Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 10, 2026

Info X Reporters

Pengukuhan keselamatan agenda utama pembangunan Sabah – KM

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak berkompromi dalam usaha memperkukuh keselamatan sejajar usaha memastikan Sabah terus menikmati pertumbuhan ekonomi yang baik dan membawa kesejahteraan rakyat di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata, Sabah berpotensi besar untuk menjadi Hab Ekonomi Biru di Asean Timur berdasarkan kekayaan biodiversiti lautnya dan kedudukan di laluan perdagangan serantau. “Malah, dalam kerangka Sabah Maju Jaya 2.0, sektor maritim dan Ekonomi Biru dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan baharu negeri melalui pembangunan industri perikanan moden, pengukuhan rantaian nilai makanan laut, pengembangan pelancongan marin, peningkatan infrastruktur pelabuhan serta pembangunan bandar pesisir dan sempadan sebagai hab ekonomi baharu. “Namun semua potensi ini hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya apabila keselamatan perairan negeri sentiasa terjamin. Tanpa keselamatan yang stabil, pelaburan dalam sektor maritim, pelancongan laut dan industri makanan laut tidak akan berkembang dengan baik,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kuih muih Hari Raya Aidilfitri kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa. Ketua Menteri berkata, Sabah mempunyai kedudukan strategik dengan garis pantai melebihi 1,400 kilometer. “Dalam konteks keselamatan negara, Sabah menjadi barisan hadapan Malaysia di Borneo dan di Laut Sulu, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai pintu ekonomi maritim Malaysia di rantau ini. “Ini khususnya di Sabah Timur, kawasan ESSZone atau Zon Selamat Sabah Timur yang meliputi 10 daerah utama iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. “Kawasan ini diperkukuh melalui peranan ESSCOM yang menyelaras operasi keselamatan darat, laut dan udara di Pantai Timur Sabah, dan kewujudannya menjadi simbol kedaulatan negara di Sabah Timur. “Oleh itu, pengukuhan keselamatan amat penting, bukan saja melindungi rakyat, malah membuka ruang kepada pembangunan bandar-bandar sempadan sebagai pintu ekonomi baharu negeri melalui perdagangan rentas sempadan, logistik, pelabuhan dan industri berasaskan sumber laut,” katanya. Selain keselamatan fizikal, katanya, kesejahteraan negeri juga bergantung kepada keselamatan kesihatan rakyat. “Kerajaan Negeri amat menghargai peranan petugas kesihatan yang terus komited memerangi penyakit berjangkit termasuk penyakit Tuberkulosis (TB) yang masih menjadi cabaran kesihatan awam di negeri ini. “Usaha pengesanan awal, rawatan berterusan dan program kesedaran kesihatan yang dilaksanakan oleh petugas kesihatan amat penting dalam melindungi komuniti, khususnya di kawasan luar bandar dan pesisir,” katanya. Hajiji berkata golongan ‘frontliner’ memikul tanggungjawab yang besar memastikan keselamatan anggota masyarakat. Jelasnya, Kerajaan Negeri sentiasa dan akan terus menghargai jasa bakti pasukan keselamatan yang sentiasa berkorban masa, jiwa dan raga, dalam memastikan persempadanan negara terkawal dan selamat. “Oleh itu sumbangan kuih-muih Hari Raya yang diserahkan ini adalah tanda ingatan dan penghargaan daripada kami. “Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menceriakan suasana bertugas dan menjadi pembakar semangat buat pasukan keselamatan dan petugas kesihatan untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan rakyat dan negara yang tercinta,” katanya. – Info X

March 10, 2026

Info X Reporters

Paitan turut diisytihar banjir

KOTA KINABALU: Daerah Paitan sekali lagi diisytihar dilanda banjir, hari ini setelah terjejas teruk akibat bencana itu pada Februari lalu. Bencana kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan itu diisytihar Pegawai Daerah Paitan, Joloning Joe Majambu pada jam 11 pagi Selasa. “Dengan ini berdasarkan maklumat di lapangan dan laporan yang saya terima daripada Agensi Tindak Balas JPBD Daerah Paitan, saya selaku Pengerusi JPBD Daerah Paitan mengisytiharkan bahawa telah berlaku BENCANA BANJIR di daerah Paitan yang menyebabkan beberapa kawasan yang dikenalpasti sebagai kawasan hotspot mula terjejas. “Saya juga mengarahkan agar Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka,” katanya. Paitan adalah daerah kedua diisytihar banjir hari ini selepas Kota Marudu yang turut dilanda banjir gelombang kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan. Pada Februari lalu, lebih 2,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas 39 kampung di Paitan terjejas akibat banjir. Banjir bulan lalu itu dianggap antara paling buruk berikutan kedalamannya yang luar biasa hingga mencecah paras bumbung, selain merosakkan banyak harta benda penduduk, termasuk sekolah dan klinik. – Info X

