Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 14, 2026

Info X Reporters

Guru maut Hilux rempuh tujuh kenderaan

KOTA KINABALU: Seorang guru maut selepas Toyota Hilux dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh tujuh kenderaan berhampiran lampu isyarat jejambat Jalan Kolam, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa, Arizal Wahid, 43, difahamkan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan dari arah Bukit Padang menuju ke Damai. Mangsa adalah Penolong Kanan Pendidikan Khas di sekolah berkenaan. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati Toyota Hilux berkenaan tiba-tiba hilang kawalan ketika tiba di lampu isyarat terbabit. “Hilux itu melanggar sebuah kenderaan Ford dan motosikal sebelum merempuh bahagian belakang Nissan Navara yang berada di laluan sama. “Kenderaan mangsa kemudian terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar empat kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth II (HQE II). Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat. “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran. “Pengguna jalan raya turut dinasihatkan supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri dan pengguna lain,” katanya. – Info X

September 14, 2026

Info X Reporters

Pemimpin UMNO perlu mohon maaf berhubung ucapan sentuh agama Katolik – Madius, Salleh

KOTA KINABALU: Dua pemimpin Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, menyelar ucapan seorang pemimpin UMNO yang didakwa menyentuh sensitiviti agama Katolik ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU), baru-baru ini. Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran dan ADUN Tamparuli berkata, sama ada ucapan berkenaan dimaksudkan sebagai jenaka atau sindiran, ia tetap tidak wajar serta menyinggung perasaan umat Katolik dan masyarakat Kristian. Beliau berkata, Kitab Suci, paderi Katolik dan biarawati tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka berunsur seksual atau dipersendakan dari pentas perhimpunan sebuah parti politik utama negara. “Pemimpin berkenaan sewajarnya mengakui kesilapan pertimbangannya, menarik balik rujukan palsu terhadap Mazmur 129 dan memohon maaf secara terbuka tanpa sebarang syarat kepada umat Katolik serta seluruh masyarakat Kristian,” katanya. Madius berkata, kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memperlekeh atau menyentuh perkara berkaitan agama yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat. Sementara itu, Salleh berkata beliau bersetuju sepenuhnya dengan pendirian Madius berhubung kenyataan berkenaan dan menegaskan bahawa agama serta tokoh agama mesti sentiasa dihormati. “Apa pun niatnya, jenaka berunsur seksual yang melibatkan biarawati dan paderi Katolik adalah tidak boleh diterima. “Agama dan tokoh agama mesti sentiasa dihormati,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini. Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, pemimpin UMNO berkenaan wajar memohon maaf secara terbuka dan ikhlas kerana isu berkenaan bukan berkaitan kepentingan politik, sebaliknya menyentuh soal rasa hormat, tanggungjawab dan batas yang tidak sepatutnya dilanggar. Menurutnya, Sabah mempunyai sejarah panjang dalam memelihara kehidupan masyarakat berbilang agama yang hidup bersama dalam suasana saling menghormati. “Di Sabah, umat Islam, Kristian dan penganut agama lain telah hidup bersama dengan saling menghormati sejak sekian lama. “Semangat toleransi dan keharmonian ini mesti terus kita pelihara,” katanya. Salleh turut menegaskan bahawa kesalahan perlu diakui tanpa mengira siapa yang melakukannya. “Apabila sesuatu itu salah, kita mesti berani menyatakan bahawa ia salah, tanpa mengira siapa yang melakukannya,” katanya.-Info X

