Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

January 24, 2026

Info X Reporters

PRK Kinabatangan, Lamag: BN kekal di kedua-dua kerusi

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di kedua-dua kerusi itu pada Sabtu. Calon BN, Mohd Naim Kurniawan Moktar dan Mohd Ismail Ayob atau Miha masing-masing menang di kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag. Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Mohd Naim menang dengan majoriti 14,214 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Beliau memperolehi 19,852 undi berbanding pencabar terdekatnya, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) yang memperolehi 5,638 undi dan Goldam Hamid (Bebas) dengan 946 undi. Di kerusi DUN Lamag pula, Miha menang dengan majoriti 5,681 undi setelah mendapat 7,269 undi berbanding lawannya, Mazliwati Abdul Malek (Warisan) yang memperolehi 1,588 undi. PRK di kedua-dua kerusi itu itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu. Bekas Ketua UMNO Sabah itu sebelum ini mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan selama enam penggal, manakala penggal kedua di DUN Lamag menerusi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada 29 November lalu. Berikutan pemergian Bung Moktar, kedua-dua kerusi diisytihar kosong sebelum PRK diadakan dan anak Allahyarham dinamakan sebagai calon di kerusi Parlimen Kinabatangan, manakala Miha yang juga bekas calon Bebas di kerusi DUN Lamag pada PRN17 dicalonkan mewakili BN di kerusi DUN berkenaan. – Info X

January 24, 2026

Info X Reporters

Penunggang motosikal meninggal dunia selepas empat jam bertarung nyawa

PUTATAN: Seorang penunggang motosikal yang sebelum ini dilaporkan parah akhirnya meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih empat jam akibat kemalangan di Jalan Kota Kinabalu – Papar, berhampiran Kampung Petagas, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian jam 9.20 pagi, mangsa lelaki berusia 49 tahun mengalami kecederaan parah selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta Perodua Kancil sebelum terbakar dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.45 petang ketika sedang menerima rawatan di hospital berkenaan. “Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dipercayai gagal mengelak kenderaan Perodua Kancil yang berada di hadapannya. “Kejadian menyebabkan motosikal terbakar manakala mangsa mengalami kecederaan parah. Bagaimanapun, pemandu Perodua Kancil tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta memandu dengan berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau pegawai penyiasat, Inspektor Amrin Mohamad Rif di talian 017-663 8278,” katanya. – Info X

