Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 13, 2026

Info X Reporters

Rokok seludup RM204,000 dirampas di rumah kampung

SANDAKAN: Kegiatan menyimpan dan memunggah rokok seludup di sebuah rumah di Kampung Sungai Kayu, Batu 7, di sini, terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan menyerbu lokasi berkenaan dalam operasi malam tadi. Dalam operasi kira-kira jam 7.30 malam itu, pasukan PPM bertindak hasil maklumat orang awam yang memaklumkan mengenai aktiviti penyeludupan serta pemunggahan rokok tidak berkastam di kawasan berkenaan. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, sepasukan anggota PPM Sandakan kemudian menjalankan pemantauan di sekitar rumah terbabit sebelum mengambil tindakan pemeriksaan lanjut. “Hasil pemantauan yang dijalankan selama beberapa jam mendapati tiada sebarang aktiviti mencurigakan dikesan di kawasan itu. “Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan menemui beberapa bungkusan plastik berwarna hitam yang diletakkan di ruang rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, pemeriksaan ke atas bungkusan terbabit mendapati ia mengandungi pelbagai jenis rokok yang disyaki tidak berkastam antaranya rokok putih jenama Era Ice Plus, Satos Black Menthol dan Satos Blue. Beliau berkata, anggaran nilai keseluruhan rampasan rokok berkenaan dianggarkan kira-kira RM204,000. “Semua barang rampasan kemudian dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya. Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan operasi berkenaan. Katanya, orang ramai diminta terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara. – Info X

March 13, 2026

Info X Reporters

Pek juadah buka puasa kepada ‘frontliner’, pengunjung HQE

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah mengagihkan sebanyak 500 pek juadah berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan serta pengunjung di Hospital Queen Elizabeth (HQE1), di sini, pada Khamis. Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, inisiatif itu sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan petugas kesihatan yang terus komited memberikan perkhidmatan kepada pesakit tanpa mengira masa, termasuk sepanjang Ramadan. Katanya, agihan juadah berkenaan turut membantu pengunjung yang menziarahi ahli keluarga di hospital supaya dapat berbuka puasa dengan lebih mudah. “Program ini sekurang-kurangnya dapat memberi keceriaan kepada petugas barisan hadapan dan pengunjung yang berada di hospital, selain meringankan sedikit beban mereka untuk mendapatkan hidangan berbuka puasa. “Kita memilih Hospital Queen Elizabeth sebagai lokasi program pada tahun ini bagi menghargai pengorbanan kakitangan hospital yang sentiasa tekun memberikan rawatan terbaik kepada pesakit,” katanya. Beliau berkata, program itu juga diharap dapat merapatkan hubungan antara kementerian dan masyarakat selain menyemarakkan semangat berkongsi rezeki sepanjang Ramadan. Tambahnya, selain program di hospital, kementerian turut melaksanakan pengagihan bubur lambuk di Kompleks Sukan Likas sebagai sebahagian daripada inisiatif Ramadan kementerian pada tahun ini. Sementara itu, Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Datuk Dr Abd Kahar Abd Asis merakamkan penghargaan kepada kementerian berkenaan atas keprihatinan terhadap petugas hospital. Beliau berkata, hospital itu beroperasi 24 jam setiap hari tanpa mengira hari biasa, cuti umum atau bulan puasa bagi memastikan perkhidmatan rawatan kepada pesakit sentiasa berjalan lancar. Menurutnya, Hospital Queen Elizabeth mempunyai kira-kira 4,000 kakitangan yang bertugas secara tiga syif, dengan antara 1,000 hingga 1,500 petugas berada dalam satu-satu syif. “Setiap hari hospital ini menerima kira-kira 2,000 pesakit luar dan sekitar 700 pesakit dalam, tidak termasuk kira-kira 2,500 pengunjung yang datang melawat pesakit,” katanya. Beliau turut memaklumkan hospital itu menyediakan kira-kira 1,500 petak parkir, namun jumlah itu masih tidak mencukupi berikutan jumlah kakitangan, pesakit dan pengunjung yang tinggi setiap hari. – Info X

