Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

February 26, 2026

Info X Reporters

Banjir di Beaufort semakin buruk

BEAUFORT: Sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menampung peningkatan mangsa banjir di daerah ini, pada Khamis. PPS Masjid Darul Ikhlas Kampung Batandok Lubak itu dibuka mulai jam 12 tengah hari setelah PPS sedia ada di Dewan Dun Banir dan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon semakin penuh. Pembukaan PPS baharu itu diisytiharkan Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beaufort, Mohd Nazri Ajun. Ketika ini, PPK Selagon menempatkan seramai 395 mangsa daripada 121 keluarga, manakala seramai 547 mangsa daripada 169 keluarga di PPS DUN Banir, kedua-duanya dibuka pada Rabu. Secara keseluruhan, seramai 942 mangsa banjir membabitkan 290 keluarga dari 58 kampung terjejas banjir dipindahkan setakat Khamis. Sementara itu, bacaan paras air Sungai Padas di daerah ini dilaporkan mencecah 10.2 meter setakat jam 12 tengah hari tadi, berbanding paras bahaya 8.7 meter. Kawasan pekan turut lumpuh selepas laluan masuk dan sebahagian besar jalan, selain pejabat daerah, majlis daerah, premis perniagaan dan stesen kereta api terjejas akibat banjir. – Info X

February 26, 2026

Info X Reporters

Banjir: APM Beaufort bantu guru, pelajar, jururawat ke sekolah dan hospital

BEAUFORT: Khidmat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjadi sandaran pelbagai pihak dalam memastikan urusan penting yang memerlukan keutamaan dapat diteruskan ketika berdepan bencana banjir. Pada Khamis, khidmat anggota APM Beaufort ‘dipinjam’ bagi mengambil dan menghantar guru serta kertas peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort ke SMK Gadong. Bantuan APM diperlukan bagi memastikan guru dan kertas peperiksaan itu sampai sebelum peperiksaan bermula ketika laluan ke SMK Gadong dinaiki air berikutan banjir yang melanda daerah ini. Selain itu, anggota APM turut membantu beberapa pelajar STPM yang terkandas akibat banjir untuk menduduki kertas peperiksaan ulangan STPM di SMK Beaufort. Pelajar terbabit, masing-masing dari Kampung Kota Klias, Kukut dan Lubak, di sini, memerlukan bantuan APM untuk mengharungi banjir yang menjejaskan laluan dari kampung masing-masing ke sekolah. Pihak APM menggunakan lori trak yang mampu mengharungi laluan terjejas banjir untuk mengambil dan menghantar pelajar terbabit bagi menduduki peperiksaan STPM. Sementara itu, khidmat APM turut dimanfaatkan beberapa jururawat dari Hospital Beaufort, di sini untuk mengambil dan menghantar mereka ke hospital setelah terkandas di jalan bypass Beaufort-Menumbok, di sini. Khidmat itu dilaksanakan meskipun APM turut sibuk melaksanakan urusan pemindahan penduduk mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan banjir yang melanda daerah ini sejak Selasa. Ia adalah kejadian banjir kedua dalam bulan ini yang menjejaskan ratusan penduduk kampung dari sekitar daerah ini. Banjir berpunca daripada limpahan air Sungai Padas berikutan hujan berterusan di kawasan pedalaman sejak beberapa hari lalu. – Info X

February 26, 2026

Info X Reporters

525 vape tidak berdaftar dirampas, nilai hampir RM14,000

TAWAU: Sebanyak 525 produk peranti tembakau termasuk rokok elektronik (vape) tidak berdaftar dirampas dalam Operasi Taring Alpha 3 Tangkapan dan Rampasan yang dilaksanakan, baru-baru ini. Operasi bersepadu itu membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau dan Task Force Battalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau. Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman berkata, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM14,000. Katanya, antara kesalahan dikesan ialah menjual vape yang tidak berdaftar dengan KKM selain pembungkusan serta pelabelan yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan. “Kita turut mengesan kesalahan mengiklankan produk peranti tembakau yang melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024. “Semua 525 peranti vape yang dirampas ini bukan barang seludup, namun tidak berdaftar dan tidak mematuhi syarat ditetapkan termasuk ada yang tidak melalui proses kemasukan yang betul,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ops Bazar Ramadan dan Promosi Kesihatan Tibi 2026, di sini, semalam. Menurutnya, tindakan diambil hasil risikan bersama pasukan PGA dan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang. “Penjual dan pengedar perlu memastikan produk berdaftar serta mematuhi garis panduan KKM. “Jika gagal mematuhi syarat berkenaan, tindakan tegas termasuk rampasan dan pelupusan akan diambil,” katanya. Tambah beliau, kerjasama strategik bersama PGA penting bagi mengekang lambakan produk tidak berdaftar di pasaran sekali gus melindungi kesihatan awam. “Semua peranti yang dirampas akan melalui proses pelupusan mengikut prosedur ditetapkan,” katanya. – Info X