March 10, 2026

Info X Reporters

Ops Gempur Khas: JSJN Sabah terus gempur sarang dadah

SEMPORNA: Selepas operasi bersepadu dijalankan di Kota Kinabalu, Tuaran dan Tawau, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah meneruskan momentum perang terhadap dadah apabila melaksanakan Ops Gempur Khas di Kampung Bangau-Bangau, di sini, awal pagi semalam. Operasi yang bermula kira-kira 2.30 pagi hingga 7.20 pagi itu menyaksikan pasukan JSJN IPK Sabah dibantu anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Semporna menyerbu kawasan berkenaan yang dipercayai menjadi lokasi aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah. Dalam operasi itu, pasukan polis berdepan cabaran apabila terpaksa melalui laluan jambatan kayu yang sempit dan agak sukar di kawasan perkampungan atas air berkenaan bagi menghampiri lokasi sasaran. Namun keadaan itu bukan penghalang apabila anggota operasi tetap mara ke hadapan sebelum menahan tiga lelaki yang berada di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, daripada tiga lelaki yang ditahan itu, seorang disyaki pengedar dadah manakala dua lagi dipercayai penagih. Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap suspek utama menemukan dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu di dalam sebuah plastik hitam yang dipegangnya. “Dadah berkenaan dianggarkan seberat 5.01 gram dengan nilai kira-kira RM551.10. “Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati dua lagi suspek positif methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang disyaki pengedar mengaku memperoleh bekalan dadah daripada seorang lelaki di kawasan Kampung Bangau-Bangau. “Usaha mengesan individu terbabit sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan lanjut. “Semakan juga mendapati semua suspek berusia antara 24 hingga 36 tahun itu mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya. Alhusin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah. Menurutnya, pihaknya akan terus mempergiat risikan serta operasi di kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah. “JSJN Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan dadah. “Operasi dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan aktiviti ini dapat dibanteras demi melindungi masyarakat, khususnya golongan muda daripada terjebak dengan dadah,” katanya. – Info X

March 10, 2026

Info X Reporters

Mayat wanita terapung di Pulau Gaya belum dituntut

KOTA KINABALU: Polis memohon kerjasama orang ramai bagi membantu mengesan waris seorang wanita yang ditemui meninggal dunia selepas mayatnya ditemui terapung di kawasan perairan Kampung Kesuapan, Pulau Gaya, di sini, pada 8 Mac lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, polis menerima maklumat daripada Ketua Kampung berhubung penemuan mayat seorang wanita yang terapung di kawasan berkenaan sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut. Siasatan awal di tempat kejadian kemudian mengesahkan mayat mangsa adalah seorang wanita sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut. Setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan tiada waris tampil untuk membuat pengecaman terhadap mayat berkenaan. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali mangsa diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. Polis turut menghargai kerjasama orang awam dalam membantu menyalurkan maklumat bagi memudahkan proses pengecaman serta pengurusan selanjutnya. – Info X

March 10, 2026

Info X Reporters

Cuaca buruk di utara Sabah dan Sandakan, banjir diisytihar di Kota Marudu

KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk berikutan hujan berterusan di kawasan utara Sabah dan Sandakan, bermula Selasa hingga Rabu. Menerusi kenyataan dikeluarkan jabatan itu pada jam 10.30 pagi Selasa, daerah yang dijangka mengalami cuaca buruk ialah Telupid, Kinabatangan, Beluran, Sandakan dan Kudat. Selain itu, kawasan pantai barat dan pantai timur, khususnya daerah Ranau dan Lahad Datu turut diramal mengalami hujan berterusan tahap waspada bermula hari ini hingga esok. Sementara itu, daerah Kota Marudu diisytihar mengalami banjir pada Selasa susulan hujan berterusan di daerah itu. Pengisytiharan bencana itu dibuat Pegawai Daerah Kota Marudu, Meirin Sugara pada jam 10 pagi Selasa. “Dengan ini berdasarkan maklumat di lapangan dan laporan yang saya terima daripada Agensi Tindak Balas JPBD Kota Marudu, saya selaku Pengerusi JPBD Kota Marudu mengisytiharkan bahawa telah berlaku BENCANA BANJIR di daerah Kota Marudu yang menyebabkan beberapa kawasan yang dikenalpasti sebagai kawasan hotspot mula terjejas. “Saya juga mengarahkan agar Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka,” katanya. Daerah itu baru saja dilanda banjir yang menyebabkan ribuan mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada pertengahan Februari lalu. – Info X

