Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

February 27, 2026

Info X Reporters

RM807,050 insentif kemenangan sukan diserah kepada atlet Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyerahkan insentif kemenangan atlet berjumlah RM807,050 kepada semua pemenang pingat kejohanan sukan kebangsaan dan antarabangsa dari negeri itu pada tahun lalu. Insentif itu disampaikan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan pada majlis penyerahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, petang Khamis. Nizam berkata jumlah itu merangkumi insentif kemenangan kebangsaan dan antarabangsa bagi sukan ‘able’ dan insentif bagi pencapaian atlet PARA yang berjaya memenangi pingat dalam kejohanan sukan disertai mereka pada tahun lalu. “Penyerahan insentif pada hari ini adalah untuk meraikan kejayaan atlet-atlet kita yang cemerlang sepanjang tahun 2025. Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya merakamkan syabas dan tahniah kepada semua atlet yang berjaya memenangi pingat untuk Sabah dan Malaysia sepanjang perjuangan tahun lalu. “Penyerahan insentif keseluruhannya membabitkan sebanyak RM807,050. Dari jumlah itu, dipecahkan kepada dua pencapaian iaitu insentif kemenangan kebangsaan dan antarabangsa untuk sukan `able’ iaitu sebanyak RM269,850 dan insentif kemenangan untuk pencapaian atlet PARA iaitu sebanyak RM537,200,” katanya. Katanya, walaupun pemberian insentif kemenangan itu agak besar tetapi berbaloi dibelanjakan oleh kerajaan negeri demi menarik minat dan penyertaan anak-anak muda Sabah, sejajar usaha kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah untuk melahirkan atlet bertaraf dunia. “Pada masa yang sama kerajaan berharap penyertaan anak-anak muda dalam sukan juga dapat membina kehidupan mereka yang lebih berkualiti dan sihat, selain membina sahsiah yang kukuh termasuk disiplin, semangat juang, kerjasama, ketrampilan dan semangat patriotik kepada negara. “Inilah sebenarnya yang diharapkan oleh kerajaan, kerana atlet dan anak-anak muda kita pada hari ini merupakan generasi yang akan memacu masa depan negeri dan negara ini,” katanya. Pada majlis yang sama, Nizam turut menyerahkan geran daripada kerajaan negeri Sabah berjumlah RM3.1 juta kepada 51 persatuan sukan di negeri ini yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan. “Selaku Menteri, saya menegaskan kepada semua persatuan sukan agar dapat menggunakan bantuan kewangan dari kerajaan negeri ini untuk melaksanakan program pembangunan atlet secara efisien dan bertanggungjawab. “Saya mahu perbelanjaan yang telah dibuat ini dapat dikembalikan kepada kementerian ini dalam bentuk laporan yang sahih dan data yang boleh diguna pakai untuk memajukan lagi mutu sukan di negeri ini,” katanya. – Info X

February 27, 2026

Info X Reporters

Lelaki kes bunuh, kerat wanita tiba di mahkamah

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, pagi ini, untuk didakwa atas tuduhan membunuh seorang wanita yang mayatnya dikerat dan dibuang di beberapa lokasi di Taman Indah Permai, Sepanggar, pada 12 Februari lalu. Lelaki berusia lingkungan 70-an itu tiba di pekarangan mahkamah menaiki van milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira jam 8.25 pagi dengan kawalan ketat. Kenderaan berkenaan turut diiringi sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) bersama pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna oren dilihat bergari ketika dibawa masuk ke pekarangan mahkamah. Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun mengesahkan suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. “Esok kita akan tuduh suspek di mahkamah. “Tiga lagi individu yang juga anak suspek utama mungkin dijadikan saksi pendakwaan dalam kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam. Dalam kejadian pada 12 Februari lalu, seorang wanita ditemukan maut dalam keadaan anggota tubuhnya dikerat kepada beberapa bahagian sebelum dibuang di beberapa lokasi sekitar Indah Permai, Sepanggar, dekat sini. Pembunuhan itu terbongkar kira-kira jam 6.30 pagi apabila seorang pekerja lori sampah menemukan anggota badan manusia ketika menjalankan tugas rutin. Susulan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an kurang 24 jam selepas penemuan mayat mangsa hasil risikan serta petunjuk diperoleh di lokasi kejadian. Siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan anak lelaki suspek berusia lingkungan 20-an, diikuti dua lagi anak suspek yang juga wanita bagi membantu siasatan berhubung peranan serta pengetahuan mereka mengenai kejadian berkenaan. – Info X

