March 3, 2026
Info X Reporters
Lagi tokan dadah Telipok Ria ditahan
TUARAN: Taktik seorang lelaki menjadikan tepi jalan di Taman Telipok Ria sebagai lokasi mengedar dadah terbongkar selepas dia dicekup sepasukan polis dalam Ops Gempur Khas, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, suspek berusia 37 tahun diberkas anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah selepas cuba melarikan diri sebaik dihampiri polis yang memperkenalkan diri. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, tangkapan dibuat hasil risikan dan maklumat awam yang diterima pihaknya berhubung kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan. “Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemui 35 tiub plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu yang disimpan dalam dua plastik sederhana besar. “Turut dirampas dua tiub plastik kecil berisi bahan sama serta wang tunai RM90 dipercayai hasil jualan dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, keseluruhan rampasan dadah dianggarkan seberat 7.58 gram dengan nilai pasaran kira-kira RM1,000. Alhusin berkata, susulan tangkapan itu, polis kemudian membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Telipok Fasa 3 dengan dipandu arah suspek, namun tiada barang salah ditemui. “Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine. “Siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah berkenaan adalah miliknya dan dipercayai aktif mengedar sejak dua bulan lalu di sekitar Taman Telipok Ria,” katanya. Beliau berkata, suspek yang tidak bekerja itu kini direman bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Katanya, JSJN Sabah akan terus mempergiat operasi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri ini tanpa kompromi. – Info X
March 3, 2026
Info X Reporters
Empat pencuri kabel TM ditahan ketika leka ‘tarik’ kabel bawah tanah
KENINGAU: Taktik sekumpulan individu menarik kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia (TM) menggunakan kenderaan terbongkar apabila mereka dicekup polis dalam serbuan, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi di kawasan semak tepi jalan Kampung Mogong – Tangaban, Tambunan, empat suspek termasuk seorang wanita ditahan ketika dipercayai sedang melakukan kegiatan mencuri dan membinasakan kabel telekomunikasi. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, tangkapan dibuat hasil intipan sepasukan anggota dari IPD Keningau selepas menerima maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di lokasi berkenaan. “Pasukan serbuan berjaya menahan seorang suspek di lokasi kejadian sebelum hasil soal siasat dan pandu arah membawa kepada penahanan tiga lagi rakan suspek di kawasan berasingan. “Semua suspek berusia antara 29 hingga 49 tahun dan tidak bekerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, polis turut merampas 16 barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan itu termasuk chainlock, rantai besi, spanar boleh laras, pemutar skru, tukul besi, pemotong kabel, besi kuku kambing, beberapa gulung kabel serta sebuah kereta Proton Persona. Yampil berkata, siasatan awal mendapati kumpulan itu dipercayai aktif mencuri kabel di sekitar Tambunan dan Keningau. “Modus operandi digunakan adalah dengan menarik kabel bawah tanah menggunakan kenderaan yang dipasang peralatan besi bagi memudahkan kabel ditarik keluar sepenuhnya. “Hasil jualan kabel curi kemudian dibahagikan sama rata sesama mereka,” katanya. Beliau berkata, kumpulan itu turut dipercayai menyasarkan kabel bawah tanah yang mempunyai kandungan logam lebih padat kerana nilai jualannya lebih tinggi, selain menjalankan kegiatan pada waktu malam hingga awal pagi bagi mengelak dikesan. Katanya, semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai 16 rekod jenayah lampau dan 10 kes berkaitan narkotik, manakala seorang lagi adalah individu dikehendaki polis. “Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan memotong atau merosakkan kabel komunikasi. “Permohonan reman akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya. – Info X
March 3, 2026
Info X Reporters
Empat motosikal troli dirempuh kereta api, seorang cedera ringan
TENOM: Empat motosikal troli yang diletakkan di landasan dirempuh sebuah kereta api yang dilaporkan mengalami masalah brek dalam kejadian di Batu 11, laluan Tenom–Pangi, pagi tadi. Ketua Polis Daerah Tenom, Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8 pagi Beliau berkata, kereta api berkenaan yang dalam perjalanan menghala ke Kampung Pangi dilaporkan hilang kawalan akibat kegagalan sistem brek sebelum melanggar motosikal troli yang berada di atas landasan. “Siasatan awal mendapati motosikal troli berkenaan diletakkan di landasan oleh penduduk yang menunggu ahli keluarga masing-masing turun dari kereta api di Batu 11. “Ia sebagai pengangkutan alternatif untuk membawa penumpang pulang ke kampung,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, perkhidmatan kereta api laluan Tenom–Pangi ketika ini hanya beroperasi sehingga Batu 11 berikutan banjir dan tanah runtuh di pertengahan