Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

January 16, 2026

Info X Reporters

Kafe dan kedai runcit musnah terbakar

RANAU: Sebuah kedai runcit dan kafe jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran berhampiran Tugu Nunuk Ragang, Kampung Balisok, di sini, malam tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.02 malam sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira sejam kemudian. “Kebakaran melibatkan sebuah bangunan berkeluasan kira-kira 167 meter persegi yang terbakar sepenuhnya. “Operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan air bersumberkan jentera bomba dan pili berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 9.15 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.23 malam. “Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan operasi turut dibantu lima anggota PDRM serta dua petugas Sabah Electricity,” katanya. – Info X

January 15, 2026

Info X Reporters

PKK UMS, SJA kukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama strategik

KOTA KINABALU: Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini mengadakan kunjungan mesra terhadap Persatuan Wartawan Sabah (SJA) sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama strategik dalam bidang komunikasi, media dan pembangunan profesional. Kunjungan itu diketuai Pengarah PKK UMS, Dr Rizal Zamani Idris dan disambut Presiden SJA, Mariah Doksil, bersama barisan kepimpinan persatuan berkenaan. Pertemuan itu menjadi platform perbincangan mengenai potensi kolaborasi strategik berkaitan perkongsian kepakaran, pembangunan bakat, latihan profesional, penghasilan kandungan komunikasi berimpak tinggi dan pengukuhan jaringan antara institusi akademik serta organisasi media di Sabah. Rizal berkata, PKK UMS sentiasa komited untuk membina hubungan yang bersifat sinergi dengan organisasi profesional bagi memperkasa ekosistem komunikasi korporat dan kewartawanan. “UMS melalui PKK amat menghargai peranan SJA dalam membentuk landskap komunikasi dan kewartawanan yang beretika serta berwibawa. “Kunjungan mesra ini diharap dapat membuka ruang kerjasama yang lebih tersusun dan berimpak, khususnya dalam aspek latihan, pemindahan ilmu dan penghasilan naratif positif berkaitan institusi pendidikan tinggi serta pembangunan masyarakat,” katanya. Menurut beliau, kerjasama strategik antara universiti dan persatuan wartawan amat penting bagi memastikan amalan komunikasi yang relevan dengan keperluan semasa industri serta mampu menyokong agenda pembangunan negeri. Turut hadir, Timbalan Pengarah PKK UMS, Mohd Ezni Hezri Mohd Yusop; Ketua Sektor Hal Ehwal Korporat, Che Hasruddin Che Hasan; Ketua Pentadbiran, Norliza Abdullah dan Ketua Unit Perhubungan Media PKK, Salbinous Saribun. Sementara itu, Presiden SJA, Mariah Doksil menyambut baik kunjungan PKK UMS dan menyifatkannya sebagai satu langkah proaktif ke arah memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak. “Persatuan Wartawan Sabah amat mengalu-alukan kerjasama dengan UMS, khususnya Pusat Komunikasi Korporat, dalam usaha memperkasa bidang komunikasi dan kewartawanan. “Gabungan kekuatan akademik UMS dan pengalaman profesional wartawan diyakini mampu memberi manfaat besar kepada industri media serta masyarakat secara keseluruhan,” katanya. Pertemuan tersebut turut membincangkan perancangan kerjasama yang berpotensi untuk dilaksanakan dalam masa terdekat. Hadir sama, Setiausaha SJA, Siti Aisyah Narudin bersama barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi SJA, Mohd Nazlie Zainul, Vivi Olviana Najurus dan Fardy Bungga. Delegasi PKK UMS turut disertai Ketua Unit Pengurusan Majlis dan Unit Perhubungan Awam PKK, Mohammad Norazmi Harris; Ketua Unit Video, Johaidi Ismail dan kakitangan Unit Perhubungan Media PKK, Mohd Affzanizam Mohd Amin dan Faezah Mohamad Dun. – Info X

