Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 26, 2026

Info X Reporters

CIS catat prestasi kukuh, agih dividen RM40 juta

KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) mencatat prestasi kewangan yang kukuh berdasarkan agihan dividen berjumlah RM40 juta kepada pemegang saham bagi tahun kewangan 2025. CIS dalam satu kenyataan, berkata pembayaran dividen itu mencerminkan prestasi kewangan positif yang dicapai syarikat, selain membuktikan komitmen syarikat untuk mengekalkan kecemerlangan operasi, pertumbuhan mampan dan tadbir urus korporat yang baik. Dividen berkenaan diserahkan Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof, selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah syarikat yang berlangsung di Hyatt Regency Hotel, di sini, pada Rabu. Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim, bersama ahli-ahli Lembaga Pengarah turut menyaksikan penyerahan dividen kepada pemegang saham syarikat. CIS berkata, daripada keseluruhan agihan RM40 juta itu, Sabah Economic Development Corporation (SEDCO) menerima RM19.9 juta, diikuti Sabah Ports Authority (SPA) RM7.9 juta, manakala Tasek Corporation Berhad menerima RM12 juta. Bagi tahun kewangan 2025, katanya CIS merekodkan hasil jualan sebanyak RM541 juta, dengan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM81 juta. Prestasi itu memperlihatkan keupayaan CIS mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dalam menghadapi cabaran industri, di samping terus memberikan nilai dan pulangan kepada pemegang saham. Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan CIS turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan operasi serta meneruskan strategi pertumbuhan yang mampan. CIS yakin asas kewangan yang kukuh dan hala tuju strategik yang jelas akan terus menyokong pertumbuhan syarikat dalam jangka panjang, di samping meningkatkan sumbangan berterusan kepada pembangunan ekonomi Sabah. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk AR James Wong Kein Peng; wakil Tasek Corporation Berhad, Stephen Ho Kiam Kong dan Chen Fun Tee; Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Dollyn Aloysius; Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof dan ahli Lembaga Pengarah CIS, Datuk Umar Sarim Saidin. – Info X

