Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 30, 2026

BERNAMA

PM umum enam ikhtiar segera tangani kos sara hidup rakyat

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan enam ikhtiar segera untuk rakyat merangkumi subsidi bahan api, penyelenggaraan sekolah, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan kesihatan, e-Invois dan pembiayaan mikro yang akan berkuat kuasa 1 Sept ini. Beliau berkata kesemua ikhtiar itu merupakan langkah kerajaan menangani kebimbangan rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup dan tekanan kehidupan seharian. “Kendatipun pelbagai ikhtiar telah dilaksanakan, saya, Timbalan Perdana Menteri, jemaah menteri tidak pernah menganggap bahawa kita sudah selesai semua masalah dan ini bukan tirai untuk menutup keresahan rakyat. Saya faham rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup. “Maka, di ambang kemerdekaan ini, saya terpaksalah berikhtiar, mencari jalan, mengambil langkah mengumumkan sesuatu yang boleh melegakan sementara … untuk anak-anak sekolah, anak muda, suri rumah dan ibu-ibu,” kata Anwar ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, barisan jemaah menteri dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. Menerusi ikhtiar pertama, Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, membolehkan lebih 16 juta pengguna menikmati RON95 bersubsidi. Pada masa sama, beliau berkata lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak akan menikmati Budi Diesel hingga 400 liter sebulan. Beliau turut mengumumkan peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi 2027 akan ditingkatkan sebanyak 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion, meliputi semua aliran termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas. Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau juga mengarahkan Kementerian Pendidikan mengatur gerak kerja pada setiap daerah bagi meneliti permohonan pembaikan prasarana supaya kerja penyelenggaraan dapat dimulakan seawal Januari 2027. Ikhtiar ketiga, melibatkan Program AI untuk Rakyat yang dibuka kepada anak muda Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun, dengan 100,000 belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi AI secara percuma selama tiga bulan, termasuk IlmuChat, Gemini Enterprise, Wonderclip dan MuleRun. Bagi ikhtiar keempat, Perdana Menteri berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menyediakan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam, termasuk pelaksanaan sistem Rekod Kesihatan Elektronik (EMR) serta ketersambungan Internet di 150 hospital dan lebih 2,000 klinik kesihatan awam. “Kerajaan juga bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun, sekali gus mengecualikan perniagaan dengan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta daripada kewajipan melaksanakannya,” kata beliau. Selain itu, kemudahan pembiayaan mikro akan ditambah sebanyak RM1 bilion menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion. Anwar berkata kerajaan juga akan memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI RM200 juta untuk membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta ibu yang berniaga dari rumah. “Inilah semangat perpaduan kita. Mudah-mudahan keenam-enam ikhtiar ini dapat dilaksanakan kerana ia bertitik tolak daripada satu prinsip yang jelas iaitu pertumbuhan ekonomi mesti dikembalikan kepada rakyat,” kata Anwar. Sementara itu, menerusi hantaran dalam Facebook, Anwar berkata pengumuman lain akan disampaikan sewaktu sambutan Hari Malaysia di Sarawak, serta menerusi pembentangan Belanjawan 2027. “Semoga ikhtiar ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban rakyat serta memberikan makna yang nyata kepada sambutan kemerdekaan tahun ini,” kata beliau. Perdana Menteri berkata beliau dan seluruh pasukan Kerajaan MADANI akan terus mendengar suara serta keresahan rakyat dan terus bekerja keras untuk memastikan setiap kejayaan negara diterjemahkan kepada limpahan manfaat yang dirasai rakyat serta kehidupan lebih sejahtera dan bermaruah.– BERNAMA

