Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 24, 2026

BERNAMA

Piala ASEAN FIFA: Cools mahu lakar sesuatu istimewa bersama Harimau Malaya

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif JAKARTA: Kapten Harimau Malaya Dion Cools berharap Malaysia mampu melakar pencapaian bermakna buat negara pada edisi sulung Piala ASEAN FIFA 2026. Beliau berkata skuad kebangsaan teruja untuk beraksi pada kejohanan serantau itu yang menghimpunkan barisan pemain terbaik daripada negara bertanding. “Sudah tentu, beraksi dalam kejohanan serantau sentiasa istimewa. Saya rasa bagi sesebuah kejohanan, kita sememangnya mahu semua pasukan dapat menampilkan barisan terbaik, jadi saya fikir FIFA telah melakukan tugas yang baik dalam menganjurkan kejohanan ini. “Saya juga perlu katakan semuanya diuruskan dengan sangat baik. Malam ini kami akan menjalani sesi latihan terakhir, jadi saya tidak sabar untuk menghadapi kejohanan ini dan berharap kami mampu mencapai sesuatu yang membanggakan negara, Malaysia,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) di sini hari ini. Malaysia yang beraksi dalam Divisyen 1 akan membuka kempen Kumpulan A menentang Bangladesh di sini esok, sebelum berdepan tuan rumah Indonesia di venue sama Isnin depan. Harimau Malaya kemudian akan menutup saingan peringkat kumpulan menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Okt. Sementara itu,Cools berkata persiapan pasukan kini berjalan lancar menjelang aksi pembukaan esok, meskipun skuad negara berdepan tempoh singkat. “Persiapan berjalan dengan baik. Kami mempunyai tempoh yang singkat, jadi hanya sempat menjalani beberapa sesi latihan, tetapi pasukan sudah bersedia dan semua pemain berada dalam keadaan cergas. Jadi, kami bersedia untuk perlawanan esok,” kata pemain Cerezo Osaka berusia 30 tahun itu. Cools yang belum pernah beraksi di Stadium Gelora Bung Karno turut teruja menantikan pengalaman pertamanya bermain di gelanggang ikonik berkenaan. Pada edisi pertama kali ini, Thailand diundi bersama Vietnam, Filipina dan Pakistan dalam kumpulan A, manakala berdasarkan format perlawanan, juara bagi kedua-dua kumpulan akan mara ke akhir manakala naib juara akan membuat penentuan tempat ketiga. Piala ASEAN FIFA 2026 diperkenalkan pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur tahun lepas menerusi kerjasama FIFA dan ASEAN, dengan kejohanan itu bermatlamat memanfaatkan bola sepak sebagai wadah menyatukan komuniti, memperkukuh pembangunan sukan serta membuka lebih banyak peluang dalam arena berkenaan.–BERNAMA

September 24, 2026

BERNAMA

Piala ASEAN FIFA: RTM siarkan aksi Harimau Malaya – PM

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan aksi Harimau Malaya dalam saingan Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 di Jakarta, Indonesia, bermula dengan perlawanan pembukaan Kumpulan A menentang Bangladesh, esok. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu bagi menjawab pertanyaan pengguna media sosial mengenai siaran langsung perlawanan Harimau Malaya dalam kejohanan berkenaan. Beliau turut mengajak rakyat Malaysia memberikan sokongan padu kepada skuad kendalian ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe pada edisi sulung kejohanan itu. “Alhamdulillah, saya nak berkongsi berita baik. RTM akan menyiarkan secara langsung perlawanan Harimau Malaya, bermula dengan perlawanan menentang Bangladesh esok. “Ayuh, kita beri sokongan padu kepada pasukan negara,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini. Menurut jadual perlawanan yang dikeluarkan FIFA, aksi Malaysia yang kini menduduki ranking ke-136 dunia menentang Bangladesh (181) di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, akan bermula pada 5 petang waktu Malaysia (4 petang waktu tempatan). Selain Bangladesh, skuad kebangsaan turut diundi bersama tuan rumah Indonesia dan Singapura dalam Kumpulan A. Kumpulan B pula membabitkan Vietnam, Thailand, Filipina dan Pakistan. Malaysia akan berdepan Indonesia (118) di Stadium Gelora Bung Karno dalam aksi kedua pada 28 Sept, sebelum mengakhiri kempen Kumpulan A menentang Singapura (148) di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, pada 1 Okt. Mengikut format kejohanan, juara Kumpulan A dan Kumpulan B akan bertemu pada perlawanan akhir di Stadium Gelora Bung Karno pada malam 5 Okt, manakala naib juara kedua-dua kumpulan akan berentap dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di venue sama pada sebelah siang hari yang sama.–BERNAMA

