March 14, 2026
Info X Reporters
ESSCOM rampas rokok seludup, mercun bernilai RM850,000 di Kinabatangan
KINABATANGAN: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berjaya merampas 4,486 karton rokok kretek dan rokok putih pelbagai jenama serta 143 karton mercun dengan nilai anggaran selepas cukai sebanyak RM850,000 dalam serbuan di Kampung Paris III, di sini pada 11 Mac lalu. Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, rampasan itu dilakukan hasil maklumat awam berkaitan aktiviti penyeludupan rokok sebelum pemeriksaan dan serbuan mengejut dijalankan di tiga premis tidak bernombor di kampung berkenaan. Katanya, antara jenama rokok yang dirampas ialah Astro Merah, Neslite, Astro Fuze, Era Biru, L.A Bold, Nice, Extreme Mild, A Satu Premium dan Tembakau Salak. “Semua rokok itu disembunyikan sama ada di dalam kotak atau plastik dan dipercayai melanggar Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017. “Barang rampasan membabitkan rokok kretek, rokok putih serta mercun itu telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, kejayaan operasi itu mencerminkan komitmen berterusan ESSCOM dalam membanteras serta mengurangkan jenayah rentas sempadan (JRS) di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone). Menurutnya, ESSCOM akan terus mempergiat operasi khas dan meningkatkan koordinasi bersama agensi keselamatan lain bagi mengekang sebarang elemen yang boleh mengganggu keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan awam di kawasan berkenaan. Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti atau insiden mencurigakan kepada Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072. – Info X
March 14, 2026
Info X Reporters
19 pertuduhan kes elektrik direkodkan, ECoS kutip denda RM190,000
KOTA KINABALU: Energy Commission of Sabah (ECoS) terus mempergiat penguatkuasaan undang-undang tenaga di negeri ini apabila sebanyak 19 pertuduhan direkodkan di Mahkamah Sesyen Sandakan dan Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dengan jumlah denda keseluruhan RM190,000 sejak Januari hingga Mac tahun ini. Menurut ECoS, daripada jumlah itu, 10 pertuduhan difailkan di Mahkamah Sesyen Sandakan manakala sembilan lagi di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan bekalan elektrik. Di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, lima kes berkaitan Enakmen Bekalan Elektrik 2024 (EBE 2024) disebut semula pada 13 Mac lalu. Dalam satu kes, syarikat Maribumi Sdn Bhd didenda RM11,000 selepas didapati sebagai kontraktor utama yang menjalankan pemasangan tiang konkrit gentian optik berhampiran talian elektrik voltan tinggi 11kV milik Sabah Electricity tanpa kebenaran sah. Tindakan itu menyebabkan kemalangan elektrik sehingga mengakibatkan kecederaan kekal kepada seorang pekerja. Sementara itu, syarikat MBS Tuning dikenakan denda RM20,000 bagi kesalahan penyambungan elektrik secara haram selain denda RM5,000 lagi kerana menjalankan pendawaian tanpa kebenaran pemegang lesen. Tiga kes lain membabitkan individu dan syarikat iaitu Mahadi Santa, Kemas Handal Sdn Bhd serta CCV Retail Sdn Bhd pula tidak mengaku bersalah dan memohon untuk dibicarakan. Mahkamah menetapkan ikat jamin antara RM5,000 hingga RM20,000 dengan tarikh sebutan semula kes pada April depan. Dalam perkembangan lain, syarikat World Trend Garden Furniture Sdn Bhd sebelum ini mengaku bersalah atas kesalahan penyambungan haram elektrik dan didenda RM25,000. Di Mahkamah Sesyen Sandakan pula, sesi pendakwaan pada 10 Mac membabitkan kes usikan pepasangan meter di empat premis milik Ori Taste Restaurant Sdn Bhd yang membawa kepada tujuh pertuduhan dengan jumlah denda keseluruhan RM92,000. Selain itu, seorang pemilik rumah di Astana Heights, Ng Kooi Huat, didenda RM12,000 bagi dua kesalahan berkaitan manipulasi meter dan pendawaian tanpa kebenaran. Seorang lagi individu, Tan Siak Eam dari V-One Dance Club turut dikenakan denda RM25,000 atas kesalahan mengusik pepasangan meter. Semua prosiding kes dikendalikan oleh pegawai pendakwa ECoS, Andryeno Thomas dan kesemua denda serta ikat jamin telah dijelaskan sepenuhnya oleh pihak terbabit. ECoS menegaskan komitmen berterusan agensi itu untuk memperkukuh penguatkuasaan undang-undang tenaga bagi memastikan pematuhan semua pihak serta mengekalkan integriti sistem bekalan elektrik di Sabah. – Info X
March 14, 2026
Info X Reporters
Penunggang motosikal maut digilis lori selepas langgar jalan berlubang
