March 12, 2026
Info X Reporters
Pegawai AADK dituduh kemuka dokumen palsu dapatkan bayaran RM19,440
KOTA KINABALU: Seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran berjumlah RM19,440, pada 2018 hingga 2019. Tertuduh, Bakri Bibi, 53, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elsie Primus ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, pada Khamis. Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Bakri didakwa dengan niat curang menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran perkhidmatan makan dan minum untuk program anjuran AADK di Kunak berjumlah RM9,700 pada Ogos 2018 hingga April 2019. Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu bagi tujuan yang sama untuk tuntutan makan dan minum program AADK di Tawau sebanyak RM4,500 pada 1 April 2019. Pertuduhan kelima dan keenam pula membabitkan dakwaan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan bayaran perkhidmatan membekal bahan binaan aktiviti gotong-royong bersama komuniti di Tawau berjumlah RM5,240 pada 23 April 2019. Berikutan itu, Bakri berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama. Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsham Shaharom, manakala tertuduh diwakili peguam Zahir Shah. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan RM4,000 sebagai deposit dan seorang penjamin tempatan. Selain itu, tertuduh turut diperintah melapor diri di pejabat SPRM dua bulan sekali, menyerahkan pasport antarabangsa dan pasport terhad serta tidak boleh mengganggu saksi dan proses perbicaraan. Mahkamah menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
Misteri bau busuk bongkar penemuan mayat lelaki
KINARUT: Misteri bau busuk yang dihidu penghuni sebuah kondominium di kawasan Puncak Gloxinia, di sini, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di kediamannya, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, lelaki tempatan berusia 32 tahun ditemui terbaring di ruang tamu kediaman berkenaan selepas pintu rumah dibuka dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai bau tidak menyenangkan yang dipercayai datang dari sebuah rumah di kawasan berkenaan. Menurutnya, susulan maklumat itu, polis bersama JBPM bertindak membuka pintu rumah yang berkunci sebelum menemui lelaki terbabit dalam keadaan tidak bernyawa. “Hasil pemeriksaan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang tanda yang menunjukkan berlakunya unsur jenayah. “Selain itu, barang-barang peribadi milik si mati juga masih berada di dalam rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian sebenar. “Kes berkenaan setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan. “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi IPD Papar atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
Segerakan pelan tindakan tangani kesan ekonomi global akibat perang – Masiung
KOTA KINABALU: Kelab Penyokong Kerajaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mengingatkan kerajaan supaya menyediakan pelan tindakan segera bagi mendepani kesan ekonomi global berikutan ketegangan yang memuncak di Asia Barat. Pengerusinya, Datuk Masiung Banah, menegaskan sepatutnya kerajaan Pusat sepatutnya sudah mengariskan langkah jangka pendek dan sederhana menghadapi kenaikan drastik harga minyak mentah dunia. Beliau berkata, harga barangan keperluan termasuk bahan makanan pasti meningkat naik apabila harga minyak melambung. “Jika kerajaan lambat bertindak tanpa pelan tindakan awal, akhirnya peniaga akan mengambil kesempatan dan kenaikan harga barang keperluan harian menjadi tidak terkawal. “Kenaikan mendadak minyak mentah global berpotensi mencetuskan kesan inflasi berganda yang akhirnya meningkatkan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata, ketegangan geopolitik dan perang di antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran turut menjejaskan laluan perdagangan utama dunia di Selat Hormuz, sekali gus menimbulkan kesan fiskal kenaikan bahan mentah di Malaysia. Masiung yang juga Wakil Rakyat Kuamut, mengesa Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi Malaysia melaksanakan dasar fiskal ekoran peperangan tersebut. “Kesan harga bahan api dan barang import sudah mulai terasa di kalangan rakyat. “Sekiranya peperangan berlanjutan, kerajaan harus bersedia dengan pelan fiskal tambahan bagi memastikan rakyat tidak terbeban,” katanya. Beliau menjangkakan tekanan kewangan kepada kerajaaan juga akan meningkat termasuk kemungkinan pertambahan defisit perbelanjaan kerajaan. Pengerusi Kumpulan SEDCO itu berkata, keadaan lebih kritikal apabila harga diesel meningkat, kos pengangkutan dan logistik turut meningkat dan akhirnya memberi impak kepada harga barangan di pasaran tempatan. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
Penunggang motosikal maut, rakan parah
BEAUFORT: Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 19 Jalan Beaufort – Papar berhampiran Taman Emas Takapan, malam tadi. Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, mangsa, Herrvin Rowell Sylvester, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pembonceng Muhammad Syahdan Saiffudin Shamsul, 14, yang cedera parah dihantar ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Modenas Kriss dan sebuah kereta Perodua Ativa. Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa bersama seorang pembonceng dalam perjalanan dari arah Papar menuju ke Beaufort. “Pada masa sama, kereta Perodua Ativa yang dipandu seorang lelaki warga Korea berusia 20 tahun bersama tiga penumpang lain datang dari arah bertentangan. “Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara depan dengan motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, impak pelanggaran menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke dalam parit bersama kenderaan dinaiki mereka. “Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng yang juga pelajar mengalami patah kaki kanan dan dikejarkan ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut. “Pemandu kereta bersama tiga penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. Leong berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Beaufort untuk bedah siasat. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu kereta terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan. “Kedua-dua kenderaan juga ditahan untuk pemeriksaan lanjut termasuk pemeriksaan Puspakom dan analisis kesan pelanggaran,” katanya. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