laluan. Susulan itu, penduduk yang tinggal lebih jauh termasuk ke arah Pangi terpaksa menggunakan motosikal troli atau berjalan kaki bagi meneruskan perjalanan ke kampung masing-masing kerana tiada jalan perhubungan lain. Azmir berkata, kegagalan brek dikesan lebih awal sebelum kereta api tiba di lokasi kejadian, namun tren berkenaan tetap terbabas dan melanggar empat motosikal troli yang diparkir di landasan. “Akibat kejadian itu, seorang lelaki mengalami kecederaan ringan manakala penumpang lain dilaporkan selamat,” katanya. Beliau turut menasihatkan pihak pengurusan kereta api supaya sentiasa memastikan tren berada dalam keadaan sempurna dan selamat sebelum dibenarkan bergerak di landasan. Pada masa sama, beliau menasihatkan pengguna supaya tidak menggunakan motosikal troli di landasan yang sama digunakan oleh perkhidmatan kereta api negeri walaupun menyedari mereka berdepan kekangan kerana tiada laluan alternatif lain. “Keselamatan semua pihak perlu diutamakan dan sebarang risiko perlu dielakkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang,” katanya. – Info X
March 3, 2026
Info X Reporters
Jamawi gesa projek jalan Tenom–Pangi disegerakan selepas insiden brek kereta api gagal
TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Jamawi Jaafar menggesa projek pembinaan jalan raya Tenom–Pangi disegerakan susulan insiden kereta api yang dilaporkan mengalami masalah brek tidak berfungsi, pagi tadi. Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, beliau menerima maklumat berhubung kejadian membabitkan kereta api yang membawa guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi itu sejurus insiden berlaku. “Saya mendapat maklumat berlakunya masalah brek tidak berfungsi kepada kereta api yang membawa guru-guru SK Pangi, Tenom pada pagi tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, tindakan pantas beberapa penduduk kampung yang meletakkan troli motosikal di atas landasan berjaya memperlahankan dan seterusnya menghentikan pergerakan kereta api berkenaan. Beliau berkata, setakat ini tiada laporan kecederaan diterima dan semua guru yang berada dalam kereta api itu dilaporkan selamat. Sehubungan itu, Jamawi memohon Jabatan Keretapi Negeri Sabah menjalankan siasatan penuh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengambil langkah segera bagi mengelakkan insiden sama berulang. “Saya mengharapkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah mengadakan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya demi keselamatan penumpang,” katanya. Beliau turut menekankan kepentingan aspek keselamatan, khususnya membabitkan guru dan penduduk yang bergantung kepada perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama ke kawasan pedalaman seperti Pangi. Dalam pada itu, Jamawi sekali lagi menggesa Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) supaya segera memulakan projek jalan raya Tenom–Pangi yang diluluskan Ketua Menteri pada awal 2025 dan difahamkan kontraktor sudah dilantik. Katanya, pelaksanaan projek itu penting sebagai alternatif pengangkutan darat yang lebih selamat dan selesa, sekali gus mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada perkhidmatan kereta api di laluan berisiko. – Info X
March 3, 2026
Info X Reporters
JSJN Sabah buru dua lelaki bantu siasatan kes dadah
KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah (JSJN) Sabah sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan berkaitan satu kes dadah. Dalam kenyataan yang dikeluarkan, kedua-dua individu berkenaan dikenal pasti sebagai Choy Weng Hong dan Yam Chee Feng. Menurut kenyataan itu, Choy Weng Hong yang beralamat di Taman Seri Mega 1, Kepayan, Penampang serta Yam Chee Feng dari Kingfisher Sulaman, Kuala Menggatal, dikehendaki bagi membantu siasatan kes di bawah rujukan Penampang/000821/2026. Kes berkenaan disiasat oleh pegawai penyiasat, ASP Siti Norsa’idah Binti Mohammad Shah. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi kedua-dua individu terbabit diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 088-454650 atau 088-454222. Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat di talian 017-9881932 atau mana-mana balai polis berhampiran. JSJN Sabah menegaskan kerjasama orang awam amat penting bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar serta tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut peruntukan undang-undang. – Info X
March 3, 2026
Info X Reporters
Dakwaan ‘Blok Borneo’ mahu kawal Malaya usaha lenyapkan perjuangan MA63