February 26, 2026

Info X Reporters

44 PATI ditahan dalam Ops Sapu, Ops Kutip di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seramai 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Sapu dan Ops Kutip yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah sekitar bandar raya ini, pada Selasa hingga semalam. Sepanjang operasi dua hari itu, seramai 24 pegawai Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat JIM Kota Kinabalu digerakkan untuk menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi panas sekitar bandar raya ini. Menerusi kenyataan di Facebook (FB) rasmi jabatan itu hari ini, seramai 72 individu terdiri daripada warganegara Indonesia dan Filipina diperiksa dalam operasi berkenaan. “Daripada jumlah itu, 44 individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. “Antara yang ditahan ialah dua warganegara Indonesia membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita dewasa. “Selebihnya adalah warganegara Filipina iaitu lapan lelaki dewasa, 12 wanita dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan 13 kanak-kanak perempuan. “Semua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen untuk siasatan lanjut serta tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu. JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat secara konsisten dan tanpa kompromi bagi membanteras kebanjiran PATI di negeri ini. Menurut kenyataan itu lagi, sebarang pelanggaran terhadap Akta Imigresen 1959/63 akan dikenakan tindakan tegas sebagai manifestasi komitmen jabatan dalam memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kesejahteraan rakyat Sabah terus terpelihara. – Info X

February 26, 2026

Info X Reporters

MAFFI akan buat penilaian tahap kerosakan sektor pertanian akibat banjir – Jamawi

TENOM: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) akan membuat penilaian tahap kerosakan sektor pertanian dan menyelaras bantuan segera kepada petani, penternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir di beberapa daerah di Sabah. Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar, berkata pegawai di bawah jabatan dan agensi kementerian itu akan turun padang di semua daerah terjejas, khususnya di kawasan pedalaman dan utara Sabah yang masih berdepan bencana itu ketika ini. Beliau berkata, pegawai dari agensi yang berkaitan perlu turun padang bagi memastikan maklumat kerosakan tanaman, ternakan dan infrastruktur pertanian dapat dikumpulkan secara tepat dan menyeluruh. “Langkah ini bagi membolehkan proses penyaluran bantuan dan pelaksanaan langkah pemulihan dijalankan dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan selepas meninjau situasi banjir dan melawat mangsa, di sini, pada Khamis. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap melawat mangsa banjir bagi daerah ini di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Panglima Antanom dan Dewan Sekokaj Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, di sini. Selain Tenom, banjir turut melanda Sook, Nabawan, Beaufort, Membakut dan Sipitang bagi kawasan pedalaman, manakala Pitas, Paitan dan Kota Marudu di utara Sabah, selain beberapa lagi daerah lain, termasuk Tongod. Jamawi berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan agensi berkaitan di peringkat daerah bagi memastikan bantuan seperti bekalan makanan ternakan, benih tanaman dan sokongan teknikal dapat disalurkan dengan segera dan kepada di semua kawasan terjejas. Selain itu, beliau menekankan kepentingan pemantauan berterusan terhadap kawasan pertanian bagi mengesan kerosakan lebih awal, selain membolehkan Pejabat Pertanian Daerah menyediakan bantuan bersasar untuk mengelakkan kehilangan hasil pertanian yang lebih besar. “Kita juga menasihatkan pengusaha pertanian supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya sepanjang musim tengkujuh. “Mereka juga digalakkan melaporkan sebarang kerosakan atau ancaman banjir kepada Pejabat Pertanian Daerah bagi membolehkan tindakan susulan diambil segera,” katanya. Kerajaan negeri, katanya komited memulihkan sektor pertanian di kawasan terjejas banjir agar pengusaha pertanian, penternak dan nelayan dapat kembali beroperasi secepat mungkin. Beliau berkata, usaha itu bagi membantu mengurangkan impak ekonomi terhadap komuniti luar bandar yang bergantung sepenuhnya kepada sektor pertanian dan perikanan. “Pendekatan kerjasama di antara kementerian, agensi berkaitan dan komuniti tempatan adalah kunci bagi menghadapi musim tengkujuh ini. “Semua pihak perlu sentiasa bersedia dan peka terhadap sebarang amaran awal bagi memastikan keselamatan nyawa serta kelangsungan ekonomi penduduk luar bandar terjamin,” katanya. – Info X