January 15, 2026

Info X Reporters

Mayat lelaki reput dan berulat ditemui di cerun

KENINGAU: Mayat lelaki yang reput dan berulat ditemui di kawasan cerun di kilometer 67.7, Jalan Tulid – Tongod berhampiran kawasan estet Kampung Nontodon, Sook, pada Rabu. Mayat mangsa ditemui pada jam 8.16 pagi oleh orang awam sebelum dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Ketua Polis Daerah Keningau, Supritenden Yampil Anak Garai yang mengesahkan penemuan itu berkata, hasil pemeriksaan awal mengenalpasti mangsa adalah seorang warga asing berumur 45 itu telah reput dan berulat. Katanya, mayat mangsa yang lengkap berpakaian itu ditemui di kawasan semak samun di dalam cerun sedalam kira-kira 10 kaki. “Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan pergelutan atau senjata termasuk kayu dan besi yang dikesan di tempat mayat ditemui. “Kawasan penemuan juga sangat terpencil kira-kira 3 kilometer dari penempatan penduduk di paling hampir,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemui beg pinggang berisi wang tunai Filipina dan wang syiling Malaysia dipercayai milik mangsa. “Anggaran tempoh kematian menerusi penelitian awal adalah sekitar seminggu,” katanya. Sementara itu, Yampil berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu mendapati terdapat kesan luka di belakang kepala mangsa dipercayai kesan gigitan ulat semasa proses pereputan. Katanya, pihak forensik turut mengesahkan punca kematian mangsa adalah atas faktor penyakit dalaman dan bukan disebabkan oleh kejadian serangan. “Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. – Info X

January 15, 2026

Info X Reporters

JKR cuba produk aspal berprestasi tinggi tampal jalan berlubang

KOTA KINABALU: Cawangan Penyenggaraan Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan kerja percubaan produk baharu menampal jalan rosak dan berlubang menggunakan 𝐀𝐇𝐍𝐓𝐄𝐂𝐇 𝐕𝐓𝐗-𝐒𝐮𝐩𝐞𝐫 𝐅𝐢𝐛𝐞𝐫 𝐑𝐞𝐢𝐧𝐟𝐨𝐫𝐜𝐞𝐝 𝐀𝐥𝐥 𝐖𝐞𝐚𝐭𝐡𝐞𝐫 𝐂𝐨𝐥𝐝 𝐌𝐢𝐱 𝐀𝐬𝐩𝐡𝐚𝐥𝐭. Kerja percubaan itu dilakukan di Jalan Tuaran Bypass dengan disaksikan sendiri Pengarah JKR Sabah, Datuk Ir Philemon Lajawai dan Timbalan Pengarah Sektor Jeraya, Baharuhom KK Sogon pada Rabu. Berdasarkan perkongsian di Facebook JKR Sabah, kerja percubaan itu membabitkan penyertaan pelbagai cawangan teknikal JKR Sabah, termasuk Cawangan Jalanraya, Projek Jalan Luar Bandar, Lebuhraya, Cerun, Jambatan serta Trafik dan Pengangkutan. Katanya, usaha itu bagi menilai keberkesanan bahan baharu dalam pelaksanaan kerja penyelenggaraan jalan. Menurut perkongsian itu, 𝐀𝐇𝐍𝐓𝐄𝐂𝐇 𝐕𝐓𝐗-𝐒𝐮𝐩𝐞𝐫 𝐅𝐢𝐛𝐞𝐫 𝐑𝐞𝐢𝐧𝐟𝐨𝐫𝐜𝐞𝐝 𝐀𝐥𝐥 𝐖𝐞𝐚𝐭𝐡𝐞𝐫 𝐂𝐨𝐥𝐝 𝐌𝐢𝐱 𝐀𝐬𝐩𝐡𝐚𝐥𝐭 adalah bahan asfalt 𝐜𝐨𝐥𝐝 𝐦𝐢𝐱 berprestasi tinggi yang diperkuat dengan gentian sintetik dan direka khas untuk kerja pembaikan serta penampalan lubang jalan secara kekal dalam semua keadaan cuaca tanpa pemanasan, termasuk ketika basah atau hujan, serta membolehkan pembukaan trafik segera selepas pemadatan. Ketika ini, isu jalan berlubang banyak diluahkan pengguna jalan raya di seluruh negeri, manakala di ibu negeri, antara lokasi yang sering berdepan masalah itu ialah di laluan Tebobon-Tuaran. Ia bukan saja menjejaskan keselesaan pemanduan, malah menimbulkan masalah keselamatan pengguna jalan raya dan kerosakan kenderaan. – Info X