September 14, 2026

Info X Reporters

Hak 40 peratus Sabah bukan rekaan hari ini – Warisan

KOTA KINABALU: Tuntutan Sabah untuk mendapatkan bahagian hasil yang adil menerusi 40 peratus hasil bersih dari negeri ini bukan isu baharu atau tindakan oportunistik. Menegaskan perkara itu, pemimpin Parti Warisan, Mazliwati Abdul Malek Chua, berkata hak kelayakan hasil 40 peratus untuk Sabah adalah kewajipan Perlembagaan yang sudah termaktub sebelum Malaysia dibentuk lagi. “Ini bukan rekaan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan bagi menjawab pandangan serong bekas menteri Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim berkaitan tuntutan Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Mazliwati berkata, pandangan Zaid di platform Threads bertarikh 14 September 2026 mengenai hak Sabah dan Sarawak di bawah MA63 itu menimbulkan persoalan penting yang memerlukan pencerahan segera. “Adakah Zaid cuba membayangkan bahawa PAS tidak akan mengembalikan hak 40 peratus ini kepada rakyat Sabah?,” katanya. Mengenai tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak pula, Mazliwati berkata, perkara itu adalah untuk imbangan kuasa dan bukannya dominasi. Katanya, soal perwakilan di Parlimen itu sejajar dengan pengiktirafan kedudukan unik Borneo seperti terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold dan rundingan pembentukan negara. “Kuota satu pertiga kerusi Parlimen khas untuk Sabah dan Sarawak direka khusus bagi memastikan suara wilayah Borneo kekal relevan dan dilindungi dalam persekutuan, bukan mahu mendominasi. “Sabah dan Sarawak hanya mahu niat asal pembentukan Malaysia sebagai perkongsian rakan saksama dihormati sepenuhnya, secara tersurat dan tersirat. “Kami rendah diri dan tidak tamak dalam menuntut hak. Namun, itu tidak bermakna kami akan bertolak kompromi dan menerima kurang daripada apa yang sepatutnya kami terima,” katanya. Menerusi hantaran Zaid di media sosial, beliau antara lain mengkritik Sabah atas tuntutan 40 peratus hasilnya dan berkeras pemberian khas RM1 bilion tidak mencukupi. Beliau juga mengkritik tuntutan Sarawak yang mahu 10 peratus daripada jumlah hasilnya sebagai pemberian khas. Zaid turut mengkritik tuntutan kedua-dua negeri untuk mendapatkan 35 peratus kerusi Parlimen daripada keseluruhan kerusi di seluruh negara. “Apa yang pemimpin Melayu buat? Mereka bergaduh di khalayak umum sama ada mereka boleh mempercayai satu sama lain. “Malah, mereka meminta Terengganu untuk mengadakan pilihan raya negeri dahulu untuk memperlihatkan mereka boleh menjadi rakan yang jujur dalam rundingan kerusi. “Dengan kumpulan pemimpin Melayu ini, Malaya akan menjadi koloni Sabah dan Sarawak dalam tempoh 20 tahun,” katanya dalam hantaran di media sosial. – Info X

September 14, 2026

Info X Reporters

4,933 pelajar baharu mulakan kehidupan kampus di UMS

KOTA KINABALU: Seramai 4,933 pelajar baharu mendaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi sesi akademik 2026/2027 yang bermula menerusi Majlis Suai Mesra (MSM) di kampus universiti itu, pada Isnin. Majlis yang disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansur itu, berlangsung dalam suasana meriah bagi menandakan bermulanya kehidupan kampus yang bakal dilalui mahasiswa baharu UMS. Sempena majlis itu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UMS turut melancarkan Student Digital Information Center (SDIC) dan My Student Development Point (MyDSP 2.0) sejajar usaha memperkukuh ekosistem pembangunan mahasiswa di universiti itu. Universiti itu menjelaskan kedua-dua inisiatif berkenaan bertujuan memudahkan akses mahasiswa kepada informasi, perkhidmatan dan peluang pembangunan kendiri secara lebih bersepadu. Pada majlis yang sama, UMS menerusi Inisiatif Bantuan Food Bank UMS menyalurkan sebanyak RM2,000 kepada setiap fakulti dan Kolej Kediaman, termasuk UMS-Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) dan Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Sandakan. Katanya, sumbangan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) itu bertujuan membantu mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan dan cabaran kos sara hidup, khususnya dalam mendapatkan keperluan makanan harian. “Inisiatif ini mencerminkan komitmen UMS dalam mewujudkan kampus yang inklusif, prihatin dan berteraskan kesejahteraan mahasiswa, agar keperluan asas tidak menjadi penghalang kepada kelangsungan pengajian,” katanya. Majlis itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof Dr Raman Noordin dan Pengarah JHEP UMS, Azmi Jumat. Proses pendaftaran pelajar baharu UMS dilaksanakan selama dua hari pada Sabtu dan Ahad lalu, sebelum disusuli Minggu Suai Mesra (MSM) bermula hari ini (Isnin).-Info X