March 13, 2026

Info X Reporters

Awang Kadin pemangku Presiden SAFA hingga akhir 2026

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Awang Kadin Tang, dilantik sebagai pemangku Presiden SAFA sehingga akhir tahun ini. Setiausaha Agung SAFA, Shamsuddin Mohd Shah, berkata pelantikan itu diputuskan sebulat suara pada Mesyuarat Eksekutif SAFA selepas Presiden, Datuk Ir Shahelmey Yahya, meletakkan jawatan berkuatkuasa pada 1 Januari lalu. Katanya, Awang Kadin memangku jawatan tertinggi badan bola sepak Sabah itu hingga tamat penggal pentadbiran semasa. “Untuk tempoh sepanjang tahun ini tiada pemilihan baharu kerana jika diadakan sekarang, SAFA perlu mengadakan dua kali Mesyuarat Agung Tahunan (AGM). “Oleh itu, kita membuat keputusan untuk mengadakan pemilihan pada hujung tahun nanti,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat. Shamsuddin berkata, pada AGM itu nanti, SAFA akan membubarkan barisan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) sedia ada sebelum melantik kepimpinan baharu termasuk Presiden dan Naib-Naib Presiden bagi empat tahun berikutnya. Beliau berkata, perkembangan baharu SAFA itu juga sudah dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan Rantau Sabah. Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan sebelum ini menggantikan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meletak jawatan sebagai Presiden SAFA pada 2023. – Info X

March 12, 2026

Info X Reporters

BERSATU Beluran hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin, umum tinggalkan parti

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Beluran menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selalu presiden parti itu. Menerusi satu kenyataan pada Khamis Setiausaha BERSATU Bahagian Beluran, Hamdan Tarawie, berkata parti itu pada asalnya diasaskan atas semangat perjuangan untuk mempertahankan kepentingan rakyat, memperjuang integriti politik dan membela nasib Bumiputera khususnya di Sabah. Bagaimanapun, katanya apa yang berlaku sejak kebelakangan ini menunjukkan parti itu semakin jauh daripada matlamat asal berkenaan. “Sebaliknya, parti kini dilihat lebih tertumpu kepada agenda peribadi untuk mengangkat Presiden sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri, sehingga segala keputusan dan tindakan dalam parti dilihat berpaksikan kepentingan itu. “Budaya perbezaan pandangan tidak lagi diraikan, malah dilihat sebagai ancaman kepada kedudukan kepimpinan,” katanya. Beliau berkata, pihaknya juga memandang serius pemecatan dan tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin utama parti, termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan terkini Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Wira Mas Ermieyati. Tindakan itu, katanya jelas memperlihatkan lembaga disiplin parti digunakan sebagai alat politik untuk menyingkirkan mereka yang dilihat tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi. “Amalan ini bukan saja menjejaskan prinsip keadilan dalam parti, malah menghakis kepercayaan ahli terhadap ketelusan dan integriti proses disiplin yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik. “Lebih membimbangkan, dalam keghairahan mengejar agenda politik sempit ini, isu-isu perjuangan rakyat Sabah, khususnya Bumiputera Sabah, semakin diketepikan. “Perjuangan yang sepatutnya menjadi teras kepada kehadiran parti di Sabah kini tidak lagi diberikan keutamaan yang sewajarnya,” katanya. Jelasnya, sebagai pemimpin akar umbi yang bertanggungjawab kepada ahli di peringkat bahagian dan masyarakat, pihaknya tidak boleh terus berdiam diri melihat parti itu menyimpang daripada perjuangan asalnya. “Sehubungan itu, setelah mempertimbangkan keadaan ini dengan penuh tanggungjawab dan rasa berat hati, kami kesemua Ahli Jawatankuasa Bahagian Bersatu Beluran dengan ini mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan parti serta meletakkan keahlian kami dalam Parti Bersatu dengan serta-merta. “Keputusan ini bukanlah satu keputusan yang mudah, namun ia diambil demi mempertahankan prinsip perjuangan dan maruah politik yang kami pegang selama ini. “Kami percaya perjuangan untuk rakyat, khususnya Bumiputera Sabah, mesti diteruskan atas landasan yang lebih jujur, berprinsip dan bebas daripada kepentingan peribadi mana-mana individu,” katanya. – Info X