August 30, 2026

Info X Reporters

Lebih 200 meriahkan Sunset Briskwalk KupiKupi FM

KOTA KINABALU: Lebih 200 peserta pelbagai peringkat usia memeriahkan Sunset Briskwalk Bersama KupiKupi FM di Tanjung Lipat, di sini, hari ini. Berlatarbelakangkan panorama matahari terbenam, peserta berjalan santai bersama keluarga dan rakan sambil mengibarkan bendera Sabah bagi menyemarakkan sambutan Hari Sabah 2026. Pengurus Projeknya, Ronald Raynel Florence berkata, acara bertemakan ‘Jom Sihat Bersama!’ itu dianjurkan KupiKupi FM secara percuma dan terbuka kepada orang ramai. Menurutnya, program berkenaan menggabungkan elemen kesihatan, komuniti, patriotisme dan gaya hidup aktif sempena sambutan Hari Sabah. “Program ini bertujuan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif, selain meluangkan masa berkualiti bersama keluarga serta rakan. “Ia juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan KupiKupi FM dengan komuniti Sabah menerusi aktiviti santai dan menyeronokkan,” katanya. Program bermula dengan sesi memanaskan badan sebelum peserta memulakan briskwalk di sekitar Tanjung Lipat. Kemeriahan diteruskan dengan sesi zumba, aktiviti santai dan sesi bergambar bersama warga kerja serta penyampai KupiKupi FM. Ketua Pegawai Eksekutif KupiKupi FM, Lester Calvin Miol turut turun padang memeriahkan aktiviti berkenaan bersama penyampai Felix Agus, Dee Dee dan Boy Vanz.- Info X

August 30, 2026

BERNAMA

Peruntukan penyelenggaraan sekolah naik 50 peratus RM1.5 bilion pada 2027 – Anwar

PUTRAJAYA, 30 Ogos (Bernama) — Kerajaan akan meningkatkan peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah sebanyak 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion pada 2027, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berkata peruntukan tambahan itu akan meliputi semua aliran sekolah keutamaan termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas. “Semua akan dijamin untuk diberikan peruntukan tambahan,” kata beliau ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini. Anwar berkata Kementerian Pendidikan (KPM) juga akan mengatur gerak kerja turun ke setiap daerah mulai bulan depan bagi meneliti setiap permohonan pembaikan prasarana sekolah. Beliau berkata langkah itu bagi memastikan keperluan pembaikan prasarana dapat dikenal pasti lebih awal dan tidak tertangguh sehingga tahun depan. Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan Program AI Untuk Rakyat akan dibuka mulai 1 Sept kepada 100,000 belia Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun. Belia yang melengkapkan modul ditetapkan, akan menerima langganan aplikasi kecerdasan buatan (AI) terkemuka secara percuma selama tiga bulan. “Ia merangkumi ilmu chat AI tempatan yang disahkan…Gemini Enterprise dari Amerika Syarikat serta Wonder Clip dan Mul Run dari negara Cina, semua akan dapat kemudahan,” kata beliau. Bagi sektor kesihatan awam, Perdana Menteri berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menyediakan peruntukan RM1 bilion, bagi memperkukuh kecekapan digital termasuk pelaksanaan sistem rekod perubatan elektronik serta ketersambungan Internet di 150 hospital dan lebih 2,000 klinik kesihatan awam. Beliau berkata langkah itu bertujuan mempercepat proses rawatan, sekali gus mengurangkan tempoh menunggu pesakit di hospital dan klinik kesihatan awam. Anwar berkata kerajaan turut bersetuju menaikkan ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois sekali lagi daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun, sekali gus mengecualikan perniagaan dengan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta daripada kewajipan melaksanakannya. Anwar turut mengumumkan beberapa ikhtiar segera untuk rakyat, termasuk penambahan kemudahan pembiayaan mikro sebanyak RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion. Kerajaan juga akan memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI berjumlah RM200 juta bagi membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta ibu yang menjalankan perniagaan dari rumah. Anwar berkata pengumuman langkah berkenaan dibuat mengambil kira tekanan kos sara hidup yang masih dihadapi rakyat, serta tekanan kos terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) selain keperluan berkaitan prasarana sekolah dan perkhidmatan kesihatan. Beliau berkata meskipun Belanjawan 2027 akan dibentangkan dalam masa terdekat, beberapa langkah perlu dilaksanakan lebih awal, kerana tekanan kos sara hidup dan keperluan perniagaan memerlukan tindakan segera. “Maka di ambang kemerdekaan ini saya terpaksalah berikhtiar mencari jalan mengambil langkah dan mengumumkan sesuatu yang boleh melegakan sementara tuan, anak sekolah, anak muda, suri rumah dan ibu-ibu dengan pengumuman-pengumuman (hari ini),” kata Anwar. Perdana Menteri hari ini mengumumkan enam ikhtiar segera untuk rakyat merangkumi pelajar, golongan muda serta peniaga kecil dan sederhana, yang kesemuanya berkuat kuasa mulai 1 Sept 2026. Enam ikhtiar segera tersebut merangkumi mengembalikan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan, peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi tahun 2027 akan ditingkatkan 50 peratus, daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion, program AI untuk Rakyat terbuka kepada anak muda Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun. Selain itu, ikhtiar segera itu turut mencakupi MCMC yang akan menyediakan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam meliputi pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik dan ketersambungan Internet di 150 hospital serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam, serta menaikkan ambang pengecualian e-Invois sekali lagi daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun. Kerajaan juga akan menambah kemudahan pembiayaan mikro RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion serta memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI RM200 juta.– BERNAMA

