September 14, 2026
Info X Reporters
Betis tertusuk besi ketika bertukang
TAMBUNAN: Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan selepas betisnya tertusuk besi ketika melakukan kerja pertukangan rumah, di sini, hari ini. Mangsa warga Indonesia berusia 34 tahun itu dibawa rakan sekerjanya ke Bahagian Kecemasan Hospital Tambunan untuk mendapatkan rawatan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Penolong Penguasa Bomba Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan daripada hospital pada 9.07 pagi. Katanya, empat anggota bersama jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tiba tiga minit kemudian. “Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk memotong dan mengeluarkan besi yang tertusuk bagi memudahkan petugas kesihatan memberikan rawatan lanjut. “Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak hospital dan operasi ditamatkan pada 9.20 pagi,” katanya. – Info X
September 14, 2026
Info X Reporters
Cuba lari, bergelut sebelum dicekup bersama syabu
TUARAN: Seorang lelaki cuba melarikan diri dan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dengan polis sebelum ditahan bersama 69.61 gram syabu di Taman Telipok Ria, Telipok, di sini, kelmarin. Suspek warga Filipina berusia 21 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan menggunakan kekerasan minimum dalam Ops Gempur Khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah pasar raya kira-kira jam 7.30 malam. “Ketika tindakan tangkapan dilakukan, suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis. “Suspek akhirnya berjaya ditahan sebelum pemeriksaan terhadap beg galas hitam diserahkannya menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, dadah seberat 69.61 gram itu dianggarkan bernilai RM4,000 dan sebuah telefon bimbit turut dirampas bagi membantu siasatan. Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri. “Suspek bersama barang rampasan dibawa ke pejabat JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X
September 14, 2026
Info X Reporters
Aduan Facebook bongkar lima pengedar syabu di Bongawan
PAPAR: Aduan orang awam menerusi Facebook rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah membawa kepada penahanan lima lelaki dipercayai pengedar dadah dan rampasan 87.22 gram syabu di Kampung Silat, Bongawan, di sini. Malah, serbuan menerusi Op Gempur Khas oleh pasukan JSJN Sabah hasil aduan itu turut menemukan dua laras senapang angin dan satu objek menyerupai pistol di rumah berkenaan. Operasi pada 10 September lalu membabitkan dua tangkapan berasingan dengan keseluruhan dadah dirampas dianggarkan bernilai RM5,000. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, dalam tangkapan pertama, dua lelaki tempatan berusia 20 dan 43 tahun ditahan selepas pemeriksaan menemukan satu paket besar serta 64 paket kecil berisi bahan disyaki syabu seberat 32.87 gram. “Dadah dianggarkan bernilai RM2,000 itu ditemukan di dalam sebuah beg yang diserahkan seorang daripada suspek. Tiga telefon bimbit turut dirampas. “Ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, dalam tangkapan kedua, tiga lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 24 tahun ditahan selepas seorang daripada mereka ditemukan memiliki 48 paket plastik pelbagai saiz berisi 54.35 gram bahan disyaki syabu. Katanya, dadah dianggarkan bernilai RM3,000 itu dirampas bersama sebuah telefon bimbit dan Perodua Myvi, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952. “Kes turut disiasat mengikut Seksyen 8(a) dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960. “Ujian saringan awal mendapati seorang daripada tiga suspek positif dadah, manakala dua lagi negatif,” katanya. Alhusin berkata, dua laras senapang angin dan objek menyerupai pistol itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar untuk tindakan lanjut. “Permohonan reman dibuat terhadap semua suspek, manakala dadah dirampas akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. “Risikan dan usaha mengesan sumber bekalan dadah terbabit masih diteruskan,” katanya. – Info X