PAPAR: Seorang penunggang motosikal maut digilis lori selepas motosikal ditungganginya dipercayai melanggar lubang sebelum hilang kawalan dalam kejadian di Kilometer 23, Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, mangsa Mohd Shahmezie Fazrin Roslee, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR datang dari arah Papar menuju ke Kota Kinabalu. Menurutnya, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah lori jenis tipper yang berada di hadapannya. “Ketika cubaan memotong, motosikal mangsa dipercayai terlanggar lubang di permukaan jalan menyebabkan dia hilang kawalan sebelum terbabas dan termasuk ke bawah tayar lori terbabit. “Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Papar, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Heryan berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. “Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, tidak memandu atau menunggang secara berbahaya serta memastikan memiliki lesen memandu yang sah. “Pengguna jalan raya juga diingatkan supaya lebih berhati-hati terutama ketika musim perayaan kerana jumlah kenderaan di jalan raya semakin meningkat. “Keselamatan di jalan raya bukan sahaja bergantung kepada keadaan jalan, tetapi juga disiplin dan sikap pengguna jalan raya itu sendiri,” katanya. Sementara itu, Heryan berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar atau pegawai penyiasat kes. – Info X
March 13, 2026
Info X Reporters
Remaja ditemukan lemas, dipercayai terjatuh ke laut
SANDAKAN: Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke laut dalam kejadian di Kampung Tinosa, Batu 7, di sini, petang semalam. Mangsa dikenali sebagai Mohd Mahadir Danish Abdullah, 15, ditemui oleh sepupunya dalam keadaan tertiarap di bawah jambatan dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu. Difahamkan, sebelum kejadian itu, mangsa yang tinggal bersama ibu saudaranya di kampung berkenaan memberitahu mahu keluar membeli barang bersama rakan-rakannya. Mangsa dipercayai terjatuh ke laut sebelum ibu saudaranya meminta bantuan sepupu mangsa serta penduduk kampung untuk mencarinya. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata ketika pasukan polis tiba di lokasi kejadian, mangsa terbaring di atas jambatan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Katanya, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi seterusnya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. “Pemeriksaan awal ke atas badan mangsa mendapati tiada kesan kecederaan dikesan. Setakat ini, tiada unsur jenayah atau sangkaan khianat yang disyaki berlaku. “Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat. Siasatan masih diteruskan untuk mengetahui punca kematian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. George berkata, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Info X
March 13, 2026
Info X Reporters
Dugaan Ramadan, tujuh rumah musnah terbakar, persiapan Aidilfitri turut hangus
PUTATAN: Dugaan Ramadan buat beberapa keluarga apabila tujuh rumah jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Sekambu Petagas, di sini, petang ini. Lebih menyedihkan, ada antara mangsa sudah membuat persiapan awal Aidilfitri termasuk membeli barangan keperluan raya, namun semuanya musnah dijilat api sedangkan hari lebaran hanya berbaki beberapa hari lagi. Kebakaran itu memusnahkan keseluruhan tujuh rumah jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 960 meter persegi setiap satu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.01 petang. Beliau berkata, susulan itu jentera dari BBP Putatan, Kota Kinabalu dan Penampang digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 16 kilometer dari balai. “Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 3.10 petang selepas pasukan bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran daripada terus merebak. “Seramai 34 anggota bomba bersama beberapa jentera termasuk FRT, LFRT dan Water Tanker terbabit dalam operasi pemadaman dengan bantuan PDRM, SESB dan bomba komuniti,” katanya. Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan cedera, manakala operasi kini tertumpu kepada memadamkan bara-bara api dan memastikan kebakaran tidak kembali merebak. “Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya. – Info X
March 13, 2026
Info X Reporters
Isu Pan Borneo terus disuarakan selagi belum siap – Matbali
KOTA KINABALU: Isu berkaitan Projek Lebuhraya Pan Borneo, khususnya membabitkan jajaran Sindumin-Melalia-Beaufort akan terus disuarakan selagi belum disiapkan. Perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah ketika mengulas perkembangan projek itu yang belum siap setelah bertahun-tahun dilaksanakan. Katanya, beliau akan terus mengangkat isu itu sehingga ia selesai sepenuhnya kerana pelaksanaan keseluruhan projek berkenaan di Sabah sudah jauh ketinggalan berbanding di Sarawak. Sehubungan itu, katanya, beliau akan membawa isu berkenaan sekali lagi dalam perbahasan Dewan Rakyat pada Jun depan. “Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah penting untuk disiapkan segera kerana ia menjadi nadi perhubungan utama yang sekali gus menjadi pemangkin pembangunan ekonomi negeri,” katanya ketika ditemui pada majllis Iftar Ramadan bersama media, di sini, pada Khamis. Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM), berkata isu projek Lebuhraya Pan Borneo sering menjadi fokus perbahasannya di Parlimen, demi untuk menyampaikan suara naluri hati rakyat di Sabah. “Selepas beberapa kali saya bangkitkan di Parlimen, memang ada kemajuan dari segi pelaksanaan projek ini. “Justeru kita akan terus pantau perkembangannya, terutama di kawasan Parlimen Sipitang, iaitu jajaran Sindumin-Melalia-Beaufort,” katanya. Beliau berkata dengan cara itu, Kerajaan Persekutuan dapat memberikan jawapan dan perkembangan terkini pelaksanaannya dari semasa ke semasa. Pada 3 Mac lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan kerajaan telah mengenakan penalti ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) berjumlah RM31.8 juta terhadap dua kontraktor bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang gagal menyiapkan kerja dalam tempoh ditetapkan. Menurut Ahmad Maslan, sebanyak 23 pakej kerja dikenal pasti lewat berbanding jadual asal pelaksanaan projek infrastruktur mega berkenaan. “Kelewatan itu dipengaruhi beberapa faktor utama termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu, cabaran pengambilan balik tanah, isu pengalihan utiliti serta prestasi kontraktor di tapak,” katanya. Jajaran Sindumin-Melalia-Beaufort di Parlimen Sipitang yang merangkumi dua pakej kerja adalah antara laluan Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang ‘bermasalah’ kerana lewat berbanding jadual asal setelah dilaksanakan sejak hampir 10 tahun lalu. – Info X
March 13, 2026
Info X Reporters
114 PATI warga Indonesia dihantar pulang
TAWAU: Seramai 114 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau, di sini, dalam Program Pemindahan Tahanan PATI yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan pemindahan melalui laluan laut itu membabitkan 78 lelaki dewasa, 26 wanita dewasa, enam kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan yang dihantar pulang ke Nunukan, Indonesia. “Semua Orang Yang Dipindahkan (OYD) berkenaan adalah sebahagian daripada siri pemindahan keempat yang dilaksanakan bagi mengurangkan jumlah tahanan PATI di depot tahanan imigresen di negeri ini. “Program pemindahan berkenaan turut diiringi pegawai Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau bagi memastikan proses penghantaran pulang berjalan lancar,” katanya. Menurut kenyataan itu lagi, sehingga kini, seramai 1,653 tahanan PATI berjaya dipindahkan dari Sabah ke negara asal masing-masing. “Berdasarkan statistik JIM Sabah, warga Filipina mencatatkan peratusan tertinggi dipindahkan iaitu 55 peratus, diikuti warganegara Indonesia sebanyak 38 peratus, Pakistan empat peratus, China dua peratus dan lain-lain warganegara satu peratus,” katanya. Dalam masa sama, JIM Sabah menyeru masyarakat supaya lebih peka terhadap persekitaran komuniti dan tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI. “Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PATI melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia termasuk portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya,” katanya. – Info X
March 13, 2026
Info X Reporters
Pek juadah buka puasa kepada ‘frontliner’, pengunjung HQE
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah mengagihkan sebanyak 500 pek juadah berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan serta pengunjung di Hospital Queen Elizabeth (HQE1), di sini, pada Khamis. Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, inisiatif itu sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan petugas kesihatan yang terus komited memberikan perkhidmatan kepada pesakit tanpa mengira masa, termasuk sepanjang Ramadan. Katanya, agihan juadah berkenaan turut membantu pengunjung yang menziarahi ahli keluarga di hospital supaya dapat berbuka puasa dengan lebih mudah. “Program ini sekurang-kurangnya dapat memberi keceriaan kepada petugas barisan hadapan dan pengunjung yang berada di hospital, selain meringankan sedikit beban mereka untuk mendapatkan hidangan berbuka puasa. “Kita memilih Hospital Queen Elizabeth sebagai lokasi program pada tahun ini bagi menghargai pengorbanan kakitangan hospital yang sentiasa tekun memberikan rawatan terbaik kepada pesakit,” katanya. Beliau berkata, program itu juga diharap dapat merapatkan hubungan antara kementerian dan masyarakat selain menyemarakkan semangat berkongsi rezeki sepanjang Ramadan. Tambahnya, selain program di hospital, kementerian turut melaksanakan pengagihan bubur lambuk di Kompleks Sukan Likas sebagai sebahagian daripada inisiatif Ramadan kementerian pada tahun ini. Sementara itu, Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Datuk Dr Abd Kahar Abd Asis merakamkan penghargaan kepada kementerian berkenaan atas keprihatinan terhadap petugas hospital. Beliau berkata, hospital itu beroperasi 24 jam setiap hari tanpa mengira hari biasa, cuti umum atau bulan puasa bagi memastikan perkhidmatan rawatan kepada pesakit sentiasa berjalan lancar. Menurutnya, Hospital Queen Elizabeth mempunyai kira-kira 4,000 kakitangan yang bertugas secara tiga syif, dengan antara 1,000 hingga 1,500 petugas berada dalam satu-satu syif. “Setiap hari hospital ini menerima kira-kira 2,000 pesakit luar dan sekitar 700 pesakit dalam, tidak termasuk kira-kira 2,500 pengunjung yang datang melawat pesakit,” katanya. Beliau turut memaklumkan hospital itu menyediakan kira-kira 1,500 petak parkir, namun jumlah itu masih tidak mencukupi berikutan jumlah kakitangan, pesakit dan pengunjung yang tinggi setiap hari. – Info X