August 26, 2026

Info X Reporters

Pembangunan semula Menggatal: Peniaga tuntut ketelusan DBKK

KOTA KINABALU: Pemilik kedai, penyewa dan pengusaha perniagaan di Bandar Baru Menggatal mendesak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memberi penjelasan menyeluruh berhubung proses kelulusan dan perancangan cadangan pembangunan semula di kawasan berkenaan. Desakan itu diketuai jurucakap kumpulan berkenaan, Michael Wong, dan diwakili peguam, Chong Kian Meng, menerusi penyerahan perwakilan rasmi kepada DBKK. Mereka menegaskan tidak membantah sebarang pembangunan yang sah, namun mahu projek yang berpotensi memberi kesan kepada tempat letak kereta, laluan pejalan kaki, jalan raya, sistem perparitan dan infrastruktur penting lain dinilai secara wajar serta dilaksanakan secara telus. Kumpulan berkenaan turut meminta DBKK mendedahkan asas undang-undang dan perancangan bagi kelulusan yang sudah diberikan, termasuk agensi kerajaan yang terbabit, status kelulusan, penilaian teknikal serta syarat yang dikenakan. Selain itu, mereka mahu dokumen berkaitan projek disediakan untuk semakan, termasuk pelan tapak dan susun atur, pelan pembangunan diluluskan, cadangan perubahan tempat letak kereta dan kawasan pejalan kaki, penilaian trafik, kajian risiko banjir dan perparitan serta pelan utiliti. Mereka turut membangkitkan kebimbangan terhadap kemungkinan kesan pembangunan terhadap operasi perniagaan sedia ada, khususnya dari segi akses pelanggan, penghantaran barangan, pergerakan pekerja dan kelancaran operasi. Menurut kumpulan itu, kerja pembinaan juga berpotensi menyebabkan gangguan bunyi, debu, getaran dan kesesakan lalu lintas yang perlu dinilai serta disertakan langkah mitigasi bersesuaian sebelum kerja utama dimulakan. Bagi memastikan kesan pembangunan dinilai secara objektif, mereka turut mendesak supaya pasukan profesional pelbagai disiplin yang bebas dilantik untuk menjalankan penilaian menyeluruh. Penilaian itu antaranya membabitkan kapasiti sistem perparitan dan risiko banjir, aliran trafik, kapasiti jalan raya, kecukupan tempat letak kereta, keselamatan pejalan kaki, akses kenderaan kecemasan serta risiko struktur terhadap premis sedia ada. Ia juga perlu menilai potensi kesan kerja penanaman cerucuk dan getaran pembinaan, infrastruktur utiliti, alam sekitar serta kesan keseluruhan projek terhadap kelangsungan perniagaan dan kehidupan komuniti setempat. Kumpulan berkenaan turut meminta satu sesi perundingan rasmi diadakan membabitkan DBKK, pemaju, pemilik kedai, penyewa, pengusaha perniagaan terjejas dan pakar teknikal berkaitan. Mereka berkata sesi itu penting bagi membolehkan pihak terjejas meneliti pelan pembangunan, mendapatkan penjelasan, mengemukakan maklumat teknikal serta menyuarakan kebimbangan berhubung potensi kesan dan langkah mitigasi. Mereka turut meminta minit mesyuarat rasmi direkodkan dan diedarkan kepada semua pemegang taruh bagi menjamin ketelusan serta akauntabiliti. Sementara menunggu pendedahan maklumat, penilaian teknikal bebas dan sesi perundingan, kumpulan itu memohon DBKK menangguhkan sebarang kerja yang boleh mengubah secara kekal tempat letak kereta, laluan pejalan kaki, jalan raya, sistem perparitan atau infrastruktur awam utama. Wong menegaskan permohonan itu bukan penolakan terhadap pembangunan. “Kami tidak membantah pembangunan. Kami mahukan ketelusan, penilaian yang wajar dan jaminan bahawa hak serta mata pencarian komuniti Menggatal tidak terjejas,” katanya. Kumpulan itu kini menunggu maklum balas bertulis DBKK mengenai status cadangan pembangunan semula, asas undang-undang dan perancangan projek, senarai kelulusan, agensi kerajaan terbabit serta penilaian teknikal yang sudah dijalankan. Mereka turut mahu DBKK menjelaskan cadangan langkah mitigasi dan keputusan sama ada penilaian profesional bebas serta sesi perundingan rasmi bersama pemegang taruh akan dianjurkan. Pemilik kedai, penyewa dan pengusaha perniagaan berharap DBKK serta pihak berkuasa berkaitan dapat berinteraksi secara konstruktif dengan komuniti terjejas bagi memastikan pembangunan semula Bandar Baru Menggatal dilaksanakan secara telus, berasaskan penilaian teknikal kukuh dan mengutamakan keselamatan awam serta kepentingan komuniti setempat.-Info X

August 26, 2026

Info X Reporters

SPRM bentang lapan syor perbaiki tatakelola projek pembinaan Sabah

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mengemukakan lapan syor penambahbaikan tatakelola bagi memperkemas pengurusan projek pembinaan di negeri ini. Syor itu membabitkan fungsi dan bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Jabatan Bendahari Negeri Sabah serta Kementerian Kewangan Negeri Sabah. Penyiasatan tatakelola berkenaan memberi tumpuan terhadap pengurusan Projek Pembinaan Jalan Dua Hala Lintasan Libaran dan menaik taraf Jalan Gum-Gum Kecil di Sandakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Antara penambahbaikan dicadangkan ialah mewujudkan garis panduan lengkap berkaitan proses pembayaran kontrak kerja dan pembekalan serta menaik taraf dan mengintegrasikan sistem pengurusan tuntutan sedia ada. SPRM Sabah turut mencadangkan kod bayaran khusus bagi Akaun Amanah JKR Sabah dan mewujudkan Akaun Amanah di bawah jabatan berkenaan. Syor lain termasuk mewujudkan Pekeliling Pentadbiran Kontrak, menambah baik penggunaan borang standard JKR Sabah serta menyediakan garis panduan khusus berkaitan pengurusan Akaun Amanah. Selain itu, SPRM mencadangkan pewujudan pekeliling berkaitan penubuhan dan tanggungjawab Jawatankuasa Contract Coordinator Panel (CCP), tatacara pengurusan projek sakit serta pelantikan kontraktor penyiap. Kesemua syor itu dibentangkan Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, di Kementerian Kewangan Negeri Sabah di sini, hari ini. Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair; Timbalan Bendahari Negeri Sabah (Pembangunan), Hamdan Hamzani dan Pengarah JKR Sabah, Baharuhom K K Sogon menyambut baik syor berkenaan. Ketiga-tiga agensi berkenaan bersedia meneliti dan mengambil tindakan susulan termasuk mengemas kini garis panduan serta menaik taraf sistem sedia ada. Persetujuan itu dizahirkan menerusi pemeteraian Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang disaksikan Mohd Fuad Bee. Turut hadir, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Sabah, Alexander S Kunghi dan Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah, Hamsia Abdul Ham. – Info X