February 26, 2026

Info X Reporters

Jalan Tamparuli – Kiulu – Rondogung Ranau bakal dinaik taraf lebuh raya

KOTA KINABALU: Laluan Tamparuli – Kiulu – Rondogung Ranau bakal dinaik taraf sebagai lebuh raya menerusi jajaran alternatif projek Pan Borneo Highway Fasa Dua di Sabah. Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Madius Tangau berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika menjawab pertanyaannya pada sesi Soalan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini. Menurutnya, pelaksanaan naik taraf tersebut melibatkan tiga jajaran utama dengan reka bentuk R4. “Jalan Kiulu – Pahu akan dinaik taraf kepada empat lorong sepanjang 24.8 kilometer. “Selain itu, Jalan Pahu – Rondogung akan dinaik taraf kepada dua lorong dengan reka bentuk R4 sepanjang 21.66 kilometer, manakala Jalan Pahu – Tamparuli turut disenaraikan untuk dinaik taraf sepanjang 15.72 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, projek berkenaan dijangka dilaksanakan menerusi pakej seterusnya selepas penyempurnaan fasa semasa Pan Borneo Sabah. Terdahulu, beliau meminta Kementerian Kerja Raya menyatakan sama ada kerajaan bercadang menaik taraf Jalan Tamparuli – Ranau menjadi lebuh raya berikutan masalah kesesakan yang semakin ketara, khususnya di sekitar pekan Tamparuli dan laluan ke Tuaran. Menjawab perkara itu, Ahmad memaklumkan setakat ini tiada perancangan segera untuk menaik taraf laluan berkenaan memandangkan data terkini pada 2024 menunjukkan Tahap Perkhidmatan Jalan (Level of Service, LOS) masih berada pada tahap LOS A, iaitu masih mampu menampung aliran trafik sedia ada. Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan cadangan supaya satu kajian semula dijalankan bagi menilai tahap LOS terkini, memandangkan data yang digunakan adalah berdasarkan maklumat dua tahun lalu. “Saya akan mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat kajian terkini mengenai tahap LOS sebenar di kawasan pekan Tamparuli dan Tuaran seperti yang dibangkitkan. “Sebagai langkah sementara, kita juga akan berbincang dengan pihak trafik bagi memastikan tindakan susulan yang bersesuaian dapat diambil,” katanya lagi. Langkah naik taraf itu dilihat mampu memberi impak positif terhadap kelancaran trafik, merancakkan pembangunan kawasan pedalaman serta meningkatkan kesalinghubungan antara Tamparuli, Kiulu dan Ranau pada masa akan datang. – Info X

February 26, 2026

Info X Reporters

Empat ditahan beri maklumat palsu daftar kelahiran

KOTA KINABALU: Empat individu ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah dalam operasi berasingan di Pejabat JPN Lahad Datu, Isnin lalu. Mereka disyaki memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan pendaftaran kelahiran. JPN Sabah menerusi laman sosial Facebook (FB) rasminya hari ini memaklumkan, tangkapan dilakukan hasil pemantauan dan penelitian terhadap beberapa permohonan yang mencurigakan. Menurut kenyataan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 418 dan Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama serta Seksyen 33(1)(a) Registration of Births and Deaths Ordinance (Sabah Cap 123). “Siasatan dijalankan kerana disyaki dengan sengaja membuat atau membenarkan kenyataan palsu bagi tujuan pendaftaran kelahiran,” menurut kenyataan berkenaan. Semua individu terbabit ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. JPN Negeri Sabah menegaskan sebarang cubaan mengemukakan maklumat palsu dalam urusan pendaftaran adalah satu kesalahan serius dan tidak akan dikompromi. – Info X

