March 5, 2026
Info X Reporters
Kerajaan Persekutuan dituntut bersikap telus, berakauntabiliti selesai isu rakyat di Sabah
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa melaksanakan dasar secara telus, berakuantabiliti dan berimpak kepada rakyat seiring tuntutan mereka terhadap setiap perkara yang berkaitan kepentingan rakyat dan negara, lebih-lebih lagi dalam menyelesaikan isu mendesak dialami rakyat Sabah ketika ini. Menegaskan perkara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Anna Bell Perian, berkata ia juga sejajar dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai kemajuan negara, reformasi pentadbiran dan pengukuhan integriti yang perlu diterjemahkan melalui tindakan yang jelas, termasuk garis masa pelaksanaan projek dan perincian peruntukan oleh kementerian. “Rakyat kini menuntut ketelusan dalam pelaksanaan dasar kerajaan dan atas sebab itu setiap jawapan kementerian di Dewan Negara wajar disertakan dengan data yang tepat, sasaran yang boleh diukur dan jadual pelaksanaan yang jelas,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Negara di Parlimen, Kuala Lumpur pada Khamis. Dalam ucapannya, Anna Bell turut menyentuh isu pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) khususnya berkaitan semakan semula pemberian khas 40 peratus hasil bersih Sabah seperti diperuntukkan di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan. Beliau meminta kerajaan menjelaskan status terkini perkara tersebut serta sama ada formula tetap berasaskan hasil sebenar akan ditetapkan bagi memastikan kepastian fiskal kepada Sabah. Beliau juga membangkitkan keperluan memurnikan tafsiran undang-undang berkaitan hak Sabah terhadap pelantar benua dan sumber petroleum supaya selari dengan semangat autonomi negeri seperti yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia. Selain itu, Anna Bell menuntut penjelasan terperinci daripada kerajaan mengenai kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, khususnya peratusan siap bagi setiap pakej Fasa 1B serta tarikh jangka siap terkini. “Projek ini amat penting kerana ia bukan saja memacu pertumbuhan ekonomi tetapi juga meningkatkan keselamatan jalan raya dan akses kepada perkhidmatan asas di kawasan pedalaman Sabah,” katanya. Beliau juga menarik perhatian kerajaan berkaitan isu bekalan air dan elektrik yang sering menjejaskan kehidupan rakyat Sabah. Anna Bell meminta kerajaan memberikan garis masa jelas bagi projek berkaitan termasuk Projek Southern Link serta program penggantian paip usang di Kota Kinabalu dan Tawau. Dalam aspek pembasmian kemiskinan, Anna Bell turut membangkitkan keadaan beberapa daerah di Sabah seperti Tongod, Nabawan dan Pitas yang masih berada dalam kategori termiskin di Malaysia. Beliau meminta penjelasan mengenai bagaimana peruntukan pembangunan RM6.9 bilion dalam Belanjawan 2026 akan diagihkan secara bersasar bagi merangsang ekonomi luar bandar dan meningkatkan pendapatan isi rumah. Perbahasan beliau juga menyentuh agenda pendigitalan negara termasuk keberkesanan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) yang bertujuan meningkatkan capaian internet di Sabah dan Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman. Dalam aspek keselamatan, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh operasi keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) melalui penggunaan teknologi seperti dron jarak jauh dan kecerdasan buatan bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan. Anna Bell turut menegaskan keperluan mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan yang sering terjejas di Sabah, selain memberi perhatian kepada pembangunan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuk kemudahan kekal bagi pusat latihan seperti GIATMARA yang telah lama beroperasi tetapi masih tidak mempunyai bangunan sendiri. Menurut beliau, kemajuan negara tidak boleh diukur semata-mata melalui pertumbuhan ekonomi, tetapi harus dinilai berdasarkan sejauh mana manfaat pembangunan sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi, khususnya di Sabah. Beliau turut menegaskan bahawa keadilan wilayah perlu menjadi keutamaan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) supaya jurang pembangunan antara Sabah dan wilayah lain dapat dirapatkan secara berkesan.-Info X
March 4, 2026
Info X Reporters
Kereta bapa jadi mangsa amukan anak