January 15, 2026

Info X Reporters

Tubuh jawatankuasa rentas parti pastikan pemulangan 40 peratus hasil Sabah dilaksanakan – Tham Yun Fook

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan segera sebuah jawatankuasa khas merentasi parti berkaitan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pemulangan 40 peratus hasil cukai bersih kepada Sabah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, berkata jawatankuasa itu merangkumi wakil kerajaan negeri, ADUN pembangkang, pakar perundangan dan pihak berkepentingan yang relevan. “Jawatankuasa ini bertujuan untuk memastikan proses perundingan dijalankan secara berfakta, telus dan berkesan, serta memastikan hak 40 peratus hasil cukai Sabah dapat direalisasikan dengan segera dan teratur. “Penubuhan jawatankuasa sedemikian akan mencerminkan kesungguhan dan kematangan institusi Kerajaan Negeri Sabah dalam mempertahankan haknya berlandaskan undang-undang, di samping mengelakkan isu penting ini terus dipolemikkan secara tidak konstruktif,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Beliau berkata, pemulangan 40 peratus hasil cukai yang dikutip dari Sabah itu bukan isu politik kepartian, sebaliknya soal hak perlembagaan dan kepentingan jangka panjang rakyat Sabah. Atas sebab itu, katanya ia wajar ditangani secara bersatu, berprinsip dan berfokus terhadap usaha penyelesaian. Yun Fook berkata, cadangan penubuhan jawatankuasa khas itu mengambil kira garis masa pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini yang sudah mencapai tempoh 90 hari, semalam. “Walaupun pelbagai penjelasan telah dikemukakan, hakikatnya 90 hari telah berlalu sejak keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dibuat. Namun begitu, rakyat Sabah masih belum dimaklumkan secara jelas dan rasmi mengenai langkah-langkah konkrit serta garis masa pelaksanaan pemulangan 40 peratus hasil cukai ini. “Kelewatan ini hanya akan menimbulkan persepsi bahawa keputusan mahkamah tidak diberikan keutamaan sewajarnya,” katanya. Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi adalah perintah yang mengikat dari segi undang-undang dan pelaksanaannya tidak seharusnya ditangguhkan atas alasan pentadbiran atau pertimbangan politik. Katanya, isu itu menbabitkan hak perlembagaan Wilayah Sabah dan keupayaan Kerajaan Negeri untuk merancang serta melaksanakan pembangunan secara mampan demi kesejahteraan rakyat. – Info X

January 15, 2026

Info X Reporters

Tubuh jawatankuasa rentas parti pastikan pemulangan 40 peratus hasil Sabah dilaksanakan – Tham Yun Fook

