January 14, 2026
Info X Reporters
Kontraktor Lebuhraya Pan Borneo diarah baiki segera jalan rosak di Lumadan
BEAUFORT: Kontraktor Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Pakej 2 yang membabitkan jajaran Kampung Melalia, Sipitang ke Beaufort diarah menyegerakan pembaikan jalan rosak yang menjejaskan keselesaan pengguna. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam, berkata pembaikan perlu dilaksanakan segera terutama di laluan Batu 5 hingga Batu 7, yang kini dalam keadaan kritikal akibat kerosakan teruk dan menerima banyak aduan daripada rakyat. “Kontraktor terlibat perlu melaksanakan pembaikan segera di laluan kritikal bagi mengurangkan risiko kemalangan pengguna jalan raya sementara menunggu penurapan penuh laluan Lebuhraya Pan Borneo,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan sesi lawatan tapak projek bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), perunding dan kontraktor di laluan berkenaan, di sini, pada Selasa. Sementara itu, Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, berkata kontraktor yang gagal menyiapkan kerja-kerja pembinaan LPB akan diserahkan kepada JKR untuk dinilai semula termasuk tindakan selanjutnya mengikut perjanjian kontrak. “Kerajaan telah menyalurkan peruntukan dan melantik kontraktor. Sekarang adalah giliran kontraktor untuk bertanggungjawab. “Jika mereka gagal, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya melalui JKR,” katanya. Projek LPB Pakej 2 sepanjang 34.7 kilometer setakat ini baru mencapai kemajuan 62.5 peratus dan berdepan kelewatan akibat faktor cuaca, pengambilan tanah dan isu teknikal. Kelewatan berkenaan menjejaskan pengguna jalan raya di laluan berkenaan berikutan keadaan jalan sedia yang rosak dan tidak dibaiki kontraktor. Dalam pada itu, Ruslan menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan kritikal itu, khususnya pada musim hujan. Laluan berkenaan, katanya sering dilanda banjir jika hujan lebat sekali gus menjejaskan pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan. “Saya akan terus memantau projek ini secara langsung sehingga jalan ini benar-benar selamat digunakan,” katanya. – Info X
January 13, 2026
Info X Reporters
Lelaki maut akibat masalah kesihatan ketika memandu
PENAMPANG: Seorang lelaki maut dipercayai akibat masalah kesihatan ketika memandu sehingga menyebabkan kenderaan pacuan empat roda dipandunya merempuh dua buah kereta yang diparkir di Taman Suria Apartment, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan tidak melibatkan kecederaan terhadap individu lain. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kemalangan berkenaan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah pacuan empat roda dan dua buah kereta yang berada di lot parkir kawasan perumahan berkenaan. “Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mengalami masalah kesihatan ketika sedang memandu sebelum gagal mengawal kenderaan lalu merempuh dua kenderaan yang diparkir. “Tiada kecederaan fizikal dilaporkan membabitkan orang awam atau pemilik kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, kes kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) manakala kes kemalangan disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59. Sementara itu, Sammy berkata polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati dan mengutamakan keselamatan. – Info X
January 13, 2026
Info X Reporters
PPM diminta bantu sebarkan pencapaian kerajaan kepada rakyat
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu semua pihak, khususnya Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) membantu kerajaan baharu GRS yang ada sekarang untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai pencapaian kerajaan di kawasan masing-masing. Beliau berkata, banyak pencapaian yang dilakar oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinannya, namun tidak dihebahkan secara menyeluruh kepada rakyat menyebabkan banyak perkara sebenar yang tidak diketahui mereka. Katanya, kegagalan menghebahkan secara menyeluruh pencapaian kerajaan juga menyebabkan isu yang sering ditimbulkan di media sosial seperti air dan elektrik serta jalan rosak lebih menonjol sedangkan usaha menanganinya dilaksanakan oleh kerajaan GRS. “Tuan-tuan boleh dianggap sebagai mata dan telinga kerajaan, tugas utama ialah membantu menjelaskan dasar, program serta kejayaan Kerajaan kepada rakyat. Jadi, bantu sebarkan pencapaian kerajaan, banyak kejayaan yang kita laksanakan untuk rakyat. “Melalui hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), kita telah mengangkat ekonomi Sabah, memulihkan ekonomi selepas COVID-19, menambah hasil dari RM4 bilion hingga RM7 bilion, rizab kita juga meningkat hingga melebihi RM8.6 bilion. “Ini mesti disebarkan supaya rakyat tahu pencapaian kerajaan. Begitu juga pelaburan, contohnya di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) kawasan itu sudah penuh dan terbaru sebuah pelabur dari Singapura melabur RM31 bilion di sana dengan 6,000 hingga 7,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan,” katanya. Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah dan Menandatangani Aku Janji Jawatan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Negeri Sabah di Menara Kinabalu pada Selasa. Katanya, jika kerajaan GRS dianggap gagal, SOGIP dan taman perindustrian lain di Sabah mungkin masih kosong hingga ke hari ini kerana tiada pelabur yang datang. Sementara itu, Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri akan memperkukuh pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ 2.0 yang dijadual dilancarkan pada hujung bulan ini bagi memantapkan agenda ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri. Katanya, pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ oleh Kerajaan GRS sejak 2021 berjaya meletakkan asas pembangunan yang kukuh dan memberi manfaat kepada rakyat dalam pelbagai sektor. Selain aspek ekonomi, Hajiji berkata, Kerajaan juga terus memberi perhatian kepada pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat serta penambahbaikan infrastruktur asas seperti bekalan air dan rangkaian jalan raya melalui perancangan strategik di bawah SMJ 2.0. Beliau menegaskan bahawa isu pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur yang berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat akan terus dibangkitkan dalam perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat Sabah. Mengucapkan tahniah kepada semua PPM yang baharu mengangkat sumpah, beliau berharap mereka memainkan peranan aktif membantu Kerajaan menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat serta menjelaskan program dan kejayaan dasar Kerajaan secara berkesan. “Saya mahu semua PPM menjalankan tugas dengan penuh integriti dan komitmen demi masa depan Sabah dan generasi akan datang,” katanya. Hajiji menegaskan jawatan PPM merupakan satu amanah besar yang perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab sebagai jambatan antara Kerajaan dan rakyat di lapangan. Seramai 45 orang PPM Negeri Sabah mengangkat sumpah jawatan serta menandatangani surat Aku Janji mereka. – Info X
January 13, 2026
Info X Reporters
Kerajaan negeri komited teruskan kerjasama rapat dengan Putrajaya – Hajiji
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengulangi komitmen kerajaan negeri untuk meneruskan kerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan. Katanya, kerjasama itu penting bagi memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan di negeri ini dibuat dengan berkesan dan menyeluruh. “Kerajaan negeri komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan pelaksanaan dasar serta inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh untuk kepentingan rakyat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Selasa. Ia adalah kunjungan rasmi pertama Mustapha setelah dilantik ke jawatan itu pada 16 Disember 2025. Beliau sebelum ini adalah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi. Turut hadir ialah Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Grace Lee Li Mei. – Info X
January 13, 2026
Info X Reporters
‘Tambah potensi pelaburan, jangan sekadar makan gaji’ nasihat Masiung kepada pegawai SEDCO
KOTA KINABALU: Pengerusi baharu Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Datuk Masiung Banah mahu pegawai eksekutif di syarikat milik kerajaan negeri itu bekerja dalam satu pasukan dan melaksanakan sistem tadbir urus baharu berprestasi tinggi. Beliau juga mengingatkan pegawai termasuk eksekutif yang mengetuai anak-anak syarikat di bawah SEDCO supaya mengikis amalan budaya kerja ‘sekadar makan gaji’ tanpa mengambil inisiatif menambah baik potensi pelaburan. ADUN Kuamut itu mula melaporkan diri bertugas di syarikat berkenaan pagi kelmarin selepas menerima pelantikan daripada kerajaan negeri pada minggu lalu. Beliau kemudian diberi taklimat oleh Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ar James Wong Kien Peng. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Thomas Logijin di pejabat perbadanan itu di Wisma SEDCO, di sini. Masiung menegaskan, pegawai dan kakitangan kumpulan syarikat di bawah SEDCO perlu melaksanakan kerja sebagai satu keluarga sambil menolak sikap ego dalam entiti pentadbiran. “Kita meletakkan sasaran supaya Kumpulan SEDCO muncul sebagai pemacu utama ekonomi Sabah dalam laporan tahunan, kerana itu kita memerlukan pegawai profesional berprestasi tinggi. “Setiap cadangan hendaklah terlebih dahulu dikaji secara mendalam sama ada ianya boleh menjana keuntungan atau sebaliknya. “Kita tidak boleh melaksanakan sesuatu projek atau pelaburan secara tergesa-gesa melainkan setelah membuat perancangan yang matang terlebih dahulu,” katanya. Menerusi pembaharuan pentadbiran yang beliau cadangkan, SEDCO diminta menghantar laporan prestasi kepada kerajaan negeri setiap tiga bulan. Masiung turut menggesa kepada pembuat dasar supaya setiap rangka kerja yang dirancang berpaksikan keperluan rakyat sebelum dibincang dalam mesyuarat Lembaga Pengarah. – Info X
