Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

January 13, 2026

Info X Reporters

Video buaya tular, polis jalankan pemeriksaan lokasi

PENAMPANG: Polis menjalankan pemeriksaan susulan penularan video buaya di media sosial sejak semalam berhubung lokasi yang didakwa sebagai habitat reptilia berkenaan, sambil menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, susulan penularan klip video berdurasi 1 minit itu, pihak polis terus menjalankan pemeriksaan di lokasi. Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, lokasi berkenaan adalah ladang penternakan buaya yang beroperasi secara sah. “Siasatan mendapati ladang berkenaan beroperasi dengan memiliki lesen penternakan secara sah. “Ladang berkenaan turut mempunyai lesen jual beli daging buaya sah yang dikeluarkan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Sehubungan itu, Sammy berkata, pihaknya percaya rakaman video tular berkenaan dirakam berhampiran ladang penternakan buaya berlesen dan beroperasi secara sah. “Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta sentiasa menyebarkan maklumat yang tepat dan bertanggungjawab. “Polis Penampang akan terus komited dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya. Terdahulu, tular di media sosial satu video klip berdurasi kira-kira satu minit yang memaparkan kehadiran banyak buaya di sebuah kawasan berair, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan kebimbangan dalam kalangan orang ramai. – Info X

January 13, 2026

Info X Reporters

Rokok seludup dirampas, suspek guna feri ke Pulau Banggi

KUDAT: Cubaan menyeludup rokok tidak bercukai menggunakan perkhidmatan feri ke Pulau Banggi gagal apabila dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat, di sini, semalam. Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, operasi dijalankan hasil maklumat risikan berhubung pergerakan rokok seludup di perairan Kudat yang menggunakan laluan feri awam ke Pulau Banggi. “Bertindak atas risikan itu, sebuah bot rondaan APMM digerakkan sebelum pemeriksaan dilakukan ke atas feri terbabit, sekali gus membawa kepada penahanan seorang lelaki yang disyaki cuba membawa keluar rokok seludup tanpa cukai. “Hasil pemeriksaan lanjut menemukan enam kotak berisi rokok seludup dengan nilai anggaran keseluruhan kira-kira RM6,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana memiliki dan membawa rokok yang disyaki tidak bercukai,” katanya. Sementara itu, beliau berkata APMM menegaskan komitmen untuk terus membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim di perairan negara. “Orang awam digesa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 untuk tindakan segera,” katanya. – Info X

January 13, 2026

Info X Reporters

Kerjasama MAFFI-KPTM bangunkan sektor pertanian Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) komited mengukuhkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Persekutuan (KPTM) bagi membangunkan sektor pertanian dan perikanan negeri. Komitmen itu dizahirkan menterinya, Datuk Jamawi Jaafar pada kunjungan hormat terhadap Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Putrajaya pada Isnin. Beliau berkata, pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkasa rantaian pengeluaran makanan negeri khususnya padi, jagung, ternakan ruminan serta infrastruktur sokongan sektor pertanian. “Saya dan rombongan MAFFI mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan dengan Datuk Seri Mohamad Sabu di Putrajaya bagi memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan demi memastikan agenda keterjaminan makanan Sabah dapat dipacu dengan lebih berkesan,” katanya. Kunjungan itu disertai Pembantu Menteri I, Datuk Ruslan Muharam; Pembantu Menteri II, Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Leonard Stephen Poyong, serta beberapa pegawai kanan kementerian. Jamawi berkata, antara agenda utama yang dibincangkan ialah pengukuhan pembangunan tanaman padi dan beras Sabah melalui peranan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) sebagai teras kepada peningkatan tahap sara diri (SSL) beras negeri. Selain itu, katanya, pembangunan tanaman jagung untuk tujuan makanan ternakan turut diberi penekanan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan mentah dari luar negara. “Usaha mewujudkan pusat pengumpulan hasil pertanian di beberapa daerah juga dibincangkan bagi memudahkan urusan pemasaran, logistik dan pengurusan rantaian bekalan hasil tani tempatan,” katanya. Jamawi turut memaklumkan bahawa pembinaan jeti baharu untuk kemudahan nelayan di Sandakan dan Semporna menjadi antara fokus penting bagi meningkatkan kebajikan serta kecekapan operasi komuniti nelayan di pantai timur Sabah. Menurut beliau, sektor ternakan ruminan turut dirangka untuk diperkasakan melalui sokongan teknikal, pemodenan kaedah penternakan serta penyediaan kemudahan sokongan yang lebih tersusun. “Cadangan penambahbaikan infrastruktur jalan-jalan pertanian di seluruh Sabah juga diketengahkan supaya akses ke kawasan ladang dan perkampungan tani dapat dipertingkatkan sekali gus mengurangkan kos operasi pengusaha,” katanya. Beliau berkata, pihaknya amat menghargai komitmen yang ditunjukkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, termasuk Ketua Setiausaha Kementerian serta Timbalan Menteri, Datuk Chan Foong Hin dalam menyokong agenda pembangunan pertanian Sabah. Jamawi menegaskan, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan adalah kunci utama untuk memastikan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan di Sabah terus berdaya saing, mampan serta mampu menjamin keselamatan makanan jangka panjang negeri ini. – Info X