August 30, 2026

Info X Reporters

Jangan biarkan politik jadi alat balas dendam, sebar tuduhan jahat atau cetus perpecahan – Tun Musa

KOTA KINABALU: Perpaduan dan keharmonian rakyat menjadi antara kekuatan terbesar Sabah di sebalik kepelbagaian etnik, agama, budaya dan tradisi yang ada di negeri ini. Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, berkata sejak turun-temurun, rakyat Sabah hidup bersama dalam suasana saling menghormati dan memahami. Katanya, keistimewaan itu adalah sesuatu yang amat berharga bagi Sabah dan wajib dipertahankan tanpa membiarkan sebarang ancaman daripada menjejaskannya. “Kita tidak boleh sesekali membiarkan percaturan politik yang keterlaluan, dendam politik, perasaan iri hati atau kepentingan peribadi memecah-belahkan rakyat serta menghakis keamanan dan keharmonian yang telah sekian lama kita bina dan pelihara. “Perbezaan pandangan politik merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat, namun ia tidak seharusnya bertukar menjadi kebencian, permusuhan atau usaha untuk melaga-lagakan rakyat Malaysia antara satu sama lain. “Politik pada asasnya haruslah berteraskan khidmat kepada rakyat dan usaha membina masa depan yang lebih baik. Politik tidak seharusnya dijadikan alat untuk membalas dendam peribadi, menyebarkan tuduhan berniat jahat atau mencetuskan perpecahan demi kepentingan politik,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Sabah tahun ini. Tun Musa berkata, dalam era media sosial sekarang, semua perlu semakin berwaspada terhadap maklumat palsu, fitnah serta kandungan yang sengaja direka untuk mencetuskan kemarahan dan kebencian. “Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, supaya sentiasa menggunakan kebijaksanaan dan bertindak secara bertanggungjawab dalam menilai apa yang dibaca, dipercayai dan dikongsikan. “Kebebasan bersuara haruslah dilaksanakan secara bertanggungjawab. Kebebasan tidak boleh dijadikan alasan untuk menggugat keharmonian, menyemarakkan kebencian atau melemahkan institusi serta nilai-nilai yang melindungi demokrasi dan kedaulatan negara kita,” katanya. Jelasnya, bagi Sabah, tumpuan harus kekal kepada pembangunan dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat. “Sempena memperingati Hari Sabah, marilah kita memperbaharui tekad untuk membina sebuah negeri yang semakin makmur, progresif dan mampu menyediakan peluang yang lebih luas kepada generasi akan datang. “Kepentingan rakyat mesti sentiasa menjadi teras kepada setiap usaha pembangunan. Pada masa yang sama, kestabilan politik kekal penting bagi masa depan Sabah. “Kestabilan meningkatkan keyakinan pelabur, menggalakkan pelaburan asing dan domestik, mewujudkan peluang pekerjaan serta menarik bakat dan kepakaran yang diperlukan untuk mengembangkan ekonomi negeri,” katanya. Katanya, kebebasan dan hak menentukan masa depan sendiri bukan sekadar lembaran penting dalam sejarah, malah ia turut membawa bersama suatu tanggungjawab yang besar. “Kita bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara, memelihara keamanan, memperkukuh perpaduan serta memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah Sabah dan Malaysia yang lebih kukuh, lebih makmur dan lebih harmoni daripada apa yang kita nikmati pada hari ini,” katanya. Tun Musa turut memberikan penghormatan kepada pahlawan negara yang mengorbankan nyawa demi mempertahankan