Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 14, 2026

BERNAMA

Warga Croatia mungkin didenda, guna laluan tidak rasmi daki Gunung Kinabalu

KOTA KINABALU: Pendaki warga Croatia yang diselamatkan selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Kinabalu baru-baru ini mungkin berdepan tindakan undang-undang kerana disyaki menggunakan laluan tidak rasmi dan mendaki tanpa permit. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata pihak Taman-Taman Sabah telah membuat laporan polis berhubung insiden membabitkan Mauro Persic, 46, yang masih menerima rawatan. Beliau berkata polis dan pihak Taman-Taman Sabah sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian serta menentukan tindakan selanjutnya terhadap pelancong berkenaan selepas keadaannya pulih. “Pihak polis dan Taman-Taman Sabah juga sedang menyiasat sebab berlakunya insiden berkenaan. Selepas itu, mungkin setelah (beliau) sihatlah baru kita bincangkan,” katanya pada sidang media Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sabah, di sini hari ini. Jafry berkata pendaki berkenaan boleh didenda, namun perkara itu bergantung kepada hasil siasatan pihak berkuasa. Beliau berkata insiden itu juga perlu dijadikan pengajaran kepada orang ramai supaya tidak menggunakan laluan tidak rasmi ketika mendaki Gunung Kinabalu kerana tindakan berkenaan boleh mendatangkan risiko keselamatan. Pada 11 Sept lepas, sebanyak 43 anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya membawa turun Persic selepas operasi selama lima hari yang turut berdepan laluan mencabar serta keadaan cuaca hujan. Warga Croatia itu mengalami kecederaan pada kaki kanan serta tulang rusuk kanan selain luka ringan pada tangan dan diberikan rawatan awal di Timpohon Gate sebelum dibawa ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut. Operasi itu melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia termasuk Pasukan Khas Operasi Taktikal Penyelamat Malaysia (STORM) dan Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOCSAR), selain malim gunung, porter, renjer serta agensi keselamatan lain. — BERNAMA

September 14, 2026

Info X Reporters

Pasar Besar KK bakal dipindah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bercadang untuk memindahkan Pasar Besar Kota Kinabalu ke lokasi baharu di luar pusat bandar raya. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menyediakan satu kertas kerja berhubung cadangan itu. “Kertas kerja itu akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet kemudian,” katanya ditemui selepas meninjau dua tapak yang dicadangkan bagi tapak baharu pasar itu di Alam Mesra dan dekat Jalan Tun Fuad Stephens, di sini, pada Isnin. Beliau berkata, Pejabat Datuk Bandar Kota Kinabalu juga akan mengemukakan cadangan mengenai perancangan bagi tapak Pasar Besar Kota Kinabalu sedia ada selepas pasar itu dipindahkan. “Sebab itu kita melawat tapak-tapak yang dicadangkan bagi Pasar Besar baharu ini, tetapi ia masih di peringkat awal. “Jika pasar baharu dibina, ia akan dilengkapi dengan semua kemudahan, lebih besar dan lebih baik,” katanya. Terdahulu, Hajiji melawat tanah kerajaan negeri seluas 40 ekar di sepanjang Jalan UMS, Alam Mesra, yang dicadang sebagai tapak Hab Pasar Bersepadu Kota Kinabalu Utara. Beliau diberi taklimat mengenai tapak berkenaan oleh Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Sabin Samitah. Antara kemudahan yang dicadangkan di hab pasar berkenaan ialah pasar kering, pasar basah, pusat produk kebudayaan tempatan dan pelancongan, pusat penjaja serta jeti ikan. Beliau turut melawat tapak kedua yang terletak di atas tanah komersial bercampur milik Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan berhampiran Kampung Likas, di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens, bersebelahan Anjung Selera. Turut hadir pada tinjauan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai dan Datuk Ceasar Mandela Malakun. – Info X

September 14, 2026

Info X Reporters

Noorazli perlu minta maaf, ucapan berkaitan Kristian pada PAU 2026 tidak wajar – Arthur

