Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

January 11, 2026

Info X Reporters

KM bentang kertas kerja kepentingan rakyat dari perspektif Sabah pada Pemukiman Kerajaan Madani 2026

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengetuai delegasi Sabah bagi menghadiri Pemukiman Kerajaan Madani 2026 selama dua hari di Pusat Pembelajaran KWSP Bangi, Selangor pada Sabtu dan Ahad. Turut serta dalam delegasi Sabah ialah Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Ariffin Arif. Pada pemukiman itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat kepada delegasi yang hadir pada hari pertama program. Hajiji turut membentangkan kertas perbincangan berkaitan isu semasa kepentingan rakyat dari perspektif Sabah pada hari kedua. Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh. Hadir sana Menteri-Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari (Selangor), Datuk Seri DiRaja Wan Rosdy Wan Ismail (Pahang), Datuk Onn Hafiz Ghazi (Johor) dan Datuk Seri Saarani Mohamad (Perak), selain semua menteri Kabinet Persekutuan. – Info X

January 11, 2026

Info X Reporters

Hajiji ‘Pembawa Berkat’ Industri Kreatif Sabah – SAFVA

KOTA KINABALU: Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) menyifatkan pewujudan portfolio Ekonomi Kreatif di bawah Kerajaan Negeri sebagai satu “rezeki yang dimakbulkan” oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Hajiji Noor kepada penggiat seni dan industri kreatif negeri ini. Presiden SAFVA, Chester Pang berkata, penubuhan Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) yang diterajui Datuk Nizam Abu Bakar Titingan merupakan langkah strategik, bijak dan bertepatan dengan keperluan semasa industri kreatif Sabah.“Saya amat yakin tahun 2026 bakal menjadi ‘Tahun Emas’ kepada penggiat kreatif Sabah. Komitmen yang ditunjukkan oleh kepimpinan Datuk Seri Hajiji wajar diberi sokongan penuh bagi merealisasikan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang holistik dan inklusif,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) SAFVA Ke-10 yang berlangsung di sini, hari ini. Mengimbas kembali pertemuan bersama Datuk Nizam pada Ogos 2025, Chester menyatakan kekagumannya terhadap visi yang dikongsikan menteri berkenaan dalam memperkasa industri kreatif Sabah. Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Datuk Mandela Malakun. Menurut beliau, rombongan SAFVA ketika itu turut disertai wakil Institut Pembangunan Sabah (IDS), Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) serta Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Sabah (JATIKS). “Visi Datuk Nizam membuktikan beliau mampu membawa seni kreatif Sabah ke tahap yang lebih jauh berbanding apa yang diperjuangkan oleh generasi penggiat terdahulu sejak 2015. “Saya menyeru semua ahli dan penggiat seni agar bersabar serta memberi ruang secukupnya kepada kementerian untuk merangka dasar ekonomi kreatif yang komprehensif mengikut acuan industri Sabah,” katanya lagi. Dalam majlis sama, Chester turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) atas pelantikan Mohd Lan Muslim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu SCENIC. Beliau berkata, hasil kunjungan hormat SAFVA ke pejabat SCENIC Jumaat lalu, pihaknya optimis terhadap hala tuju kepimpinan Mohd Lan dalam memacu industri kreatif tempatan melalui integrasi teknologi, inovasi dan kreativiti berimpak tinggi. Sementara itu, Setiausaha Agung SAFVA, Jade Morris memaklumkan bahawa SAFVA kini merupakan ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) yang mewakili Sabah. Beliau berkata, pada tahun lalu SAFVA turut memperkukuhkan struktur organisasi dengan penubuhan lapan zon utama di seluruh Sabah iaitu Kota Kinabalu, Kota Marudu, Ranau, Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Keningau dan Beaufort. “Bagi tahun 2026, fokus utama SAFVA adalah kepada latihan pembangunan modal insan serta memperkukuh kerjasama strategik bersama kementerian dan institusi seperti KBSK, KPSTI, SCENIC dan Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya. Tambah beliau, SAFVA turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama TV Sabah serta Surat Hasrat (LoI) bersama Persatuan Profesional Pasca-Produksi Malaysia (MyPOST) bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti sepanjang tahun ini. Terdahulu, majlis AGM berkenaan turut menyaksikan penyampaian sumbangan kebajikan berjumlah RM2,000 hasil kutipan derma penasihat dan ahli SAFVA kepada Jerry Lunsin, ahli SAFVA Zon Kota Marudu yang terjejas akibat musibah kebakaran rumah. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Biro Kebajikan dan Rekreasi SAFVA, Johari Abdullah. – Info X

