March 15, 2026
Info X Reporters
Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 dikuatkuasa mulai 1 Jun – Armizan
KOTA KINABALU: Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan mula dikuatkuasakan pada 1 Jun depan selepas diwartakan pada 30 Januari lalu dan rundingan susulan yang dibuat sebelum ini. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata penguatkuasaan pindaan itu dibuat empat bulan lebih awal berbanding jadual asal. Katanya, ketika rang undang-undang (RUU) pindaan itu dibentangkan di Parlimen, sasaran awal tempoh peralihan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 ialah selama 18 bulan selepas tarikh diwartakan. “Namun, pelbagai pihak termasuk sebahagian Ahli Parlimen yang mengutarakan agar pindaan tersebut berkuat kuasa sesegera mungkin. “Selepas rundingan susulan dibuat, Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan dikuatkuasakan lebih awal iaitu pada 1 Jun 2026, iaitu empat bulan selepas diwartakan pada 30 Januari 2026,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media sempena sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, pada Ahad. Armizan bagaimanapun berkata, tempoh peralihan boleh diberikan kepada penyedia sewa beli yang memerlukan masa untuk menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses selaras dengan keperluan baharu. Katanya, bagi penyedia yang sudah bersedia boleh mula menawarkan perjanjian sewa beli mengikut pindaan baharu sebaik sahaja tarikh kuat kuasa bermula pada 1 Jun 2026. “Selain itu, seperti yang diumumkan oleh Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan (ADFIM) pada Disember 2025, institusi perbankan juga menawarkan diskaun ihsan bermula pada tarikh kuat kuasa Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026, iaitu 1 Jun 2026. “Diskaun ini akan diberikan kepada pelanggan di bawah kaedah lama, iaitu kadar faedah sama rata dan peraturan 78, yang memilih untuk membuat penyelesaian awal bagi memastikan baki tertunggak mereka setara dengan pelanggan yang memasuki perjanjian baharu, iaitu berasaskan Kadar Faedah Efektif dan Kaedah Pengurangan Baki, di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026,” katanya. Beliau berkata, reformasi undang-undang itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, meningkatkan tadbir urus industri serta melindungi hak dan kepentingan rakyat sebagai pengguna di seluruh negara. Mengulas lanjut, Armizan berkata usaha itu diambil KPDN sebagai satu ikhtiar dalam memperkukuh ekosistem kredit bagi menambah baik perlindungan pengguna melalui pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 yang telah dilaksanakan pada 2026. “Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 bertujuan menterjemahkan prinsip keadilan kredit pengguna dan pemodenan dalam konteks perjanjian sewa beli melalui beberapa perubahan utama. “Pertama, pindaan ini memansuhkan penggunaan Kadar Faedah Tetap Sama Rata (flat rate) dan kaedah Peraturan 78 (rule of 78). “Di bawah kaedah itu, sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah, manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal. “Keadaan ini menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman,” katanya. Armizan berkata, peruntukan baharu melalui pindaan yang dibuat itu memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki dan Kadar Faedah Efektif bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap. Melalui kaedah itu, katanya faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna. “Kedua, pindaan ini menyokong transformasi digital dengan membenarkan penggunaan teknologi dalam perjanjian sewa beli. “Ini termasuk kebenaran untuk menggunakan tandatangan dan penyerahan dokumen secara digital serta elektronik bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses perjanjian. “Di samping itu, pindaan ini turut memperkenalkan keperluan pelaksanaan usaha wajar untuk pengesahan identiti peminjam sebagai langkah mengurangkan risiko penipuan,” katanya. – Info X
March 15, 2026
Info X Reporters
PM umum cuti tambahan sempena Aidilfitri
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cuti tambahan sehari sempena Aidilfitri sama ada pada Jumaat depan atau Isnin berikutnya. Beliau berkata, cuti pada Isnin, 23 Mac diberikan jika 1 Syawal jatuh pada hari Jumaat depan, manakala cuti sehari lebih awal iaitu pada Jumaat, 20 Mac jika 1 Syawal disambut pada Sabtu depan. “Sama ada Aidilfitri disambut pada Jumaat atau Sabtu jangan bimbang, kita beri cuti tambahan Hari Raya. “Kalau raya pada Jumaat maka cuti tambahan pada Isnin 23 Mac, kalau raya pada Sabtu, cuti tambahan Jumaat, 20 Mac. “Kenapa umum awal, supaya orang ramai boleh buat perancangan cuti Aidilfitri,” katanya pada perasmian Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026, di sini, hari ini. Yang turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali. – Info X
March 15, 2026
Info X Reporters