KOTA KINABALU: Ucapan Ketua UMNO Sepang, Datuk Noorazli Said pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati dan kitab Bible disifatkan sebagai tidak wajar dan menyentuh larangan 3R. Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata ucapan Noorazli juga dilihat keterlaluan dan tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin politik. Tegasnya, perbezaan politik tidak memberi lesen kepada sesiapa untuk mempermainkan agama dan kepercayaan penganut lain bagi menarik perhatian atau tepukan orang ramai. “Saya telah meneliti ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said dalam Perhimpunan Agung UMNO 2026, khususnya bahagian yang menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati serta kitab Bible (Alkitab). “Saya ingin menyatakan dengan tegas bahawa ucapan tersebut amat tidak wajar, keterlaluan dan tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin politik. “Perbezaan politik tidak pernah memberikan lesen kepada sesiapa untuk mempermainkan agama dan kepercayaan penganut lain demi mendapatkan gelak ketawa atau tepukan orang ramai. “Malaysia telah dibina atas asas masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Selepas lebih enam dekad kita hidup sebagai sebuah negara, amat mengecewakan apabila masih ada pemimpin yang memilih untuk menjadikan agama sebagai bahan jenaka politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Arthur yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkata politik mempunyai batas, manakala kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab dan agama bukan bahan permainan. “Saya ingin mengingatkan semua pemimpin politik bahawa isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) bukan perkara yang boleh disentuh sesuka hati. “Negara ini mempunyai perlembagaan dan undang-undang yang perlu dihormati bagi menjaga ketenteraman awam, keharmonian serta hubungan antara masyarakat,” katanya. Beliau berkata, BN ialah sebuah gabungan yang berdiri atas prinsip perpaduan, kestabilan dan kebersamaan rakyat berbilang kaum serta agama. “Kita tidak boleh bercakap mengenai perpaduan pada satu ketika tetapi pada ketika yang lain membiarkan agama orang lain dijadikan bahan jenaka politik. Prinsip ini mesti kita pegang secara konsisten, bukan hanya apabila ia menguntungkan kita. “Kita boleh berbeza pandangan politik, mengkritik dasar dan berdebat dengan tegas. Namun, apabila agama dan kepercayaan orang lain dijadikan bahan gurauan, kita telah melangkaui batas kewajaran dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. “Alasan bahawa ia sekadar ‘gurauan’ untuk menutup kesan dan sensitiviti yang ditimbulkan bukan sesuatu yang boleh diterima. “Sehubungan itu, saya mendesak Datuk Noorazli Said supaya memohon maaf secara terbuka dan tanpa sebarang alasan atau berselindung, khususnya kepada seluruh rakyat Malaysia beragama Kristian yang sudah tersinggung dan terluka dengan ucapannya,” katanya. Ahli Parlimen Pensiangan itu juga menggesa semua pemimpin politik, tanpa mengira ideologi parti, supaya lebih bertanggungjawab dalam setiap ucapan, khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan agama, kaum dan institusi diraja. Katanya, rakyat tidak mahukan politik yang membakar sentimen, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang menyatukan masyarakat. – Info X

September 14, 2026

BERNAMA

Sambutan Hari Malaysia Sabah tekankan penghayatan generasi muda

KOTA KINABALU: Sebanyak 300 pelajar institusi pengajian tinggi akan terlibat dalam persembahan koir sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah pada 16 Sept ini sebagai usaha menyemai penghayatan terhadap sejarah dan semangat kemerdekaan dalam kalangan generasi muda. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Jafry Ariffin berkata penglibatan golongan muda menjadi antara kelainan sambutan tahun ini. “Hari Malaysia bukan sekadar sambutan tahunan atau cuti umum tetapi yang lebih penting ialah penghayatan, terutama dalam kalangan generasi muda. “Kami serapkan kalau boleh kepada generasi muda agar mereka memahami tentang sejarah dan erti pengisian kemerdekaan untuk kami bawa mereka bersama-sama, kerana mereka adalah pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan,” katanya. Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 berkata demikian pada sidang media sempena sambutan itu di sini hari ini. Jafry berkata sambutan tahun ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman bersama Toh Puan Faridah Tussin. Beliau berkata sambutan itu dijangka bermula pada 8 malam dengan kehadiran lebih 3,000 orang manakala orang ramai boleh mula hadir seawal 6 petang. Sambutan berkenaan turut menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan dan artis tempatan di bawah penyelarasan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah. Jafry berkata kemudahan parkir di SICC akan disediakan secara percuma kepada pengunjung dan beliau turut mengajak semua rakyat Sabah hadir beramai-ramai bagi memeriahkan Sambutan Hari Malaysia.– BERNAMA