January 11, 2026

Info X Reporters

5 ditahan, 10 motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan di Lahad Datu

LAHAD DATU: Lima penunggang motosikal ditahan manakala 10 buah motosikal disita dalam Op Motorsikal (Samseng Jalanan) yang dijalankan polis di beberapa lokasi sekitar daerah ini, semalam. Operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu. Ia dijalankan dengan kerjasama Cawangan Khas (CK), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) serta balai-balai polis di bawah pentadbiran IPD Lahad Datu. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, operasi itu dijalankan di sekitar Pusat Bandar Lahad Datu, Bandar Sri Perdana, Bandar Fajar Centre serta Jalan Lahad Datu – Sandakan/Tawau. “Lima penunggang lelaki berusia 20 tahun yang ditahan didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah selain menunggang motosikal tanpa lesen memandu. Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. “Dalam operasi sama, seramai 46 individu dan 35 buah motosikal diperiksa. Sebanyak 32 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, polis turut menyita 10 buah motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai kenderaan dan penunggang tidak memiliki lesen memandu yang sah. Dzulbaharin menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak agar tidak terlibat dengan aktiviti lumba haram dan samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain. “PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti tidak bermoral ini dan operasi akan terus dipergiatkan bagi membendung kegiatan berkenaan. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Lahad Datu di talian 089-881255,” katanya. – Info X

January 11, 2026

Info X Reporters

Kerjasama politik selepas pilihan raya langkah strategik bentuk kerajaan stabil – Joniston

KIULU: Kerjasama politik yang dibentuk selepas pilihan raya dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan kerajaan mempunyai keupayaan mentadbir dengan stabil dan melaksanakan perancangan pembangunan yang sudah dirangka. Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata pendekatan itu sejajar kedinamikan politik selepas pilihan raya yang perlu diurus dengan kematangan dan berpaksikan kepentingan rakyat serta kestabilan negeri bagi memastikan pentadbiran kerajaan dapat berfungsi secara berkesan. “Keutamaan selepas pilihan raya ialah memastikan kestabilan pentadbiran. Tanpa asas yang stabil, pelaksanaan dasar dan pembangunan tidak dapat bergerak seperti yang dirancang,” katanya Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata demikian pada Majlis Kesyukuran Perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2026 di Dewan Terbuka Pekan Kiulu, pada Ahad. Majlis itu dihadiri lebih 1,000 pemimpin masyarakat dan wakil pelbagai agama dan denominasi. Joniston berkata, GRS kekal dengan pendirian dan hala tuju sendiri, namun bersikap pragmatik dalam membuat keputusan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negeri. “Pendekatan ini berpaksikan keperluan memastikan kerajaan berfungsi, perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar dan isu-isu setempat dapat ditangani secara berperingkat,” katanya. Beliau berkata, kematangan politik perlu diterjemahkan melalui keupayaan mengurus perbezaan secara konstruktif, tanpa menjejaskan kepentingan bersama atau kestabilan sosial. ADUN Kiulu itu menegaskan toleransi kaum dan agama yang diamalkan di Sabah menjadi asas penting kepada keharmonian serta kestabilan jangka panjang negeri. “Keupayaan pemimpin dan masyarakat untuk duduk bersama merentasi perbezaan kepercayaan, termasuk dalam sambutan perayaan keagamaan, mencerminkan kekuatan dan kematangan kita sebagai sebuah negeri,” katanya. Jelasnya, kestabilan politik memberi kesan langsung kepada pembangunan di kawasan seperti Kiulu, termasuk kesinambungan projek, penyaluran peruntukan serta penyelesaian isu rakyat secara lebih tersusun. “Rakyat mahu melihat hasil yang nyata dalam kehidupan seharian dan itu hanya dapat dicapai melalui pentadbiran yang stabil serta kerjasama semua pihak,” katanya. Joniston menyeru rakyat Kiulu agar terus memelihara semangat kesatuan dan tidak membiarkan perbezaan pandangan atau kepercayaan memecahkan keharmonian komuniti. – Info X