Pemuda, Beliawanis Gagasan Rakyat Singgah Sahur bersama petugas kesihatan, keluarga pesakit HQE
KOTA KINABALU: Program Singgah Sahur Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat singgah mengagihkan makanan sahur untuk petugas kesihatan dan ahli keluarga pesakit di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, malam tadi. Program itu dijayakan bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang turut menyantuni anggota barisan hadapan dan orang ramai yang berada di hospital itu. Turut hadir pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim dan Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat, Emmie Martin Idang bersama ahli pemuda dan beliawanis Gagasan Rakyat. – Info X
March 15, 2026
Info X Reporters
Keselamatan tenaga dikukuhkan, pastikan bekalan elektrik Sabah stabil – KM
TUARAN: Kerajaan negeri akan terus memperkukuh usaha meningkatkan keselamatan tenaga negeri melalui pelaksanaan pelbagai projek strategik di negeri ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil, mampan dan berdaya tahan demi menyokong pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat. Beliau berkata, kerajaan negerisentiasa menyokong langkah yang dilaksanakan Sabah Electricity dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan menambah baik infrastruktur bekalan elektrik di Sabah. Usaha berterusan itu, katanya merangkumi peningkatan keupayaan penjanaan tenaga, pengukuhan rangkaian penghantaran dan pengagihan serta penambahbaikan mutu perkhidmatan kepada pengguna di seluruh negeri. “Komitmen ini seiring dengan misi kerajaan negeri untuk menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan mampan bagi memacu aspirasi pembangunan Sabah serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin. “Dalam konteks ini, kerajaan negeri melalui Majlis Tenaga Sabah, Suruhanjaya Tenaga Sabah dan agensi berkaitan melaksanakan strategi menyeluruh secara berfasa merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan bersama Ketua Menteri di perkarangan Masjid At-Taqwa, Perumahan Laya-Laya, di sini, pada Sabtu. Hajiji berkata, antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan ialah pembangunan projek penjanaan tenaga baharu yang melibatkan campuran sumber tenaga lebih pelbagai. Katanya, ia termasuk penggunaan loji janakuasa berasaskan gas sebagai sumbertenaga peralihan di samping pengembangan tenaga boleh baharu seperti hidro, solar dan angin serta penggunaan teknologi penyimpanan tenaga moden termasuk Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri dan hidro simpanan pam. Dalam pada itu, Hajiji berkata Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah–Sarawak yang dilancarkan pada awal tahun ini dijangka memperkukuh lagi kestabilan sistem bekalan elektrik di negeri ini. Projek berkenaan, katanya bukan saja menjadikan bekalan tenaga lebih stabil dan boleh dipercayai, malah membantu mengurangkan kebergantungan terhadap penjanaan berasaskan bahan api fosil secara berperingkat. “Pada masa sama, ia turut meningkatkan margin rizab elektrik Sabah serta memperkukuh keyakinan pelabur terhadap kebolehpercayaan bekalan kuasa di negeri ini,” katanya. Hajiji berkata pelancaran Projek Solar 15 megawatt (MW) di Tuaran baru-baru ini juga menjadi langkah penting dalam transformasi struktur tenaga Sabah. Projek itu, katanya bukan saja menambah kapasiti tenaga kepada sistem bekalan elektrik negeri, malah selari dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP2040) yang memberi penekanan kepada pembangunan tenaga boleh baharu serta kepelbagaian sumber tenaga. “Usaha ini memberi isyarat jelas bahawa Sabah komited memperkukuh keselamatan tenaga negeri kerana tanpa bekalan tenaga yang stabil dan mencukupi, sukar bagi kita menarik pelaburan berimpak tinggi serta membangunkan industri bernilai tambah,” katanya. Beliau turut memuji komitmen Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat melalui inisiatif sumbangan Wakalah Zakat kepada golongan asnaf, masjid dan institusi tahfiz di Tuaran. Katanya, program itu bukan saja memberi manfaat kepada golongan memerlukan, malah mengeratkan hubungan antara kerajaan, agensi dan masyarakat. – Info X
March 15, 2026
Info X Reporters
Cement Industries bayar zakat setengah juta
KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) membayar zakat perniagaan berjumlah RM500,000 bagi 2025 sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu. Zakat berkenaan disampaikan Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim kepada Ketua Penolong Setiausaha Zakat dan Fitrah MUIS, Iwansuzairie Hari yang mewakili Pusat Zakat Sabah pada satu majlis di Hyatt Regency Kinabalu, pada Sabtu. Japlin berkata, sebagai syarikat milik kerajaan negeri, CIS bukan saja memainkan peranan dalam menyokong pembangunan ekonomi Sabah, malah turut komited menyalurkan sebahagian keuntungan kepada golongan yang memerlukan melalui pembayaran zakat. “Sebagai sebuah syarikat milik kerajaan negeri, kita bukan saja memikul tanggungjawab menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Sabah tetapi juga berkongsi rezeki dengan masyarakat melalui agihan zakat. “Kita berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban golongan miskin dan asnaf, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya. Turut hadir ialah Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof; Timbalan Yang Dipetua MUIS, Datuk Ustaz Malai Ali Malai Ahmad dan pengurusan CIS. Selain penyerahan zakat, CIS turut menganjurkan Majlis Iftar Bersama 60 anak yatim dan asnaf dari beberapa institusi kebajikan termasuk Rumah Anak Yatim & Asnaf As Sakinah, Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah dan Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran As-Syatibiyah. Setiap rumah kebajikan menerima sumbangan RM2,000. Japlin berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan CIS dalam menyokong usaha kebajikan dan membantu golongan asnaf serta masyarakat yang memerlukan di Sabah. Majlis itu, katanya turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara sektor korporat, agensi kerajaan dan masyarakat dalam semangat kebersamaan, khususnya sepanjang Ramadan. – Info X
March 15, 2026
Info X Reporters
Subsidi petrol, diesel dikekalkan untuk lindungi rakyat – Mustapha
PUTATAN: Rakyat di Sabah masih menikmati subsidi petrol dan diesel meskipun harga pasaran bahan api itu naik mendadak berikutan ketegangan yang berlaku di Asia Barat. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata penerusan subsidi itu sejajar komitmen Kerajaan Madani terus melindungi rakyat rakyat daripada kesan kenaikan bahan api global. Katanya, perlindungan itu dibuat dengan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter melalui pendekatan subsidi bersasar BUDI MADANI dan harga diesel khusus untuk Sabah dan Sarawak. “Harga pasaran sebenar RON95 tanpa subsidi dianggarkan sekitar RM2.67 seliter, namun kerajaan menanggung perbezaannya supaya rakyat tidak terbeban. “Hakikatnya, kerajaan kini menanggung sekitar RM3.2 bilion setiap bulan untuk subsidi petrol dan diesel, iaitu kira-kira RM2 bilion bagi RON95 dan RM1.2 bilion bagi diesel. “Ini membuktikan komitmen besar kerajaan dalam melindungi rakyat daripada kejutan ekonomi global. “Kerajaan Madani juga mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak demi memastikan kos pengangkutan, logistik serta keperluan harian rakyat di kedua-dua wilayah itu tidak meningkat secara mendadak,” katanya pada program bersama media di sini, pada Sabtu. Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata langkah berkenaan penting bagi melindungi kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan yang bergantung kepada pengangkutan darat dan laut untuk bekalan barangan. Katanya, berbanding negara jiran di ASEAN, Malaysia masih antara negara dengan harga petrol paling rendah. “Di Thailand, harga petrol boleh mencecah sekitar RM4 seliter, di Indonesia sekitar RM3 hingga RM3.50 seliter, manakala di Singapura boleh melebihi RM8 hingga RM10 seliter,” katanya. Sementara itu, Mustapha menyatakan harapannya agar rakyat memahami realiti ekonomi semasa dan menggunakan subsidi dengan lebih berhemah. “Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, kita perlu kekal tenang, tidak terpengaruh dengan spekulasi dan terus bersatu sebagai rakyat Malaysia. “Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kestabilan ekonomi negara dan melindungi kebajikan rakyat, namun menghadapi cabaran global hari ini memerlukan kerajaan dan rakyat bergerak sebagai satu pasukan dalam sebuah negara Malaysia yang berdaulat,” katanya. – Info X
March 14, 2026
Info X Reporters
Permohonan ‘stay of execution’ tidak jejas tuntutan 40% Sabah – Mustapha
KOTA KINABALU: Permohonan penggantungan pelaksanaan perintah mahkamah atau stay of execution yang difailkan Kerajaan Persekutuan tidak menjejaskan prinsip tuntutan 40 peratus pemberian khas kepada Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, permohonan itu sebaliknya bertujuan memberi ruang kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri meneruskan rundingan serta penelitian lebih terperinci berkaitan pengiraan hasil bersih Persekutuan daripada Sabah. Beliau berkata, isu tuntutan 40 peratus pemberian khas itu yang diperuntukkan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan adalah perkara penting kerana ia membabitkan hak perlembagaan negeri berkenaan. “Sejak keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan perkara ini ditangani secara menyeluruh melalui proses perundangan serta rundingan antara kedua-dua pihak. “Pada 14 November 2025, Jabatan Peguam Negara Malaysia memfailkan notis rayuan terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurut beliau, selaras dengan tindakan berkenaan, kerajaan Persekutuan turut memfailkan permohonan penggantungan pelaksanaan sebahagian perintah mahkamah di Mahkamah Rayuan