March 12, 2026

Info X Reporters

Kurangkan kebergantungan tenaga konvensional, tumpu sumber lestari – KM

TUARAN: Kerajaan negeri berhasrat mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional dan beralih kepada sistem tenaga yang lebih pelbagai, lestari, serta mesra alam. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah itu selari dengan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), yang menjadi kompas strategik dalam merancang masa depan tenaga Sabah secara holistik. “Melalui usaha perluasan penggunaan tenaga boleh baharu seperti solar dan hidro, kita bukan saja mengimbangi campuran tenaga negeri, malah membina daya tahan yang kental dalam menghadapi cabaran global dan krisis iklim. “Usaha ini adalah pelaburan kita untuk memastikan Sabah kekal hijau dan makmur untuk dekad-dekad akan datang,” katanya pada majlis pelancaran projek solar skala besar 15MW Tuaran dan Iftar Ramadan SEC di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah di Kampung Lok Batik, di sini, pada Khamis. Ketua Menteri berkata pelancaran projek Solar Skala Besar 15MW itu adalah bukti jelas sinergi di antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC), terutamanya Sabah Energy Corporation (SEC) dengan visi dasar negeri. Beliau memuji SEC atas projek solar keduanya, menyusuli projek 5MW di Labuan yang membuktikan kredibiiti dan kemampuan teknikal serta komersial SEC dalam menerajui sektor tenaga boleh baharu. “Projek solar ini bukan sekadar menambah kapasiti 15 MW kepada sistem tenaga negeri, malah ia membawa signifikan yang lebih besar dalam transformasi struktur tenaga Sabah,” katanya. Hajiji berkata sepanjang fasa pembinaan, seramai 150 tenaga kerja terlibat secara langsung, termasuk tenaga kerja tempatan. Katanya, ia menjadi platform terbaik bagi anak tempatan menimba pengalaman industri dan menguasai pemindahan kemahiran dalam teknologi tenaga boleh baharu. “Lebih bermakna lagi, apabila projek ini beroperasi sepenuhnya, ia dijangka mewujudkan 50 peluang pekerjaan baharu merangkumi bidang operasi, penyelenggaraan, teknikal dan sokongan pentadbiran. “Inisiatif ini bukan saja mampu meningkatkan pendapatan isi rumah, malah memperkukuh ekosistem tenaga hijau di Sabah. “Inilah intipati pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 iaitu pembangunan yang bukan sekadar angka tetapi pertumbuhan yang menjana peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran rakyat dan memberi limpahan ekonomi terus kepada komuniti setempat,” katanya. Ketua Menteri berkata projek itu memberi isyarat jelas bahawa Sabah komited memperkukuh keselamatan tenaga negeri. Jelasnya, Sabah tidak boleh ketinggalan dalam arus perubahan itu dan ia harus memastikan pembangunan ekonomi berjalan seiring dengan pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang. “Kerajaan negeri kekal komited dalam memperkasakan agenda pembangunan negeri kini di bawah kerangka Hala Tuju SMJ 2.0 dan dalam usaha menjayakan agenda besar ini, sektor tenaga berdiri sebagai nadi yang paling kritikal,” katanya. – Info X

March 12, 2026

Info X Reporters

Kerajaan negeri fail bantahan penangguhan perintah mahkamah berkaitan hak 40 peratus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memgemukakan bantahan terhadap permohonan difailkan Peguam Negara bagi mendapatkan penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025. Ia berkaitan semakan dan penentuan hak negeri Sabah terhadap 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri ini sejak 1974 hingga 2021 (tahun-tahun yang hilang). Perkara itu disahkan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah menerusi satu kenyataan media hari ini. Menerusi kenyataan itu, Peguam Besar Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh, berkata Perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan bersama Kerajaan Sabah bagi melaksanakan pemberian khas 40 peratus. Keputusan itu, katanya selaras dengan kerangka perlembagaan bagi tahun-tahun yang hilang dan untuk mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari, iaitu selewat-lewatnya pada 15 April 2026. “Sejak keputusan itu dikeluarkan, Kerajaan Negeri Sabah dengan sepenuhnya kekal komited mematuhi isi dan maksud keputusan Mahkamah Tinggi itu. “Kerajaan Negeri Sabah secara konsisten turut terbabit dalam proses libat urus bersama pihak berkuasa Persekutuan yang berkaitan dan beberapa mesyuarat serta perbincangan teknikal diadakan bagi sesi bertukar maklumat, membuat pengesahan data serta pertimbangan terhadap kaedah-kaedah yang sesuai bagi menentukan jumlah Pemberian Khas 40 peratus kepada Kerajaan Negeri Sabah,” katanya. Beliau berkata, kerajaan Sabah sudah melaksanakan semua sesi perbincangan itu secara konstruktif, telus dan dengan niat yang baik agar objektif untuk mencapai suatu penyelesaian yang adil, berprinsip serta boleh diterima secara bersama dalam tempoh masa ditetapkan Mahkamah Tinggi. Justeru itu, katanya Kerajaan Sabah juga mengemukakan beberapa cadangan dan kerangka kerja bagi membantu pihak yang berkaitan untuk mencapai persetujuan bersama. “Kerajaan Sabah tiada melakukan sebarang penangguhan kelewatan mahupun tidak memberi kerjasama dalam melaksanakan Perintah Mahkamah Tinggi. Sebaliknya, kerajaan negeri mengambil langkah yang aktif dan berterusan bagi memastikan proses diperintahkan Mahkamah Tinggi itu dapat dilaksanakan secara teratur dan produktif. “Sehubungan dengan itu, Kerajaan Sabah kekal bersedia, bersetuju dan berkeupayaan untuk terus berunding dengan pihak Kerajaan Persekutuan secara konstruktif dengan tujuan mencapai suatu keputusan yang dipersetujui bersama selaras peruntukan Perlembagaan yang mengawal Pemberian Khas serta terma Perintah Mahkamah Tinggi,” katanya. Dalam pada itu, Brenndon berkata Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan suatu mekanisme perlembagaan yang jelas sekiranya pihak-pihak gagal untuk mencapai persetujuan. Peruntukan itu, katanya menghendaki pelantikan seorang penilai bebas, yang mana syor-syor yang dikemukakan berhubung perkara itu hendaklah mengikat kerajaan dan dilaksanakan seolah-olah syor itu sudah menjadi persetujuan. “Jaminan perlembagaan ini memastikan proses semakan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dapat diselesaikan secara teratur walaupun tiada persetujuan bersama dapat dicapai. “Memandangkan perbincangan masih berlangsung dan mengambil kira tempoh masa yang ditetapkan oleh mahkamah semakin hampir, Kerajaan Sabah berpendapat kedua-dua pihak perlu terus menumpukan perhatian serta mempergiatkan lagi usaha memenuhi terma Perintah Mahkamah Tinggi,” katanya. Kedua-dua pihak juga katanya perlu bekerjasama untuk mencapai suatu penyelesaian yang adil dalam tempoh masa yang ditetapkan. “Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah sentiasa mengambil langkah undang-undang yang sewajarnya bagi melindungi hak dan kepentingan Sabah. “Dalam masa yang sama menyokong prinsip kedaulatan undang-undang, prinsip perlembagaan dan semangat kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah,” katanya. – Info X

