Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 4, 2026

Info X Reporters

Pelabur China dipelawa teroka peluang pelaburan di Sabah

KOTA KINABALU: Pelabur China dipelawa meneroka peluang pelaburan yang luas di negeri ini, khususnya dalam sektor ekonomi biru, tenaga boleh diperbaharui infrastruktur pintar, inovasi digital dan pelancongan mampan. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata galakan kemasukan pelabur ke negeri ini selaras dengan dasar kerajaan yang digariskan dalam pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). “Berpandukan pelan hala tuju SMJ 2.0, kita komited untuk menjalin pakatan strategik domestik dan antarabangsa bagi memacu agenda pembangunan negeri,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Konsulat Republik Rakyat China di Kota Kinabalu di Magellan Sutera, di sini, malam Selasa. Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun. Hajiji berkata, kerajaan negeri amat berbesar hati meraikan lebih lima dekad persahabatan yang berkekalan serta hubungan diplomatik antara Malaysia dan China dan antara Sabah dengan China. “Hubungan dua hala kita terus berkembang pesat, berteraskan asas saling menghormati, kepercayaan strategik serta kerjasama ekonomi yang kukuh dan semakin meluas,” katanya. Hajiji berkata Sabah terus mendapat manfaat daripada hubungan kukuh dengan China yang kekal sebagai rakan utama dalam sektor perdagangan, pelancongan dan infrastruktur negeri. “Hubungan yang berkembang pesat ini terbukti melalui peningkatan kesalinghubungan serta kerjasama perniagaan yang rancak dan semakin meluas pada hari ini,” katanya. Ketua Menteri percaya selain manfaat ekonomi, kerjasama yang diperkukuh antara Malaysia dan China serta antara Sabah dan China, akan meningkatkan hubungan sosial dan membina asas kepercayaan yang berkekalan serta kemajuan bersama yang memberi manfaat kepada kedua dua negara dan rakyatnya. “Semoga Tahun Kuda Api yang melambangkan kekuatan, keyakinan, tenaga dan keazaman ini akan memupuk perkongsian yang lebih erat serta kerjasama yang lebih rapat antara negara kita, sekali gus membawa kemakmuran kepada seluruh rakyat,” katanya. – Info X

March 4, 2026

Info X Reporters

29 PATI warga Filipina ditahan dalam operasi Imigresen di Ranau

RANAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di tiga lokasi berasingan sekitar daerah ini, semalam. Dalam kenyataan hari ini, JIM Sabah memaklumkan operasi berkenaan dilaksanakan oleh 18 pegawai dari Pejabat Imigresen Daerah Ranau dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Ranau. Menurut kenyataan itu, pemeriksaan dijalankan terhadap 41 individu dan hasilnya seramai 29 warga asing ditahan kerana disyaki melanggar peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. “Daripada jumlah yang ditahan, 11 adalah lelaki dewasa dan lapan perempuan dewasa, manakala masing-masing lima kanak-kanak lelaki serta lima kanak-kanak perempuan. “Kesemua mereka adalah warganegara Filipina,” menurut kenyataan itu. JIM Sabah berkata, semua individu terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta berkenaan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, selain Seksyen 36 akta sama. Semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Dalam pada itu, JIM Sabah menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini. Agensi itu turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi atau menggaji warga asing tanpa izin. Sehubungan itu, orang ramai diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa dokumen sah di kawasan masing-masing, bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.-Info X

March 4, 2026

Info X Reporters

Rumah, kedai runcit musnah dalam kebakaran di Karamunting

SANDAKAN: Tiga rumah dan tiga kedai runcit musnah dalam kebakaran di Kampung Bukit Nenas, Karamunting, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian itu, semua premis jenis tidak kekal berkeluasan keseluruhan 90×150 kaki dilaporkan terbakar 100 peratus. Ketua Balai BBP Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.01 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi. Katanya, seramai 12 anggota bersama satu jentera FRT, satu Water Tanker, satu EMRS dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai. “Jentera pertama tiba pada jam 3.14 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah serta tiga kedai runcit jenis tidak kekal. “Api marak dengan cepat dan keseluruhan kawasan terlibat terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.40 pagi dan operasi kini tertumpu kepada kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada sisa bara yang boleh mencetuskan kebakaran semula. Katanya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu setakat ini. “Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. “Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X

