Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

January 27, 2026

Info X Reporters

Sabah perkukuh kerjasama keilmuan Islam dengan Al-Azhar

KAHERAH: Kerajaan Sabah terus memperkukuh jaringan keilmuan Islam antarabangsa apabila satu delegasi peringkat tinggi yang diketuai Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Musa Aman, mengadakan lawatan rasmi ke Akademi Antarabangsa Al-Azhar, di sini, semalam. Lawatan berkenaan menjadi sebahagian usaha strategik Sabah untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang keilmuan dan keagamaan antara Al-Azhar Al-Sharif, pusat pengajian Islam tertua dan paling berprestij di dunia, dengan institusi Islam di Malaysia. Delegasi Sabah turut disertai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Bertanggungjawab Hal Ehwal Agama Negeri Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Mufti Sabah Datuk Aziz Jaafar, serta wakil Kedutaan Malaysia di Kaherah. Ketibaan delegasi disambut oleh wakil Al-Azhar Al-Sharif, Dr Mohamed Al-Dwaini, Setiausaha Agung Kompleks Penyelidikan Islam Mohamed Al-Jandi, dan Presiden Akademi Antarabangsa Al-Azhar Dr Hassan Salah Junior. Sempena lawatan itu, Tun Dr Musa bersama delegasi menghadiri majlis perasmian Dewan Imam Besar Al-Azhar, yang dinamakan sempena Imam Besar Al-Azhar, Profesor Dr Ahmed El-Tayyib, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan sumbangan beliau dalam mempromosikan pendekatan Islam wasatiyyah di peringkat global. Tun Dr Musa merakamkan penghargaan atas sambutan dan lawatan ke Al-Azhar Al-Sharif serta Akademi Antarabangsa Al-Azhar, sambil menyifatkan institusi berkenaan sebagai mercu tanda keilmuan Islam dunia yang sekian lama menyumbang kepada pembangunan umat Islam sejagat. Beliau berkata, penamaan dewan sempena Profesor Dr Ahmed El-Tayyib mencerminkan penghargaan tinggi terhadap peranan beliau dalam memperjuangkan pemikiran Islam sederhana, selain menyatakan hasrat Sabah untuk memperluaskan kerjasama dengan Al-Azhar khususnya dalam bidang pendidikan agama dan latihan dakwah. Sementara itu, Dr Mohamed Al-Dwaini berkata Al-Azhar amat menghargai hubungan keilmuan dan keagamaan yang telah lama terjalin dengan Malaysia. Beliau menyifatkan lawatan delegasi Sabah sebagai bukti kukuhnya kerjasama antara Al-Azhar dan institusi agama di Malaysia. “Di bawah kepimpinan Profesor Dr Ahmed El-Tayyib, Al-Azhar memberi penekanan besar terhadap latihan dan pemulihan imam serta pendakwah bagi menyumbang kepada keharmonian sosial, dialog antara budaya dan kehidupan bersama secara aman,” katanya. Dr Hassan Salah Junior pula berkata Akademi Antarabangsa Al-Azhar kekal komited melahirkan pendakwah yang berilmu, seimbang dan berkesedaran tinggi, serta mampu menangani cabaran semasa melalui pendekatan ilmiah dan metodologi saintifik. Pada akhir lawatan, delegasi Sabah memuji program akademik dan latihan khusus yang ditawarkan akademi berkenaan, selain menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Al-Azhar Al-Sharif dalam memajukan pemikiran Islam sederhana dan inisiatif dakwah di peringkat antarabangsa. – Info X

January 27, 2026

Info X Reporters

77 PATI ditahan dalam operasi imigresen di Kota Kinabalu, Keningau

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah terus memperhebat penguatkuasaan apabila 77 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam beberapa operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu dan Keningau. Dalam operasi hasil aduan awam serta risikan selama kira-kira seminggu itu, seramai 182 individu diperiksa sebelum 77 daripadanya ditahan kerana disyaki melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Operasi penguatkuasaan berkenaan dilaksanakan pada 26 dan 27 Januari 2026, membabitkan 35 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM Kota Kinabalu dan Keningau. Hasil pemeriksaan mendapati, semua individu yang ditahan terdiri daripada warganegara Filipina dan Indonesia, yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah ketika diperiksa. Menurut kenyataan JIM Sabah hari ini, semua PATI berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. “JIM Sabah turut menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melindungi, menggaji atau bersubahat dengan pendatang asing tanpa izin. “Dalam masa sama, orang ramai diseru supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu usaha penguatkuasaan, selain menegaskan tiada kompromi akan diberikan terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, khususnya yang melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – Info X