August 26, 2026

Info X Reporters

Kastam tumpas sembilan kes seludup minuman keras bernilai RM4.15 juta

KOTA KINABALU: Cubaan menyeludup 190,080 liter minuman keras menggunakan kontena dengan menyamarkannya sebagai kargo perdagangan biasa berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah. Rampasan bernilai keseluruhan RM4.15 juta termasuk duti dan cukai itu dilakukan menerusi sembilan kes berasingan di Pelabuhan Sepanggar, di sini, bulan ini. Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, enam kes pertama dikesan ketika anggota penguat kuasa Kota Kinabalu memeriksa kontena di Kawasan Pemeriksaan Kastam (CEA), Pelabuhan Sepanggar pada 10 Ogos lalu. “Hasil pemeriksaan menemukan minuman keras pelbagai jenama membabitkan nilai keseluruhan RM2.67 juta termasuk duti dan cukai. “Susulan penemuan itu, enam kontena disita bagi membolehkan pemeriksaan terperinci serta siasatan lanjut dijalankan terhadap status pemilikan, dokumen sokongan dan pematuhan keperluan kastam,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Sepanggar, di sini, hari ini. Amran berkata, siasatan awal mendapati kontena terbabit dipercayai digunakan untuk menyeludup minuman keras melalui laluan perdagangan maritim dengan menyamarkan penghantaran berkenaan sebagai kargo perdagangan biasa. Katanya, pengikraran dan dokumentasi penghantaran turut disyaki tidak tepat bagi mengelakkan pengesanan serta pembayaran duti dan cukai. “Minuman keras itu dipercayai diisytiharkan sebagai perabot dan paip PVC bagi mengelakkan pengesanan serta pembayaran duti dan cukai. Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati kontena berkenaan sebenarnya mengandungi minuman keras,” katanya. Menurutnya lagi, tiga lagi kes dikesan menerusi pemeriksaan kontena oleh Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu di Pelabuhan Sepanggar pada 13 Ogos lalu. “Pemeriksaan lanjut menemukan 71,280 liter bir bernilai RM1.49 juta termasuk duti dan cukai. “Modus operandi kes ini dipercayai menggunakan saluran import dan kemudahan logistik pelabuhan yang sah untuk membawa masuk barangan yang disyaki tidak mematuhi peruntukan kastam,” katanya. Beliau berkata, keseluruhan minuman keras yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.11 juta, manakala duti dan cukai terbabit berjumlah RM3.04 juta. Katanya, semua sembilan kes disiasat mengikut Seksyen 133 dan Seksyen 135 Akta Kastam 1967. Menurutnya, kesalahan mengikut Seksyen 133(1)(a) memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. “Bagi kesalahan pertama mengikut Seksyen 135(1)(a), pesalah boleh didenda antara 10 hingga 20 kali amaun duti kastam atau antara RM50,000 hingga RM500,000, mengikut mana-mana jumlah lebih besar, atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya. “Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat. “Identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – Info X

August 26, 2026

Info X Reporters

JBPM gempur ‘Bilik Sarang Burung’, ‘Bilik Liang Lahad’