September 14, 2026

Info X Reporters

Liga Super: Prestasi Sang Badak merosot – Garrido

KOTA KINABALU: Prestasi Sabah FC merosot berikutan tiga kekalahan berturut-turut, termasuk dua di gelanggang sendiri dengan yang terbaharu tewas 1-2 di tangan DPMM FC, di Stadium Likas, malam tadi. Pengendali Sang Badak, Juan Torres Garrido, mengakui persembahan anak buahnya tidak memuaskan terutama pada separuh masa kedua malam tadi, meskipun agak baik pada babak pertama. “Saya fikir kita bermula dengan baik, tapi kita bolos gol yang sepatutnya tidak berlaku. Saya rasa pasukan agak keletihan selepas melalui tempoh dua minggu yang mencabar. “Namun, pada separuh masa pertama, pasukan masih mempunyai tenaga, terus melakukan serangan dan berjaya mendapatkan gol penyamaan. “Pada separuh masa kedua, kita tidak bermain dengan baik. Saya tidak tahu sama ada disebabkan faktor tenaga atau kita terlalu mudah memberi ruang dan akhirnya kita sekali lagi dibolosi. “Saya fikir apabila ketinggalan, situasinya sama seperti ketika menentang Selangor. Sekali lagi, dari segi mental, kami tidak cukup kuat untuk bangkit selepas ketinggalan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi. Aksi malam tadi menyaksikan Sabah ketinggalan 0-1 selepas DPMM FC membuka jaringan pada minit ke-13, sebelum dapat disamakan 1-1 pada minit ke-24. Namun, tuan rumah sekali lagi ketinggalan apabila pasukan lawan menambah jaringan pada minit ke-65 untuk DPMM FC membawa pulang tiga mata dengan kemenangan 1-2. Kekalahan malam tadi, adalah yang kedua kedua di gelanggang sendiri selepas tewas 0-2 di tangan Kuching City FC pada 5 September lalu. Sabah juga tewas 2-1 di tangan Selangor FC dalam perlawanan kedua Pusingan 16 Piala FA di Stadium MBPJ pada 9 September lalu. Ketika kalah menentang Kuching City sebelum ini, Garrido berkata anak buahnya berdepan pasukan yang mempunyai skuad dan bajet yang besar berbanding Sabah FC. “Kalau saya tidak silap, mereka juga sedang bermain dalam satu pertandingan lain. Jadi, saya tidak akan mengatakan ia adalah perkara biasa untuk kalah, tetapi ia memang perlawanan yang sukar,” katanya. Katanya, kekalahan di tangan Selangor pada 9 September lalu pula bukan berkaitan dengan pasukan atau sesuatu yang dikaitkan dengan permainan anak buahnya. “Saya sudah jelaskan sebelum ini mengenai perkara yang menyebabkan perlawanan itu menjadi tidak seimbang dan ia bukan disebabkan pasukan kita atau sesuatu yang berkaitan dengan permainan. “Tapi hari ini, seperti yang saya katakan, kita bermain dengan buruk pada separuh masa kedua. Selepas melalui tempoh dua minggu yang begitu padat dalam pertandingan, kita tidak mempunyai tenaga pada separuh masa kedua. “Kita terlalu mudah dibolosi. Mereka (DPMM) mempunyai pemain dan penyerang yang bagus serta mampu menyerang ruang dengan baik dan kita tidak menghalang gerakan serangan balas mereka sebagaimana yang sepatutnya,” katanya. Kelemahan itu, katanya diambil kesempatan oleh pemain DPMM dan mereka berjaya mengawal permainan untuk mendapatkan jaringan kemenangan di Stadium Likas.-Info X

