabah telah membuat laporan polis berhubung insiden membabitkan Mauro Persic, 46, yang masih menerima rawatan. Beliau berkata polis dan pihak Taman-Taman Sabah sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian serta menentukan tindakan selanjutnya terhadap pelancong berkenaan selepas keadaannya pulih. “Pihak polis dan Taman-Taman Sabah juga sedang menyiasat sebab berlakunya insiden berkenaan. Selepas itu, mungkin setelah (beliau) sihatlah baru kita bincangkan,” katanya pada sidang media Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sabah, di sini hari ini. Jafry berkata pendaki berkenaan boleh didenda, namun perkara itu bergantung kepada hasil siasatan pihak berkuasa. Beliau berkata insiden itu juga perlu dijadikan pengajaran kepada orang ramai supaya tidak menggunakan laluan tidak rasmi ketika mendaki Gunung Kinabalu kerana tindakan berkenaan boleh mendatangkan risiko keselamatan. Pada 11 Sept lepas, sebanyak 43 anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya membawa turun Persic selepas operasi selama lima hari yang turut berdepan laluan mencabar serta keadaan cuaca hujan. Warga Croatia itu mengalami kecederaan pada kaki kanan serta tulang rusuk kanan selain luka ringan pada tangan dan diberikan rawatan awal di Timpohon Gate sebelum dibawa ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut. Operasi itu melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia termasuk Pasukan Khas Operasi Taktikal Penyelamat Malaysia (STORM) dan Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOCSAR), selain malim gunung, porter, renjer serta agensi keselamatan lain. — BERNAMA