Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

February 25, 2026

Info X Reporters

Juan Torres pengendali baharu Sabah FC

KOTA KINABALU: Sabah FC haru ini mengumumkan pelantikan bekas Ketua Jurulatih Skuad B-23 Kebangsaan, Juan Torres Garrido, sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan itu. Pelantikan pengendali kelahiran Sepanyol itu diumumkan Pengurus Sabah FC, Mohd Arziz Afizy, menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini. Arziz berkata, Juan akan mengambil alih tugas daripada Alto Linus yang sebelum ini menggalas peranan sebagai pemangku Ketua Jurulatih berikutan peletakan jawatan Jean-Paul de Marigny pada Disember lalu. Selaras dengan pelantikan pengendali baharu Sang Badak itu, Alto kini kembali menjalankan tugas sebagai Penolong Ketua Jurulatih. “Juan Torres akan memulakan tugas rasminya pada perlawanan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Likas, Sabtu ini,” katanya. Arziz berkata, pengalaman Juan mengendalikan Skuad B-23 negara serta pengetahuannya mengenai Liga Malaysia menjadi antara faktor utama pemilihannya. Beliau percaya kehadiran jurulatih baharu itu mampu membawa perubahan positif kepada pasukan, khususnya dalam usaha memperbaiki kedudukan Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia musim 2025/2026. “Fokus utama kita adalah untuk mara ke perlawanan akhir MFL Challenge Cup 2025-2026,” katanya. Dalam pada itu, Arziz turut berharap pemain dapat memberi komitmen sepenuhnya, menunjukkan disiplin tinggi dan cepat menyesuaikan diri dengan pendekatan latihan yang diperkenalkan. “Dengan semangat berpasukan yang kukuh dan kesungguhan semua pihak, saya yakin Sabah FC mampu mencapai keputusan yang lebih baik selepas ini,” katanya. – Info X

February 25, 2026

Info X Reporters

Penjawat awam ditahan disyaki terima rasuah RM3,000 lulus projek Rumah Mesra SMJ

KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam sebuah jabatan kerajaan negeri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah. Lelaki berusia lingkungan 40-an itu dipercayai menerima kira-kira RM3,000 sebagai balasan meluluskan Projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada sebuah syarikat kontraktor. Suspek ditahan kira-kira jam 12.40 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah. Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada tahun 2024 dengan menerima wang rasuah secara berperingkat. “Wang berjumlah kira-kira RM3,000 itu dipercayai dipindahkan melalui dua transaksi secara dalam talian ke akaun peribadi suspek serta akaun milik anaknya,” katanya. Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan suspek akan dilepaskan selepas keterangan diambil. – Info X

February 25, 2026

Info X Reporters

ESSCOM bantu pantau perairan susulan gempa bumi kuat di Kudat

LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan cuaca tidak menentu serta laporan gegaran yang berlaku di kawasan perairan Sabah Timur. Komandernya, Datuk Victor Sanjos berkata, langkah itu termasuk memperkukuh kerjasama bersama jabatan kerajaan, pasukan penguat kuasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan setiap situasi dapat ditangani secara terselaras dan pantas. Katanya, pemantauan rapi dilaksanakan susulan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia berhubung kejadian gegaran yang kebanyakannya dilaporkan berlaku di laut termasuk perairan berhampiran Kudat. “Kita sentiasa bersedia membantu dan menyelaras operasi bersama semua agensi di peringkat persekutuan serta negeri bagi memastikan tahap keselamatan berada pada tahap terbaik. “Pusat Operasi ESSCOM juga sentiasa berhubung dengan Jabatan Meteorologi untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, arahan sudah dikeluarkan supaya sebarang perkembangan berkaitan cuaca atau situasi tidak menentu dimaklumkan segera kepada aset keselamatan khususnya di laut. Menurutnya, tindakan itu penting bagi membolehkan langkah berjaga-jaga diambil lebih awal sekali gus mengelakkan risiko terhadap anggota keselamatan dan komuniti setempat. Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di Zon Keselamatan Timur Sabah supaya tidak panik dan sentiasa merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat sahih. “Masyarakat juga diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat di media sosial kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan keselamatan,” katanya. – Info X

February 25, 2026

Info X Reporters

Tenom diisytihar banjir, 22 kampung terjejas

KOTA KINABALU: Tenom menjadi daerah kelima diisytihar dilanda bencana banjir susulan limpahan air Sungai Padas yang menjejaskan 22 kampung di daerah itu pada Rabu. Bencana itu diisytiharkan Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew pada jam 9 pagi disusuli operasi pemindahan penduduk di kampung terjejas. Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tenom melaporkan sebanyak 22 laluan di kawasan terjejas, termasuk di Kemabong dikenal pasti tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan. Sebanyak 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi pemindahan mangsa banjir setakat ini iaitu Dewan Ontoros Kemabong, Sekolah Kebangsaan (SK) Saga Laut, Rumah Kebudayaan (RK) Gumisi Laut, Dewan terbuka Kampung Maugus, RK Mandalom Lama, RK Pantongan Saga, RK Ponontomon, RK Skim Kuala Tomani, RK Bangkulin Lama, Gereja Lalandang dan Dewan Humana Desa Sapong. Selain itu, tiga jalan utama di Tenom dilaporkan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan iaitu Jalan Sapong – Kemabong, Jalan Labut Enubai, Jalan Tenom Ponontoman dan Jalan Sapong Tenom. Tiga sekolah turut dilapirkan terjejas iaitu SK Sapong, SK Gumisi, SK Kemabong, SK Kuala Tomani dan SK Enubai. Banjir berpunca daripada keadaan cuaca tidak menentu sejak 23 Februari dan dipengaruhi taburan hujan lebat menyebabkan paras air Sungai Padas meningkat sebelum melimpah ke beberapa kampung dan jalan raya di sekitarnya. – Info X