February 26, 2026

Info X Reporters

Rumah hanyut, tetap dahului mangsa

PAITAN: Di saat orang lain bertungkus-lumus menyelamatkan harta benda ketika banjir melanda, dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Paitan pula terpaksa menelan hakikat pahit apabila rumah sendiri hanyut dibawa arus deras. Namun dalam suasana cemas dan pilu itu, mereka tetap mengenakan uniform serta berdiri di barisan hadapan menyelamatkan mangsa banjir yang melanda daerah ini, baru-baru ini. Prebet (PA) Kishan Indet dan Prebet (PA) Junerin Udam berdepan ujian paling berat apabila kediaman mereka antara yang paling teruk terjejas, malah dilaporkan hanyut dan roboh sepenuhnya pada hari pertama kejadian. Namun musibah itu tidak mematahkan semangat mereka. Kishan bersama isterinya yang juga anggota APM tetap melapor diri ke pusat kawalan operasi sebaik menerima maklumat banjir walaupun keluarga mereka sendiri terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS). Dalam keadaan bersiap siaga, pasangan itu membuat keputusan meninggalkan anak tunggal lelaki mereka di bawah jagaan keluarga terdekat bagi membolehkan mereka turun bertugas membantu mangsa. “Kami jalankan tugas seperti biasa walaupun rumah sendiri terjejas. “Keutamaan ketika itu adalah memastikan mangsa selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Bagi Junerin pula, kehilangan tempat berteduh bukan alasan untuk menarik diri daripada operasi. “Memang sedih lihat rumah hanyut, tetapi sebagai anggota APM kami perlu utamakan keselamatan penduduk terlebih dahulu,” katanya. Difahamkan, seramai 29 anggota APM Paitan digerakkan dalam operasi banjir kali ini dan kebanyakannya turut berdepan situasi sama apabila rumah masing-masing dinaiki air. Banjir di Paitan dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan lebih 24 jam sehingga menyebabkan paras sungai naik mendadak dan melimpah ke kawasan penempatan penduduk termasuk Kampung Sokoon dan Kampung Golong. Keadaan itu memaksa beberapa keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka rosak, malah ada yang dihanyutkan arus deras. – Info X

February 26, 2026

Info X Reporters

Cubaan seludup 24 batang kayu di Lahad Datu gagal

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 24 batang kayu disyaki hasil curi selepas dua bot dipintas dalam operasi di perairan Lahad Datu, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, anggota Zon Maritim Lahad Datu mengesan dua bot kayu tanpa nombor pendaftaran pada kedudukan 0.5 batu nautika tenggara muara Sungai Sepagaya. Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot berwarna merah jambu dan hijau itu dikesan ketika rondaan Op PLUTO TIMUR 2/2013 dan Op TIRIS 3.0 hasil maklumat risikan. Katanya, sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, kedua-dua bot terbabit memecut laju sebelum melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran. “Pemeriksaan lanjut menemukan empat batang kayu bakau dan 20 batang kayu potong di dalam kedua-dua bot berkenaan. “Semua kayu itu dipercayai dibawa tanpa permit sah dan disyaki hasil curi,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Enakmen Hutan 1968 kerana membawa hasil hutan tanpa kebenaran serta Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki dan membawa barangan curi. “Nilai keseluruhan rampasan termasuk dua bot dianggarkan RM8,000. Semua kayu dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk tindakan lanjut. “APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencerobohan sumber hutan dan jenayah maritim di perairan negara,” katanya. Dzulfikhar berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Lahad Datu menerusi WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera. – Info X

February 26, 2026

Info X Reporters

Stor kilang terbakar, pekerja cedera terkena pancutan air

KOTA KINABALU: Seorang pekerja kilang cedera pada bahagian mata selepas dipercayai terkena pancutan ‘water jet’ ketika kebakaran membabitkan sebuah stor di Jarri Engineering Sdn Bhd, di sini, petang tadi. Kebakaran melibatkan stor penyimpanan peralatan kenderaan jenis kekal berkeluasan kira-kira 74.3 meter persegi yang terbakar 15 peratus. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.17 petang sebelum sepasukan 11 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi. “Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6.26 petang, kira-kira empat kilometer dari balai, dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah stor kilang. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan air daripada sumber tangki jentera bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.40 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.20 malam selepas pemeriksaan lanjut dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi. “Seorang pekerja lelaki berusia 26 tahun mengalami kecederaan pada mata selepas terkena nozel ‘water jet’ dan diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) bomba di lokasi kejadian. “Tiada mangsa lain dilaporkan terlibat dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. Operasi turut dibantu dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). – Info X