September 24, 2026

BERNAMA

Abang PM Anwar meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkongsi khabar duka mengenai pemergian abang kandungnya Idrus Ibrahim. Menerusi hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan beliau menerima khabar meruntun jiwa itu ketika dalam perjalanan pulang ke tanah air dari lawatan kerja tiga hari di China. “Sukar untuk saya ungkapkan rasa kehilangan ini apabila seorang yang berkongsi begitu banyak kenangan sepanjang perjalanan hidup kini telah tiada. Hanya Allah SWT yang tahu betapa beratnya hati menerima kenyataan ini. “Terkilan kerana tidak sempat berada di sisi pada saat-saat akhirnya, namun saya reda meski hati ini masih cuba menerima sebuah perpisahan yang tidak pernah kita bersedia untuk hadapi,” kata beliau. Perdana Menteri turut mendoakan agar roh Allahyarham diampuni segala khilafnya, dilimpahi rahmat serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Beliau juga memohon orang ramai dan rakan agar dapat menitipkan doa serta bacaan Al-Fatihah buat Allahyarham. a“Terima kasih atas segala kenangan dan kebaikan yang ditinggalkan dan semuanya akan kekal terpahat dalam ingatan dan hati kami,” kata beliau.–BERNAMA

September 24, 2026

Info X Reporters

Empat lelaki terjun laut, tinggal bot sarat rokok, petrol

LAHAD DATU: Empat lelaki bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke daratan sebaik menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia dalam operasi yang membawa kepada rampasan dua bot, 40,000 batang rokok tidak bercukai serta 600 liter petrol di perairan Felda Sahabat, di sini, semalam. Kedua-dua bot berkenaan ditahan dalam operasi berasingan pada jam 8.26 pagi dan 9.14 pagi hasil risikan menerusi Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0 di perairan selatan Tanjung Sinakut. Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, ketika bot ronda menghampiri kedua-dua bot terbabit, dua lelaki dewasa dari setiap bot bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke arah daratan. Katanya, pemeriksaan mendapati kedua-dua bot masing-masing dilengkapi sebuah enjin pam sebagai enjin tambahan. “Pemeriksaan bot pertama menemukan 24 tong berisi petrol berkapasiti 25 liter setiap satu dengan jumlah keseluruhan kira-kira 600 liter. “Bot kedua pula membawa empat peti rokok tidak bercukai mengandungi kira-kira 40,000 batang rokok jenama Astro, selain tujuh tong gas memasak dan 20 tong minyak berkapasiti 25 liter setiap satu yang didapati kosong,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Dzulfikhar berkata, kedua-dua bot dipercayai mempunyai peranan berbeza dalam kegiatan penyeludupan berkenaan. Menurutnya, bot pertama yang membawa petrol dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan itu ke negara jiran, manakala bot kedua dipercayai dalam perjalanan mendapatkan bekalan minyak sebelum diseludup dan dijual ke negara berkenaan. Katanya, nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes dianggarkan RM65,700. “Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala kes membabitkan rokok tidak bercukai turut disiasat mengikut Akta Kastam 1967. “Semua bot dan barang rampasan dibawa ke Jeti Pos Maritim Felda Sahabat untuk tindakan serta siasatan lanjut,” katanya. Dzulfikhar berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh risikan, rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta penyelewengan barang kawalan di perairan negara. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kejadian mencurigakan di laut diminta menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu atau talian kecemasan 999,” katanya. – Info X