September 14, 2026

BERNAMA

JPA kaji inisiatif tambah baik pendapatan penjawat awam – KPPA

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang mengkaji inisiatif bagi menambah baik aspek pendapatan penjawat awam di negara ini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. Beliau berkata gaji penjawat awam ketika ini tidak berada di bawah paras kemiskinan dan mereka dinasihatkan supaya bijak merancang perbelanjaan. “Pada pandangan saya, penjawat awam dengan gaji yang ada sekarang ini tidak berada di bawah paras kemiskinan, cuma tinggal lagi bagaimana penjawat awam itu sendiri merancang perbelanjaan. “Pada masa sama, kami juga sedang mengkaji perkara-perkara yang boleh memberikan ataupun menambah baik pendapatan penjawat awam,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam Tahun 2026 di sini hari ini. Wan Ahmad Dahlan berkata ketika ini, penyelarasan gaji penjawat awam telah dilaksanakan menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan segala inisiatif baharu tertakluk kepada kemampuan kewangan negara. SSPA yang mula berkuat kuasa pada 1 Dis 2024 adalah inisiatif besar kerajaan bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM). Ia diperkenalkan sebagai reformasi dalam perkhidmatan awam untuk meningkatkan motivasi kakitangan melalui struktur gaji yang lebih kompetitif serta penilaian prestasi yang lebih adil dan telus.– BERNAMA

September 14, 2026

BERNAMA

Empat jam beraksi, Awie buktikan jiwa rock masih menyala

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan KUALA LUMPUR: Empat jam beraksi, namun terasa seakan belum cukup untuk melunaskan kerinduan kira-kira 20,000 peminat terhadap legenda rock tanah air, Datuk Awie yang kembali ke pentas solo selepas dua tahun, menerusi Konsert Awie Rock King – The Last Man Standing 2026 di Stadium Merdeka, Sabtu lepas. Konsert yang sepatutnya berakhir pada tengah malam itu akhirnya berlabuh pada 1 pagi, seolah-olah peminat masih belum bersedia melepaskan penyanyi berusia 58 tahun itu pulang selepas disajikan dengan 35 karya yang merentasi empat dekad perjalanan seninya. Dari era kegemilangannya dengan Wings hingga perjalanan solo, Awie membawa peminat menyusuri semula detik-detik yang membentuk dirinya sebagai antara figura penting dalam persada rock tanah air. Lebih mengagumkan, tenaga Awie seakan tidak mengenal waktu apabila beliau kekal bertenaga hingga penghujung persembahan walaupun sedang berdepan masalah bronkitis buat kali kedua akibat jerebu yang menjejaskan kesihatan paru-parunya. “Anda okey? Saya yang tak okey. Tak apa, kita teruskan. Keluarkan suara!” katanya yang disambut sorakan gemuruh peminat. Tampil segak dalam sut serba putih lengkap dengan bandana yang menghiasi mikrofon, Awie membuka tirai dengan Sayap Ilusi sebelum meneruskan rentak menerusi Rock N Roll Ronda Randa, Mata Hati Jiwa, Tiada Rahsia Antara Kita, Di Bayang Awan dan O-Tak. Malam itu bukan sekadar perjalanan muzik Awie, tetapi turut menjadi ruang buatnya berkongsi pentas dengan insan-insan istimewa dalam hidup dan kerjaya seninya. Putera kesayangannya, Merrah, tampil dengan pasangan duetnya, Putri menerusi Baldu Biru dan Bernafas Dalam Lumpur, mencetuskan antara momen manis pada malam berkenaan. Pentas kemudian terus meriah dengan kemunculan Stacy, Akim dan Black yang masing-masing bergandingan dengan Awie menerusi Peronda Jaket Biru, Midnight Blues, Ingatkan Dia dan Intanku Kesepian. Namun, di sebalik bunyi gitar dan rentak rock yang mendominasi malam itu, Awie turut membuka sisi lebih peribadinya menerusi Tragedi Oktober, lagu yang pernah dikaitkan dengan gosip percintaannya suatu ketika dahulu. “Saya rasa tak nak nyanyi lagu itu, tapi kena nyanyi juga,” katanya sebelum suasana stadium bertukar lebih syahdu apabila lagu berkenaan dialunkan. Segmen Cinta dan Filem kemudiannya membawa peminat ke sisi romantik Awie apabila rakan duet yang cukup sinonim dengannya, Erra Fazira, muncul menerusi Cinta Makrifat, disusuli Hannah Delisha dengan Halaman Asmara dan Kita Permata. Memasuki segmen penghormatan Last Man Standing, suasana kembali syahdu apabila Awie mengalunkan karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Jeritan Batinku, sebelum Datuk Hattan menyertai beliau menerusi Gerhana dan Kepadamu Kekasih sebagai penghormatan pada insan seni yang telah pergi. Namun, kesayuan itu tidak bertahan lama apabila rentak kembali rancak menerusi Layang-Layang Terputus Talinya dan Ku Di Halaman Rindu sebelum Amir Masdi tampil bersama-sama dengan Awie menerusi Gemuruh dan Mentari Merah Di Ufuk Timur. Di tengah-tengah kemeriahan itu, satu lagi momen yang mencuri perhatian apabila laungan “Free, Free Palestine” bergema di seluruh Stadium Merdeka dan disambut ribuan peminat sebagai tanda sokongan kepada Palestin. Ketika malam menghampiri penghujungnya, Awie akhirnya kembali ke akar perjalanan rock yang membina namanya apabila Wings muncul untuk berkongsi pentas dengan beliau. Opera Hidup, Hukum Karma, Harapan dan Sejati bergema satu demi satu, membuatkan ribuan peminat mengangkat simbol ‘W’ sambil menyanyi bersama-sama, seolah-olah Stadium Merdeka kembali ke era yang menyaksikan Awie dan Wings mengukir nama dalam sejarah rock tanah air. Empat jam mungkin terasa panjang, tetapi bagi peminat yang bertahan hingga tirai benar-benar ditutup, malam itu masih terasa singkat. Awie mungkin bergelar The Last Man Standing, namun selepas hampir empat dekad, satu perkara jelas — jiwa rock yang dibawanya masih belum mahu berundur.– BERNAMA

