January 15, 2026
Info X Reporters
Rumah flat di PPR Sri Keramat terbakar
PUTATAN: Sebuah rumah flat di PPR Sri Keramat, Jalan Ketiau Tombovo di sini terbakar kira-kira 90 peratus dalam kejadian kebakaran yang dilaporkan pada pagi tadi. Ketua Balai BBP Putatan Noor Sherriyana Bohari berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.29 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi pada jam 7.41 pagi selepas menempuh jarak 5.1 kilometer. “Kebakaran melibatkan sebuah unit rumah flat jenis kekal dengan keluasan anggaran 750 kaki persegi. “Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan satu pancutan air yang dibekalkan daripada tangki jentera. “Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.13 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 9.05 pagi selepas pemeriksaan keselamatan dibuat,” katanya. Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang risiko bahaya lanjut. Seramai 26 anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan membabitkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, sembilan anggota BBP Penampang dan tujuh anggota BBP Kota Kinabalu. Beberapa agensi lain turut berada di lokasi bagi membantu kawalan keselamatan dan sokongan operasi. Agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity serta Majlis Daerah. – Info X
January 15, 2026
Info X Reporters
KPD hentikan kenderaan, turun bantu mangsa kemalangan
KOTA MARUDU: Sikap prihatin dan tindakan pantas Ketua Polis Daerah (KPD) Kota Marudu terbukti apabila beliau tanpa berlengah menghentikan kenderaan bagi menghulurkan bantuan awal kepada mangsa kemalangan jalan raya di Jalan Kesagaan, di sini, malam tadi. Dalam kejadian itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin, yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Marudu, segera turun ke lokasi kejadian sebaik menyedari berlaku kemalangan. Beliau bertindak membantu mengawal keadaan di lokasi kejadian bagi memastikan situasi berada dalam keadaan selamat dan terkawal. Selain itu, beliau turut mengalihkan halangan di atas jalan raya bagi mengelakkan risiko kemalangan susulan. Beliau juga mengawal aliran trafik demi keselamatan pengguna jalan raya lain yang melalui kawasan berkenaan. Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, khususnya pada waktu malam. “Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi menjamin keselamatan semua pihak,” katanya. – Info X
January 14, 2026
Info X Reporters
Lelaki ditemui meninggal dunia selepas dilapor hilang ketika ke hospital
KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu di Kampung Siasai Tamu, di sini, ditemui meninggal dunia, petang tadi. Mangsa Manang Joh, 55, berjaya ditemui pada jam 4.13 petang di Sungai Lebak Engad, kira-kira dua kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat penduduk kampung. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, mangsa yang ditemui tidak sedarkan diri dibawa kentebing oleh pasukan operasi. Katanya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. “Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Terdahulu dalam kejadian Isnin lalu, mangsa dilaporkan keluar dari rumahnya kira-kira jam 6 pagi, dipercayai dengan tujuan ke Hospital Kota Belud untuk mengambil ubat. Mangsa yang kali terakhir dilihat memakai baju T-shirt berwarna biru turquoise disedari hilang selepas dikatakan tidak pulang ke rumah sehingga ke hari ini. Mengikut laporan pihak berkuasa, mangsa mempunyai masalah kesihatan, sedang mendapat rawatan di Hospital Kota Belud dan memiliki kad OKU. – Info X
January 14, 2026
Info X Reporters
Tempoh semakan pemberian khas tamat hari ini, usaha penuhi perintah mahkamah disegerakan – Mustapha