March 4, 2026

Info X Reporters

Abang lemas ketika selamatkan adik selepas bot berlanggar

KOTA KINABALU: Pengorbanan seorang abang berakhir tragedi apabila dia ditemukan lemas selepas terjun ke laut untuk menyelamatkan adiknya yang terjatuh susulan pelanggaran bot ketika memancing di perairan antara Sepanggar dan Pulau Gaya, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa, Jeksin Eming, 40, dipercayai bertindak terjun ke laut bagi membantu adiknya, Jaidin Eming, 30, yang terjatuh selepas bot dinaiki mereka dilaporkan berlanggar dengan sebuah lagi bot. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.47 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai. Katanya, seramai 10 anggota bersama satu jentera FRT, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bot penyelamat dikerah ke lokasi dan tiba pada jam 9.56 pagi. “Seorang mangsa berjaya dinaikkan ke bot dan dihantar ke Hospital Likas, namun disahkan meninggal dunia pada jam 4 petang. “Seorang lagi mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) dijalankan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, operasi pencarian dilakukan dalam radius tiga batu nautika dari lokasi kejadian membabitkan kekuatan 25 anggota pelbagai agensi. “Operasi ditangguhkan pada jam 5.06 petang dan akan disambung semula pagi ini. “Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X

March 4, 2026

Info X Reporters

17 pusat hiburan digempur

KOTA KINABALU: Usaha mengekang aktiviti penyalahgunaan dadah di pusat hiburan terus dilakukan apabila sebanyak 17 premis di seluruh Sabah digempur serentak dalam tempoh lima jam menerusi Operasi Pusat Hiburan Kontinjen Sabah, awal pagi semalam. Operasi bermula jam 1 pagi hingga 5 pagi itu dilaksanakan secara bersepadu membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang terbabit. Serbuan dan pemeriksaan dijalankan di beberapa daerah termasuk Kudat, Kunak, Kuala Penyu, Tenom, Tambunan, Labuan, Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Penampang dengan fokus memastikan premis hiburan tidak dijadikan lokasi penyalahgunaan dadah. Pemeriksaan turut membabitkan pusat hiburan karaoke (KTV), pub, bar dan lounge yang dikenal pasti berisiko. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, operasi bersepadu itu dijalankan bagi memastikan premis hiburan tidak dijadikan lokasi penyalahgunaan dadah. “Sepanjang operasi, seramai 128 individu diperiksa membabitkan 85 lelaki dan 43 wanita. “Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tujuh lelaki positif dadah, manakala 121 lagi negatif,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, semua tujuh individu berkenaan ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan. Beliau berkata, tiada rampasan dadah dilakukan sepanjang operasi berkenaan. “Keseluruhannya, tujuh tangkapan direkodkan membabitkan tujuh kertas siasatan di beberapa daerah termasuk Tenom, Labuan, Sandakan dan Penampang. “Operasi ini adalah mesej jelas bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pusat hiburan yang cuba menjadi sarang penyalahgunaan dadah,” katanya. Alhusin berkata, risikan dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pusat hiburan di Sabah sentiasa dipantau dan bebas daripada aktiviti dadah. “Perangi dadah, lindungi generasi. Itu pendirian kami dan usaha ini akan diteruskan tanpa henti. “Kami juga menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah kepada pihak berkuasa. Sama – sama kita perangi dadah demi keselamatan dan masa depan negeri ini,” ujarnya. – Info X

March 4, 2026

Info X Reporters

Wanita ‘lalok’ tiga jenis dadah, pengurus KTV turut kantoi

PENAMPANG: Dentuman muzik dan lampu neon yang berkelip di sebuah pusat hiburan karaoke (KTV) di daeran ini, awal pagi semalam bertukar sunyi sebaik pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat polis Kontinjen (IPK) Sabah menyerbu premis berkenaan dalam Ops Pusat Hiburan. Dalam operasi kira-kira jam 1 pagi itu, seorang wanita berusia 23 tahun yang pada awalnya dilihat tenang akhirnya ‘lalok’ selepas ujian saringan air kencing mendapati dia positif tiga jenis dadah serentak iaitu syabu, ketamin dan benzo. Lebih mengejutkan, pengurus premis lelaki berusia 44 tahun turut ‘kantoi’ apabila didapati positif ketamin. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, seramai 16 individu diperiksa dalam serbuan di KTV berkenaan. “Daripada jumlah itu, dua individu didapati positif dadah hasil ujian saringan awal air kencing. “Wanita tempatan positif methamphetamine, ketamin dan benzo, manakala seorang lelaki yang juga pengurus premis positif ketamin,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita terbabit mengaku minum minuman ‘jus’ dipercayai mengandungi dadah di sebuah premis hiburan sehari sebelum serbuan, manakala pengurus berkenaan mengaku mengambil minuman sama kira-kira tiga hari lalu. “Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya. Sementara itu, Alhusin berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana premis hiburan yang menjadi lokasi penyalahgunaan dadah. “Tindakan risikan dan pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan pusat hiburan tidak dijadikan sarang aktiviti penyalahgunaan dadah. “Operasi seumpama ini juga akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai mesej tegas bahawa pusat hiburan bukan tempat berlindung penagih dadah,” katanya. – Info X