September 13, 2026
Info X Reporters
Liga Super: Sang Badak tewas lagi di Likas
KOTA KINABALU: Sang Badak sekali lagi gagal mempertahankan kubu kuatnya apabila ditundukkan DPMM FC 1-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini. Kekalahan di tangan skuad dari negara jiran itu adalah yang kedua selepas tewas 0-2 di tangan pasukan negeri jiran, Kuching City FC pada 5 September lalu. Dalam aksi malam ini, tuan rumah dikejutkan gol pembukaan pasukan pelawat pada minit ke-13 menerusi pemain pertahanannya, Ebenezer Abban untuk DPMM mendahului 0-1. Penyerang Sabah, Gonzalo Ignacio Di Renzo bernasib baik dapat menyamakan kedudukan 1-1 hasil aringannya pada minit ke-24. Kedudukan itu bagaimanapun tidak berubah hingga tamat babak pertama, sebelum DPMM meneruskan aksi agresif mereka pada separuh masa kedua dan berjaya mencipta jaringan kedua pada minit ke-65. Jaringan penyerang DPMM, Jordan David Murray itu membolehkan pasukan pelawat kembali mendahului perlawanan dengan 1-2. Sabah gagal untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan hingga tamat perlawanan, sekali gus membolehkan DPMM membawa pulang tiga mata dari Likas malam ini. – Info X
September 13, 2026
Info X Reporters
Kos meningkat ancam daya saing pelancongan Sabah menjelang VSY2027
KOTA KINABALU: Kenaikan kos penerbangan, bahan api dan operasi penginapan dikhuatiri menjejaskan daya saing industri pelancongan Sabah menjelang pelaksanaan Visit Sabah Year 2027 (VSY2027). Lima badan industri pelancongan negeri berkata peningkatan kos berkenaan akhirnya memberi kesan kepada harga pakej pelancongan dan berpotensi menyebabkan Sabah dilihat kurang kompetitif berbanding destinasi lain di rantau ini. Sabah Tourism Federation (STF), Sabah Enhanced Travel Innovation Association (SETIA), Sabah Association of Tour and Travel Agents (SATTA), Sabah Tourist Association (STA) dan Malaysia Budget Hotel Association (MyBHA) Sabah Chapter berkata isu itu memerlukan tindakan awal serta penyelarasan lebih erat dengan kerajaan dan agensi berkaitan. Mereka berkata kenaikan tambang penerbangan laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu (KUL-BKI) dan sebaliknya boleh memberi kesan kepada ketibaan pelancong domestik serta antarabangsa, termasuk mereka yang menggunakan penerbangan sambungan ke Sabah. Keadaan itu turut berpotensi menjejaskan tempahan pakej pelancongan dan rantaian bekalan industri sekiranya kos perjalanan terus meningkat. Sehubungan itu, mereka mencadangkan pelaksanaan Targeted Package Tour Subsidies (TPTS) menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), khusus kepada agensi pelancongan berlesen. Mereka berkata pendekatan itu membolehkan bantuan disasarkan kepada pengusaha yang secara langsung membawa pelancong ke Sabah tanpa perlu memberikan subsidi tambang penerbangan secara menyeluruh. Dalam masa sama, kenaikan dan perubahan harga bahan api secara mingguan turut memberi tekanan kepada pengusaha van, bas dan bot pelancongan. Kos bahan api yang meningkat menyebabkan pengusaha terpaksa menyemak kadar perkhidmatan, sekali gus meningkatkan harga keseluruhan pakej pelancongan. Lima badan itu turut menggesa supaya pengusaha pengangkutan pelancongan berlesen dipertimbangkan untuk menyertai Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), memandangkan pengangkutan adalah antara komponen penting dalam rantaian industri pelancongan Sabah. Selain isu kos, mereka turut memberi perhatian kepada kewujudan pengusaha ‘white van’ tidak berlesen yang dikatakan semakin berleluasa. Mereka berkata pengusaha tidak berlesen mampu menawarkan kadar lebih rendah, termasuk kerana penggunaan diesel bersubsidi, sekali gus mewujudkan persaingan tidak adil kepada pengusaha berlesen. Pada masa sama, operasi tanpa pelesenan dan perlindungan insurans sewajarnya boleh menimbulkan risiko kepada keselamatan pelancong serta pengguna perkhidmatan berkenaan. Isu