January 11, 2026

Info X Reporters

OP AGAS: Sindiket bunga ganja antarabangsa RM1.9 juta tumpas di Kelantan

KOTA BHARU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis bunga ganja bernilai hampir RM1.92 juta hasil pelaksanaan Op Agas menerusi risikan strategik selama hampir empat bulan. Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pada 3 Januari lalu, JSJN melancarkan dua siri serbuan terancang di sekitar Kuala Krai, Kelantan, yang turut membabitkan aksi kejar-mengejar berisiko tinggi sebelum tiga lelaki tempatan berusia 32 hingga 50 tahun ditahan. Menurutnya, serbuan pertama di Jalan Kota Bharu – Gua Musang membawa kepada penahanan seorang suspek selepas perlanggaran kenderaan, dengan rampasan 320 bungkusan plastik lutsinar berisi bunga ganja seberat kira-kira 52 kilogram. “Serbuan susulan di Taman Sri Guchil pula menyaksikan dua lagi suspek dicekup, dipercayai terlibat secara langsung dalam sindiket sama. “Jumlah keseluruhan dadah dirampas dianggarkan bernilai RM1.82 juta, manakala nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM1.92 juta. “Dadah ini berpotensi merosakkan 104,000 orang, termasuk generasi muda, sekiranya terlepas ke pasaran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini. Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak September 2024 dengan modus operandi membawa bekalan dari kawasan sempadan sebelum dijadikan transit dan diedarkan ke pasaran tempatan serta antarabangsa. “Dalang utama disyaki seorang wanita yang beroperasi dari negara jiran dan usaha mengesannya sedang dipergiat melalui kerjasama pihak berkuasa luar negara. “Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tindakan pelucuthakan harta diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya. Hussein menegaskan JSJN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak terbabit pengedaran dadah kerana jenayah itu mengancam keselamatan rakyat dan maruah negara. Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui Hotline JSJN 012-208 7222. – Info X

January 11, 2026

Info X Reporters

Lelaki hilang di Bukit Padang ditemui selamat di pekan Tuaran

KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti riadah di Taman Tun Fuad Stephen, Bukit Padang, di sini, berakhir apabila mangsa ditemui selamat di pekan Tuaran, kira-kira 40 kilometer dari sini, petang tadi. Mangsa, Adwin Janson, 20, sebelum itu dilaporkan hilang selepas terpisah daripada keluarganya kira-kira jam 6 petang, Sabtu lalu, selepas bergerak sendiri di laluan joging ketika aktiviti riadah keluarga berkenaan. Susulan laporan kehilangan, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bersama Unit K9, dengan bantuan kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta orang awam, menjalankan operasi SAR di kawasan berkenaan. Operasi pencarian dibahagikan kepada dua kumpulan meliputi laluan trek belakang SM St Francis Convent dan trek dalam kawasan Taman Tun Fuad Stephen. Menurut pihak bomba, pada jam 2.14 petang, keluarga mangsa memaklumkan menerima panggilan video daripada orang awam yang memaklumkan mangsa telah ditemui di pekan Tuaran dalam keadaan selamat. Keluarga kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak bomba dan polis sebelum bergerak ke lokasi bagi menjemput mangsa. Selepas memastikan mangsa berada dalam keadaan baik dan selamat, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.25 petang. Kes sebelum ini turut dimaklumkan kepada polis selepas laporan dibuat oleh bapa mangsa. – Info X

