Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 10, 2026

Info X Reporters

Jenama makanan segera Sabah, Chunk & Dunk tembusi pasaran Filipina

KOTA KINABALU: Jenama makanan segera tempatan dari Sabah, Chunk & Dunk mencipta sejarah tersendiri apabila mengumumkan pengembangan antarabangsa pertama ke Filipina, sekali gus menandakan kemunculan global jenama itu di luar Malaysia. Langkah itu menjadikan Chunk & Dunk sebagai rangkaian makanan segera milik anak Sabah pertama yang berjaya membuka cawangan antarabangsa, sekali gus mencipta penanda aras baharu bagi jenama tempatan dari negeri ini. Pengasasnya, Adam Shamil, berkata perkembangan itu membuktikan jenama yang bermula di Sabah mampu berkembang ke peringkat global dengan keberanian, usaha gigih dan keyakinan terhadap visi yang dibina. “Ini lebih daripada sekadar pengembangan perniagaan. Ia membuktikan bahawa impian yang lahir di Sabah mampu menembusi sempadan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini. Majlis menandatangani perjanjian antara rakan kongsi Malaysia dan Filipina akan diadakan pada 22 Mac ini, jam 12 tengah hari di Atrium Utama Suria Sabah. Majlis berkenaan dijangka menarik kehadiran antara 1,500 hingga 2,500 pengunjung termasuk delegasi dari Filipina, tokoh tempatan serta orang ramai, selain turut disiarkan secara langsung di peringkat global. Chunk & Dunk yang diasaskan di daerah Penampang kira-kira dua tahun lalu kini berkembang pesat dengan enam cawangan setakat ini, termasuk lima di Sabah dan satu di Sarawak. Jenama itu terkenal dengan menu croffle unik serta konsep makanan segera kreatif yang berjaya menarik perhatian pelanggan khususnya golongan muda. Majlis berkenaan turut dijangka dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Ewon Benedick. Acara itu juga akan menampilkan persembahan artis tempatan termasuk Stacy Anam, Akim Ahmad, Yazmin Aziz, Elica Paujin dan Dabra Sia, dengan pengacara terkenal Daphne Iking bertindak sebagai hos majlis. Acara berkenaan turut disokong oleh stesen radio tempatan KUPIKUPI FM sebagai rakan radio rasmi, manakala siaran langsung akan dikendalikan oleh TV Sabah. Chunk & Dunk mengalu-alukan kehadiran wakil media dan orang ramai untuk menyaksikan detik bersejarah itu ketika jenama berkenaan melangkah ke pentas antarabangsa buat pertama kali. – Info X

March 10, 2026

Info X Reporters

Cuti tambahan 18 Mac sempena Aidilfitri

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan satu hari cuti tambahan pada 18 Mac ini kepada semua sekolah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026. Dalam kenyataan media hari ini, kementerian memaklumkan cuti tambahan itu diberikan bagi memberi ruang kepada warga guru, murid dan ibu bapa membuat persiapan sewajarnya menjelang perayaan berkenaan. Menurut kenyataan itu, berdasarkan Kalendar Akademik Sesi 2026, sekolah dalam Kumpulan A turut diperuntukkan satu hari cuti tambahan pada 19 Mac (Khamis). Sementara itu, sekolah dalam Kumpulan B pula diperuntukkan dua hari cuti tambahan iaitu pada 19 dan 20 Mac (Khamis dan Jumaat). KPM berkata, tambahan cuti berkenaan diharapkan dapat memberi ruang yang mencukupi kepada warga guru, murid dan ibu bapa untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri dalam suasana yang lebih teratur. “Langkah ini selaras dengan hasrat KPM untuk sentiasa memberi keutamaan kepada aspek kesejahteraan warga pendidikan,” menurut kenyataan itu. – Info X