September 14, 2026

BERNAMA

KDN sasar agensi manfaat AI dalam tugas hakiki – Saifuddin Nasution

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan semua agensi di bawahnya memanfaatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam tugas hakiki masing-masing bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan dan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu sebahagian daripada pendekatan AI for KDN, KDN for AI yang telah dibangunkan kementerian berkenaan sejak tiga tahun lepas, dengan tahap kesiapsiagaan warga KDN untuk menerima dan menggunakan teknologi berkenaan kini mencapai 75 peratus. Beliau berkata tempoh tiga tahun dimanfaatkan untuk membantu setiap agensi di bawah KDN menterjemahkan pendekatan berkenaan dalam pelaksanaan tugas hakiki masing-masing seperti Jabatan Pendaftaran, Jabatan Pendaftaranlah Polis Diraja Malaysia (PDRM). “Kepimpinan setiap agensi kemudiannya mesti menggerakkan pendekatan ini dari segi pelaksanaannya bagi memudah dan mempercepat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan KDN di sini hari ini. Saifuddin Nasution berkata antara contoh penggunaan AI yang boleh diterapkan PDRM ialah dalam penyediaan draf awal kertas siasatan, susulan kira-kira 400,000 laporan polis dibuat rakyat setiap bulan. Beliau berkata AI boleh digunakan untuk menghasilkan draf awal kertas siasatan sebelum ia disemak dan disahkan pegawai penyiasat (IO) berpangkat Inspektor untuk dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP). “Penggunaan teknologi AI dalam kertas siasatan bermaksud menghasilkan draf awal kertas siasatan. Tapi sebelum dihantar kepada DPP, IO berpangkat Inspektor ialah pegawai yang bertanggungjawab untuk melakukan verifikasi,” katanya. Dalam pada itu, Saifuddin berkata KDN hari ini melancarkan AI Digital Human sebagai satu lagi inisiatif kementerian menggunakan teknologi AI dalam berinteraksi dengan rakyat. Beliau berkata AI Digital Human itu membolehkan rakyat mengemukakan pertanyaan berkaitan KDN dalam pelbagai bahasa, sekali gus menjadikan urusan dengan kementerian lebih mudah dan mesra pengguna. “Tanya sahaja dalam Bahasa Mandarin, bahasa Arab, bahasa Jepun… semua dia (AI) boleh jawab,” katanya. Terdahulu semasa berucap pada perhimpunan bulanan itu, Saifuddin Nasution berkata penggunaan AI merupakan satu kewajipan bagi kementerian itu dalam memastikan teknologi berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya dalam perkhidmatan awam. Beliau berkata KDN sebelum ini turut menjadi kementerian pertama menggunakan AI bagi menyediakan draf awal jawapan kepada soalan Ahli Parlimen semasa sidang Dewan Rakyat, sebelum jawapan itu disemak dan disahkan pegawai kementerian. Saifuddin Nasution berkata penggunaan AI juga boleh diperluas dalam perkhidmatan PDRM, termasuk menyediakan kios di lokasi strategik seperti lapangan terbang bagi membantu pelancong asing membuat laporan polis dalam bahasa masing-masing. “Kita tak boleh duduk di jalan, membiarkan orang lain yang guna pakai AI ini. Belajar dan guna pakai. Kena terima,” katanya. Selain AI Digital Human, beliau turut melancarkan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Anti-Corruption Strategies (RACS) dan Manual Kawalan Keselamatan dan Operasi RELA (MKKOR). Mengenai RACS, beliau berkata strategi itu penting bagi memastikan aspek integriti turut diberi perhatian dalam kalangan anggota RELA, walaupun pasukan itu berteraskan khidmat kesukarelawanan. Katanya, MKKOR pula merupakan manual wajib difahami, dihayati semua anggota RELA yang menjalani modul latihan serta perlu dijadikan sebagai panduan ketika anggota jabatan itu membantu pasukan keselamatan lain dalam tugasan seperti sekatan jalan raya, kawalan kawasan atau tempat larangan dan kawalan sempadan negara.– BERNAMA