September 14, 2026

Info X Reporters

Tekong lari, 1,020 paket minyak masak subsidi dirampas

SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup 1,020 paket minyak masak bersubsidi selepas menahan sebuah bot di perairan Sungai Tanjung Batu, di sini, awal pagi semalam. Timbalan Pengarah Operasi Maritim Zon Sandakan, Komander Maritim Ahmad Firdaus Shaari berkata, bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 5 pagi ketika pasukan sedang menjalankan rondaan menerusi Op Sejahtera, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0. Katanya, bot berkenaan dipintas di kedudukan kira-kira 0.01 batu nautika barat laut Sungai Tanjung Batu. “Semasa pasukan operasi menghampiri bot berkenaan, seorang lelaki yang dipercayai tekong bertindak memecut laju menuju ke sungai sebelum memasuki kawasan bakau dan melarikan diri bagi mengelak ditahan. “Hasil pemeriksaan ke atas bot menemukan 60 bungkusan yang mengandungi minyak masak bersubsidi dengan anggaran keseluruhan 1,020 paket,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Ahmad Firdaus berkata, pemeriksaan turut menemukan dua enjin sangkut Yamaha masing-masing berkuasa 75 dan 85 kuasa kuda. “Bot bersama muatan berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit atau kebenaran sah. “Kesemua barang rampasan bersama bot yang dianggarkan bernilai RM60,550 dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Sandakan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya. Dalam pada itu, Ahmad Firdaus berkata, cubaan sindiket menjalankan kegiatan penyeludupan dalam jumlah kecil menunjukkan mereka sentiasa mencari peluang untuk mengaburi pihak berkuasa. Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara. “Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan yang menjejaskan keselamatan negara serta menyebabkan ketirisan barang kawalan bersubsidi. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi IPMZ Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999,” katanya. – Info X