January 24, 2026

Info X Reporters

Tawau berpotensi sebagai kawasan pertanian utama di Sabah

TAWAU: Daerah ini mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai kawasan pertanian utama di Sabah berikutan kesuburan tanahnya yang dikenal pasti antara terbaik di negeri ini. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata Tawau menduduki tempat pertama sebagai kawasan paling subur di Sabah, diikuti Tenom. Kedudukan itu, katanya memberi kelebihan besar kepada pembangunan sektor pertanian berasaskan teknologi dan inovasi di daerah ini. “Untuk makluman, tanah yang paling subur di Sabah yang pertama adalah Tawau dan kedua Tenom. Dengan perkembangan teknologi serta penggunaan bahan tanaman baharu, kita yakin sektor pertanian di Tawau dan Sabah akan terus berkembang,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pertanian dan Akuakultur Tawau 2026 (TAAE 2026) di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, pada Jumaat. Pameran yang berlangsung dari 23 hingga 25 Januari itu membabitkan sebanyak 50 gerai, sekali gus menjadi platform penting mempamerkan teknologi, inovasi dan produk baharu dalam sektor pertanian dan perikanan di daerah ini. Jamawi berkata, pameran berkenaan menampilkan pelbagai teknologi terkini berkaitan pertanian dan perikanan, selain produk makanan baharu yang dihasilkan hasil bimbingan kementeriannya serta Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan. Pameran itu, katanya turut membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk baharu yang dihasilkan menerusi sokongan dan program bimbingan agensi kerajaan. “Saya ucapkan tahniah kepada semua usahawan dan penggiat industri pertanian serta perikanan di Tawau kerana berkongsi kejayaan, produk baharu dan teknologi yang dihasilkan di kawasan ini,” katanya. Dalam pada itu, Jamawi turut menekankan potensi tanaman baharu khususnya varieti avokado QAV1 yang kini dikenali sebagai Avocado Quoin Sabah, hasil penyelidikan Stesen Penyelidikan Pertanian Quoin Hill, Tawau. “Varieti ini dahulunya dikenali sebagai QAV1 dan mulai Ogos tahun lalu, kita namakan semula sebagai Avocado Quoin Sabah untuk dipromosikan di bawah Jabatan Pertanian,” katanya. Beliau berkata, avokado varieti berkenaan mempunyai kualiti setanding, malah lebih baik berbanding varieti import dari luar negara, sekali gus mempunyai potensi besar untuk pasaran eksport. “Hasilnya berkualiti, rasanya lemak, manis dan berkrim dengan purata saiz sekitar 500 gram sebiji. Tempoh masaknya kira-kira seminggu selepas dituai dan sesuai untuk pasaran eksport kerana boleh disimpan lebih lama,” katanya. Jamawi berkata, permintaan terhadap avokado dan nanas MD2 dari Sabah semakin meningkat, namun bekalan semasa masih belum mampu memenuhi keperluan pasaran. “Baru-baru ini sebuah syarikat memohon satu kontena avokado sebulan dan lima kontena nanas MD2, tetapi setakat ini Sabah hanya mampu mengeluarkan sekitar dua kontena sebulan,” katanya. Sehubungan itu, beliau berkata, Jabatan Pertanian menyediakan benih serta bahan tanaman bagi membantu petani dan menggalakkan lebih ramai masyarakat terlibat dalam sektor pertanian, termasuk melalui pelaksanaan Inisiatif Kebun Dapur. “Bagi mereka yang belum bermula, mulakan secara kecil-kecilan melalui Inisiatif Kebun Dapur yang akan dilancarkan pada 15 Februari ini, lengkap dengan pakej memulakan aktiviti pertanian di sekitar rumah,” katanya. – Info X