January 11, 2026

Info X Reporters

Isu kesesakan Pelabuhan Sepanggar akan dibentang di Kabinet – Ewon

KOTA KINABALU: Isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar akan dibentangkan ke Kabinet negeri bagi mencari penyelesaian interim terhadap masalah itu yang dibimbangi menjejaskan aktiviti ekonomi negeri. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata perkara itu akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat termasuk cadangan penyelesaian interim yang perlu dilaksanakan segera. Katanya, penyelesaian interim penting kerana penyelesaian jangka masa panjang seperti projek peluasan Pelabuhan Sepanggar yang sedang dilaksanakan mengambil masa yang lama untuk disiapkan. “Susulan aduan mengenai isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar, hari ini saya menaiki sebuah prime mover dari depo di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) ke Pelabuhan Sepanggar untuk mengambil kontena yang akan dihantar kepada pelanggan, bagi meneliti sendiri aduan tersebut,” katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di Pelabuhan Sepanggar, di sini, hari ini. Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah, berkata hasil tinjauannya mendapati aduan kesesakan yang disuarakan adalah berasas. Katanya, beberapa faktor turut dikenal pasti menyumbang kepada masalah itu, termasuk aspek kecekapan operasi yang perlu ditangani segera. “Saya dapati aduan yang disampaikan sememangnya berasas. Banyak faktor menyumbang kepada kesesakan di Pelabuhan Sepanggar, namun isu kecekapan mesti ditangani dan diperbaiki,” katanya. Beliau menegaskan isu kesesakan Pelabuhan Sepanggar kini menjadi keutamaan nombor satu di MINDET kerana pelabuhan berkenaan adalah pembolehubah utama kepada keseluruhan ekosistem perindustrian dan keusahawanan di Sabah. “Kesesakan di pelabuhan ini memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan, kos logistik serta daya saing industri dan usahawan di negeri ini. Oleh itu, ia menjadi keutamaan nombor satu saya di MINDET untuk diselesaikan,” katanya. Sehubungan itu, Ewon memaklumkan beberapa perbincangan akan diadakan bersama pihak berkepentingan berkaitan sebelum kertas Kabinet dibentangkan bagi mendapatkan kelulusan penyelesaian interim. Beliau turut memberi jaminan kerajaan Sabah komited untuk memastikan kelancaran operasi pelabuhan demi menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah secara mampan. – Info X

January 11, 2026

Info X Reporters

Dua remaja ditemui tidak bernyawa dalam sebuah kereta

SANDAKAN: Seorang pelajar perempuan yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta bersama seorang lelaki dipercayai kekasihnya di kawasan parkir Bandar Sejati Walk, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, pelajar perempuan berusia 17 tahun ditemukan bersama lelaki berusia 18 tahun di bahagian penumpang belakang sebuah kenderaan. Kedua-duanya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri. Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K Ramasamy berkata, pihaknya menerima maklumat awam sebelum sepasukan anggota polis bersama unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bergegas ke lokasi kejadian. Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati semua tingkap kereta tertutup rapat dan berkunci, manakala barang-barang berharga milik mangsa masih berada di dalam kenderaan. “Hasil siasatan awal mendapati mangsa lelaki keluar dari rumahnya untuk bertemu pelajar itu pada Jumaat lalu sebelum kedua-duanya gagal dihubungi. “Bapa mangsa kemudian menemui kereta miliknya di tempat letak kereta berkenaan dan menjumpai kedua-dua mangsa selepas membuka pintu menggunakan kunci pendua,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat. “Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk proses bedah siasat. “Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – Info X