gangguan bekalan air di Kota Kinabalu yang menjejaskan sekurang-kurangnya 10 hotel turut dikhuatiri memberi kesan kepada imej Sabah sebagai destinasi pelancongan. Menurut lima badan itu, gangguan berkenaan bukan sahaja menjejaskan keselesaan tetamu, malah boleh mengganggu operasi hotel termasuk pengemasan serta perkhidmatan makanan dan minuman. Mereka mencadangkan penyelarasan lebih baik antara Jabatan Air Sabah, DBKK dan pengusaha hotel, termasuk penyediaan lori tangki air secara siap siaga ketika berlaku gangguan bekalan. Dalam pada itu, pertumbuhan penginapan sewaan jangka pendek (STRA) tanpa lesen turut menjadi perhatian kerana ia dikhuatiri mewujudkan persaingan tidak seimbang dengan pengusaha penginapan yang mematuhi peraturan. Lima badan berkenaan menegaskan isu yang dibangkitkan bukan bertujuan menolak konsep penginapan jangka pendek, sebaliknya memastikan semua pengusaha mematuhi aspek peraturan, keselamatan dan percukaian. Mereka berharap isu berkenaan dapat ditangani secara bersama bagi memastikan Sabah bersedia sepenuhnya menyambut VSY2027 serta mampu menawarkan pengalaman pelancongan yang selamat, berkualiti dan berdaya saing.-Info X
September 13, 2026
BERNAMA
KKM buat perancangan, unjuran bagi hadapi peningkatan pesakit di hospital kerajaan
GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa membuat perancangan dan unjuran mengenai keperluan perkhidmatan kesihatan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan jumlah pesakit di hospital awam susulan kenaikan kos insurans kesihatan. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata usaha itu dibuat sebagai sebahagian perancangan harian dan jangka panjang sektor kesihatan awam, termasuk dari segi keperluan kewangan bagi mengatasi perubahan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan. “Dalam perkhidmatan kesihatan, terutama pihak sektor awam bagi perancangan harian dan masa hadapan, kita ada membuat jangkaan mengenai perkara yang akan berlaku dan sebagainya. “Unjuran itu menjadi antara asas bagi sokongan kewangan kerajaan untuk memastikan isu keperluan perkhidmatan kesihatan dapat ditangani,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persudangan Trauma Malaysia (MTC) 2026, di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Strategic Institute for Asia Pacific (KSI) Tan Sri Michael Yeoh yang dilaporkan berkata kenaikan kos insurans kesihatan sehingga 20 peratus setahun semakin membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan beban kewangan rakyat terus meningkat. Yeoh dilaporkan berkata peningkatan itu lebih ketara berbanding kenaikan caj sektor penjagaan kesihatan swasta yang berlaku dari tahun ke tahun dan isu tersebut bukan sahaja memberi tekanan kepada pesakit dan orang awam, malah turut menambah beban kerajaan dari segi peruntukan kesihatan. Mengulas lanjut, Dr. Mahathar berkata KKM menyedari kebimbangan berhubung kenaikan kos insurans kesihatan yang dilaporkan mencecah sehingga 20 peratus setahun, yang berpotensi meningkatkan beban rakyat dan memberi kesan kepada penggunaan perkhidmatan kesihatan awam. Beliau berkata KKM dan Kementerian Kewangan (MOF) kini bekerjasama menerusi jawatankuasa bersama kementerian bagi meneliti isu berkenaan. Katanya perkara itu termasuk usaha kerajaan melalui program Medi-Asas iaitu pelan perlindungan insurans perubatan dan takaful yang diwujudkan bagi menyediakan akses kepada perlindungan kesihatan lebih mampu milik serta mampan untuk rakyat Malaysia. “Dari segi insurans dan sebagainya, ini lebih melibatkan agensi lain yang mengawal dari segi premium dan sebagainya, Kerjasama antara agensi sedang dilaksanakan,” katanya.– BERNAMA
September 13, 2026
BERNAMA
SPR akan laksana kajian persempadanan bahagian pilihan raya tertakluk pindaan Perlembagaan Persekutuan