February 26, 2026

Info X Reporters

Suspek kes bunuh dan ‘kerat’ wanita didakwa esok

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya dikerat sebelum dibuang di beberapa lokasi awal bulan ini, dijangka dituduh di mahkamah, di sini, esok. Suspek berkenaan yang sebelum ini ditahan reman dijangka dibawa ke mahkamah untuk mendengar pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Perkara itu disahkan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika ditanya mengenai perkembangan kes berkenaan. Katanya, kertas siasatan mengenai kes itu sudah dilengkapkan sebelum arahan pertuduhan dikeluarkan. “Esok kita akan tuduh suspek di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, tiga lagi individu yang juga anak suspek utama mungkin dijadikan saksi pendakwaan dalam kes berkenaan. Dalam kejadian pada 12 Februari lalu, seorang wanita ditemukan maut dalam keadaan anggota tubuhnya dikerat kepada beberapa bahagian sebelum dibuang di beberapa lokasi sekitar Indah Permai, Sepanggar, dekat sini. Pembunuhan itu terbongkar kira-kira jam 6.30 pagi apabila seorang pekerja lori sampah menemukan anggota badan manusia ketika menjalankan tugas rutin. Susulan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an kurang 24 jam selepas penemuan mayat mangsa, sebelum beberapa tangkapan susulan dilakukan bagi membantu siasatan. – Info X

February 26, 2026

Info X Reporters

Jumardie Lukman tegaskan hak sabah selaras semangat persekutuan

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Jumardie Lukman menegaskan bahawa usaha menuntut hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan bertujuan untuk memecah-belahkan negara, sebaliknya bertujuan memperkukuh Persekutuan Malaysia secara adil dan berperlembagaan. Menurut beliau, perjuangan ini selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia yang menekankan perpaduan, saling menghormati dan kerjasama erat antara negeri-negeri dalam persekutuan. Jumardie menyokong kenyataan hari ini Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah, Azrul Ibrahim, yang menyeru penegasan hak Sabah, dilihat mampu menguatkan hubungan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung tanpa menimbulkan ketegangan serta demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia. “Usaha ini bukan untuk menimbulkan perpecahan, tetapi untuk memastikan hak-hak negeri Sabah diiktiraf mengikut perlembagaan dan perjanjian yang telah dipersetujui,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau menambah, titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong wajar dijadikan pedoman dalam menangani isu MA63 yang kerap dibahaskan secara terbuka. Baginda menekankan bahawa setiap pihak perlu kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia, iaitu membina sebuah negara yang adil, bersatu dan menghormati kepelbagaian. Jumardie berkata, peringatan ini amat tepat pada masanya kerana ia menuntut kebijaksanaan semua pihak dalam menyelesaikan isu MA63 tanpa mengabaikan kepentingan rakyat Sabah. Dengan penegasan ini, Jumardie berharap rakyat dan pemimpin negeri memahami bahawa menuntut hak Sabah bukanlah ancaman kepada perpaduan negara, sebaliknya langkah penting untuk memastikan persekutuan Malaysia terus kukuh dan adil bagi semua pihak. Naib Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Jumardie Lukman juga menyatakan bahawa tuntutan hak kewangan dan hasil negeri Sabah adalah berasaskan peruntukan sah dalam Perlembagaan serta semangat pembentukan Malaysia, bukannya satu tuntutan baharu atau berlebihan. Menurutnya, isu pemberian khas Persekutuan, pembahagian hasil serta kuasa pentadbiran negeri perlu ditangani secara adil dan berprinsip, memandangkan jurang pembangunan yang masih ketara antara Sabah dan negeri di Semenanjung selepas lebih lima dekad pembentukan Malaysia. Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan Sabah dan Sarawak perlu dilihat sebagai pelaburan strategik untuk memperkukuh ekonomi negara secara menyeluruh, bukannya beban kewangan. “Kita tidak meminta lebih daripada yang sewajarnya. Apa yang diperjuangkan adalah hak yang menjadi asas penyertaan Sabah dalam Malaysia, dan ia perlu ditunaikan demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – Info X