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan segera sebuah jawatankuasa khas merentasi parti berkaitan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pemulangan 40 peratus hasil cukai bersih kepada Sabah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, berkata jawatankuasa itu merangkumi wakil kerajaan negeri, ADUN pembangkang, pakar perundangan dan pihak berkepentingan yang relevan. “Jawatankuasa ini bertujuan untuk memastikan proses perundingan dijalankan secara berfakta, telus dan berkesan, serta memastikan hak 40 peratus hasil cukai Sabah dapat direalisasikan dengan segera dan teratur. “Penubuhan jawatankuasa sedemikian akan mencerminkan kesungguhan dan kematangan institusi Kerajaan Negeri Sabah dalam mempertahankan haknya berlandaskan undang-undang, di samping mengelakkan isu penting ini terus dipolemikkan secara tidak konstruktif,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Beliau berkata, pemulangan 40 peratus hasil cukai yang dikutip dari Sabah itu bukan isu politik kepartian, sebaliknya soal hak perlembagaan dan kepentingan jangka panjang rakyat Sabah. Atas sebab itu, katanya ia wajar ditangani secara bersatu, berprinsip dan berfokus terhadap usaha penyelesaian. Yun Fook berkata, cadangan penubuhan jawatankuasa khas itu mengambil kira garis masa pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini yang sudah mencapai tempoh 90 hari, semalam. “Walaupun pelbagai penjelasan telah dikemukakan, hakikatnya 90 hari telah berlalu sejak keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dibuat. Namun begitu, rakyat Sabah masih belum dimaklumkan secara jelas dan rasmi mengenai langkah-langkah konkrit serta garis masa pelaksanaan pemulangan 40 peratus hasil cukai ini. “Kelewatan ini hanya akan menimbulkan persepsi bahawa keputusan mahkamah tidak diberikan keutamaan sewajarnya,” katanya. Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi adalah perintah yang mengikat dari segi undang-undang dan pelaksanaannya tidak seharusnya ditangguhkan atas alasan pentadbiran atau pertimbangan politik. Katanya, isu itu menbabitkan hak perlembagaan Wilayah Sabah dan keupayaan Kerajaan Negeri untuk merancang serta melaksanakan pembangunan secara mampan demi kesejahteraan rakyat. – Info X

January 15, 2026

Info X Reporters

Gotong-Royong Perdana pulihkan kawasan terjejas banjir di Kampung Rampayan

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Pejabat Parlimen Sepanggar menganjurkan Program Gotong-Royong Perdana bagi membantu memulihkan kawasan yang terjejas akibat banjir di Kampung Rampayan, Manggatal, di sini, baru-baru ini. Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata program itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan UMS dalam menyantuni masyarakat setempat, khususnya ketika berdepan bencana alam. “Program ini disertai seramai kira-kira 300 orang pelajar UMS bagi membantu kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas banjir. “Ia bagi membantu meringankan beban penduduk kampung dalam membersihkan sisa banjir dan memulihkan persekitaran agar lebih kondusif serta selamat untuk didiami, termasuk kawasan sekolah dan kemudahan awam yang dinaiki air sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Kasim berkata kerja-kerja pembersihan yang dijalankan tertumpu kepada kemudahan awam, kawasan persekitaran kediaman penduduk dan lokasi-lokasi tumpuan komuniti yang terjejas akibat banjir. Dalam pada itu, Kasim turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pejabat Parlimen Sepanggar atas sokongan padu dan kerjasama erat yang diberikan dalam menjayakan program itu. “Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pejabat Parlimen Sepanggar atas kolaborasi strategik ini. “Kerjasama erat antara institusi pendidikan dan pejabat Parlimen amat penting dalam memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih efisien kepada rakyat yang memerlukan. “Program ini secara tidak langsung mengukuhkan hubungan strategik antara UMS dan komuniti Parlimen Sepanggar, selari dengan aspirasi universiti untuk terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. Turut hadir pada program itu ialah Pengarah Pejabat Parlimen Sepanggar, Ashim Jamat; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Azmi Jumat dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS, Dr Rizal Zamani Idris. – Info X

January 15, 2026

Info X Reporters

Lelaki maut kenderaan terbabas sendiri di Penampang

PENAMPANG: Seorang lelaki warga tempatan maut selepas tercampak keluar dari sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbabas sendiri dalam kemalangan di Jalan Papar Lama, Penampang berhampiran belakang Kem Lok Kawi, Putatan, pada petang Rabu. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendant Sammy Newton, berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 6 petang, 14 Januari 2026. Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki warga asing berusia 40 tahun bersama tiga penumpang lelaki berusia antara 30 hingga 69 tahun. “Hasil siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan. “Kejadian menyebabkan penumpang hadapan berusia 69 tahun tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya. Bagaimanapun katanya, pemandu dan dua penumpang belakang lain dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. “Pemandu kenderaan berkenaan ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. “Dalam pada itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika memandu bagi memastikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Penampang atau terus berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Amrin Mohamad Rif di talian 017-6638278,” katanya. – Info X