January 27, 2026

Info X Reporters

Polis siasat insiden bakar premis di pekan Beaufort

BEAUFORT: Polis sedang menyiasat cubaan khianat dengan api membabitkan sebuah kedai di Wisma Arjuna Holding, di sini, selepas premis berkenaan dibakar oleh individu tidak dikenali, awal pagi tadi. Dalam kejadian antara jam 1.45 hingga 2 pagi itu, pemilik premis berusia 43 tahun menerima makluman daripada pekerjanya mengenai cubaan membakar premis berkenaan sebelum bergegas ke lokasi kejadian. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng, berkata sebaik tiba di lokasi, pengadu mengesan bau minyak petrol di luar premis serta kesan hangus pada pintu gelangsar, banner dalam premis dan cermin hadapan. Bagaimanapun katanya, pemeriksaan awal mendapati tiada kebakaran besar atau kerosakan serius berlaku. “Menurut laporan polis, pengadu menerima satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melalui aplikasi WhatsApp yang menunjukkan seorang lelaki tidak dikenali berada di hadapan premis berkenaan. “Rakaman itu memaparkan suspek menaiki Toyota Vios berwarna perak sebelum membaling objek terbakar ke arah pintu premis sambil memegang sebilah pisau,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Wong berkata, pengadu tidak mengenali individu terbabit dan tidak mengesyaki mana-mana pihak terlibat, selain memaklumkan tidak mengalami sebarang kerugian kecuali kesan terbakar pada pintu hadapan premis. “Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api. Siasatan awal mendapati kejadian ini adalah cubaan khianat menggunakan api. “Rakaman CCTV memang wujud namun ia milik premis bersebelahan dan sedang diusahakan untuk diperoleh bagi membantu siasatan,” katanya. Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan dan rampasan dibuat serta tiada saksi awam dikenal pasti, namun siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek dan motif kejadian. Katanya, pihak polis turut menggerakkan anggota detektif untuk mendapatkan maklumat lanjut dan menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya tampil membantu siasatan. – Info X

January 27, 2026

Info X Reporters

Remaja dilapor hilang selepas jumpa rakan di tanjung lipat

KOTA KINABALU: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya sebelum dipercayai berpisah dengan rakannya di kawasan Pantai Tanjung Lipat, Teluk Likas, di sini, pada 21 Januari lalu. Remaja terbabit Norlyana Abdullah, berbangsa Bajau, dilaporkan keluar dari rumah kira-kira jam 4 petang dan dipercayai bersama seorang rakan baiknya. Bagaimanapun, rakan berkenaan dilaporkan pulang ke rumah dalam keadaan selamat, manakala mangsa dipercayai meninggalkan rakannya di kawasan pantai berkenaan dan sehingga kini gagal dikesan. Menurut kenyataan di Facebook Polis Daerah Kota Kinabalu, hari ini usaha mengesan mangsa telah dijalankan oleh pihak keluarga dengan bantuan polis, namun remaja terbabit masih belum ditemui. Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan mangsa supaya tampil membantu siasatan bagi mempercepatkan usaha mengesan remaja berkenaan. Orang ramai diminta menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran sekiranya mempunyai maklumat berkaitan. Kerjasama dan keprihatinan orang ramai amatlah dihargai bagi membantu siasatan serta usaha mengesan mangsa.- Info X

January 27, 2026

Info X Reporters

Air ketum dirampas, lelaki dicekup di Kota Belud

KOTA BELUD: Aktiviti memproses dan menyimpan air rebusan daun ketum terbongkar apabila seorang lelaki ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Keguraan, di sini, semalam. Dalam operasi hasil maklumat Hotline NCID itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud telah merampas 38 botol air ketum. Rampasan itu melibatkan anggaran isipadu 57 liter, selain beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti berkenaan. Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. “Pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan puluhan botol air ketum serta peralatan dipercayai digunakan untuk memproses minuman berkenaan. “Suspek bersama barang rampasan dibawa ke BSJND IPD Kota Belud untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta kemungkinan penglibatan individu lain. Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempergiat penguatkuasaan dan tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan serta pengedaran bahan terlarang demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. – Info X