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menggempur beberapa premis kedai yang diubah suai tanpa kebenaran untuk dijadikan tempat penginapan menerusi operasi sekitar bandar raya ini. Operasi bersepadu bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu mendapati premis terbabit mempunyai pelbagai bahaya kebakaran termasuk laluan keluar sempit, pendawaian elektrik tidak teratur dan tiada pelan tindakan kecemasan. Di Sembulan, empat premis dikenakan Notis Menghapuskan Bahaya mengikut Seksyen 8 serta Perintah Tutup mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Bomba 1988. Sementara itu, pemeriksaan di Bandaran Berjaya membabitkan tiga lot bangunan empat tingkat yang turut diberikan notis selepas ditemukan beberapa pelanggaran serius terhadap aspek keselamatan kebakaran. Antaranya, bilik hanya dipisahkan menggunakan papan lapis nipis, selain premis tidak mempunyai laluan keluar kecemasan, alat pemadam api, pengesan asap dan lampu kecemasan. Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, Operasi Bilik Sarang Burung dan Bilik Liang Lahad itu dilaksanakan sebagai langkah penguatkuasaan serta pencegahan bagi memastikan aspek keselamatan kebakaran sentiasa berada pada tahap ditetapkan. Katanya, JBPM memandang serius perkara berkenaan kerana keselamatan nyawa dan harta benda menjadi keutamaan jabatan. “Sebarang keadaan atau pengubahsuaian premis yang boleh menjejaskan aspek keselamatan kebakaran tidak boleh dipandang ringan. “Pendekatan operasi ini bukan semata-mata berorientasikan penguatkuasaan, sebaliknya turut memberi penekanan terhadap aspek pencegahan, pematuhan dan kesedaran keselamatan kebakaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Mohd Pisar berkata, pemeriksaan turut mengesan sistem elektrik, kipas dan peralatan lain yang tidak disenggara dengan baik, selain premis digunakan tidak mengikut kelulusan atau kegunaan asal bangunan. Menurutnya, kesalahan berkenaan dikategorikan sebagai ‘bahaya kebakaran’ sebagaimana tafsiran Seksyen 2 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341). “Notis Menghapuskan Bahaya turut dikeluarkan mengikut Seksyen 8, manakala Perintah Tutup dikeluarkan mengikut Seksyen 13 akta sama,” katanya. Beliau berkata, JBPM Sabah akan terus memperkukuh penguatkuasaan dan pemantauan secara berperingkat di seluruh negeri berdasarkan hasil pemeriksaan serta pengenalpastian oleh setiap zon. Katanya, semua pemilik dan pengurusan premis dinasihatkan supaya memberikan kerjasama sepenuhnya serta segera membetulkan sebarang kelemahan berkaitan keselamatan kebakaran. “Keselamatan kebakaran adalah tanggungjawab bersama. Jangan tunggu sehingga berlaku kejadian, barulah kita sedar untuk memperbetulkan keadaan. “Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.-Info X

August 26, 2026

Info X Reporters

Varieti padi TR8 berpotensi hasilkan hingga 10 tan padi sehektar

TENOM: Varieti padi TR8 berpotensi menghasilkan sehingga 10 tan sehektar berdasarkan pencapaian penanaman di beberapa kawasan termasuk Kalibatang Lama, Kalibatang Baru, Kuala Tomani dan Merais, di sini. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata potensi itu turut dibuktikan menerusi hasil tuaian di kawasan Penuaian Sawah Satelit Benih Padi Sah (SSBPS) Kalibatang Baru. Beliau berkata, kawasan berkenaan digazetkan sebagai Satelit Benih Padi Sah di bawah Seksyen Pengeluaran Benih Padi Jabatan Pertanian Sabah bagi menghasilkan benih padi berkualiti yang disahkan Jabatan Pertanian. “Di kampung ini ada seluas lebih kurang 67 hektar yang telah ditanam dengan padi TR8. Mengikut statistik kita, paling tinggi di sini sejak tiga tahun kebelakangan ini boleh mencapai 10 tan sehektar. “Maksudnya, potensi padi TR8 ini memang tinggi dan potensi hasilnya telah dibuktikan di kawasan Kampung Kalibatang Lama, Kalibatang Baru, Kuala Tomani dan Merais,” katanya selepas merasmikan penuaian SSBPS Kalibatang Baru, di sini, pada Selasa. Jamawi yang juga ADUN Melalap berkata, pemeriksaan sampel yang dilakukannya turut mendapati setiap tangkai padi mempunyai antara 165 hingga 185 biji, menunjukkan potensi hasil sekitar lapan hingga sembilan tan sehektar. Jelasnya, pencapaian itu antara yang tertinggi di Sabah berbanding Jelapang Padi Kota Belud yang mencatat hasil tertinggi sekitar lima tan sehektar, manakala Jelapang Padi Terusan Sapi mencapai 4.5 tan sehektar. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pertanian Sabah kerana melihat potensi kawasan berkenaan dalam meningkatkan pengeluaran padi. “Saya bukan orang baharu di sini. Saya bersama dengan petani di sini lebih kurang 20 tahun dan saya tahu kesungguhan mereka dalam memberikan tenaga serta kesepakatan untuk menguruskan ladang padi di kawasan ini,” katanya. Jamawi berkata, selain padi, petani di kawasan berkenaan turut mengusahakan buah-buahan, termasuk tanaman yang menjadikan kawasan itu antara pengeluar buah-buahan yang terkenal di Sabah. Katanya, Kerajaan Negeri akan terus membantu petani berikutan potensi kawasan berkenaan untuk dikembangkan sebagai contoh kepada petani industri padi di Sabah. Beliau berkata, dua unit traktor, masing-masing untuk kerja membajak dan menuai diluluskan untuk kawasan itu tahun ini. “Untuk tahun hadapan saya akan tambah dengan mesin menanam dan juga mesin penuai yang kecil untuk kawasan-kawasan yang sukar dimasuki oleh jentera besar,” katanya. Jamawi berkata, permintaan petani untuk bantuan mesin penyembur baja turut dipertimbangkan, dengan lima unit dirancang untuk disediakan tahun hadapan. “Saya rasa kawasan ini akan terus berpotensi untuk dikembangkan dan menjadi contoh kepada petani-petani industri padi untuk negeri Sabah,” katanya. Beliau meminta Jabatan Pertanian supaya menggalakkan kelompok petani yang ingin mempelajari kaedah pengurusan tanaman TR8 untuk datang ke kawasan Kuala Tomani bagi melihat sendiri teknologi dan hasil yang dicapai. “Tak perlulah kamu ke Sekinchan, tak perlulah kamu ke Perak, tak perlulah kamu pergi Jelapang Padi di Kedah. Datang ke Kuala Tomani. Kami telah buktikan bahawa hasil padi sampai 10 tan sehektar,” katanya. – Info X