January 24, 2026

Info X Reporters

Grid Kuasa Sabah-Sarawak dilancar, sasar kukuhkan bekalan elektrik di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dan Sarawak hari ini melancarkan Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah-Sarawak yang disasar untuk memperkukuh sistem bekalan elektrik di negeri ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata projek itu juga bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah menjadi lebih stabil, boleh dipercayai dan mampan. Katanya, projek itu juga disasar mampu mengurangkan kebergantungan penjanaan berasaskan bahan api fosil secara berperingkat, memperkukuh margin rizab elektrik Sabah dan meningkatkan lagi keyakinan pelabur terhadap kebolehlaksanaan dan kebolehpercayaan bekalan kuasa di negeri ini. “Sabah menghargai kesediaan Sarawak untuk menjadi rakan strategik tenaga, bukan saja melalui kerjasama dalam bekalan elektrik merentasi sempadan, malah sebagai rakan pembangunan Borneo yang berkongsi aspirasi masa depan yang sama. “Usaha untuk meningkatkan pembangunan tenaga elektrik di Sabah memerlukan kerjasama semua pihak sebagai satu pasukan. Komitmen Kerajaan negeri adalah jelas, iaitu memastikan bekalan elektrik negeri ini diperkukuh,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah-Sarawak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu. Majlis itu turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg. Hajiji berkata, bagi pihak Kerajaan Sabah, beliau percaya usaha bersama seumpama itu adalah satu langkah penting ke arah merealisasikan visi bersama BIMP EAGA. “Dengan memajukan infrastruktur merentasi sempadan melalui Grid Kuasa ASEAN (APG), kita secara langsung meningkatkan prospek ekonomi semua negara yang terlibat. “Infrastruktur tenaga yang berdaya tahan dan mampan seterusnya akan mengukuhkan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa, sekali gus memacu pertumbuhan dalam sektor perindustrian, pembuatan dan hiliran,” katanya. Jelasnya, sebagai pintu masuk utama Malaysia ke BIMP-EAGA, Sabah memainkan peranan strategik dalam menyatukan sistem kuasa Borneo yang bukan saja membuka potensi perdagangan tenaga merentasi sempadan, malah mewujudkan rangka kerja bagi pasaran tenaga serantau yang bersepadu, cekap dan mampan. Malah, katanya Interkoneksi Grid Sabah-Sarawak adalah satu pencapaian penting yang mampu membuka laluan kepada hubungan masa depan dengan Kalimantan, Brunei Darussalam dan akhirnya Filipina selatan. “Kerajaan negeri menyedari sepenuhnya bahawa permintaan elektrik di Sabah semakin meningkat seiring dengan pertumbuhan populasi, pengembangan industri dan pembangunan luar bandar. Memenuhi permintaan ini menjadi keutamaan strategik yang kritikal. “Bagi menangani perkara ini, Kerajaan negeri melalui Majlis Tenaga Sabah, Suruhanjaya Tenaga Sabah dan agensi berkaitan lain melaksanakan strategi menyeluruh secara berfasa merangkumi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang. “Pendekatan ini memastikan margin rizab penjanaan yang mencukupi dan meningkatkan daya tahan serta kebolehpercayaan keseluruhan sistem tenaga Sabah,” katanya. Ketua Menteri berkata inisiatif utama yang sedang dilaksanakan dan dirancang termasuk kelulusan serta pembangunan projek penjanaan tenaga baharu, merangkumi campuran sumber tenaga yang pelbagai. “ni termasuk penggunaan loji janakuasa berasaskan gas sebagai sumber tenaga peralihan, di samping pengembangan tenaga boleh baharu seperti hidro, solar, angin serta teknologi penyimpanan tenaga termaju seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri dan hidro simpanan pam,” katanya. Beliau berkata langkah-langkah itu bukan saja bertujuan meningkatkan kapasiti, malah mengurangkan risiko gangguan bekalan dengan mengurangkan kebergantungan berlebihan kepada satu sumber tenaga sahaja. Hajiji berkata, kerajaan negeri komited sepenuhnya untuk memastikan sektor tenaga Sabah berkembang seiring dengan kelestarian alam sekitar. “Berpandukan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040, kita memberi tumpuan kepada tenaga boleh baharu bagi mengurangkan intensiti karbon. “Usaha ini selaras dengan komitmen perubahan iklim kita di peringkat negeri dan nasional, demi memastikan masa depan tenaga yang lebih hijau dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya. Kerajaan Sabah, katanya kekal teguh dalam misinya untuk menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan mampan bagi memacu aspirasi pembangunan Sabah serta memastikan kesejahteraan keseluruhan rakyatnya. – Info X

January 24, 2026

Info X Reporters

Wanita OKU penglihatan ditemui rentung, tujuh rumah setinggan musnah terbakar

SEMPORNA: Seorang wanita maut dalam kebakaran yang memusnahkan tujuh buah rumah setinggan di Kampung Perigi, di sini, pagi tadi. Mangsa, Munairaya Baluan, 58, orang kurang upaya (OKU) penglihatan ditemukan rentung di ruang bilik rumah pertama yang dipercayai terbakar selepas pihak bomba berjaya mengawal kebakaran. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.12 pagi. Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran. “Sebaik tiba mendapati kebakaran melibatkan tujuh rumah setinggan jenis tidak kekal dan keseluruhan kawasan terlibat musnah terbakar 100 peratus. “Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran sepanjang 100 kaki dengan dua pancutan air dari tangki jentera,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, seorang wanita OKU ditemukan rentung di ruang bilik rumah pertama yang dipercayai terbakar dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.57 pagi dan kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan bagi memastikan api padam sepenuhnya. “Punca kebakaran serta jumlah kerugian yang dialami semua mangsa masih dalam siasatan pihak forensik bomba,” katanya. – Info X