tanah air, dan semua yang berjuang serta berkorban demi kebebasan dan keamanan. “Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh anggota pasukan keselamatan negara yang terus berwaspada dalam melindungi sempadan negara daripada sebarang pencerobohan serta mempertahankan keselamatan, keutuhan wilayah dan kedaulatan negara kita. “Marilah kita menghargai segala yang kita miliki, menolak segala usaha yang mahu memecah-belahkan kita dan terus berganding bahu tanpa mengira kaum, agama, budaya mahupun fahaman politik demi kemajuan Sabah dan kemakmuran Malaysia,” katanya. Terdahulu, Tun Musa mengajak rakyat Sabah menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Sabah dengan rasa bangga dan penuh kesyukuran serta kesedaran yang diperbaharui mengenai betapa berharganya keamanan, kebebasan dan kedaulatan yang dinikmati. “Bagi rakyat Sabah, tanggal 31 Ogos mempunyai makna yang amat istimewa. Ketika kita menyambut Hari Kebangsaan bersama seluruh rakyat Malaysia, kita turut memperingati Hari Sabah, yang menandakan satu lembaran penting dalam sejarah Sabah serta mengingatkan kita akan perjalanan generasi terdahulu dalam mencorakkan masa depan negeri ini dan kedudukannya dalam Malaysia. “Kedua-dua sambutan ini memberi kita peluang bukan sahaja untuk mengimbas kembali sejarah, tetapi juga untuk merenungkan tanggungjawab yang kita pikul dalam memelihara keamanan, perpaduan dan kemakmuran yang telah dibina dengan penuh usaha dan pengorbanan oleh generasi sebelum kita,” katanya. – Info X

August 30, 2026

BERNAMA

Kelayakan asas BUDI95 dikembalikan kepada 300 liter sebulan – Anwar

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan berita gembira itu berkata keputusan tersebut akan memanfaatkan lebih 16 juta pengguna menikmati RON95 bersubsidi. “Manakala, lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak akan menerima Budi Diesel sehingga 400 liter sebulan,” kata Anwar ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini. Pada 26 Mac lepas, kerajaan mengumumkan pelaksanaan penyelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat, dengan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter. Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pengembalian kelayakan asas BUDI95 dan BUDI Diesel akan berkuat kuasa 1 Sept ini, sebagai satu ikhtiar bagi meringankan kos sara hidup rakyat. “Ada kebimbangan tentang nasib M40…(ada) mengatakan kita terus memberi penekanan kepada B40. Memang sukar kerana Kerajaan MADANI ini kita harus membela semua,” kata Perdana Menteri. Beliau berkata subsidi petrol dan diesel merupakan antara bentuk bantuan yang memberi manfaat kepada hampir semua golongan termasuk M40 dan T20, dengan kos yang ditanggung kerajaan mencecah RM40 bilion. Anwar berkata keputusan mengembalikan kelayakan asas BUDI95 dan BUDI Diesel itu dibuat selepas mengambil kira tekanan kos sara hidup dan tidak menunggu sehingga pembentangan Belanjawan 2027. “Tekanan kos sara hidup tak tunggu bulan Oktober, perniagaan perlu berkembang sekarang tak boleh tunggu bulan Oktober,” kata beliau. Perdana Menteri berkata kerajaan mengakui langkah yang dilaksanakan masih belum mencukupi untuk mengurangkan sepenuhnya kesengsaraan rakyat akibat kos sara hidup, justeru langkah berterusan perlu terus diambil. “Pertumbuhan ekonomi negara mesti dikembalikan kepada rakyat,” kata Anwar.– BERNAMA