KOTA KINABALU: Tempoh 90 hari perintah mahkamah bagi semakan kadar pemberian khas Sabah berkaitan pengembalian 40 peratus hasil negeri ini yang diputuskan pada 17 Oktober lalu berakhir pada hari ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata tempoh itu adalah salah satu daripada dua garis masa yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi. Katanya, bagi garis masa 90 hari, beberapa inisiatif sudah dilaksanakan bermula dengan mesyuarat antara kerajaan Persekutuan dan negeri pada 17 November lalu. “Keputusan mahkamah pada 17 Oktober 2025 menetapkan dua garis masa pelaksanaan, iaitu tempoh 90 hari bagi semakan kadar Pemberian Khas Sabah dan tempoh 180 hari untuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah mencapai persetujuan serta melaksanakan mekanisme pembayaran. “Tempoh 90 hari tersebut telah berakhir pada hari ini (14 Januari 2026), dengan satu mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah telah diadakan pada 17 November 2025 sebagai sebahagian daripada proses semakan awal dan perbincangan mengenai kerangka, parameter serta perkara-perkara asas berkaitan pelaksanaan keputusan mahkamah. “Sehubungan itu, saya sebagai menteri bertanggungjawab berkaitan perkara ini telah berkunjung hormat kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 13 Januari 2026 untuk memperteguh tekad bagi menyegerakan keseluruhan proses semakan mengikut garis masa mahkamah serta menjunjung kedaulatan undang-undang demi kepentingan rakyat Sabah dan negara keseluruhannya,” katanya dalam saty kenyataan pada Rabu. Mustapha berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menzahirkan keprihatinan serius terhadap pematuhan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah dan meletakkan isu itu sebagai keutamaan utama dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini. Pada 17 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi menetapkan dua garis masa pelaksanaan perkara berkenaan, iaitu tempoh 90 hari bagi semakan kadar Pemberian Khas Sabah dan tempoh 180 hari untuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah mencapai persetujuan serta melaksanakan mekanisme pembayaran. – Info X
January 14, 2026
Info X Reporters
Lelaki maut disyaki terjatuh dari bangunan bertingkat
KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu mengesahkan menerima satu laporan berhubung seorang lelaki yang disyaki terjatuh dari sebuah bangunan bertingkat di Lido Four Seasons, Lintas Jaya, Penampang, malam tadi. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 malam dan melibatkan seorang lelaki yang disahkan maut di lokasi kejadian. “Mangsa disyaki warga tempatan namun identiti sebenar masih belum dikenal pasti setakat ini. “Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat, mengenali mangsa atau merupakan ahli keluarga diminta hadir ke balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, sebarang maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Ketua Polis Balai Tanjung Aru, Sub Inspektor Razmi Omar di talian 0139802326. Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan. – Info X
January 14, 2026
Info X Reporters
Semua ‘dibalun’, polis tahan dua suspek kes pecah rumah
TAWAU: Tindakan dua lelaki disyaki aktif melakukan kegiatan pecah rumah berakhir apabila mereka ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Chung Hwa Batu 5, Jalan Apas, di sini, semalam. Serbuan berkenaan dijalankan sepasukan polis dari Balai Polis Tawau selepas menerima maklumat awam berhubung aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan. Dalam operasi itu, dua lelaki warga asing berusia antara 36 hingga 46 tahun ditahan selepas pemeriksaan dilakukan di dalam rumah terbabit. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemui pelbagai barangan dipercayai hasil jenayah. Menurutnya, barangan berkenaan termasuk sebuah tong gas, satu unit pembesar suara, sebuah gergaji rantai, satu pasport milik seorang wanita serta satu plastik berisi pelbagai jenis barang perhiasan tradisional. Beliau berkata, semua suspek bersama barangan rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – Info X
January 14, 2026
Info X Reporters
SPRM syor tujuh penambahbaikan tatakelola LKIM Sabah