March 10, 2026

Info X Reporters

Mini estet tingkatkan SSL padi dan beras di Sabah

KOTA BELUD: Pendekatan mini estet padi di kawasan sawah terbiar di negeri ini akan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) padi dan beras di Sabah. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata inisiatif itu dibincangkan dalam sesi libat urus bersama pelbagai agensi pertanian di peringkat negeri dan Persekutuan. Katanya, satu sesi libat urus yang dipengerusikannya dan dihadiri Pengarah Bahagian Pertanian, Kementerian Ekonomi Persekutuan, Datuk Zul Hadi Ahmad serta agensi pertanian yang terlibat diadakan hari ini. “Pada sesi itu kita membincangkan untuk membangunkan lebih kurang 2,000 hektar lagi tanah terbiar melalui pendekatan mini estet,” katanya ketika ditemui media ketika melawat Pusat Pengeluaran Benih Padi Timbang Menggaris, di sini, pada Selasa. Jamawi berkata, melalui pendekatan mini estet padi, pembangunan tanah terbiar dijangka dibiayai Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi. “Dengan mini estet ini, insyaAllah dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi, kita akan dapat membangunkan lebih banyak tanah-tanah terbiar. “Yang pentingnya, petani-petani kita akan mendapat hasil dan juga dapat mengusahakan tanah mereka yang sudah sekian lama terbiar tanpa penanaman dan tanpa pendapatan untuk mereka,” katanya. Beliau berkata, Kerajaan Sabah akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha membangunkan industri padi di Sabah. “Jadi kita usahakan yang terbaik untuk rakyat Sabah dan kita akan terus memberikan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan industri padi negeri Sabah,” katanya. Hadir sama ADUN Pintasan, Datuk Fairuz Renddan; Timbalan Pengerusi Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Musbah Jamli; Timbalan Setiausaha Tetap MAFFI, Awang Dzulkernain Awang Hassan; Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jifrin Mohamad; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Dr Ramle Kasin bersama pegawai dari Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) serta agensi di bawah MAFFI dan Kerajaan Persekutuan. – Info X

March 10, 2026

Info X Reporters

Stor ayam, daging sejuk beku tamat tempoh digempur di Kudat

KUDAT: Sebuah rumah dipercayai dijadikan stor penyimpanan produk ayam dan daging sejuk beku digempur Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, dalam operasi bersepadu membabitkan beberapa agensi di Jalan Pinagsu, di sini, semalam. Serbuan dijalankan menerusi Operasi Inter – Agensi yang turut membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kudat bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kudat selepas premis berkenaan disyaki menyimpan produk makanan dalam keadaan meragukan. Hasil pemeriksaan di lokasi menemui tiga unit cold storage yang menyimpan pelbagai jenis kotak ayam serta daging sejuk beku dalam kuantiti yang banyak. Semakan lanjut oleh pegawai KKM mendapati beberapa produk makanan yang disimpan di premis berkenaan telah tamat tempoh sejak 2022, 2023, 2025 dan Januari 2026. Produk makanan itu dipercayai disimpan tanpa mematuhi piawaian kebersihan serta keselamatan makanan seperti yang ditetapkan. Komander PPPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, semua produk yang terbabit telah dirampas untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa. Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan 38(1)(c), Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 serta Peraturan 11 kerana gagal mematuhi kewajipan pemilik premis untuk memastikan premis berada dalam keadaan bersih, selamat dan mematuhi piawaian penyimpanan makanan. “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM374,010.80,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, pihak berkuasa akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan makanan sentiasa terjamin sekali gus melindungi kesihatan pengguna. – Info X