January 27, 2026

Info X Reporters

SMJ 2.0 beri isyarat Sabah mahu memimpin hala tuju sendiri – Mandela

KOTA KINABALU: Pelancaran Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 pada 30 Januari ini memberi isyarat jelas bahawa Sabah tidak lagi mahu hanya ‘mengikut arus’, sebaliknya mahu memimpin hala tuju sendiri. Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun, berkata Sabah mahu bergerak sebagai sebuah negeri yang yakin, berdaya saing dan dihormati di dalam Malaysia dan di luar negara. Katanya, Sabah sejak dulu memikul harapan yang besar dan bertahun-tahun rakyatnya diminta bersabar, menerima kekangan dan percaya kemajuan akan datang sama ada cepat atau lambat. “Tapi kita semua tahu, masa sahaja tidak membina masa depan. Masa depan dibina melalui keputusan yang betul, kerja yang berdisiplin dan pelaksanaan yang konsisten. “Pada 30 Januari, Sabah akan melancarkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya SMJ 2.0. Ini isyarat jelas bahawa Sabah tidak lagi mahu hanya ‘mengikut arus’,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik itu, berkata SMJ 2.0 penting kerana Sabah tidak pernah kekurangan bakat atau sumber, sebaliknya sering kurang kesinambungan. Jelasnya, kestabilan adalah faktor penting yang membolehkan institusi matang, projek disiapkan dan pembaharuan benar-benar menjadi. “Apabila politik berubah, keutamaanpun mudah berubah. Ada yang cuba cuci tangan, tapi rakyat Sabah yang menaggung kerugiannya. “Projek Pan Borneo kehilangan momentum apabila model Project Delivery Partner (PDP) dibatalkan oleh kerajaan terdahulu. Apapun alasan mereka, kesannya sama. Rakyat yang menanggung dan kesannya bukan sekadar kelewatan. “Dalam satu kes, pentadbiran terdahulu menamatkan secara tidak sah sembilan operator yang mengurus operasi loji rawatan air (LRA) di seluruh Sabah dan akhirnya rakyat Sabah terpaksa membayar RM315 juta pampasan dan ganti rugi. “RM315 juta itu boleh membina lebih 3,000 unit Rumah Mesra SMJ untuk miskin tegar. Sebanyak 3,000 keluarga yang akhirnya ada bumbung sendiri. “Inilah sebab kesinambungan itu penting. Kita perlu siapkan apa yang patut disiapkan, jaga wang rakyat dan elakkan daripada membuat keputusan tergesa-gesa yang akhirnya menghukum rakyat,” katanya. Beliau berkata, SMJ 1.0 menjadi asas untuk fasa menstabilkan pentadbiran, memulihkan keyakinan, mengemaskan penyelarasan, memperkuat disiplin kewangan dan menetapkan keutamaan yang jelas. “Rumah tidak boleh dibesarkan kalau tiangnya masih retak. Sekarang SMJ 2.0 membawa Sabah ke fasa seterusnya, transformasi. “Baiki apa yang perlu dibaiki, bina apa yang perlu dibina dan ukur prestasi melalui hasil yang rakyat boleh nampak dan rasa. SMJ 2.0 berdiri atas satu prinsip yang mudah, Rumah Kita, Kita Jaga. Kepentingan Sabah didahulukan, hak Sabah dipertahankan dan pembangunan dibentuk oleh rakyat Sabah untuk masa depan Sabah,” katanya. Mandela berkata hala tuju itu dipandu empat teras, iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United. Sabah First katanya bermaksud keperluan harian rakyat dan hak Sabah tidak boleh diketepikan, manakala Sabah Forward bermaksud bersedia untuk ekonomi masa depan, dengan kemahiran, keupayaan digital dan industri baharu yang mencipta nilai. “Sabah Prosper bermaksud kemajuan mesti dirasai, perkhidmatan asas mesti berfungsi, pendapatan rakyat mesti meningkat dan peluang mesti nyata. “Sabah United bermaksud kita bergerak ke depan bersama, kekal stabil, bersatu dan yakin dengan kepelbagaian kita. “Untuk anak muda, ini menjadi ujian sebenar. Kamu bukan minta layanan istimewa. Kamu cuma mahu peluang yang adil. Pekerjaan yang baik, kemahiran yang relevan, kos hidup yang lebih mampu dan keyakinan bahawa masa depan boleh dibina di Sabah,” katanya. Beliau berkata, kepimpinan juga penting yang mana Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor komited memastikan Sabah kekal stabil ketika ketidakstabilan sebenarnya lebih mudah berlaku. “Kestabilan bukan matlamat akhir, tapi ia asas untuk hasil yang nyata. SMJ 2.0 ialah usaha menukar kestabilan kepada momentum dan momentum kepada penyampaian. “Pada 30 Januari, kita bukan sekadar melancarkan satu dokumen. Kita sedang menetapkan haluan untuk lembaran seterusnya Sabah, berteraskan maruah, dipacu prestasi dan dikuatkan dengan perpaduan. “Percaya pada Sabah. Yakin pada kepimpinan yang stabil. Mari kita maju bersama,” katanya. – Info X