August 30, 2026

Info X Reporters

Hari Kebangsaan dan Hari Sabah: Terus pupuk semangat patriotisme, perpaduan – KM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengajak rakyat terutama generasi muda supaya terus memupuk semangat patriotisme, mengekalkan perpaduan dan menjaga keharmonian kepelbagaian bangsa serta agama di negeri ini. Dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah tahun ini, beliau berkata perpaduan kaum adalah kunci kekuatan rakyat Sabah yang perlu terus dipertahankan, terutama pada era kemodenan masa kini. Katanya, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang diraikan bersama pada 31 Ogos bukan sekadar untuk diingati tetapi perlu dihayati secara mendalam bagi memupuk semangat patriotik serta menghargai pengorbanan pejuang tanah air yang menuntut kemerdekaan. “Saya percaya dua sambutan penting ini mampu menjadi titik penyatuan seluruh rakyat Malaysia di Sabah yang berbilang bangsa dan agama,” katanya. Hajiji berkata tema Hari Kebangsaan tahun ini, Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina sebuah negara yang maju, inklusif, dan harmoni, di samping memastikan nikmat kemakmuran negara dikongsi secara adil oleh seluruh rakyat. Katanya, Hari Sabah yang bertemakan Sabah Tanah Airku pula mencerminkan rasa cinta, bangga dan kesetiaan rakyat kepada negeri ini. “Tema ini juga membawa mesej bahawa pentingnya semangat kebersamaan dan rasa kekitaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum bagi memelihara keharmonian, yang akan menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan negeri,” katanya. Ketua Menteri turut menyeru kepada seluruh rakyat di negeri ini agar mengibar Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah di rumah, pejabat, kenderaan mahupun premis perniagaan masing-masing, sebagai usaha memupuk semangat patriotik dan cintakan negara. “Marilah kita terus bersatu menolak anasir yang cuba memecah-belahkan keharmonian rakyat di negeri ini. “Semoga sambutan ini menjadi wadah untuk kita terus memperkukuh jati diri, memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian demi kemajuan negeri ini,” katanya. – Info X