March 10, 2026

Info X Reporters

PPM Sabah gempur penyeludupan, rampas lebih RM182,000

SEMPORNA: Aktiviti penyeludupan di Pantai Timur Sabah terus digempur apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan beberapa kegiatan menyeleweng barang kawalan serta rokok seludup menerusi operasi serentak di Semporna, Tawau dan Lahad Datu, semalam. Dalam operasi di Kampung Halo, Semporna, pasukan PPM menyerbu sebuah rumah tidak bernombor atas air sebelum menemukan 52 tong berkapasiti 25 liter berisi minyak petrol. Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah bot laju berwarna hijau di kawasan berkenaan turut menemukan lapan tong berkapasiti 30 liter berisi minyak petrol bersubsidi yang disimpan di dalam ruangan bot. Seorang lelaki warga asing ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen sah bagi memiliki barang kawalan terbabit dan minyak petrol itu dipercayai untuk tujuan diseleweng atau diseludup ke negara jiran. Nilai rampasan dalam operasi itu dianggarkan RM75,761.80. Sementara itu di Tawau, pasukan operasi mengesan sebuah Toyota Hilux Single Cab yang mencurigakan di sebuah stesen minyak di kawasan Buraqoil. Pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemukan tujuh jerikin berisi minyak petrol dengan anggaran keseluruhan 157 liter yang disimpan di bahagian belakang kenderaan selepas selesai diisi. Pemandu kenderaan yang juga seorang lelaki tempatan ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen kelulusan atau permit kebenaran daripada pihak berkuasa untuk memiliki barang kawalan berkenaan. Nilai rampasan dianggarkan RM88,560.00.Dalam operasi berasingan di Lahad Datu, pasukan PPM yang menjalankan pemantauan di kawasan pasar ikan terserempak dengan dua individu yang sedang memunggah plastik hitam dipercayai mengandungi rokok seludup. Bagaimanapun, kedua-dua individu itu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa. Pemeriksaan di lokasi menemui beberapa plastik hitam mengandungi karton rokok pelbagai jenis tanpa cukai yang dipercayai diseludup dari negara jiran dengan nilai rampasan dianggarkan RM18,420.00. Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, semua rampasan dan tangkapan dalam operasi berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan RM182,741.80. Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961. Beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi serta memperketat kawalan di kawasan perairan dan pesisir pantai negeri ini bagi mengekang kegiatan penyeludupan yang menyalahi undang-undang. – Info X

March 10, 2026

Info X Reporters

Banjir berulang di Pitas, Kota Marudu dan Paitan

KOTA KINABALU: Tiga daerah di utara Sabah kembali dilanda banjir hari ini selepas berdepan bencana sama pada pertengahan Februari lalu. Daerah terbabit, iaitu Kota Marudu dan Paitan, masing-masing diisytihar dilanda banjir pada jam 10 dan 11 pagi tadi, manakala Pitas diisytihar banjir pada jam 2 petang, hari ini. Ia menjadikan tiga daerah itu sekali lagi berdepan bencana banjir dalam tempoh tidak sampai sebulan dan dua kali banjir sepanjang Ramadan kali ini, bermula pada awal Ramadan. Banjir gelombang pertama Februari lalu yang menjejaskan hampir 100 kampung menyaksikan ribuan mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan daerah Pitas mencatat paling ramai mangsa, diikuti Kota Marudu dan Paitan. Bencana itu turut merosakkan banyak harta benda penduduk dan awam, termasuk sekolah dan klinik. – Info X

March 10, 2026

Info X Reporters

‘Ronald mahu dipecat, bukan sekadar digantung BERSATU’

KOTA KINABALU: “Mengapa sekadar digantung? Jika benar bersalah, pecat sahaja,” luah Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selepas digantung selama dua penggal daripada BERSATU, berkuatkuasa hari ini. Berikutan penggantungan itu yang dibuat Lembaga Disipilin BERSATU selepas bermesyuarat semalam, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran hilang semua jawatan dalam parti. Berdasarkan perkongsian di Facebook beliau, Ronald menyebut mengenai program RESET yang dianjurkannya sebelum ini dan kehadirannya bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin pada perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri di Bangkok. Tindakan itu dipercayai melanggar peraturan parti dan menjadi sebab utama penggantungan Ronald dalam BERSATU. “Jika benar itu adalah satu kesalahan besar, mengapa tidak dipecat? “Keputusan ini menguatkan lagi persepsi bahawa Lembaga Disiplin parti kini digunakan sebagai alat politik untuk melindungi presiden dan kelompok kecil di sekelilingnya. “Apatah lagi lembaga ini dipengerusikan oleh individu yang mempunyai hubungan keluarga dengan kepimpinan tertinggi parti,” katanya. Beliau berkata, sejak dua tahun kebelakangan ini, hala tuju BERSATU semakin jelas tersasar apabila segala tindakan seolah-olah tertumpu kepada satu matlamat iaitu mengangkat Tan Sri Muhyiddin sebagai poster boy dan calon Perdana Menteri ke-11. “Sesiapa yang dilihat berpotensi menjadi penghalang kepada agenda ini akan disingkirkan. “Lembaga Disiplin dijadikan alat paling ampuh untuk melaksanakan tindakan tersebut. Inilah juga yang berlaku terhadap beberapa pemimpin parti sebelum ini, termasuk Datuk Seri Hamzah. “Akhirnya yang tinggal hanyalah mereka yang sentiasa berkata ‘ya’ kepada presiden. “Wujud puak ya-presiden ini kerana sebahagian mereka dilantik oleh presiden, maka mereka perlu setia. “Sebahagian lagi kalah dalam pemilihan tetapi dimenangkan oleh presiden, mereka juga perlu setia. “Dan sebahagian lagi dijanjikan watikah calon, maka kesetiaan menjadi wajib,” katanya. Ronald berkata, beliau menyertai BERSATU sebelum ini kerana percaya ia adalah wadah perjuangan, bukan alat untuk memenuhi cita-cita politik individu. “Namun apa yang kita lihat hari ini amat jauh daripada semangat tersebut. “Saya tidak akan merayu. Anggap saja tempoh rayuan ini telah tamat,” katanya. Berdasarkan surat Lembaga Disiplin BERSATU bertarikh 10 Mac 2026, Ronald digantung selama dua penggal atas tindakan melanggar FASAL 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli. Surat itu juga menyatakan Ronald dilucutkan segala jawatan yang dipegang dan tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan. Ronald boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari, namun beliau sudah menyatakan tidak akan membuat rayuan. – Info X