January 27, 2026

Info X Reporters

APM selamatkan wanita cedera jatuh lubang di Sandakan

SANDAKAN: Seorang wanita cedera selepas terjatuh ke dalam lubang saliran parit berhampiran Wisma Persekutuan Sandakan, di sini, sebelum diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pagi tadi. Kejadian itu berlaku di kawasan berhampiran Jabatan Kebajikan, sekali gus menarik perhatian orang awam yang berada di lokasi sebelum bantuan kecemasan diminta. Menurut APM Daerah Sandakan, pasukan penyelamat digerakkan sebaik menerima maklumat sebelum bertindak menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa dari dalam lubang berkenaan. “Mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh singkat dan diberikan rawatan awal di lokasi kejadian,” menurut kenyataan APM, hari ini. Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun mengalami kesakitan di bahagian belakang badan serta kecederaan pada buku lali kanan. Susulan itu, mangsa dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut. – Info X

January 27, 2026

Info X Reporters

Lebih setengah juta pengguna dapat manfaat rebat elektrik

KOTA KINABALU: Lebih setengah juta pengguna elektrik di Sabah dan Labuan menerima manfaat menerusi pemberian rebat 2.5 peratus yang dilaksanakan Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity). Syarikat utiliti itu pada Selasa mengumumkan pemberian rebat elektrik sebanyak 2.5 peratus kepada pengguna yang layak sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat serta memastikan kebajikan pengguna terus terpelihara. Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata pemberian rebat itu memberi manfaat kepada seramai 661,774 pelanggan, membabitkan pemulangan rebat keseluruhan berjumlah RM10.4 juta. Rebat itu katanya akan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik pengguna berdaftar secara berperingkat bermula pada Januari 2026. “Rebat ini diberikan kepada pengguna di bawah Electricity Supply Enactment 2024, Licensee Supply Regulations 2024 Regulation (5) (1) yang mana menyatakan pihak Sabah Electricity dikehendaki membuat pembayaran faedah 2.5 peratus ke atas deposit tunai pada bulan Januari setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Inisiatif itu, katanya mencerminkan komitmen Sabah Electricity untuk mengimbangi keperluan kemampanan kewangan syarikat dengan kepentingan pengguna, khususnya dalam suasana ekonomi semasa. Sementara itu, beliau berkata wang cagaran yang dikenakan kepada pengguna dikira bersamaan dua bulan penggunaan bil elektrik, berdasarkan purata bagi enam bulan terakhir dan akan disemak setiap enam bulan. “Penambahan wang cagaran akan dikenakan sekiranya terdapat peningkatan penggunaan berbanding wang cagaran sedia ada. “Bagaimanapun, jika purata penggunaan kurang daripada wang cagaran, maka ia boleh dipulangkan kepada pengguna atas permintaan pengguna melalui rebat ke atas bil elektrik mereka,” katanya. Katanya, Sabah Electricity turut menggalakkan pengguna untuk mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah dan memanfaatkan kemudahan pemantauan penggunaan elektrik melalui portal serta aplikasi rasmi syarikat bagi membantu pengurusan perbelanjaan elektrik dengan lebih berkesan. Beliau berkata, pengguna boleh mendapatkan keterangan lanjut dengan mengunjungi pejabat Sabah Electricity berdekatan atau menghubungi talian perkhidmatan pelanggan 15444 atau 088-515000. Selain itu katanya, pengguna juga boleh memuat turun aplikasi Sabah Electricity melalui telefon pintar untuk mendapatkan info terkini mengenai perkhidmatan Sabah Electricity. – Info X