February 26, 2026

Info X Reporters

Kedaulatan Sabah dalam Malaysia tidak boleh dirunding – Shafie

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan kedaulatan Sabah dalam Malaysia sudah diselesaikan dan tidak boleh dirunding. Menerusi satu kenyataan pada Khamis, bekas Ketua Menteri Sabah itu, berkata kedudukan itu menjelaskan bahawa Sabah bukan tuntutan abstrak. “Sabah bukan tuntutan abstrak. Ia adalah rumah kita. Kedaulatannya dalam Malaysia sudah diselesaikan dan ia tidak boleh dirunding,” katanya merujuk kenyataan pihak rasmi Filipina berhubung tuntutan ke atas Sabah. Shafie berkata, beliau mengambil serius kenyataan dikeluarkan pihak dari negara jiran itu yang disifatkannya sesuatu yang tidak boleh diterima. Dalam kenyataannya, Shafie menjelaskan sejarah pembentukan Malaysia yang katanya didahului dengan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Borneo Utara bagi meninjau pendapat rakyat negeri ini sebelum pembentukan Malaysia. “Dalam laporan Setiausaha Agung PBB pada 1963 (UN Document A/5446), direkodkan bahawa majoriti besar rakyat Sabah menyokong pembentukan Malaysia. “Sabah membantu pembentukan Malaysia pada 1963 di bawah Perjanjian Malaysia (MA63). Kedudukannya sudah selesai dan ia tidak terbuka terhadap penegasan luar. “Ia mengesahkan penentuan nasib sendiri sebagai asas kedaulatan kita dan status Sabah pada hari ini. Tiada undang-undang asing dan peta boleh mengatasi kehendak rakyat Sabah,” katanya. Presiden Parti Warisan itu menegaskan bahawa Sabah ditadbir di bawah Perlembagaan Persekutuan, manakala rakyat Sabah mengundi dalam Pilihan Raya Malaysia dan Sabah menghantar wakil ke Parlimen. “Undang-undang Malaysia digunakan dan Mahkamah Malaysia berfungsi di Sabah tanpa gangguan. Integriti wilayah Malaysia termasuk Sabah sudah diakui di peringkat antarabangsa sejak 1963. “Malaysia melaksanakan pentadbiran penuh dan berterusan ke atas Sabah. Ia bukan pendapat tetapi fakta. “Kita mengalu-alukan hubungan aman dengan jiran kita tetapi kita tidak boleh dan tidak akan menerima naratif yang tidak menghiraukan kedaulatan, keselamatan dan hak rakyat Sabah,” katanya. – Info X

February 26, 2026

Info X Reporters

Pembantu Menteri, Setiausaha Politik Sabah lafaz Ikrar Bebas Rasuah

KOTA KINABALU: Selepas Jemaah Menteri, Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kerajaan negeri diteruskan bagi Pembantu Menteri dan Setiausaha Politik, pada Khamis. Majlis yang disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Menara Kinabalu, di sini. Lafaz ikrar dimulakan Pembantu-Pembantu Menteri dan Setiausaha-Setiausaha Politik sebagai tanda komitmen memperkukuh integriti serta tadbir urus beramanah dalam pentadbiran negeri. Selepas sesi menandatangani Ikrar Bebas Rasuah oleh semua yang terlibat, majlis diteruskan dengan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai dan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim, masing-masing mewakili Pembantu Menteri dan Setiausaha-Politik menyerahkan dokumen IBR kepada Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah. Mohd Fuad yang menyaksikan majlis itu, turut memberi taklimat khas yang memberi penekanan kepada usaha pencegahan rasuah serta pemantapan budaya integriti dalam perkhidmatan awam. Turut hadir Pengarah Bahagian Kabinet dan Dasar Jabatan Ketua Menteri, Dayang Noorashikhin Zulkefli dan Penasihat Integriti kepada Ketua Menteri, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya (KPKPj) SPRM, Awang Samsul Baharam Bungso. – Info X