January 13, 2026

Info X Reporters

Bapa tiri rakam video sulit dalam bilik air, diberkas polis

TAWAU: Perbuatan terkutuk seorang bapa tiri merakam video secara sulit terhadap ahli keluarganya sendiri membawa padah apabila dia ditahan polis di Kampung Tanjung Batu Laut, di sini, Ahad lalu. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki tempatan berusia 39 tahun itu diberkas kira-kira jam 8.07 malam, tidak sampai dua jam selepas polis menerima laporan pada jam 6.27 petang. Katanya, kejadian terbongkar apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menemui sebuah telefon bimbit dipercayai milik suspek disorokkan di dalam tandas rumah berkenaan dalam keadaan sedang merakam. “Kanak-kanak itu kemudian menyerahkan telefon bimbit berkenaan kepada ibunya sebelum laporan polis dibuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Jasmin berkata, hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit yang dirampas mendapati terdapat beberapa rakaman video mengaibkan membabitkan mangsa serta anak-anaknya, dipercayai dirakam tanpa pengetahuan mereka ketika menggunakan bilik air. “Siasatan awal mendapati sebanyak 10 klip video disimpan dalam telefon berkenaan dengan rakaman melibatkan mangsa serta dua orang anaknya. “Suspek yang bekerja sebagai buruh dan tinggal serumah dengan mangsa turut dipersoalkan oleh ahli keluarga sebelum mengaku melakukan perbuatan tidak senonoh itu,” katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh serta Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan mangsa. “Polis tidak akan berkompromi dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan tidak bermoral serta mencabul privasi orang lain, lebih-lebih lagi membabitkan ahli keluarga sendiri,” katanya. – Info X

January 12, 2026

Info X Reporters

Timbalan Wiramuda STAR umum letak jawatan, keluar parti

KENINGAU: Timbalan Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Razzidin Robert, mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta. Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Razzidin berkata keputusan itu dibuat selepas membuat pertimbangan yang teliti dengan mengambil kira hala tuju serta keperluan dalam meneruskan khidmat kepada masyarakat. Katanya, keputusan itu bukan sesuatu yang mudah, namun diyakini sebagai langkah paling wajar pada ketika ini demi kesinambungan peranan dan sumbangannya kepada rakyat. “Saya ingin memaklumkan keputusan muktamad untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Exco Wiramuda STAR Sabah serta keluar sebagai ahli parti berkuat kuasa serta-merta,” katanya. Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan parti, rakan seperjuangan, ahli serta penyokong STAR Sabah yang selama ini memberi kepercayaan, ruang dan kerjasama kepadanya. Razzidin berkata segala pengalaman yang diperoleh sepanjang penglibatan dalam parti itu amat dihargai dan akan kekal menjadi asas penting dalam perjalanan politik serta khidmat masyarakatnya pada masa hadapan. Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmennya untuk terus berbakti kepada masyarakat Sabah, khususnya di Parlimen Keningau, menerusi pendekatan yang lebih sesuai selaras dengan prinsip dan nilai yang dipegangnya. “Saya akan terus berkhidmat kepada masyarakat demi Sabah yang lebih baik,” katanya. Razzidin sebelum ini aktif dalam sayap Wiramuda STAR dan terlibat dalam pelbagai program kemasyarakatan serta pembangunan belia di peringkat akar umbi. – Info X