February 25, 2026

Info X Reporters

Hajiji ketuai ikrar bebas rasuah jemaah menteri

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Rabu mengetuai Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Ahli Jemaah Menteri Negeri di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Menara Kinabalu, di sini. Sejurus selesai melafaz ikrar, Hajiji bersama Ahli Jemaah Menteri menandatangani dokumen IBR yang disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah. Mohd Fuad berkata, pelaksanaan program IBR bersama Kabinet Negeri Sabah itu adalah komitmen amat positif daripada kerajaan negeri dalam usaha memperkukuh integriti dan tadbir urus yang baik. Beliau berkata, inisiatif berkenaan akan terus diperluaskan ke kementerian serta agensi di bawah kerajaan negeri bagi memastikan usaha pencegahan rasuah dilaksanakan secara menyeluruh. “Pelaksanaan program ini sekali gus memperlihatkan keberkesanan serta kesungguhan inisiatif yang dirancang supaya amalan rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan dapat dicegah secara lebih berkesan,” katanya. Mohd Fuad turut berharap lebih banyak kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pihak swasta, akan tampil menyertai program IBR. – Info X

February 25, 2026

Info X Reporters

Beaufort, Membakut turut diisytihar banjir

KOTA KINABALU: Dua lagi daerah diisytihar dilanda banjir pada Rabu, menjadikan empat daerah baharu diisytihar sebagai kawasan bencana banjir. Daerah terbabit, Beaufort dan Membakut, masing-masing diisytihar banjir pada jam 8 pagi dan jam 10 pagi tadi. Pengisytiharan banjir di Beaufort adalah yang kedua dalam bulan ini dan ketiga sejak Januari. Terdahulu, daerah Sook dan Sipitang masing-masing diisytihar dilanda bencana banjir pada jam 4.30 pagi dan 6 pagi Rabu. Pengisytiharan bencana itu serentak dengan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Pada Selasa, Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat berterusan hampir sepanjang hari, khususnya di kawasan pedalaman Sabah. Berdasarkan perkongsian di media sosial, beberapa kawasan di Keningau, Kemabong, Tenom, Nabawan turut dilanda banjir, namun belum ada pengisytiharan bencana banjir di daerah terbabit. Sebelum ini banjir menjejaskan tiga daerah di utara Sabah, iaitu Kota Marudu, Pitas dan Paitan dengan seramai 1,695 mangsa banjir masih berlindung di lima PPS di Pitas, setakat awal pagi Rabu. – Info X

February 25, 2026

Info X Reporters

Sook, Sipitang daerah terbaharu diisytihar banjir

KOTA KINABALU: Daerah Sook dan Sipitang menjadi daerah terbaharu diisytihar kawasan bencana banjir berikutan hujan berterusan pada Selasa. Kedua-dua daerah masing-masing diisytihar dilanda bencana banjir pada 4.30 pagi dan 6 pagi Rabu serentak dengan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Pada Selasa, Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat berterusan hampir sepanjang hari, khususnya di kawasan pedalaman Sabah. Berdasarkan perkongsian di media sosial, beberapa kawasan di Keningau, Kemabong, Tenom dan Beaufort turut dilanda banjir, namun belum ada pengisytiharan bencana banjir di daerah terbabit. Sebelum ini banjir menjejaskan tiga daerah di utara Sabah, iaitu Kota Marudu, Pitas dan Paitan dengan seramai 1,695 mangsa banjir masih berlindung di lima PPS di Pitas, setakat awal pagi Rabu. – Info X

February 25, 2026

Info X Reporters

18 mangsa banjir dipindahkan di Kemabong

TENOM: Seramai 18 mangsa daripada tiga keluarga terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Sugiang Lama, Kemabong, di sini, malam tadi. Dalam kejadian itu, kebanyakan rumah serta jalan raya di kampung berkenaan dilaporkan ditenggelami air susulan hujan berterusan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.51 malam sebelum sepasukan empat anggota dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 29 kilometer dari balai. “Jentera pertama tiba pada jam 12.01 tengah malam dan mendapati beberapa rumah serta laluan utama kampung telah dinaiki air. “Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi penyelamatan serta pemindahan mangsa ke lokasi selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, operasi membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat dan sebuah bot penyelamat dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Beliau berkata, semua 18 mangsa berjaya dibawa keluar dari rumah masing-masing sebelum dikumpulkan di Surau Kampung Bagiang Lama, membabitkan tujuh lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan. “Sebahagian mangsa dihantar ke rumah keluarga terdekat manakala usaha untuk membawa mereka ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Ontoros Kemabong tidak dapat diteruskan berikutan Jalan Kampung Kalamatoi tidak boleh dilalui. “Operasi ditamatkan pada jam 5.10 pagi selepas semua mangsa berada dalam keadaan selamat sebelum pasukan meneruskan pemantauan dan operasi di kawasan lain yang terjejas,” katanya. – Info X