Malaysia sementara menunggu keputusan rayuan. Katanya, sejak November 2025 beberapa siri mesyuarat turut diadakan melalui Jawatankuasa Rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah di peringkat pegawai bagi meneliti secara teknikal kaedah pengiraan serta verifikasi data hasil berkaitan. Dalam proses itu, katanya kerajaan Persekutuan telah berkongsi data hasil bersih yang diperoleh daripada Sabah bagi tempoh 2007 hingga 2025. “Pada masa sama, usaha sedang dijalankan untuk melengkapkan data bagi tempoh terdahulu, khususnya dari tempoh yang dikenali sebagai ‘The Lost Years’, yang sebahagian besar direkodkan secara manual dan memerlukan penelitian lanjut,” katanya. Beliau berkata, perbincangan juga sedang berlangsung bagi menentukan kaedah yang dipersetujui bersama dalam pengiraan pemberian khas berdasarkan formula 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah. Menurutnya, permohonan penggantungan pelaksanaan perintah mahkamah itu juga dibuat bagi memastikan rundingan yang sedang berjalan dapat diteruskan secara teratur serta memberi ruang kepada kedua-dua pihak mencapai penyelesaian yang adil dan menyeluruh untuk negeri berkenaan. Dalam pada itu, Mustapha berkata tempoh 180 hari berkaitan pelaksanaan perintah mahkamah berkenaan dijangka tamat pada 15 April 2026, manakala tarikh pendengaran rayuan masih belum ditetapkan. “Tanpa penggantungan tersebut, kedua-dua pihak berdepan risiko prosiding pengkomitan walaupun proses rayuan masih belum didengar,” katanya. Beliau berkata, permohonan penggantungan itu dijadualkan untuk didengar di Mahkamah Rayuan pada 31 Mac ini. Pada masa sama, beliau berkata pendirian kerajaan negeri Sabah dan Sabah Law Society (SLS) yang memilih untuk membantah permohonan stay of execution berkenaan wajar dihormati. Katanya, dalam sistem demokrasi dan perundangan yang matang, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang wajar serta sebahagian daripada proses semak dan imbang. “Namun saya percaya matlamat semua pihak adalah sama, iaitu memastikan hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terus dipelihara dan dilaksanakan secara adil demi kepentingan rakyat negeri ini,” katanya. – Info X
March 14, 2026
Info X Reporters
Isteri terkilan arwah suami tak sempat pakai baju raya
PAPAR: “Sehari sebelum puasa, arwah sudah membeli baju raya untuk kami sekeluarga… anak, saya dan dirinya sendiri.” Itu kata Nur Asyikin Omar, 28, isteri kepada Mohd Shahmezie Fazrin Roslee, 26, penunggang motosikal yang maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai terlanggar lubang di jalan sebelum hilang kawalan dan digilis lori di Kilometer 23, Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu, di sini, semalam. Menurut Nur Asyikin, sebelum kejadian arwah keluar bekerja seperti biasa di Marina Court, Kota Kinabalu tanpa menunjukkan sebarang perubahan. Katanya, anak mereka Putra Dhiya Danish yang berusia setahun sembilan bulan ketika itu tidak mahu berpisah dengan bapanya kerana sangat manja dengan arwah. “Tiada apa yang pelik ketika arwah pergi bekerja. Cuma anak memang tidak mahu melepaskan arwah kerana dia sangat manja dengan ayahnya,” katanya sebak. Nur Asyikin berkata, arwah suaminya juga mempunyai impian untuk membawa mereka menunaikan umrah bersama sebagai sebuah keluarga kecil. “Sudah beberapa kali arwah bersuara mahu kami menunaikan umrah bertiga… arwah, saya dan anak. “Sehari sebelum kejadian, arwah sempat meminta saya mencari ejen umrah kerana dia mahu kami menunaikan umrah bersama,” katanya. Menurutnya, kehilangan suami tercinta amat dirasai lebih-lebih lagi anak mereka yang masih kecil sering mencari-cari bapanya. “Saya sangat terasa kehilangan ini. Anak pula walaupun belum memahami apa yang berlaku, tetapi dia masih mencari-cari ayahnya,” katanya. Menurutnya, arwah juga seorang yang sangat suka bersedekah terutama pada bulan Ramadan. “Arwah selalu bercakap mengenai bersedekah. Bulan puasa ini pun dia ada merancang untuk menghantar makanan tapau ke surau dan masjid,” katanya. Nur Asyikin berkata, mereka mendirikan rumah tangga pada 2023 dan kini tinggal di Kampung Kuala Papar, di sini. Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang semalam, Mohd Shahmezie yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Marina Court, Kota Kinabalu, meninggal dunia selepas motosikal Yamaha Y15ZR ditunggangnya dipercayai terlanggar lubang di jalan sebelum hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 23, Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu. Mangsa yang datang dari arah Papar menuju ke Kota Kinabalu dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapannya sebelum motosikalnya terlanggar lubang di permukaan jalan sehingga menyebabkan dia terjatuh dan termasuk ke bawah tayar lori berkenaan. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Papar akibat kecederaan parah. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X