March 10, 2026

Info X Reporters

Lebih 20,000 bungkus ‘Hero Meals’ diagih kepada mangsa banjir

KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) menggerakkan misi bantuan kemanusiaan bagi membantu komuniti yang terjejas akibat banjir di Paitan, Pitas, Sook, Beaufort, Membakut, Sipitang dan Tenom. Menerusi inisiatif Disaster Monitoring Hub (D-Hub), IDS setakat ini mengedarkan sebanyak 20,440 bungkus makanan sedia dimakan (ready-to-eat meal) bersama air minuman kepada mangsa banjir melalui penyelarasan pasukan di lapangan dan kerjasama rakan strategik. Bagi fasa terkini, bantuan disalurkan ke empat daerah iaitu Beaufort (520 penerima), Membakut (520 penerima), Sipitang (520 penerima) dan Tenom (600 penerima). Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Datuk Dr Ramzah Dambul, berkata agihan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan IDS bagi memastikan bantuan sampai kepada komuniti yang memerlukan secara tersusun, cepat dan berkesan. Sebelum ini, katanya agihan turut dilaksanakan di beberapa daerah lain termasuk Keningau, Telupid, Pitas, Sook dan Kota Marudu, selaras dengan komitmen IDS dalam memperluaskan jaringan bantuan kepada kawasan yang terjejas. Beliau berkata, bantuan yang dikenali sebagai ‘Hero Meals’ itu adalah sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) IDS bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara, khususnya ketika berdepan situasi bencana alam. “Program ini dilaksanakan dengan sokongan strategik Kembara Kitchen sebagai penyedia makanan serta CIMB Foundation sebagai rakan penyumbang yang bersama-sama menjayakan usaha kemanusiaan ini. “Melalui kerjasama itu, pek makanan sedia dimakan diagihkan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan kawasan-kawasan yang terjejas bagi membantu meringankan beban mereka, khususnya dalam memastikan akses kepada makanan yang selamat, berkhasiat dan mudah disediakan,” katanya dalam satu kenyataan. Ramzah berkata inisiatif D-Hub bukan saja berfungsi sebagai pusat pemantauan bencana, malah turut berperanan sebagai platform penyelarasan maklum balas bantuan secara lebih sistematik dan berimpak. “Usaha ini selaras dengan komitmen IDS dalam menyokong pembangunan sosial serta memperkukuh kesejahteraan rakyat Sabah, khususnya dalam situasi kecemasan,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan kerjasama dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan misi bantuan itu dan berharap lebih banyak pihak akan tampil berganding bahu memperkukuh kesiapsiagaan bencana pada masa hadapan. Sehubungan itu, IDS turut mengalu-alukan sumbangan tambahan daripada orang ramai dan pihak korporat dalam bentuk keperluan asas seperti lampin bayi, susu bayi dan tuala wanita yang amat diperlukan oleh mangsa banjir khususnya golongan bayi, kanak-kanak dan wanita di pusat pemindahan sementara. – Info X