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan kajian semula persempadan bahagian-bahagian pilihan raya tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan, kata Pengerusinya Datuk Seri Ramlan Harun. Beliau berkata SPR mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak pada Jumaat lepas. Penambahan kerusi Parlimen itu kelak turut mengambil kira Bahagian Pilihan Raya Tanah Melayu dengan prinsip bahawa nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak turut ditingkatkan daripada kedudukan semasa. “Dalam konteks persempadanan Bahagian Pilihan Raya di ketiga-tiga unit kajian itu pula, SPR akan melaksanakan kajian semula persempadan bahagian-bahagian pilihan raya tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata SPR akan memberikan penjelasan lanjut apabila terdapat keputusan rasmi serta perkembangan yang membolehkan perkara itu dimaklumkan kepada umum. Sebelum ini, Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak melebihi kadar semasa, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Anwar berkata keputusan itu turut melibatkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan peningkatan penyertaan Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri berkenaan.– BERNAMA
September 13, 2026
Info X Reporters
Sabah Moto Day bawa mesej disiplin, keselamatan jalan raya
KOTA KINABALU: Sabah Moto Day 9.0 bukan sekadar acara permotoran, malah membawa mesej penting supaya komuniti permotoran sentiasa mengutamakan disiplin, keselamatan, tanggungjawab dan semangat kesukanan. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata program yang kini memasuki edisi kesembilan itu berkembang sebagai platform menghimpunkan anak muda, komuniti permotoran, usahawan, agensi kerajaan dan pelbagai pihak dalam suasana persahabatan serta kekeluargaan. Beliau berkata, penyertaan dalam program berkenaan terus meningkat dari tahun ke tahun, bukan saja membabitkan peminat permotoran dari seluruh Sabah, malah Sarawak, Semenanjung dan Brunei. Katanya, perkembangan itu membuktikan Sabah Moto Day berjaya menjadi medan pertemuan dan membina jaringan komuniti permotoran lebih luas, bukan saja di peringkat negeri, malah merentasi wilayah dan sempadan. “Semangat yang kita mahu daripada komuniti permotoran ialah sentiasa mengutamakan disiplin, keselamatan, tanggungjawab dan semangat kesukanan. “Tunjukkan bahawa komuniti permotoran adalah komuniti yang bertanggungjawab, menghormati pengguna jalan raya dan sentiasa mematuhi undang-undang,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Program Belia Permotoran (Sabah Moto Day 9.0) di perkarangan Kompleks Sukan Kota Kinabalu, di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib. Hajiji berkata, jalan raya tidak seharusnya dijadikan litar perlumbaan, sebaliknya minat, bakat dan keinginan untuk berlumba perlu disalurkan melalui platform yang sah, selamat dan teratur. Beliau berkata, keistimewaan Sabah Moto Day ialah program itu tidak hanya memberi tumpuan kepada aktiviti permotoran semata-mata, sebaliknya mengetengahkan lima teras utama dengan matlamat membina anak muda Sabah yang aktif, berilmu, berdaya saing, bersatu dan bebas daripada gejala negatif. “Kerajaan Negeri memandang serius usaha memastikan anak muda mempunyai ruang yang sihat dan positif untuk berkumpul, berkarya, bersukan serta mengembangkan potensi diri. “Kita bukan sekadar menghimpunkan jentera dan peminat permotoran, tetapi menghimpunkan semangat, bakat dan potensi anak muda,” katanya. Hajiji turut menyeru semua riders dan peserta supaya menjadikan minat terhadap dunia permotoran sebagai kekuatan positif dengan menjadi penunggang yang berdisiplin, matang dan bertanggungjawab, selain memastikan setiap aktiviti berlangsung dalam suasana aman, selamat, harmoni dan penuh dengan perkara positif. Beliau turut berharap peserta dari luar Sabah bukan saja menikmati kemeriahan Sabah Moto Day, malah mengambil kesempatan meluangkan masa menerokai dan mengunjungi tempat-tempat menarik di negeri ini. Katanya, kunjungan berkenaan memberi manfaat lebih besar kepada golongan belia, masyarakat, ekonomi dan sektor pelancongan Sabah. – Info X