February 17, 2026
Info X Reporters
Dua lelaki cedera rempuh pokok tumbang
LABUAN: Dua lelaki cedera selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Pancur Hitam, Kampung Pohon Batu, awal pagi tadi. Dalam kejadian itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Labuan menerima panggilan kecemasan pada jam 1.56 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat. Menurut kenyataan APM Labuan di Facebook, motosikal dan kereta jenis Perodua Kancil terbabit dipercayai merempuh pokok tumbang di jalan raya yang gelap ketika melalui laluan berkenaan sebelum melanggar pokok yang menghalang jalan. “Akibat kejadian itu, seorang mangsa mengalami kecederaan pada lutut kiri, manakala seorang lagi cedera di kepala serta patah bahu kiri. “Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” kata kenyataan itu, hari ini. Pasukan APM turut menjalankan kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok berkenaan bagi memastikan laluan kembali selamat digunakan orang awam. – Info X
February 17, 2026
Info X Reporters
JSJN Sabah gempur pusat hiburan, tiada kompromi dadah
KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menggempur beberapa pusat hiburan sekitar bandar raya ini dalam operasi bersepadu selama dua minggu bagi membanteras penyalahgunaan dadah. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, operasi itu dilaksanakan bagi memastikan premis hiburan tidak dijadikan lokasi aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah. Menurutnya, pemeriksaan menyeluruh dijalankan ke atas pengunjung serta pekerja premis, termasuk ujian saringan air kencing bagi mengesan sebarang penglibatan dengan bahan terlarang. “Hasil operasi, seramai 19 individu ditahan membabitkan 11 lelaki dan lapan wanita selepas disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah. “Antara dadah yang dikesan termasuk ketamin, syabu dan cecair disyaki dadah jenis ‘jus’,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana premis atau individu yang cuba menjadikan pusat hiburan sebagai lokasi penyalahgunaan atau pengedaran dadah. “Dadah adalah musuh nombor satu negara. Tindakan tegas akan diambil tanpa pengecualian dan operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. “Keselamatan masyarakat menjadi keutamaan dan JSJN Sabah akan terus memperhebat operasi bagi memastikan Kota Kinabalu bebas daripada ancaman dadah,” katanya. – Info X
February 16, 2026
Info X Reporters
Ramadan Jazz semarakkan aktiviti Ramadan di Kota Kinabalu pada 14 Mac
KOTA KINABALU: Program Ramadan Jazz yang menggabungkan elemen muzik dakwah, tazkirah dan amal kembali menyemarakkan aktiviti Ramadan di Sabah pada tahun ini. Acara anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu dijadual diadakan pada 14 Mac depan di Kompleks Sukan Likas, di sini. Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad, berkata program berkenaan sebelum ini pernah diadakan di Sandakan dan dilihat sesuai sebagai aktiviti dakwah dalam konteks Malaysia Madani. Katanya, penganjuran program itu yang dijangka menampilkan penceramah dan artis dakwah tempatan dan luar sebelum ini mendapat reaksi positif serta sokongan menteri agama, Senator Dr Zulkifli Hasan. “Program sebelum ini pernah dihadiri Zulkifli, iaitu ketika beliau masih Timbalan Menteri dan pada masa itu dia nampak di sebalik Ramadan Jazz itu ada kekuatan dalam proses membangunkan masyarakat Madani iaitu hubungan yang sangat akrab, untuk melahirkan masyarakat yang memiliki ihsan, kasih sayang dan semangat bekerjasama, khususnya golongan belia. “Kebiasaannya pada bulan Ramadhan ini, fokus beribadah ini di masjid ataupun di pondok, surau dan sebagainya, tetapi ini satu percubaan di lapangan yang terbuka, di mana gabungan antara muzik dengan seni muzik dalam konteks dakwah diterjemahkan. “Pengisian program ini ialah berkaitan dengan hubungan masyarakat, iaitu ada program bubur lambuk yang akan diserahkan kepada umum dan ada ceramah, tazkirah ringkas di samping muzik lagu dakwah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat mengenai program itu, di SICC, di sini, pada Isnin. Program itu, katanya dilaksanakan di bawah Belia USIA yang diketuai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar. Sepanjang program yang bermula jam 4 petang hingga 9.30 malam itu, katanya turut diselitkan dengan aktiviti amal pemberian sumbangan kepada golongan asnaf. Mengenai sambutan sebelum ini, Sapawi berkata program itu menerima maklum balas yang baik daripada masyarakat, malah turut menarik perhatian pelancong. “Sekitar dua tahun itu sambutan menggalakkan, bukan hanya Muslim, tapi turut dihadiri orang lain termasuk pelancong kerana diadakan di tengah bandar. “Program ini ada dakwah dan semangat kesatuan, kita faham Sabah ada kelainan dengan penglibatan bukan Islam waktu sungkai dan sahur, turut menyemarakkan bersama, termasuk di bazar Ramadan. “Ramadan Jazz, inilah intisarinya, dalam konteks Madani ada ikatan saudara, kasih sayang dapat dijelmakan dan menteri berbesar hati perkara ini dibesarkan ke peringkat negeri dan USIA menjadi penggerak,” katanya. Bagi program kali ini, Sapawi berkata pihaknya menjangkakan kira-kira 1,500 orang bakal memeriahkan program itu nanti. – Info X