March 9, 2026

Info X Reporters

Wanita hamil antara ditahan dalam serbuan pusat hiburan

TAWAU: Seorang wanita warga asing yang disahkan hamil antara yang ditahan selepas didapati positif dadah dalam serbuan di tiga pusat hiburan di daerah ini, awal pagi semalam. Dalam operasi bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam hingga 5 pagi itu, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah memeriksa seramai 42 individu di tiga premis hiburan sekitar bandar Tawau. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, daripada jumlah itu seorang wanita warga asing berusia 25 tahun ditahan selepas ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Menurutnya, wanita terbabit ditahan dalam serbuan di sebuah premis hiburan di Fajar Kompleks kira-kira jam 1 pagi. “Hasil ujian saringan awal mendapati wanita terbabit positif dadah sebelum dia ditahan untuk tindakan lanjut. “Siasatan awal juga mendapati suspek mengaku mengambil pil ekstasi di rumah rakannya di Taman Pasadena kira-kira tiga hari sebelum serbuan dilakukan,” katanya ketika dihubungi, malam ini. Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati wanita terbabit juga sedang mengandung. Menurut Alhusin, serbuan yang dijalankan turut membabitkan dua lagi premis hiburan di kawasan Kubota Central. Katanya, seramai 15 individu diperiksa di premis kedua dan 13 individu di premis ketiga, namun semua mereka didapati negatif dadah. “Secara keseluruhan seramai 42 individu diperiksa dan seorang ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan risikan dan pemantauan berterusan bagi memastikan premis hiburan tidak dijadikan lokasi penyalahgunaan dadah. “JSJN Sabah akan terus mempergiat operasi dan penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan penyalahgunaan serta pengedaran dadah di negeri ini,” katanya. – Info X tamat

March 9, 2026

Info X Reporters

Armada BERSATU Sabah lumpuh, pemimpin letak jawatan dan keluar parti

KOTA KINABALU: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) Sabah lumpuh selepas 15 pemimpinnya mengumumkan keluar parti pada Isnin. Menerusi satu kenyataan, ketua pergerakan itu, Mohd Hisyam Hazaril Mohd Azman, berkata beliau bersama Ketua-Ketua Armada Bahagian dan Ahli Jawatankuasa Armada Negeri serta Pusat, meletakkan jawatan daripada semua jawatan yang disandang dalam ARMADA di semua peringkat. Beliau yang juga Ketua Armada Beaufort, berkata peletakan jawatan yang berkuatkuasa serta-merta itu dibuat serentak dengan keputusan keluar daripada BERSATU, termasuk pembubaran jawatankuasa ARMADA negeri. “Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira secara serius perkembangan semasa yang sedang melanda parti yang kini berdepan dengan kemelut dalaman yang semakin meruncing serta dipertontonkan secara terbuka kepada umum. “Kami amat kecewa melihat bagaimana konflik dalaman parti semakin berlarutan dengan serangan terbuka pimpinan, kenyataan di media sosial serta pertikaian yang berpanjangan sehingga mencalarkan imej parti dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap perjuangan yang pernah dibawa oleh parti ini,” katanya. Lebih membimbangkan, beliau berkata pendekatan pecat-memecat dan tindakan disiplin yang dilihat tidak konsisten serta bersifat selektif menjadi kaedah dalam mengurus perbezaan pandangan dalam parti. “Kami dengan tegas menyatakan bahawa kami tidak menyokong budaya politik sedemikian, kerana ia hanya akan memecah-belahkan parti dan melemahkan semangat perjuangan dalam kalangan ahli. “Sebagai pimpinan sayap pemuda di negeri Sabah, kami berpegang kepada prinsip bahawa ARMADA sepatutnya menjadi wadah yang menyatukan kekuatan anak muda dan memperkukuhkan parti. “Namun dalam keadaan semasa, peranan tersebut semakin sukar dilaksanakan apabila parti terus dibelenggu dengan konflik dalaman yang tidak berkesudahan,” katanya. Justeru itu, katanya, setelah menilai keadaan dengan penuh tanggungjawab, mereka mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai satu pendirian berprinsip bahawa maruah perjuangan tidak boleh terus dipertaruhkan dengan pertikaian dalaman yang berpanjangan. Jelasnya, langkah itu juga adalah mesej jelas bahawa anak muda menolak politik perpecahan, serangan terbuka dan budaya pecat-memecat yang semakin menjadi norma dalam parti. “Kami merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli ARMADA di Sabah yang telah memberikan sokongan dan kerjasama sepanjang tempoh memegang amanah sejak penubuhan semula BERSATU di Sabah. “Perjuangan untuk memperjuangkan suara anak muda akan diteruskan dengan penuh tanggungjawab demi masa depan negeri dan negara. “Apabila prinsip diketepikan dan perpecahan menjadi budaya, maka jawatan bukan lagi sesuatu yang perlu dipertahankan,” katanya. Seramai 15 pimpinan yang meletak jawatan itu termasuk ahli jawatankuasa Armada Bersatu Sabah yang diketuai Hisyam dan Ketua Armada Bahagian, antaranya Tuaran, Sepanggar, Pensiangan, Keningau, Papar, Tawau, Putatan dan Beluran. – Info X