March 3, 2026

Info X Reporters

Produk ayam, daging sejuk beku lebih 552 tan dirampas di Penampang

PENAMPANG: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas pelbagai produk ayam dan daging sejuk beku seberat lebih 552,851.24 kilogram bernilai keseluruhan kira-kira RM14.56 juta dalam satu operasi bersepadu di Kampung Nambazan, Donggongon, di sini, hari ini. Serbuan kira-kira jam 10 pagi itu dilaksanakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hasil risikan serta perkongsian maklumat antara agensi. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman, berkata pemeriksaan ke atas sebuah premis yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan produk ayam dan daging sejuk beku menemui kuantiti bahan mentah yang sangat banyak. “Pemeriksaan lanjut bersama pihak KKM mendapati terdapat sebahagian produk ayam dan daging yang sudah tamat tempoh. “Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut mengesan keraguan terhadap dokumen yang dikemukakan, apabila didapati berlaku ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang berkaitan keselamatan makanan dan peraturan veterinar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, seorang lelaki warga tempatan yang berada di premis berkenaan ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Turut dirampas dalam operasi itu ialah sebuah fasiliti penyimpanan sejuk beku (cold storage) yang digunakan untuk menyimpan bekalan berkenaan. Kes disiasat mengikut Akta Perkhidmatan Veterinar 2015 dan Akta Makanan 1983. Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain bagi memastikan produk makanan yang berada di pasaran mematuhi piawaian keselamatan dan peraturan ditetapkan. Beliau turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan masyarakat dan negara.-Info X

March 3, 2026

Info X Reporters

Ahli Parlimen Sabah sedia sokong tindakan undang-undang tuntut hak 40%

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sabah sebulat suara bersedia menyokong sebarang tindakan undang-undang bagi memastikan pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih negeri sekiranya rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah gagal mencapai penyelesaian menjelang 15 April ini. Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Tuaran, Madius Tangau selepas mempengerusikan sesi town hall dan taklimat khas bersama Ahli Parlimen serta Senator dari Sabah berhubung tuntutan hak berkenaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Beliau berkata, sekiranya rundingan tidak membuahkan hasil dalam tempoh ditetapkan, mereka bersedia menyokong tindakan yang difikirkan wajar oleh Sabah Law Society (SLS) bagi memastikan hak perlembagaan Sabah dilaksanakan sepenuhnya. “Perkara ini bukan isu kecil. Ia menyentuh hak negeri yang telah lama tertangguh. Kami amat prihatin dengan kadar perbincangan yang dilihat perlahan walaupun keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober tahun lalu amat signifikan kepada kedudukan kewangan dan hak Sabah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook. Menurutnya, selepas 136 hari daripada keputusan mahkamah itu, hanya tiga mesyuarat rasmi di peringkat pegawai diadakan, sedangkan kini hanya berbaki 44 hari sebelum tempoh 180 hari berakhir pada 15 April. Beliau turut memaklumkan bahawa Memorandum Rayuan yang difailkan Peguam Negara Persekutuan merangkumi keseluruhan penghakiman mahkamah kecuali pengiktirafan hak 40 peratus di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan itu, mesyuarat berkenaan mengulangi pendirian supaya Kerajaan Persekutuan menarik balik rayuan terbabit dan mempergiatkan rundingan dengan mengadakan mesyuarat lebih kerap dalam baki tempoh yang ada. Sesi itu turut dihadiri beberapa pemimpin Sabah termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup; Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedict; serta beberapa Ahli Parlimen dan Senator Sabah lain. Dalam pada itu, Madius berkata Ahli Parlimen Sabah turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan sistem penjejakan kutipan hasil Persekutuan bermula 1974 bagi mengenal pasti, mengukur dan menyimpan data tahunan secara lebih teratur. Katanya, sistem itu penting bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dari segi ketelusan dan akauntabiliti berkaitan hak hasil perlembagaan negeri. “Perjuangan ini bukan untuk mana-mana individu atau parti. Ini soal maruah dan hak rakyat Sabah. Jika rundingan gagal, kita tidak akan teragak-agak untuk berdiri teguh di belakang tindakan undang-undang demi memastikan hak 40 peratus Sabah dilaksanakan sepenuhnya,” katanya. – Info X