March 12, 2026

Info X Reporters

Lelaki ditahan jual bahagian hidupan liar dilindungi

TUARAN: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menjual beberapa bahagian hidupan liar dilindungi di sebuah gerai di tapak Tamu Tenghilan, di sini, dalam Operasi KUKU yang dijalankan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, pagi tadi. Penahanan lelaki tempatan berusia 30 tahun itu dibuat dalam operasi pemeriksaan penguatkuasaan oleh pasukan Rapid Response Team (RRT) JHL Sabah, jam 8.05 pagi. Pengarah JHL Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat Unit Risikan JHL mengenai aktiviti penjualan bahagian hidupan liar di kawasan tamu berkenaan. Menurutnya, pemeriksaan di gerai suspek menemukan beberapa bahagian haiwan dilindungi yang dipercayai dipamerkan untuk dijual secara haram. “Antara yang dirampas adalah dua kuku beruang madu, satu bahagian tangan beruang madu, satu gigi beruang madu, satu keping sisik tenggiling, satu tanduk kijang serta 16 duri landak. “Suspek kemudian ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (EPHL 1997),” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, di bawah enakmen berkenaan, sebarang aktiviti perdagangan hidupan liar yang dilindungi perlu mendapatkan lesen atau permit sah daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah. Menurutnya, bagaimanapun tiada sebarang permit dikeluarkan bagi perdagangan, pemilikan atau penyimpanan spesies beruang madu dan tenggiling kerana kedua-duanya berada dalam kategori Dilindungi Sepenuhnya. “Mana-mana individu yang didapati memiliki, menyimpan, menjual atau memperdagangkan spesies berkenaan atau mana-mana bahagiannya tanpa kebenaran adalah melakukan kesalahan di bawah EPHL 1997. “Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun,” katanya. – Info X

March 12, 2026

Info X Reporters

ESSCOM tahan 20 PATI warga Filipina, China dalam operasi bersepadu di Semporna

SEMPORNA: Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan China ditahan dalam Operasi Bersepadu Daerah Semporna yang diselaraskan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) pada 10 Mac hingga semalam. Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi itu dijalankan susulan aduan orang awam mengenai penglibatan warga asing yang dipercayai mengendalikan aktiviti pelancongan serta perniagaan tanpa lesen di sekitar daerah berkenaan. Menurutnya, seramai 231 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa terbabit dalam operasi berkenaan yang turut memeriksa 41 resort dan premis perniagaan di sekitar bandar serta perairan Semporna. “Hasil pemeriksaan ke atas 48 individu, seramai 20 dikenal pasti sebagai PATI sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Semporna untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, operasi itu turut mengesan pelbagai kesalahan oleh agensi penguat kuasa dengan nilai keseluruhan hasil penguatkuasaan dan rampasan dianggarkan mencecah RM491,413.76. Katanya, operasi bersepadu berkenaan adalah sebahagian daripada pelaksanaan Operasi SANGGAH ESSCOM bagi memperkukuh kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE). Victor menegaskan ESSCOM akan terus memperhebat operasi selaras dengan pendekatan ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan di Sabah Timur kekal terpelihara. Operasi itu diketuai Ketua Staf Bahagian Operasi Darat (BOD), Datuk Habibi Majinji dengan bantuan Senior Asisten Komisioner (SAC) Shariman Asri. – Info X