August 26, 2026

Info X Reporters

Kerjasama ketenteraan AS-Filipina, perkembangan di Pulau Balabac perlu dipandang serius – PN Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu memandang serius peningkatan kerjasama dan keupayaan ketenteraan Amerika Syarikat – Filipina di kawasan selatan negara jiran itu, termasuk perkembangan di Pulau Balabac yang dibangunkan sebagai tapak ketenteraan Filipina. Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, berkata kedudukan kawasan berkenaan yang berdekatan dengan utara Sabah mendedahkan negeri ini terhadap sebarang kemungkinan ancaman luar, terutama dengan tindakan Filipina yang masih menyuarakan tuntutan ke atas Sabah. Katanya, perkembangan di sekitar Pulau Balabac dan persaingan kuasa besar di rantau ini sejak kebelakangan ini perlu dilihat sebagai peringatan awal kepada Malaysia untuk memperkukuh keupayaan sendiri, khususnya dalam menjaga keselamatan Sabah. “PN Sabah menegaskan pendirian bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan kedaulatan negara mesti dipertahankan. Sebarang tuntutan terhadap Sabah hendaklah ditangani melalui saluran diplomatik dan undang-undang yang sah serta berdasarkan kepentingan dan kedaulatan Malaysia. “PN Sabah juga menyeru semua pihak supaya tidak menjadikan isu Sabah sebagai bahan politik sempit yang boleh menimbulkan ketegangan di antara rakyat Malaysia dengan rakyat Filipina. “Pada masa yang sama, rakyat Sabah perlu diberikan penerangan yang tepat mengenai perkembangan geopolitik dan isu tuntutan Sabah supaya tidak mudah dipengaruhi oleh propaganda, maklumat palsu atau sentimen yang boleh menggugat keharmonian masyarakat. “Tuntasnya, PN Sabah berpandangan perkembangan di sekitar Pulau Balabac mutakhir ini dan persaingan kuasa besar di rantau ini perlu dilihat sebagai peringatan awal kepada Malaysia untuk memperkukuh keupayaan sendiri, khususnya dalam menjaga keselamatan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai itu mengulas usaha mempertahankan kedaulatan Sabah dan Malaysia sejajar perkembangan geopolitik di selatan Filipina, khususnya kerjasama ketenteraan Amerika Syarikat-Filipina dan pembangunan di Pulau Balabac, Filipina. Usaha itu adalah antara perkara dicadangkan PN Sabah untuk dilaksanakan oleh kerajaan bagi menjaga dan mempertahankan kedudukan Sabah sebagai wilayah merdeka di bawah Malaysia. Beliau berkata, rakyat Sabah tidak mahu negeri ini menjadi medan persaingan kuasa besar dan tidak mahu tuntutan terhadap Sabah dipandang ringan, namun sebarang tindakan juga tidak boleh dibuat secara melulu hingga menjejaskan hubungan baik Malaysia dengan negara jiran. “PN Sabah menyeru Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah supaya melihat perkembangan ini sebagai satu peluang untuk memperkukuh Sabah sebagai wilayah yang aman, selamat, makmur dan berdaulat dalam Malaysia,” katanya. Aliakbar berkata, walaupun Malaysia tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan Filipina terhadap Sabah dan kedudukan Sabah dalam Malaysia adalah muktamad, usaha pihak tertentu di negara itu membangkitkan semula tuntutan berkenaan pada tahun ini wajar dipandang serius. Katanya, perkembangan tuntutan maritim Filipina pada tahun ini juga mendorong Malaysia mengemukakan bantahan rasmi terhadap negara tetangga itu. “Dalam keadaan ini, PN Sabah berpandangan bahawa kepentingan Malaysia khususnya keselamatan, kedaulatan serta kesejahteraan rakyat Sabah mesti terus menjadi keutamaan,” katanya. Dalam hubungan itu, katanya Kerajaan Persekutuan perlu mempercepatkan