January 12, 2026

Info X Reporters

Lesen luput undang padah, bot lampu ditahan di Tabawan

LAHAD DATU: Cubaan sebuah bot lampu beroperasi secara tidak sah berakhir apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam rondaan di perairan Tabawan, di sini, semalam. Bot berkenaan ditahan jam 4.15 petang, di kedudukan 0.6 batu nautika tenggara Pulau Katung, ketika anggota bot ronda Maritim Malaysia menjalankan Op PLUTO TIMUR 2/2023 dan Op TIRIS 3.0 di bawah Zon Maritim Lahad Datu. Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, pemeriksaan awal mendapati bot itu dikendalikan oleh dua kru warga Filipina berusia 44 dan 49 tahun, yang memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Bagaimanapun, katanya, kedua-dua kru berkenaan gagal mengemukakan lesen operasi yang masih berkuat kuasa ketika pemeriksaan dijalankan. “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot lampu ini menggunakan lesen yang telah tamat tempoh, sekali gus melanggar peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurut beliau, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pengusaha bot nelayan yang ingkar undang-undang serta terus beroperasi secara haram. “Susulan penahanan itu, bot bersama kru terbabit dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya menyeru komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang laut. Katanya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 bagi memastikan keselamatan perairan terus terpelihara. – Info X

January 12, 2026

Info X Reporters

Jumlah mangsa banjir di Beaufort kekal 366 setakat pagi ini

KOTA KINABALU: Situasi banjir di daerah Beaufort, dilaporkan masih kekal setakat jam 8 pagi ini, membabitkan seramai 366 penduduk daripada 138 Ketua Isi Rumah (KIR). Berdasarkan laporan terkini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, bencana berkenaan menjejaskan 10 buah kampung di daerah itu, menjadikan Beaufort satu-satunya daerah yang terlibat setakat ini. Sebanyak dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa banjir, manakala tiada kematian dilaporkan. Pemantauan peta bencana menunjukkan kebanyakan daerah lain di Sabah masih berada dalam keadaan terkawal dan tidak terjejas. Pihak berkuasa negeri juga terus memantau situasi semasa bagi memastikan keselamatan penduduk, khususnya di kawasan berisiko rendah dan berhampiran sungai. JPBN Sabah memaklumkan bahawa data bencana negeri setakat ini menunjukkan keadaan masih terkawal, namun penduduk dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi sebarang arahan pemindahan sekiranya keadaan cuaca dan paras air menunjukkan peningkatan. Orang ramai juga digalakkan mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi bagi mengelakkan penularan maklumat tidak tepat. – Info X

January 12, 2026

Info X Reporters

43,385 murid Tahun Satu mulakan alam persekolahan di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 43,385 murid memulakan alam persekolahan di Tahun Satu, manakala 44,851 pelajar memulakan persekolahan menengah di Sabah bagi sesi 2026 yang bermula hari ini. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin, berkata turut memulakan alam persekolahan menengah ialah seramai 410 pelajar kelas peralihan. Katanya, jumlah itu adalah sebahagian daripada 276,144 murid sekolah rendah dan 214,170 pelajar sekolah menengah yang direkodkan dalam sesi persekolahan baharu 2026. “Secara keseluruhan ada seramai 490,314 murid dan pelajar bagi sesi persekolahan 2026 di Sabah yang bermula pada hari ini. “Bagi tahun ini, Sabah merekodkan seramai 43,385 orang murid Tahun Satu, manakala seramai 44,851 pelajar Tingkatan Satu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Jumlah itu bagaimanapun, katanya tidak termasuk pelajar yang memasuki sekolah khusus dan kelas khas. Sesi persekolahan 2026 bermula hari ini di lebih 1,000 sekolah rendah dan lebih 200 sekolah menengah di seluruh Sabah. Bagaimanapun, Raisin berkata sebanyak enam sekolah rendah di Beaufort tidak dapat dibuka hari ini berikutan masih terjejas akibat banjir yang melanda daerah itu sejak minggu lalu. “Di Beaufort ada enam sekolah masih berdepan masalah banjir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bangkalalak, SK Garama, SK Jabang, SK Kebulu, SK Lago dan SK Suasa. “Sebuah lagi sekolah yang masih ditutup ialah di Tenom iaitu SK Simpang atas faktor keselamatan berdasarkan nasihat Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana runtuh kawasan sekolah,” katanya. Katanya, sekolah terbabit diberi pilihan sama ada mengadakan kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) atau mengadakan kelas ganti pada hari Sabtu apabila sekolah dibuka semula nanti. – Info X