September 24, 2026

Info X Reporters

Kaki remaja tersepit jeriji longkang

KINARUT: Seorang remaja lelaki terpaksa mendapatkan bantuan bomba selepas kakinya tersepit pada jeriji besi longkang di hadapan sebuah restoran di Lorong Sabindo, hari ini. Mangsa berusia 13 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan selepas berjaya dikeluarkan anggota bomba. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba, Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.50 pagi sebelum lima anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi. Katanya, pasukan bomba yang tiba tujuh minit kemudian mendapati kaki remaja berkenaan tersepit pada jeriji besi longkang. “Pasukan bomba bertindak meregangkan jeriji besi menggunakan peralatan khas sebelum berjaya mengeluarkan kaki mangsa. “Pemeriksaan mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi. Operasi dikawal pada jam 10.59 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya seminit kemudian. – Info X

September 24, 2026

Info X Reporters

KREATIF SABAH bawa aspirasi industri seni, kreatif kepada kerajaan negeri

KOTA KINABALU: Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH) membawa aspirasi dan kepentingan penggiat industri seni serta kreatif negeri dalam kunjungan hormat kepada Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, baru-baru ini. Kunjungan itu adalah yang pertama selepas KREATIF SABAH mengadakan Mesyuarat Agung Pertamanya pada Julai lalu, dengan tujuan memperkenalkan peranan pertubuhan berkenaan selain membincangkan perkembangan semasa dan hala tuju industri seni serta kreatif di Sabah. Datuk Azrul mengucapkan tahniah dan syabas kepada KREATIF SABAH atas penubuhannya yang disifatkan bertepatan dengan keperluan semasa industri seni dan kreatif negeri. Beliau berkata, penyatuan 11 persatuan berteraskan seni dan kreatif di bawah satu gabungan mampu mewujudkan saluran komunikasi lebih tersusun antara komuniti kreatif dengan Kerajaan Sabah. Katanya, platform itu turut memudahkan kerajaan melaksanakan perancangan dan dasar berkaitan industri kreatif selain mendapatkan maklum balas lebih berkesan mengenai isu, keperluan dan kekangan yang dihadapi penggiat industri. “Kerajaan Sabah melalui kementerian dan agensi berkaitan selama ini telah menyediakan pelbagai bentuk sokongan, termasuk bantuan kewangan bagi menjayakan program dan aktiviti seni di dalam dan luar negara,” katanya. Beliau turut berkongsi pengalamannya ketika menjawat jawatan sebagai Pengarah IKRAR Sabah, termasuk sokongan terhadap penganjuran aktiviti seni kreatif serta tayangan filem tempatan Sabah yang dibawa ke Semenanjung Malaysia. Sementara itu, Pengerusi KREATIF SABAH, Chester Pang, bersama empat anggota rombongan memberikan taklimat mengenai perkembangan industri seni dan kreatif negeri serta potensi ekonomi kreatif sebagai sektor yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah. Chester berkata, penubuhan KREATIF SABAH adalah usaha menyatukan persatuan seni dan kreatif di Sabah dalam satu platform bersama bagi memperkukuh suara industri serta menjadi penghubung dan pemudah cara antara komuniti penggiat seni, kerajaan dan sektor swasta. “KREATIF SABAH tidak mengambil alih atau menggantikan peranan persatuan-persatuan sedia ada, sebaliknya menjadi platform bersama untuk membawa isu dan kepentingan yang melibatkan keseluruhan ekosistem industri seni dan kreatif Sabah,” katanya. Beliau berkata, gabungan itu turut berhasrat membantu memperkukuh pelaksanaan dasar dan hala tuju Kerajaan Sabah dalam membangunkan ekonomi jingga (Orange