Lelaki hilang di kebun, operasi SAR hari kedua digerakkan
TUARAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika berada di kebun di Kampung Paka, Kiulu, di sini, sejak Selasa lalu masih belum ditemui setakat hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), hari ini. Mangsa dikenali sebagai Jantannius Poulus, 45, dilaporkan hilang ketika berada di kebun bersama rakannya sebelum disedari tidak berada di lokasi ketika rakannya kembali ke pondok. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Anak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.40 malam, Rabu. Menurutnya, sepasukan enam anggota dari BBP Tuaran bersama Unit K9 digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi SAR. “Menurut pengadu, mangsa kali terakhir dilihat kira-kira jam 12.40 tengah hari pada 10 Mac lalu ketika sedang berehat di sebuah pondok di kawasan kebun berkenaan. “Namun apabila pengadu kembali semula ke pondok itu, mangsa didapati sudah tiada dan usaha mencarinya di sekitar kawasan kebun gagal menemui sebarang petunjuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, lokasi kebun yang dipercayai tempat mangsa hilang terletak kira-kira empat kilometer dari pusat kawalan bomba. Menurutnya, operasi SAR hari pertama ditangguhkan pada jam 10.50 malam sebelum disambung semula hari ini. “Operasi SAR hari kedua bermula jam 10.36 pagi selepas taklimat pembahagian sektor carian dilakukan. “Pasukan penyelamat menjalankan pencarian di sepanjang kawasan sungai serta sekitar pondok lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya. Katanya, operasi turut membabitkan Unit K9 bersama seekor anjing pengesan selain bantuan anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung. “Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian akan diteruskan dengan pemantauan di kawasan sekitar,” katanya. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
Rempuh belakang kereta, penunggang motosikal maut
KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di atas jambatan Jalan Tun Fuad Stephan, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa lelaki berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu wanita tempatan berusia 20 tahun dan motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa. Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah pusat bandar menuju ke Telipok sebelum kejadian berlaku. “Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal yang berada di belakang dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kanan kereta berkenaan sebelum terbabas di atas jalan raya. “Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth II,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat yang dijadualkan pada jam 11 pagi hari sama. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kedua-dua kenderaan terbabit turut ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di Puspakom. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kota Kinabalu, Inspektor See Hong Ling di talian 6018-909 1014,” katanya. Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu dengan lebih berhati-hati terutama pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
100 asnaf terima zakat wakalah Sabah Electricity
KOTA KINABALU: Seramai 100 golongan asnaf di kawasan Putatan menerima bantuan Wakalah Zakat daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) bagi meringankan beban dan berkongsi rezeki pada bulan Ramadan. Sumbangan zakat itu diserahkan Pengerusi Sabah Electricity, Saadiah Aziz pada Majlis Sesuci Budi Seikhlas Ramadan anjuran Sabah Electricity di Masjid Nurul Ihsan, Putatan pada Isnin. Penganjuran program itu bertepatan dengan niat Sabah Electricity untuk sentiasa prihatin dengan kesulitan masyarakat dalam mendepani cabaran hidup pada masa kini. Saadiah berkata, sumbangan wakalah zakat itu turut diberikan kepada Masjid Nurul Ihsan Kampung Ketiau, Surau Raudhatul Jannah, PPR Sri Keramat dan Surau Darul Uluumil Quraniyyah, Kampung Sindil. “Semoga pemberian sumbangan ini dapat membantu meringankan beban penerima dan menjadi ibadah yang berkah untuk kita semua,” katanya. Majlis itu turut dihadiri Ahli DewanUndangan Negeri (ADUN) Petagas selaku Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Awang Ahmad Sah Sahari dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
Final Piala Cabaran: Sebulan siapkan Sang Badak untuk aksi berbeza lawan Pulau Pinang
KOTA KINABALU: Sabah FC ada masa kira-kira sebulan bagi mempersiapkan diri untuk tampil dengan permainan berbeza pada perlawanan akhir Piala Cabaran menentang Pulau Pinang FC pada April depan. Ketua Jurulatihnya, Juan Torres Garrido, berkata tempoh itu digunakan sepenuhnya memperbaiki pasukan, namun mengakui Sang Badak perlu bersedia sebaik mungkin bagi menghadapi Pulau Pinang. “Bagi saya, perlawanan akhir nanti adalah satu permainan yang berbeza dan kita akan mempunyai pelbagai keadaan. “Kita masih mempunyai sebulan lagi untuk bersiap sedia, jadi saya menjangkakan permainan yang berbeza nanti,” katanya pada sidang media selepas perlawanan separuh akhir kedua menentang Perak FA di Stadium Likas, di sini, malam tadi. Perlawanan itu menyaksikan Sabah menewaskan Perak 1-0 hasil jaringan pemain importnya, Gabriel Peres pada minit ke-22, sekali gus menempah tiket ke final Piala Cabaran. Garrido berkata, masa yang panjang untuk mempersiapkan pasukan dan pemain yang cukup diharap dapat memperkuat jentera Sabah FC untuk menampilkan persembahan yang berbeza berbanding sebelum ini. Sementara itu, Pengurus Sabah FC, Muhammad Arziz Afizy Rumsani, berkata Sabah FC masih dalam proses memperbaiki pasukan dan berusaha hingga sampai ke final Piala Cabaran. “Alhamdulillah kita menang hari ini dan kita layak ke final, banyak kerja yang kita lakukan sebelum kita sampai ke final, terutamanya kejurulatihan dan pemain dalam latihan terutama di bahagian serangan. “Inilah yang perlu kita perbaiki dan selepas inipun masih ada perlawanan-perlawanan Liga Super di hadapan kita yang perlu kita persiapkan pasukan,” katanya. – Info X