TAWAU: Tindakan seorang lelaki mengamuk dan memecahkan cermin kereta milik bapanya di Kampung Durian, Merotai Besar, di sini, membawa padah apabila dia ditahan polis, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, suspek lelaki berusia 28 tahun dipercayai bertindak agresif tanpa sebab sebelum merosakkan kenderaan milik bapanya yang diletakkan di kawasan rumah. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.17 pagi daripada kakak suspek. Menurutnya, pengadu memaklumkan adiknya sering mengamuk dan merosakkan barangan di rumah sekiranya permintaannya tidak ditunaikan. “Suspek juga dilaporkan kerap meminta wang dan meminjam motosikal daripada ahli keluarga sebelum bertindak agresif apabila kehendaknya tidak dipenuhi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai digerakkan ke lokasi sebelum menahan suspek kira-kira jam 11.20 pagi di hadapan rumahnya di Merotai Besar. “Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan merosakkan harta benda dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. Jasmin berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang bertindak ganas atau melakukan khianat walaupun membabitkan ahli keluarga sendiri. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak di luar kawalan apabila berdepan tekanan atau konflik, sebaliknya mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara. – Info X
March 4, 2026
Info X Reporters
Ops Gempur Telipok Ria: Tiga penagih termasuk wanita dicekup awal pagi
TUARAN: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi Ops Gempur yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di kawasan Telipok Ria, di sini, awal pagi tadi. Dalam operasi kira-kira jam 2.30 hingga 5 pagi itu, pasukan JSJN melakukan pemeriksaan di sekitar tepi jalan Taman Telipok Ria yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan penyalahgunaan dadah. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, hasil pemeriksaan terhadap tiga individu berusia antara 21 hingga 40 tahun, kesemuanya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Beliau berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, seorang daripada suspek lelaki turut menyerahkan sendiri satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 0.18 gram kepada pihak polis. “Suspek yang ditahan membabitkan dua lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan. “Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki dikenali di sekitar kawasan Telipok Ria. Katanya, polis turut merampas dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 0.18 gram bernilai kira-kira RM20. “Semua suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tuaran untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya. Alhusin berkata, pihaknya akan terus menjalankan risikan dan pemantauan berterusan di kawasan Telipok Ria bagi mengekang aktiviti penyalahgunaan serta pengedaran dadah di kawasan perumahan terbabit. Tindakan akan diteruskan. – Info X
March 4, 2026
Info X Reporters
Tokan diburu, empat penagih dicekup di Telipok Ria
TUARAN: Aktiviti penagihan dadah di kawasan perumahan sekali lagi dibongkar apabila empat lelaki dicekup polis dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Perumahan Telipok Ria, di sini, malam tadi. Dalam operasi kira-kira jam 9 hingga 10 malam itu, pasukan JSJN yang menjalankan Ops Tapis memberi tumpuan di kawasan perhentian bas dan van sewa Telipok Ria Fasa 3 yang dipercayai menjadi lokasi tumpuan penagih mendapatkan bekalan dadah. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, hasil pemeriksaan ke atas empat lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 40 tahun mendapati kesemuanya positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Menurutnya, tiga daripada suspek turut didapati memiliki dadah semasa pemeriksaan dilakukan oleh pasukan polis di lokasi berkenaan. “Siasatan awal mendapati semua suspek dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Wan’ yang dipercayai bertindak sebagai pengedar di kawasan berkenaan. “Susulan itu, usaha mengesan suspek terbabit sedang giat dijalankan oleh pihak polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Alhusin berkata, pihaknya turut merampas kira-kira 0.81 gram syabu yang disimpan dalam empat tiub plastik lutsinar dengan nilai rampasan dianggarkan RM100. Katanya, semua suspek dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tuaran untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya. Beliau berkata, JSJN Sabah akan terus mempergiatkan operasi dan risikan di kawasan berkenaan bagi mengekang aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah. “Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras dadah demi melindungi masyarakat dan generasi muda,” katanya. – Info X
March 4, 2026
Info X Reporters
Blok Borneo usaha politik yang sah, bukan untuk mendominasi – Nizam