February 16, 2026
Info X Reporters
Tindakan pantas bomba, pusat servis motosikal dua tingkat 85 peratus musnah
PENAMPANG: Kepulan asap tebal yang menjulang tinggi hingga dapat dilihat dari jarak beberapa kilometer memenuhi ruang udara apabila sebuah pusat servis motosikal dua tingkat di Castrol Bike Point, di sini, terbakar pagi tadi. Pegawai Kanan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohammad Hannis Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.17 pagi. Menurutnya, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang tiba di lokasi pada jam 11.22 pagi sebelum operasi pemadaman segera dilaksanakan. “Kebakaran membabitkan satu blok kedai motor jenis kekal berkeluasan kira-kira 113.8 meter persegi dan dianggarkan 85 peratus struktur premis musnah. “Setibanya pasukan bomba, api sedang marak dan asap tebal memenuhi ruang bengkel,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini. Turut berada di lokasi ialah pegawai kanan Zon BBP Kota Kinabalu, Riki Mohan Singh. Beliau berkata, pasukan bomba melaksanakan operasi pemadaman menggunakan tiga aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan lima pancutan air. “Sumber air diperoleh daripada jentera water tanker serta pili bomba berhampiran dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.30 tengah hari. “Tindakan pantas anggota berjaya menghalang api daripada merebak ke bangunan lain,” katanya. Operasi membabitkan 32 pegawai dan anggota dari BBP Penampang, BBP Kota Kinabalu dan BBP Putatan dengan bantuan PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) serta Jabatan Air. Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan pemeriksaan akhir masih dijalankan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat. “Operasi pemadaman masih diteruskan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X
February 16, 2026
Info X Reporters
Kelengkapan elektrik tanpa label SIRIM bernilai lebih RM300,000 dirampas
KOTA KINABALU: Barangan kelengkapan elektrik tanpa label keselamatan SIRIM bernilai lebih RM300,000 dirampas dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan Energy Commission of Sabah (ECoS) di dua premis sekitar bandar raya ini. Operasi yang julung kali dilaksanakan itu membabitkan 23 pegawai ECoS dengan kerjasama empat pegawai SIRIM Berhad selaku Badan Penilaian Pematuhan yang diiktiraf oleh ECoS. Serbuan berkenaan dijalankan bagi memastikan semua kelengkapan elektrik yang dijual mematuhi keperluan perundangan di bawah Peraturan 107, Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024 (PPBE 2024). Ketua Pegawai Operasi ECoS, Ir Ts Ridwan Saham, berkata operasi itu dilaksanakan susulan pengeluaran Notis Larangan pada Disember 2025. “Namun begitu, beberapa premis masih didapati ingkar mematuhi notis tersebut dan terus menjual kelengkapan elektrik yang tidak mematuhi kehendak perundangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Menurut beliau, tindakan tegas diambil bagi melindungi keselamatan pengguna daripada risiko penggunaan peralatan elektrik yang tidak diperakui serta berpotensi membahayakan. Seperti diperuntukkan di bawah subperaturan 110(2) PPBE 2024, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan menjual kelengkapan elektrik pengguna yang tidak mematuhi kehendak perundangan boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali. Ridwan menegaskan ECoS akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara. “Tindakan ini juga bagi memastikan semua pihak mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di Sabah,” katanya. – Info X
February 16, 2026
Info X Reporters
Hasilkan makanan sendiri, jual jika lebih melalui Kebun Dapur – Jamawi
TUARAN: Inisiatif Kebun Dapur yang dilancarkan di sini, pada Ahad adalah antara langkah strategik bagi memperkukuh keterjaminan makanan negeri dan memperkasa ekonomi isi rumah, khususnya di luar bandar. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata program itu mampu mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan penghasilan makanan sendiri meliputi penanaman sayur-sayuran dan herba, penternakan kecil serta perikanan air tawar berskala isi rumah. Katanya, amalan kebun dapur sudah lama dipraktikkan dan kini diteruskan secara lebih tersusun sebagai usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh keterjaminan makanan serta memperkasa masyarakat melalui pendekatan pertanian berskala kecil yang praktikal, mudah dilaksanakan dan memberi impak segera. “Dalam suasana ekonomi semasa yang mencabar serta peningkatan kos sara hidup, keupayaan isi rumah untuk menghasilkan sendiri sebahagian keperluan makanan adalah satu langkah yang bijak dan strategik,” katanya. Beliau berkata demikian pada pelancaran Jelajah Kebun Dapur anjuran kementeriannya yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Padang Istiadat, di