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah membentangkan tujuh syor penambahbaikan tatekelola Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sabah. Ia melibatkan isu pengurusan pendahuluan diri Pengurus Besar kawasan berkaitan program dan aktiviti Persatuan Nelayan Kawasan (PNK). Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata, antara syor yang diutarakan ialah mewujudkan akaun bank khas bagi penggunaan dan penerimaan wang pendahuluan diri atas nama jawatan “Pengurus Besar”. Katanya, agensi itu perlu mewujudkan satu garis panduan berhubung wang pendahuluan diri yang diberikan kepada Pengurus Besar di PNK dari LKIM. “Ia termasuk penyediaan laporan perbelanjaan sebenar beserta bil-bil sokongan yang dikemukakan oleh Pengurus dalam tempoh tujuh hari selepas program selesai dilaksanakan. “Cadangan lain ialah melaksanakan pemantauan dan semakan terhadap penggunaan wang pendahuluan diri oleh Pengurus Besar setiap kali program PNK yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Selain itu katanya, LKIM perlu membuat pindaan pada Pekeliling Pendaftar Bil. 1 Tahun 2017 -Perkara 3.1 dengan menyatakan ‘pendahuluan diri’ merujuk kepada pengeluaran wang dalam bentuk cek atas nama Pengurus Besar Persatuan Nelayan yang ditunaikan. “Ia bagi digunakan sebagai perbelanjaan khusus bagi menguruskan projek kontrak ditawarkan oleh LKIM atau pihak-pihak lain dan pendahuluan diri tidak dibenarkan masuk ke dalam akaun peribadi Pengurus Besar. “Syor ini dilaksanakan susulan hasil siasatan awal yang telah dijalankan oleh SPRM Sabah berhubung isu wang pendahuluan diri bagi program atau aktiviti yang dilaksanakan PNK dimasukkan ke dalam akaun peribadi Pengurus Besar PNK,” katanya. Mohd Fuad yang membentangkan syor itu berkata, ia adalah usaha meningkatkan akauntabiliti melalui pelaksanaan prinsip-prinsip tatakelola yang baik selari dengan keperluan, cabaran persekitaran masa kini dan akan datang. Katanya, kelemahan yang dikenalpasti itu boleh membuka ruang dan peluang berlakunya salah guna kuasa dan penyelewengan Sementara itu, Ketua Pengarah LKIM, Hamdan Mamat yang menyambut baik cadangan penambahbaikan itu berkata, pihaknya bersetuju untuk mengambil tindakan bagi mengatasi kelemahan yang ditemui. Terdahulu pada majlis itu, turut diadakan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang ditandatangani di antara Pengarah SPRM Sabah dan Ketua Pengarah LKIM. – Info X
January 14, 2026
Info X Reporters
SLDB buka kilang padi ‘MEKAR by SLDB’ di Kota Belud
KOTA BELUD: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) secara rasmi membuka Kilang Padi dan Beras Tempatan ‘MEKAR by SLDB’ di Kampung Timbang Dayang, di sini, pada Isnin. Pengurus Besar SLDB, Datuk Syaheddrul R Joddari, berkata langkah itu adalah satu inisiatif strategik bagi memperkukuh rantaian nilai industri padi dan beras serta menyokong jaminan keselamatan makanan negeri. Beliau berkata, setakat ini kira-kira 540 ekar kawasan sawah padi terbiar berjaya diusahakan semula dan dengan pengoperasian kilang padi itu, SLDB menyasarkan untuk memperluas usaha pemulihan sehingga 1,000 ekar sawah di daerah Tuaran dan Kota Belud. “Inisiatif ini bertujuan melengkapkan rantaian pengeluaran dan pemprosesan padi, sekali gus meningkatkan kecekapan, pendapatan pesawah serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan beras luar. “Kilang ini bukan saja meningkatkan kecekapan pemprosesan padi, malah membuka peluang pekerjaan, menambah pendapatan pesawah serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan beras luar,” katanya pada perasmian kilang berkenaan. Beliau berkata, kilang itu berperanan memproses hasil tuaian Projek Padi SLDB di daerah Tuaran, Papar dan Kota Belud membabitkan keluasan tanaman semasa kira-kira 540 ekar. Katanya, keluasan itu membabitkan penyertaan seramai 238 petani yang dijangka menghasilkan kira-kira 1,100 tan metrik padi bagi setiap musim. “Selain itu, kilang ini turut membeli hasil tuaian pesawah sekitar daerah Kota Belud untuk diproses dan dipasarkan sebagai beras tempatan di bawah jenama MEKAR by SLDB. “Ini sekali gus menyumbang kepada kestabilan bekalan beras negeri Sabah,” katanya. Majlis perasmian itu turut diserikan dengan lawatan ke fasiliti pemprosesan kilang serta sesi taklimat operasi yang menggambarkan keupayaan sistem pemprosesan terkini dengan kapasiti memproses sehingga 15 tan padi sehari. Katanya, pembukaan Kilang Padi dan Beras Tempatan MEKAR by SLDB mencerminkan usaha berterusan SLDB dalam memacu pembangunan sosio ekonomi luar bandar melalui pendekatan pertanian mampan, berdaya saing dan berimpak tinggi. – Info X