KOTA KINABALU: Cadangan pembentukan Blok Borneo tidak harus ditafsirkan sebagai usaha untuk mendominasi Semenanjung. Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, sebaliknya berkata ia adalah usaha politik yang sah dan matang untuk menyelaraskan suara Sabah dan Sarawak dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Borneo secara lebih tersusun di Parlimen. Berikutan itu, katanya kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, yang mendakwa bahawa Sabah dan Sarawak menggunakan Blok Borneo untuk memperkukuh kawalan politik di peringkat Persekutuan wajar dilihat dalam konteks sejarah dan semangat pembentukan Malaysia. “Melalui sistem persekutuan yang sihat, kerjasama antara wilayah bagi memperkukuh kedudukan rundingan adalah sesuatu yang lazim dan bukan sesuatu yang perlu dipandang negatif. “Perlu diingat bahawa asas pembentukan Malaysia pada tahun 1963 adalah berteraskan prinsip perkongsian antara wilayah. “Walaupun Sabah dan Sarawak ketika itu berada di bawah pentadbiran British, penyertaan kedua-dua wilayah ini dalam Persekutuan Malaysia dibuat melalui rundingan yang jelas disertai dengan jaminan perlindungan tertentu bagi menjaga identiti, autonomi pentadbiran dan kepentingan rakyat tempatan. “Jaminan-jaminan ini termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas kepada pembentukan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu. Sebelum ini, Zaid antara lain mendakwa pembentukan Blok Borneo bertujuan untuk mengawal Malaya. Nizam berkata, perkara seperti kuasa imigresen, isu hasil petroleum, tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan dan beberapa perkara berkaitan pelaksanaan MA63 bukanlah keistimewaan yang berlebihan. “Semua ini adalah sebahagian daripada komitmen asal yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia, maka usaha berterusan untuk menuntut dan memperkukuh pelaksanaan perkara-perkara ini adalah selaras dengan semangat Persekutuan yang adil dan seimbang,” katanya. Jelasnya, cadangan untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak juga perlu dilihat dari sudut representasi yang lebih saksama. “Melihat keluasan wilayah, kepelbagaian geografi serta keperluan pembangunan yang berbeza, adalah wajar suara rakyat di Sabah dan Sarawak diwakili secara lebih seimbang dalam Parlimen Malaysia. “Hakikatnya, pembentukan Blok Borneo mencerminkan kematangan politik Sabah dan Sarawak dalam kerangka Persekutuan Malaysia. “Ia bertujuan memperkukuh kerjasama antara kedua-dua wilayah supaya isu pembangunan, hak Perlembagaan dan kepentingan rakyat Borneo dapat diperjuangkan secara lebih teratur dan konstruktif,” katanya. Nizam menegaskan, Malaysia dibina atas semangat kerjasama antara wilayah dan bukan persaingan antara Semenanjung dan Borneo. Atas sebab itu, katanya sebarang usaha untuk memperkukuh keseimbangan dalam Persekutuan harus dilihat sebagai langkah memperkuatkan negara secara keseluruhan. – Info X
March 4, 2026
Info X Reporters
6 motosikal dirempuh kereta api hilang kawalan diganti baharu
KOTA KINABALU: Enam pemilik motosikal yang rosak akibat dirempuh kereta api hilang kawalan berikutan masalah brek ketika dalam perjalanan dari Tenom ke Kampung Pangi, semalam bakal mendapat motosikal baharu sumbangan Ketua Menteri. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar yang berkongsi perkara itu melalui Facebook, berkata pemberian motosikal baharu itu dinyatakan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Azrul Ibrahim yang menghubunginya, semalam. Menerusi perkongsian ‘Train To Pangi’ di akaun Facebook beliau, Jamawi menyifatkan enam pemilik motosikal yang rosak dalam insiden itu sebagai ‘unsung hero’ kerana sanggup mempertaruhkan kenderaan mereka dalam usaha menghentikan kereta api yang mengalami kegagalan brek. “Semalam saya telah dihubungi oleh Ketua Setiausaha Politik YAB Ketua Menteri Sabah DSP Hajiji Haji Noor, Tuan Azrul Bin Ibrahim yang menyatakan YAB Ketua Menteri telah bersetuju untuk menyumbangkan motosikal baharu bagi keenam-enam motosikal yang rosak dalam peristiwa kereta api kehilangan fungsi brek awal pagi kelmarin di Kampung Pangi, Tenom. “Mewakili keenam-enam anak muda tersebut, saya merakamkan ucapan berbanyak terima kasih atas keprihatinan dan sumbangan ini,” katanya menerusi perkongsian berkenaan. Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, berkata insiden yang tular di media sosial itu menimbulkan banyak versi cerita, namun katanya insiden buruk mungkin berlaku jika tiada enam motosikal troli diletak di landasan kereta api sebagai halangan untuk menghentikan kereta api berkenaan. “Banyak versi cerita yang timbul…cuma ringkasnya jika tiada enam biji motosikal troli yang diletakkan di landasan… kemungkinan bencana yang lebih besar akan berlaku apabila kelajuan kereta api tidak boleh dikawal oleh pemandu. “Tahniah juga kepada pemandu kereta api yang tenang dan tidak panik mengawal keadaan… Kedudukan enam biji motosikal tersebut telah berjaya memperlahankan kereta api dan membolehkan pemandu mengawalnya.. “Terima kasih Unsung Hero enam anak muda pemilik motosikal troli dan pemandu keretapi. “Kepada semua guru guru SK Pangi, semoga tidak lemah semangat untuk terus mendidik anak bangsa di pedalaman…Saya bangga dengan anda semua..,” katanya. Ketika kejadian, kereta api terbabit membawa guru yang mengajar di SK Pangi. Berdasarkan video tular, beberapa guru dalam gerabak kereta api berkenaan kelihatan takut sambil menangis dan berteriak apabila kereta api meluncur laju di atas landasan kerana hilang kawalan akibat masalah brek. – Info X
