January 24, 2026
Info X Reporters
JPJ Sabah gempur lori langgar peraturan, 88 saman dikeluarkan
PAPAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap kenderaan perdagangan yang melanggar peraturan apabila 88 notis saman dikeluarkan dalam Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan di sepanjang Jalan Pan Borneo Papar – Jalan Bukit Manggis – Benoni. Operasi yang dijalankan dari 20 hingga semalam itu dilaksanakan susulan aduan orang awam berhubung pergerakan lori berat yang didakwa melanggar peraturan serta membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, termasuk di kawasan berhampiran Hap Seng Quarry Sdn Bhd. Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 627 kenderaan diperiksa dengan 59 daripadanya diambil tindakan, termasuk dua kenderaan disita dan satu kes lebih muatan dibawa ke mahkamah. Menurutnya, sebanyak 10 kenderaan turut ditimbang, manakala jumlah kompaun yang dikeluarkan mencecah RM12,150 hasil pelbagai kesalahan dikesan sepanjang operasi berkenaan. “Fokus pemeriksaan dan penguatkuasaan adalah terhadap kesalahan utama termasuk lebih muatan serta membawa muatan panjang dan berbahaya. “Selain itu, kesalahan lain iaitu membabitkan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, insurans tamat tempoh atau tidak sah, lesen memandu Malaysia (LMM) tamat tempoh atau tiada, tiada lesen vokasional (GDL), selain sijil perakuan pemeriksaan berkala yang telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Katanya lagi, operasi ini dijalankan secara bersasar terhadap pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan yang mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan nyawa pengguna jalan raya. Beliau menegaskan JPJ Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya dan mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan pengguna. “Operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan, termasuk tindakan pendakwaan di mahkamah di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987. “Tiada kompromi terhadap keselamatan jalan raya,” tegasnya. – Info X
January 24, 2026
Info X Reporters
Suami isteri ditemui rentung dalam bilik tidur
KUDAT: Sepasang suami isteri ditemukan rentung selepas rumah dua tingkat yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Lau San, di sini, malam tadi. Mangsa dikenal pasti sebagai Yong Lok Khong, 74, dan isterinya Chong Lee Ken, 71, ditemui di dalam bilik tidur rumah berkenaan. Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah papan dua tingkat yang didiami oleh dua warga tempatan. “Kedua-dua warga emas itu disahkan meninggal dunia selepas pihak bomba menemukan dua mayat dalam keadaan hangus terbakar di lokasi kejadian. “Pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran. Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Ganesh Arumugam. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.58 malam sebelum 10 anggota dikerahkan ke lokasi sejauh kira-kira enam kilometer. “Operasi pemadaman berdepan kesukaran akibat laluan sempit, jambatan kecil serta wayar elektrik rendah. “Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.30 pagi, dengan mangsa pertama dikeluarkan pada jam 2 pagi dan mangsa kedua pada jam 3.50 pagi. “Kedua-dua mayat diserahkan kepada PDRM untuk siasatan lanjut, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.47 pagi dengan bantuan PBS Kampung Ayer dan KKM. – Info X
January 24, 2026
Info X Reporters
Lapan ditahan, sekumpulan lelaki ‘layan’ vape dan ketum diserbu polis
TAWAU: Aktiviti sekumpulan lelaki yang dipercayai sedang menikmati cecair vape mengandungi dadah serta minuman ketum berakhir apabila polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Hidayat, Batu 4, di sini, pada Rabu lalu. Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, polis menahan lapan lelaki termasuk tiga warga asing yang berada di bahagian tepi rumah berkenaan dalam keadaan mencurigakan, dipercayai sedang ‘layan’ vape sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil pemeriksaan menemukan pelbagai barangan disyaki dadah di lokasi kejadian. “Polis merampas 13 botol cecair vape jenis ‘Mushroom’ pelbagai perisa disyaki mengandungi dadah, sebotol air ketum yang diletakkan di atas meja serta sebuah kotak rokok berisi sembilan batang rokok mengandungi tumbuhan kering dipercayai ganja. “Semua suspek berusia antara 19 hingga 40 tahun terdiri daripada warga tempatan dan tiga warga asing, dengan dua daripada mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Tegasnya, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti pemilikan atau pengedaran cecair vape mengandungi dadah termasuk mushroom dan air ketum. “Operasi bersepadu akan terus dipergiatkan termasuk mengesan keseluruhan rangkaian pembekal serta pengedar sehingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan daerah ini bebas daripada ancaman dadah,” katanya. – Info X
January 23, 2026
Info X Reporters
Dua premis pinjaman wang disimbah cat merah di Kota Kinabalu
KOTA KINABALU: Polis mengesahkan menerima dua laporan berasingan berkaitan kes khianat membabitkan perbuatan menyimbah cat ke atas premis pinjaman wang berlesen di sekitar daerah ini, baru-baru ini. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kes pertama membabitkan sebuah premis di Api-Api Centre, manakala kes kedua melibatkan sebuah lagi premis di Jalan Perpaduan, Kampung Air. “Kedua-dua premis berkenaan didapati disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali, dengan kejadian dipercayai berlaku pada waktu malam berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV). “Dalam kedua-dua kejadian, tiada kecederaan dilaporkan, namun perbuatan khianat itu menyebabkan kerosakan serta mencemarkan harta benda syarikat selain menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan premis dan kakitangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, polis telah mengambil tindakan awal termasuk merakam percakapan pengadu, melawat lokasi kejadian serta menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan dan mengenal pasti suspek terlibat. “Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan menyebabkan kerosakan harta benda. “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya. Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat demi menjaga keselamatan serta ketenteraman awam. – Info X
January 23, 2026