March 10, 2026

Info X Reporters

Skim harga maksimum Aidilfitri 2026 bermula 14 Mac

KOTA KINABALU: Kerajaan akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026 selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac ini bagi memastikan harga barangan keperluan kekal terkawal sepanjang musim perayaan. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata tempoh pelaksanaan itu meliputi tujuh hari sebelum perayaan, sehari semasa Hari Raya Aidilfitri dan tujuh hari selepasnya. Beliau berkata, sebanyak 27 jenis barangan dikenal pasti berada di bawah skim berkenaan pada tahun ini, meningkat berbanding 26 barangan yang dikawal pada pelaksanaan tahun 2025. “Antara barangan yang dikawal termasuk bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang putih dari China, cili kering keriting, cili merah, daging kerbau import, ikan kembung, ikan selayang, santan kelapa, kubis bulat import, lobak merah, timun dan tomato,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, kacang dal dari Australia turut dimasukkan sebagai item tambahan dalam skim tahun ini. Beliau berkata, bagi di Sabah, 12 barangan mencatatkan penurunan harga maksimum, manakala sembilan barangan kekal dan tiada barangan yang mengalami kenaikan harga maksimum. Armizan berkata, penetapan harga maksimum dibuat berdasarkan analisis KPDN dengan mengambil kira harga di setiap peringkat rantaian bekalan termasuk kos import, harga ladang, harga pemborong serta trend harga di peringkat peruncit. Bagi di Semenanjung Malaysia pula, katanya, harga maksimum bagi 13 jenis barangan menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu, antaranya daging kerbau import, sawi hijau, lobak merah, bawang kuning besar, bawang merah, bawang putih, ubi kentang, halia tua, cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan santan kelapa. “Selain itu, harga maksimum bagi sembilan barangan dikekalkan, manakala hanya satu barangan iaitu cili merah mencatatkan kenaikan harga maksimum berbanding tahun 2025,” katanya. Beliau berkata, pegawai penguat kuasa kementerian akan ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan. “Peniaga juga diwajibkan menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan yang dikawal sepanjang tempoh pelaksanaan skim,” katanya. Menurutnya, mana-mana peniaga yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Orang ramai yang mempunyai aduan berkaitan boleh menyalurkannya melalui WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800, laman web e-aduan KPDN atau aplikasi Ez ADU KPDN. Selain itu, sempena Aidilfitri tahun ini KPDN turut melaksanakan beberapa program kos sara hidup termasuk Program Jualan RAHMAH MADANI Aidilfitri dan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert, yang menawarkan diskaun servis kenderaan antara 10 hingga 30 peratus di 124 bengkel terpilih seluruh negara. – Info X