January 24, 2026

Info X Reporters

Penunggang parah, motosikal musnah terbakar dalam kemalangan

PUTATAN: Seorang lelaki parah manakala motosikal berkuasa tinggi jenis Benelli ditunggangnya musnah terbakar selepas terbabit kemalangan di Jalan Petagas, berhampiran Taman Jumbo, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian itu, motosikal berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Kancil, sebelum api marak memusnahkan keseluruhan motosikal berkenaan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.16 pagi sebelum sepasukan lima anggota dikerahkan ke lokasi sejauh 3.6 kilometer. “Penunggang motosikal lelaki berusia 53 tahun mengalami cedera parah dan segera diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut. “Bagaimanapun, tiga mangsa dalam kereta Perodua Kancil dilaporkan selamat tanpa kecederaan, namun dua wanita mengalami trauma,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kebakaran berjaya dipadam menggunakan satu aliran hos dengan sumber air dari tangki jentera dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10 pagi selepas keadaan disahkan selamat. Operasi turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Info X

January 24, 2026

Info X Reporters

Kunjungan perpisahan Duta Besar AS, Hajiji hargai sokongan promosikan Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan perpisahan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D Kagan di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis. Dalam pertemuan itu, Hajiji merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Edgard atas khidmat bakti beliau sepanjang tempoh bertugas di Malaysia, khususnya dalam memperkukuh hubungan dua hala serta membantu mempromosikan Sabah di peringkat antarabangsa. “Saya mengucapkan terima kasih kepada TYT Edgard atas sumbangan dan kerjasama yang terjalin sepanjang berkhidmat di Malaysia, termasuk sokongan dalam mempromosikan keunikan dan potensi Sabah kepada masyarakat antarabangsa,” katanya. Sementara itu, Edgard turut merakamkan ucapan tahniah kepada Hajiji atas pelantikan semula sebagai Ketua Menteri, sambil menyifatkan kepimpinan beliau sebagai penting dalam meneruskan agenda pembangunan dan kestabilan negeri. – Info X

January 24, 2026

Info X Reporters

Universiti Al-Azhar sedia tawar biasiswa kepada pelajar Sabah

KAHERAH: Universiti Al-Azhar Al-Sharif menyatakan kesediaan menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia khususnya dari Sabah, sekali gus memperkukuh kerjasama pendidikan Islam antara Kerajaan Negeri Sabah dan institusi pengajian Islam terkemuka dunia itu. Perkara berkenaan dibincangkan dalam pertemuan rasmi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, bersama Wakil Universiti Al-Azhar Al-Sharif yang juga Timbalan Syeikh Al-Azhar, Prof Dr Muhammad Al-Dhuwaini, di pejabatnya, di sini, semalam. Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Sektor Institut Al-Azhar, Sheikh Dr Ayman Abdul Ghani serta Setiausaha Agung Majma‘ Al-Buhuth Al-Islamiyyah, Prof Dr Mohammad Al-Jundi, bagi membincangkan pengukuhan kerjasama dalam bidang pendidikan Islam, latihan imam dan pendakwah serta dakwah berteraskan konsep wasatiyyah. Mohd Arifin berkata, selain tawaran biasiswa, pihak Al-Azhar turut bersetuju memperluas kerjasama menerusi program berkembar antara institusi pengajian Islam di Sabah dengan Universiti Al-Azhar Al-Sharif. Menurutnya, Timbalan Syeikh Al-Azhar turut memuji adab dan akhlak pelajar Malaysia khususnya dari Sabah yang menuntut di Mesir. “Beliau turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah atas sumbangan menaja serta menyediakan peralatan dan keperluan bagi pembinaan Dewan Al-Imam Al-Tayeb di Akademi Antarabangsa Al-Azhar,” katanya. Dalam pertemuan itu, Mohd Arifin turut menjemput wakil Al-Azhar termasuk Timbalan Syeikh Al-Azhar untuk berkunjung ke Sabah bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala. Katanya, Sabah bersedia untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Universiti Al-Azhar sejajar dengan aspirasi Kerajaan Madani serta hala tuju pembangunan negeri melalui gagasan Sabah Maju Jaya. Turut hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Isnin Aliasnih. – Info X