usaha memperkukuh keupayaan pertahanan dan keselamatan Sabah, khususnya di kawasan pantai timur dan utara Sabah yang berhadapan dengan laluan strategik ke selatan Filipina. Katanya, ia termasuk peningkatan keselamatan maritim dan kesiapsiagaan semua agensi keselamatan yang dikoordinasi Majlis Keselamatan Negara (MKN), pembangunan infrastruktur keselamatan di kawasan strategik Sabah dan memastikan keselamatan penduduk di kawasan sempadan sentiasa terjamin. “PN Sabah berpandangan bahawa pengukuhan pertahanan bukan bertujuan mencetuskan perlumbaan senjata, tetapi sebagai langkah pencegahan dan memastikan Malaysia mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk mempertahankan wilayahnya,” katanya. Aliakbar berkata, hubungan diplomatik dengan negara jiran itu juga perlu terus diperkukuhkan dengan pendekatan diplomasi yang tegas, matang dan berhemah, termasuk menegaskan pendirian bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia, di samping menyelesaikan sebarang pertikaian melalui saluran diplomatik dan undang-undang antarabangsa. Katanya, dialog keselamatan dengan Filipina dan memperkukuh kerjasama ASEAN juga perlu dilaksanakan, selain mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat, China, Filipina serta negara ASEAN lain tanpa mengorbankan kepentingan nasional. “PN Sabah menegaskan bahawa ketegasan mempertahankan kedaulatan tidak bermaksud Malaysia perlu mencari permusuhan dengan mana-mana negara. Sebaliknya, diplomasi yang kuat perlu disokong oleh pertahanan yang kukuh dan pendirian negara yang jelas,” katanya. Tidak ketinggalan, katanya kerajaan juga perlu memberi perhatian terhadap usaha memperkukuh ekonomi di kawasan strategik Sabah, khususnya timur Sabah dan kawasan utara seperti Kudat dan Pulau Banggi. “Pembangunan infrastruktur, pelabuhan, jaringan komunikasi, ekonomi maritim, perikanan, pelancongan dan industri tempatan perlu diperkasakan supaya kawasan sempadan bukan saja selamat tetapi juga mempunyai ekonomi yang kukuh dan rakyat yang sejahtera. “PN Sabah berpandangan bahawa penduduk yang sejahtera dan ekonomi yang kukuh menjadi sebahagian daripada benteng keselamatan negara,” katanya. – Info X

August 25, 2026

Info X Reporters

Syabu 2kg bernilai RM94,000 dirampas, lelaki ditahan

LAHAD DATU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun selepas merampas dadah disyaki syabu seberat dua kilogram bernilai kira-kira RM94,000 dalam Op Tapis di kawasan tempat letak kereta Darvel Bay Plaza, Jalan Teratai, di sini, hari ini. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbahrin Ismail, berkata operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu. Beliau berkata, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan 2,000 gram dadah disyaki syabu sebelum dirampas untuk siasatan lanjut. “Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 14 yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah. “Dua kenderaan iaitu Proton X50 dan Perodua Axia turut disita bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Dzulbahrin berkata, suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Menurutnya, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati keputusan negatif dadah. “Polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sumber bekalan, modus operandi serta rangkaian sindiket yang dipercayai terbabit,” katanya. Beliau berkata, BSJND IPD Lahad Datu akan terus mempergiatkan operasi dan mengambil tindakan tegas bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah di daerah berkenaan. – Info X