Info X Reporters
Menyamar polis? Dua lelaki dicekup bersama peralatan PDRM dan syabu
TAWAU: Cubaan dua lelaki menyembunyikan pergerakan mereka terbongkar apabila polis menemui peralatan menyerupai milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dadah dipercayai jenis syabu dalam satu rondaan di kawasan Fajar, di sini, semalam. Kedua-dua suspek warga tempatan berusia antara 32 hingga 43 tahun ditahan selepas sepasukan anggota Balai Polis Tawau mengesan kenderaan mereka dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah bank. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan menemui vest pantylilan bertulis ‘PDRM’, topi bercorak loreng serta satu paket syabu seberat kira-kira 0.10 gram. “Kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 89 Akta Polis 1967. – Info X
January 23, 2026
Info X Reporters
PRK Kinabatangan, Lamag: Dakwat kekal dicelup di jari kelingking kiri, 48,282 pemilih layak mengundi
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penandaan dakwat kekal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag esok dibuat di jari kelingking tangan kiri pengundi. Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata seramai 48,282 orang pengundi biasa bakal mengundi pada pilihan raya itu di 36 pusat mengundi yang mengandungi 117 tempat mengundi atau saluran. Katanya, seramai 1,106 orang petugas pula akan mengendalikan proses pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan. “SPR juga ingin memaklumkan sebanyak dua pusat mengundi akan ditutup pada jam 12 tengah hari, manakala 34 pusat mengundi bagi PRK ini pula akan ditutup secara berperingkat mulai jam 1 tengah hari sehingga jam 5.30 petang mengikut masa mengundi yang telah ditetapkan. “Di samping itu, penandaan dakwat kekal pada PRK ini akan dibuat pada jari kelingking tangan kiri pengundi yang hadir mengundi nanti,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat. Sementara itu, beliau menasihatkan pengundi supaya tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir, sebaliknya digalakkan keluar mengundi mengikut Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan seperti tercatat dalam aplikasi MySPR Semak. Bagaimanapun, katanya pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang atau mengikut waktu Pusat Mengundi yang diwartakan. “Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran. “Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan Kerani Pengundian membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada Hari Mengundi. “Justeru itu, pengundi adalah dinasihatkan untuk membuat semakan awal maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau melalui aplikasi MySPR Semak. “Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” katanya. SPR juga katanya mengingatkan majikan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada itu selaras peruntukan yang terkandung dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. PRK Kinabatangan dan Lamag diadakan berikutan kematian penyandang kedua-dua kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu. Bagi PRK Kinabatangan, seramai tiga calon bersaing iaitu Mohd Naim Kurniawan Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas). Lamag pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Mohd Ismail Ayob atau Miha (BN) dan Mazliwati Abdul Malek Chua (Warisan). – Info X
January 23, 2026
Info X Reporters
Kereta dilarikan ketika dua kanak-kanak dalam kenderaan, suspek ditahan
SANDAKAN: Polis berjaya menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes kecurian sebuah kenderaan jenis Proton Exora yang dilaporkan hilang di kawasan Stesen Petronas Batu 32, di sini, pada Khamis. Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, kenderaan berkenaan dilaporkan dilarikan ketika ditinggalkan seketika dalam keadaan enjin hidup oleh pemiliknya untuk urusan singkat di premis berhampiran. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, ketika kejadian, dua kanak-kanak berada di dalam kenderaan berkenaan iaitu anak pengadu perempuan berusia sembilan tahun serta anak saudara lelaki pengadu berusia tujuh tahun. “Kedua-dua kanak-kanak itu bagaimanapun berjaya keluar dari kenderaan berkenaan dalam keadaan selamat sebelum suspek melarikan kereta terbabit. “Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan yang dipandu suspek ketika melalui Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Jalan Sapi Nangoh, Beluran, pada hari sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 51 tahun bersama kenderaan yang dilaporkan hilang. Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. “Pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan penyalahgunaan dadah. “Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin hidup, lebih-lebih lagi apabila terdapat kanak-kanak di dalam kenderaan,” katanya. Sebelum ini, satu video tular di laman sosial menunjukkan seorang lelaki yang memakai baju berwarna jingga mengetuk kereta yang berada di stesen minyak sebelum memandu keluar kereta berkenaan daripada stesen itu. – Info X
January 23, 2026
Info X Reporters
Penunggang motosikal maut di Jalan Lintas
KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung sebuah kereta yang membuat pusingan U di Jalan Lintas, berhampiran simpang Starbucks, di sini, malam tadi. Dalam kejadian jam 7.35 malam itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII). Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kemalangan melibatkan kereta Toyota Camry dan motosikal jenis Aveta. Katanya, siasatan awal mendapati kereta Toyota Camry yang bergerak dari arah Kolombong menuju ke City Mall cuba membuat pusingan-U di lokasi kejadian. “Pada masa yang sama, mangsa yang menaiki motosikal bergerak lurus dari arah bertentangan telah bertembung dengan kenderaan tersebut di bahagian sisi kiri pintu penumpang hadapan. “Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum dihantar ke HQEII untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 8.40 malam oleh Pegawai Perubatan ketika menerima rawatan. Sehubungan itu, Syed Lot berkata, pihak polis telah menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian dan seorang individu telah ditahan bagi membantu siasatan. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian +60 10-776 8802 atau Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529 222,” katanya. – Info X