August 30, 2026

Info X Reporters

Numbak diisytihar kawasan bencana, dua PPS dibuka

KOTA KINABALU: Kawasan kebakaran di Kampung Lok Buta, Numbak, di sini, diisytiharkan sebagai kawasan bencana susulan kebakaran besar yang memusnahkan ratusan rumah, awal pagi hari ini. Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut dibuka di Dewan Kampung Likas dan Dewan Damai bagi menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal. Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, bancian awal mendapati sebanyak 202 rumah terjejas dalam kebakaran itu. “DBKK sudah mengisytiharkan kawasan ini sebagai kawasan bencana, manakala dua PPS dibuka di Dewan Kampung Likas dan Dewan Damai. “Kita berharap semua mangsa mendaftarkan diri di PPS bagi memudahkan proses pengesahan serta penyaluran bantuan kerajaan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan terjejas akibat kebakaran di Numbak, Sepanggar, hari ini. Mustapha berkata, kebajikan pelajar yang menjadi mangsa turut diberi perhatian, terutama mereka yang sedang membuat persiapan untuk mendaftar ke universiti, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta institusi pengajian lain. Katanya, perkara itu akan dibawa kepada Kementerian Pendidikan bagi memastikan pendidikan mereka tidak terjejas akibat bencana berkenaan. Menurutnya, DBKK bersama agensi berkaitan juga perlu mengadakan perbincangan bagi menentukan tindakan susulan dan masa depan kawasan terjejas. Beliau turut mencadangkan perkara itu dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Induk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan dihadiri Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah. “Keperluan mangsa serta masa depan kawasan terbabit perlu diteliti bagi membolehkan tindakan sewajarnya dilaksanakan,” katanya. Terdahulu, kebakaran yang berlaku awal pagi tadi menjejaskan 202 rumah atas air di Kampung Lok Buta, Numbak. Tiga kanak-kanak yang ditemukan rentung ialah dua beradik, Mohd Azrul Abdullah, 6, dan Nana Abdullah, 4, serta sepupu mereka, Siti Norfarahdila Mohd Tazea, 8. – Info X

August 30, 2026

Info X Reporters

Dua beradik sempat menjamah durian, sate sebelum rentung dalam kebakaran

KOTA KINABALU: “Semalam saya belikan mereka durian dan sate sebab itu makanan kegemaran mereka. Saya sangat sedih, tetapi reda dengan apa yang berlaku.” Demikian luahan Nurwati Bali, 34, ibu kepada dua beradik, Mohd Azrul Abdullah, 6, dan Nana Abdullah, 4, yang ditemukan rentung dalam kebakaran rumah atas air di Numbak, di sini, awal pagi hari ini. Turut terkorban ialah sepupu mereka, Siti Norfarahdila Mohd Tazea, 8, yang berada bersama dua beradik itu ketika kebakaran berlaku. Nurwati berkata, sebelum kejadian, dia bersama ahli keluarga lain sedang membuat persiapan bagi majlis perkahwinan sepupunya berhampiran sebuah dewan. Menurutnya, Mohd Azrul dan Nana pada mulanya turut berada di dewan berkenaan, namun meminta pulang selepas keletihan. “Mereka kemudian pulang ke rumah saudara yang terletak tidak jauh dari dewan. “Ketika kebakaran berlaku, saya bersama ahli keluarga cuba menuju ke rumah, tetapi laluan sudah terputus akibat api yang marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. Nurwati berkata, ketika itu dia hanya mampu berharap kedua-dua anaknya selamat kerana mereka berada di rumah berkenaan bersama Siti Norfarahdila dan datuk mereka. “Selepas api berjaya dikawal bomba, saya dan suami bergegas mencari mereka, namun tidak ditemukan. “Kami kemudian memaklumkan kehilangan mereka kepada pasukan bomba,” katanya. Sementara itu, bapa Siti Norfarahdila, Mohd Tazea Sandiku, 43, berkata, dia sedang bekerja di Kota Kinabalu ketika dimaklumkan mengenai kebakaran berkenaan. “Sebaik menerima panggilan daripada keluarga, saya segera pulang. “Apabila tiba, saya dimaklumkan anak saya turut terkorban sebelum terus ke lokasi mayatnya ditemukan,” katanya. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, polis bersama pasukan bomba menjalankan pemeriksaan dan pencarian di kawasan kebakaran selepas menerima laporan mengenai mangsa yang hilang. Katanya, tiga mayat kanak-kanak ditemukan di lokasi dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk tindakan lanjut termasuk proses bedah siasat serta pengesahan identiti. “Pihak polis masih menjalankan siasatan dan menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya. Terdahulu, kebakaran awal pagi itu memusnahkan kira-kira 200 rumah atas air merangkumi Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama, manakala tiga kanak-kanak ditemukan rentung. – Info X