September 14, 2026

Info X Reporters

JBPM Sabah rekod 1,551 kes kebakaran terbuka

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah merekodkan sebanyak 1,551 kes kebakaran terbuka di negeri ini bagi tempoh 1 Mac hingga 13 September lalu. Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, suku kedua tahun ini iaitu April hingga Jun mencatatkan jumlah tertinggi dengan 655 kes atau 42.2 peratus. Katanya, suku ketiga merekodkan 470 kes atau 30.3 peratus, manakala 426 kes bersamaan 27.5 peratus dicatatkan pada suku pertama. “Daripada keseluruhan kes, kebakaran belukar dan lalang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,012 kes atau 65.2 peratus, diikuti kebakaran hutan sebanyak 381 kes atau 24.6 peratus. “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, terutama ketika cuaca kering kerana api boleh merebak dengan pantas dan sukar dikawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Mohd Pisar berkata, keselamatan nyawa, harta benda dan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. “Masyarakat perlu memainkan peranan dengan mengelakkan pembakaran terbuka, segera memadamkan sebarang punca api dan melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kebakaran,” katanya. Menurutnya, JBPM Sabah akan terus memperkukuh pemantauan kawasan panas, kesiapsiagaan operasi serta usaha pendidikan dan kesedaran awam bagi mengurangkan risiko kebakaran terbuka di seluruh negeri. – Info X

September 14, 2026

Info X Reporters

Semua pihak perlu sokong tuntutan hak 40 peratus Sabah – Masiung

KOTA KINABALU: Pendirian Kerajaan Negeri mengenai hak 40 peratus hasil Sabah dan penambahan nisbah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak seharusnya mendapat sokongan pelbagai pihak tanpa mengira batas politik. Pengerusi Backbencers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata agenda nasional itu tidak sepatutnya dijadikan bahan politik kerana ia terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Katanya, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sebagai ketua kerajaan Sabah tetap mempertahan hak rakyat pada mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 September lalu. Pada mesyuarat itu, katanya Hajiji bertegas tidak mahu Kerajaan Persekutuan melengahkan tuntutan hasil 40 peratus Sabah, selain menambah nisbah kerusi Parlimen di Sabah. Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) turut mengalu-alukan persetujuan Anwar meminda Perlembagaan untuk membuka ruang penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak. “Rakyat Sabah sudah lama menunggu kedua-dua perkara dalam MA63 itu dilaksanakan kerana pihak pembangkang juga turut mendapat menfaat. “Penambahan kerusi itu perlu bagi memastikan nisbah perwakilan wilayah Borneo lebih tinggi dalam Dewan Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Beliau bertegas, Hajiji wajar disokong keseluruhan rakyat supaya Sabah dan Sarawak secara kolektif memegang sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat. Langkah itu, katanya penting untuk mengembalikan kuasa asal Sabah ketika pembentukan Malaysia lebih 60 tahun yang lalu. Ketika ini, katanya Sabah hanya mempunyai 25 kerusi Parlimen, manakala 31 di Sarawak daripada 222 jumlah kerusi Parlimen di seluruh negara. ADUN Kuamut itu menegaskan, RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini adalah geran khas interim dan bukannya penyelesaian terhadap hak 40 peratus. “Sebab itulah Hajiji mendesak Persekutuan menyegerakan pelaksanaan 40 peratus hasil Sabah menerusi rundingan,” katanya. Masiung berkata, rundingan diplomasi jauh lebih berkesan berbanding pendekatan konfrontasi yang boleh menjejaskan hubungan dua hala antara Sabah dan Putrajaya.-Info X

September 14, 2026

Info X Reporters

Guru maut Hilux rempuh tujuh kenderaan

KOTA KINABALU: Seorang guru maut selepas Toyota Hilux dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh tujuh kenderaan berhampiran lampu isyarat jejambat Jalan Kolam, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa, Arizal Wahid, 43, difahamkan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan dari arah Bukit Padang menuju ke Damai. Mangsa adalah Penolong Kanan Pendidikan Khas di sekolah berkenaan. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati Toyota Hilux berkenaan tiba-tiba hilang kawalan ketika tiba di lampu isyarat terbabit. “Hilux itu melanggar sebuah kenderaan Ford dan motosikal sebelum merempuh bahagian belakang Nissan Navara yang berada di laluan sama. “Kenderaan mangsa kemudian terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar empat kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth II (HQE II). Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat. “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran. “Pengguna jalan raya turut dinasihatkan supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri dan pengguna lain,” katanya. – Info X