KOTA KINABALU: Dakwaan kononnya ‘Blok Borneo’ mahu “mengawal Malaya” disifatkan sebagai usaha untuk melenyapkan perjuangan menuntut pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Ketua Pemuda Nasional Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang, berkata naratif berkenaan amat mengelirukan dan sengaja dimainkan bagi menafikan hak serta tuntutan sah Sabah dan Sarawak. Beliau berkata, dakwaan itu bukan sahaja tidak berasas, malah tidak masuk akal jika dinilai berdasarkan fakta sejarah serta asas pembentukan negara Malaysia. “Tuntutan Sabah dan Sarawak berlandaskan MA63 bukan bertujuan untuk menguasai atau mendominasi mana-mana wilayah lain. “Ia sebaliknya menuntut pelaksanaan hak yang telah dipersetujui secara sah semasa pembentukan Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Felix berkata, kenyataan segelintir pemimpin dari Semenanjung yang mempersoalkan tuntutan MA63 mencerminkan sama ada kejahilan terhadap sejarah atau kegagalan memahami asas penubuhan negara. Menurutnya, polemik sedemikian hanya akan mengelirukan rakyat serta menjejaskan semangat persekutuan yang dibina atas prinsip keadilan dan kesaksamaan. Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin di Semenanjung supaya bersikap adil dan bertanggungjawab ketika mengulas isu berkaitan MA63. Katanya, penekanan terhadap pendidikan sejarah yang tepat kepada generasi baharu amat penting, khususnya mengenai peranan serta kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pengasas Persekutuan. Dalam pada itu, Felix menyeru rakyat Sabah dan Sarawak supaya terus bersatu serta memperkukuh kesepakatan bagi memastikan hak dan kepentingan kedua-dua negeri terpelihara dan dilaksanakan sepenuhnya. “Masanya sudah tiba untuk kita memastikan sebuah Malaysia yang adil dan saksama. Jurang kemajuan dan pembangunan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia tidak seharusnya terus melebar. “Ketidakseimbangan ini perlu diperbetulkan menerusi komitmen politik yang jelas dan pelaksanaan MA63 secara konsisten,” katanya. Beliau menegaskan, perjuangan menuntut hak Sabah dan Sarawak adalah demi keadilan serta kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia dan bukannya agenda perpecahan. – Info X
March 3, 2026
Info X Reporters
Hajiji alu-alukan lebih banyak kerjasama dengan PETRONAS
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik komitmen PETRONAS untuk meneroka kerjasama lanjut bagi memperluas penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas. Dalam pertemuan bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, Ketua Menteri diberi taklimat mengenai hala tuju kerjasama strategik dan status semasa operasi PETRONAS di negeri ini. Pertemuan dan taklimat itu sempena kunjungan hormat PETRONAS terhadap Ketua Menteri di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa. Tengku Muhammad Taufik turut memaklumkan kepada Ketua Menteri mengenai bantuan banjir PETRONAS bagi menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam membantu komuniti yang terjejas di Sabah baru-baru ini. Delegasi PETRONAS turut disertai Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas & Maritim, Datuk Adif Zulkifli; Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), Datuk Bacho Pilong; Naib Presiden Hubungan Strategik & Komunikasi Kumpulan, Ir Norafizal Mat Saad dan pegawai-pegawai kanan PETRONAS. – Info X
March 3, 2026
Info X Reporters
Dua kontraktor LPB Sabah dikenakan penalti RM31.8 juta
KOTA KINABALU: Kerajaan mengenakan penalti ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) berjumlah RM31.8 juta terhadap dua kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang gagal menyiapkan kerja mengikut jadual ditetapkan. Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata sebanyak 23 pakej kerja dikenal pasti mengalami kelewatan berbanding jadual asal pelaksanaan projek infrastruktur berkenaan. Beliau berkata, kelewatan itu dipengaruhi beberapa faktor utama termasuk keadaan cuaca tidak menentu, cabaran pengambilan balik tanah, isu pengalihan utiliti serta prestasi kontraktor di tapak projek. “Kementerian memahami isu ini menjadi kebimbangan berhubung kesan kelewatan projek terhadap mobiliti rakyat, kos logistik dan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini. Beliau menjawab pertanyaan Senator Edward Linggu Bukut berhubung jumlah pakej LPB Sabah yang lewat siap melebihi jadual asal serta nilai penalti LAD yang dikenakan kepada kontraktor terbabit. Mengulas perkembangan terkini, Ahmad berkata fasa 1A membabitkan 16 pakej kerja kini mencapai kemajuan 86.6 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2027. Katanya, fasa 1B pula merangkumi 19 pakej kerja yang kini berada pada tahap kemajuan 13.56 peratus dan disasarkan siap pada suku keempat 2028. “Bagi jajaran fasa 1B, kerja pembinaan dimulakan secara lebih intensif selepas isu pengambilan balik tanah berjaya diselesaikan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya. Dalam usaha mengurangkan gangguan kepada pengguna jalan raya, beliau berkata kementerian melaksanakan penyelenggaraan rutin secara lebih agresif termasuk pembaikan jalan rosak serta mewajibkan kontraktor menyediakan pelan pengurusan trafik yang lebih efektif. Tambahnya, jajaran yang siap akan dibuka lebih awal sebagai laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan tanpa perlu menunggu keseluruhan fasa disiapkan. Mengenai fasa 2 membabitkan jajaran Tamparuli ke Ranau sepanjang 98 kilometer, Ahmad berkata projek itu masih di peringkat perancangan dan pelaksanaannya bergantung kepada keupayaan kewangan kerajaan memandangkan ia tidak melibatkan kutipan tol. – Info X