March 4, 2026
Info X Reporters
DBKK kesan penyamaran pegawai kanan, tempahan palsu guna WhatsApp
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengesan beberapa kes membabitkan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pegawai kanan agensi itu bagi membuat tempahan pembekalan palsu melalui aplikasi WhatsApp. Dalam kenyataan hari ini, DBKK memaklumkan pihaknya mengambil maklum kejadian berkenaan yang berlaku baru-baru ini, susulan terdapat pihak menyalahgunakan identiti serta jawatan pegawai kanan DBKK untuk memperdaya pembekal. Menurutnya, semua urusan tempahan pembekalan rasmi DBKK adalah tertakluk kepada pemakluman secara bertulis melalui surat atau emel rasmi jabatan berserta dokumen yang diperakui. “DBKK tidak pernah membuat sebarang tempahan rasmi melalui saluran peribadi seperti aplikasi WhatsApp, akaun media sosial persendirian atau panggilan telefon tidak rasmi,” menurut kenyataan itu. Sehubungan itu, orang ramai khususnya pembekal dan rakan niaga dinasihatkan supaya membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum menerima atau memproses sebarang pesanan yang menggunakan nama DBKK. Pengesahan boleh dibuat dengan menghubungi Bahagian Pengurusan Korporat, Jabatan Hal Ehwal Korporat DBKK di talian 088-521800 bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. DBKK menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan penyamaran, penipuan atau penyalahgunaan nama pegawai, jabatan dan organisasinya. Katanya, tindakan undang-undang tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati terbabit dalam kegiatan berkenaan. Orang ramai yang mengesyaki wujud cubaan penipuan turut diminta segera membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Kenyataan itu dikeluarkan oleh Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam DBKK hari ini. – Info X
March 4, 2026
Info X Reporters
Piala Cabaran: Sang Badak sasar persembahan konsisten, fokus aksi pertama separuh akhir
KOTA KINABALU: Sabah FC bertandang ke Stadium MP Manjung bagi menghadapi Perak FA dengan menyasarkan persembahan konsisten dalam aksi separuh akhir pertama Piala Cabaran MFL, malam ini. Ketua jurulatihnya, Juan Torres Garrido berkata tumpuan penuh diberikan pada aksi separuh akhir pertama bagi memenangi perlawanan sebagai bekalan untuk ke perlawanan kedua di Likas selepas ini dan akhirnya ke final. Walaupun mengakui cabaran beraksi di gelanggang lawan bukan mudah, beliau tetap yakin dengan pengalaman dan kekuatan mental anak buahnya, ditambah semangat serta keinginan untuk berjaya mampu memberi kekuatan kepada pasukan. Beliau menyifatkan Perak sebagai pasukan yang teratur, kukuh dari segi taktikal dan berbahaya dalam situasi serangan balas yang perlu diambil perhatian oleh pemain Sang Badak. “Berdasarkan analisis, mereka (pemain Perak) sangat tersusun dan solid secara taktikal. Mereka juga berbahaya apabila diberi ruang untuk bergerak pantas,” katanya mengulas persiapan Sabah menghadapi perlawanan malam ini. Katanya, walaupun perlawanan separuh akhir itu menggunakan format dua perlawanan, beliau menegaskan pendekatan taktikal tidak banyak berubah kerana keutamaan diberikan kepada aksi pertama di Manjung. Ia adalah perlawanan kedua beliau membimbing Sabah selepas membuat penampilan sulung dalam saingan Liga Super bertemu Negeri Sembilan FC, minggu lalu. Garrido menyatakan beliau berpuas hati dengan sikap serta keselarasan yang semakin terbentuk dalam pasukan. “Saya gembira dengan sikap pemain. Kami berada pada haluan yang sama dan perlu mengekalkan momentum ini,” katanya. Sementara itu, Garrido berkata, walaupun beraksi di tempat lawan, pendekatan pasukan kekal sama iaitu mengambil langkah satu perlawanan demi satu perlawanan dalam usaha membentuk skuad yang lebih konsisten. “Kita perlu teruskan proses membina pasukan yang konsisten. Fokus kita hanya kepada perlawanan seterusnya,” katanya. Garrido mengakui jadual padat dan tempoh latihan yang terhad menjadi cabaran utama, namun memuji komitmen tinggi pemain dalam memastikan sasaran pasukan dapat dicapai. “Kita menghadapi jadual yang sangat ketat dengan masa latihan yang singkat, tetapi pemain bekerja keras untuk mencapai objektif pasukan,” katanya. – Info X