sini, pada Ahad. Jamawi berkata, sebahagian hasil kebun dapur juga boleh dipasarkan bagi menjana pendapatan tambahan melalui 16 Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (APCC) sedia ada dan sembilan lagi akan dilengkapkan bagi meliputi semua kawasan Parlimen di negeri ini. Jelasnya, pendekatan kebun dapur membolehkan keluarga menanam sayur-sayuran serta tanaman jangka pendek secara terancang di samping menjalankan penternakan ikan secara kecil-kecilan. “Ini sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan harian dan berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada keluarga,” katanya. Dalam pada itu, Jamawi berkata, inisiatif kedua di bawah Kebun Dapur ialah Program Mentor-Mentee yang melibatkan 18 anak muda berusia 40 tahun ke bawah yang dipilih sebagai mentor. “Mentor-mentor ini akan membantu membimbing dan memajukan anak muda yang berminat menceburi kebun dapur serta bidang pertanian,” katanya. Jelasnya, usaha itu menunjukkan komitmen padu kerajaan dalam memperkasa ekonomi isi rumah melalui aktiviti pertanian berskala kecil yang mudah dilaksanakan, berimpak cepat dan berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan. Jamawi turut memaklumkan bahawa beberapa agensi kewangan menawarkan kemudahan pinjaman kepada golongan belia dan usahawan pertanian, termasuk Perbadanan Pinjaman Sabah yang menawarkan pinjaman sehingga RM50,000 dengan kadar faedah sifar atau rendah, selain kemudahan daripada Yayasan Usaha Maju dan Agrobank yang mengenakan kadar faedah serendah tiga peratus. Selain itu, pendekatan ketiga ialah membawa usahawan serta industri makanan seperti pengusaha keropok amplang dan sambal ke arah pendigitalan perniagaan. Katanya, ramai usahawan dan selebriti di Semenanjung berjaya memasarkan produk secara digital melalui platform seperti TikTok dan kaedah sama boleh dimanfaatkan oleh usahawan tempatan. “Saya membawa diri saya sebagai seorang petani, penternak dan pekebun. Saya juga mahu pegawai-pegawai saya mempunyai semangat yang sama dan lebih peka melihat keperluan penduduk setempat,” katanya. – Info X
February 15, 2026
Info X Reporters
Wanita dikerat: Dua lagi anak suspek utama ditahan
KOTA KINABALU: Dua lagi anak kepada suspek utama kes pembunuhan wanita yang mayatnya dikerat dan dibuang di beberapa lokasi di Indah Permai, Menggatal, ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan. Penahanan terbaharu itu menjadikan keseluruhan empat individu kini ditahan berhubung kes berkenaan. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, dua wanita tempatan masing-masing berusia 29 dan 21 tahun ditahan di kawasan Sepanggar dan Inanam, hari ini. “Kedua-dua wanita berkenaan adalah anak kepada suspek utama dalam kes itu. “Kedua-duanya ditahan bagi membantu siasatan berhubung peranan serta pengetahuan mereka berkaitan kejadian ini,” katanya dalam kenyataan media, malam ini. Sebelum ini, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun yang juga suspek utama, ditahan pada 12 Februari lalu di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), di sini. Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun turut ditahan pada malam yang sama di kawasan Sepanggar bagi membantu siasatan. Syed Lot berkata, hasil tindakan pantas dan siasatan berterusan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kota Kinabalu, beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes turut dirampas. “Antara yang dirampas ialah telefon bimbit, pakaian, sepasang sarung tangan, satu bilah parang berukuran kira-kira 27 inci serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. “Polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional. “Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya. Terdahulu, Info X melaporkan mayat wanita lingkungan 40-an ditemukan dalam keadaan anggota badan dikerat dan dibuang berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai. Penemuan awal membabitkan tangan dan kaki pada jam 6.30 pagi sebelum pencarian lanjut membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada jam 11.40 pagi di lokasi berhampiran. – Info X
February 15, 2026
Info X Reporters
Langgar tempoh larangan memandu, lori disita JPJ
KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebuah lori Semi Trailer Kargo Am selepas didapati melakukan kesalahan memandu kenderaan barangan dalam tempoh larangan (road ban). Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, kenderaan berkenaan ditahan semalam ketika sedang membawa muatan tujuh unit gelung aluminium. “Tindakan Sita telah diambil di bawah Kaedah 2(1), Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Pengangkutan Barangan) RTR (PDGV). “Kenderaan berkenaan terus dibawa ke SPK JPJ Telipok bagi tujuan timbang, pemeriksaan dokumentasi, siasatan serta tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, JPJ Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang jalanraya dipatuhi sepenuhnya oleh pengendali kenderaan barangan. “Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya. – Info X