January 13, 2026
Info X Reporters
Dr Yusof pengerusi baharu Sabah Development Berhad
KOTA KINABALU: Bekas ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dilantik sebagai pengerusi baharu Sabah Development Berhad (SDB), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri di bawah Jabatan Ketua Menteri dan Kementerian Kewangan negeri. Beliau yang sebelum ini Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad menggantikan Datuk Frankie Poon Ming Fung sebagai Pengerusi SDB dan secara rasmi memulakan tugasnya di Pejabat SDB, Blok C Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa. Sebagai pengerusi baharu, Dr Yusof diberikan taklimat ringkas mengenai operasi dan hala tuju SDB yang turut dihadiri beberapa ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan kanan syarikat. Pada sesi taklimat itu, Dr Yusof merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya. Beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar untuk memastikan SDB terus berkembang sebagai syarikat pembangunan milik Kerajaan Negeri yang berjaya. Katanya, pada peringkat awal, beliau akan memberi tumpuan untuk mendalami peranan dan hala tuju strategik SDB termasuk anak-anak syarikatnya, antaranya Jetama Sdn Bhd, agar dapat memainkan peranan lebih berkesan dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat Sabah. – Info X
January 13, 2026
Info X Reporters
Video buaya tular, polis jalankan pemeriksaan lokasi
PENAMPANG: Polis menjalankan pemeriksaan susulan penularan video buaya di media sosial sejak semalam berhubung lokasi yang didakwa sebagai habitat reptilia berkenaan, sambil menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, susulan penularan klip video berdurasi 1 minit itu, pihak polis terus menjalankan pemeriksaan di lokasi. Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, lokasi berkenaan adalah ladang penternakan buaya yang beroperasi secara sah. “Siasatan mendapati ladang berkenaan beroperasi dengan memiliki lesen penternakan secara sah. “Ladang berkenaan turut mempunyai lesen jual beli daging buaya sah yang dikeluarkan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Sehubungan itu, Sammy berkata, pihaknya percaya rakaman video tular berkenaan dirakam berhampiran ladang penternakan buaya berlesen dan beroperasi secara sah. “Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta sentiasa menyebarkan maklumat yang tepat dan bertanggungjawab. “Polis Penampang akan terus komited dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya. Terdahulu, tular di media sosial satu video klip berdurasi kira-kira satu minit yang memaparkan kehadiran banyak buaya di sebuah kawasan berair, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan kebimbangan dalam kalangan orang ramai. – Info X
January 13, 2026
Info X Reporters
Rokok seludup dirampas, suspek guna feri ke Pulau Banggi
KUDAT: Cubaan menyeludup rokok tidak bercukai menggunakan perkhidmatan feri ke Pulau Banggi gagal apabila dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat, di sini, semalam. Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, operasi dijalankan hasil maklumat risikan berhubung pergerakan rokok seludup di perairan Kudat yang menggunakan laluan feri awam ke Pulau Banggi. “Bertindak atas risikan itu, sebuah bot rondaan APMM digerakkan sebelum pemeriksaan dilakukan ke atas feri terbabit, sekali gus membawa kepada penahanan seorang lelaki yang disyaki cuba membawa keluar rokok seludup tanpa cukai. “Hasil pemeriksaan lanjut menemukan enam kotak berisi rokok seludup dengan nilai anggaran keseluruhan kira-kira RM6,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana memiliki dan membawa rokok yang disyaki tidak bercukai,” katanya. Sementara itu, beliau berkata APMM menegaskan komitmen untuk terus membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim di perairan negara. “Orang awam digesa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 untuk tindakan segera,” katanya. – Info X