Economy) sebagai sektor baharu yang berpotensi menjadi sumber pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang pekerjaan dan pendapatan lebih luas, khususnya kepada golongan belia. Dalam pertemuan itu, Chester yang juga Presiden Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA), menyerahkan Memorandum 7 Perkara Tuntutan KREATIF SABAH yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Pertama pertubuhan berkenaan untuk perhatian dan tindakan kerajaan. Antara perkara utama dibangkitkan ialah penguatkuasaan permit penggambaran dan persembahan bagi produksi serta artis dari luar Sabah yang menjalankan aktiviti komersial di negeri ini. Chester berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengurusan aktiviti produksi dan persembahan dari luar dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, selain membantu melindungi kepentingan, peluang pekerjaan dan ruang pasaran kepada penggiat seni serta tenaga produksi tempatan. KREATIF SABAH turut mencadangkan penubuhan Hab Kreatif atau Pusat Sehenti (One Stop Centre) bagi menyelaraskan proses permohonan permit, kelulusan dan urusan berkaitan aktiviti seni serta produksi di Sabah. Cadangan itu dilihat mampu mengurangkan kerenah birokrasi, mempercepatkan proses permohonan serta menyediakan saluran lebih jelas dan mesra industri kepada penggiat tempatan dan produksi dari luar Sabah. Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung KREATIF SABAH, Mohd Nazri Saidali, mendapatkan pandangan Datuk Azrul mengenai cadangan penubuhan Akademi Nasyid Sabah bagi melatih, membimbing dan mempersiapkan generasi baharu penggiat seni Nasyid Sabah. Nazri yang juga Presiden Persatuan Komposer, Penulis Lirik dan Artis Nasyid Sabah (KOPAN) berkata, akademi berkenaan berpotensi menjadi platform pembangunan bakat secara lebih tersusun, khususnya dalam aspek persembahan, penciptaan lagu, produksi, penjenamaan dan pemasaran. “Kita mempunyai bakat dan karya Nasyid dari Sabah yang semakin mendapat perhatian di peringkat lebih luas. Apa yang diperlukan ialah pembangunan bakat yang lebih sistematik supaya para seniman bukan sahaja mampu menghasilkan karya berkualiti, tetapi juga mempunyai kemahiran persembahan, pemasaran dan pengurusan industri yang membolehkan mereka bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya. Pertemuan itu turut memperlihatkan komitmen KREATIF SABAH untuk terus menjalinkan kerjasama strategik dengan Kerajaan Sabah dan pihak berkepentingan bagi membangunkan ekosistem seni dan kreatif negeri yang lebih tersusun, berdaya saing serta mampu menjana nilai ekonomi. KREATIF SABAH berharap hubungan strategik bersama Kerajaan Sabah dapat terus diperkukuh bagi memastikan suara, keperluan dan potensi industri seni serta kreatif diberi perhatian sewajarnya dalam agenda pembangunan ekonomi negeri.-Info X

September 24, 2026

Info X Reporters

Wujudkan Majlis Seni Sabah dalam Belanjawan 2027 – Masiung

KOTA KINABALU: Gabungan persatuan pengiat seni di Sabah meletakkan harapan supaya kerajaan negeri mewujudkan Majlis Seni Sabah bagi menaungi industri karyawan menerusi pembentangan Belanjawan Negeri pada Oktober depan. Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, persatuan dan kelab pengiat seni perlu ada satu agensi induk untuk menjalinkan kolaborasi strategik dengan kerajaan negeri. “BBC melihat industri kreatif perlu diperkasa untuk membolehkan pemain dalam industri itu di Sabah mampu berdaya saing di lapangan arus perdana. “BBC bersedia menjadi perantara berhubung hasrat beberapa persatuan dan kelab karyawan negeri ini yang mahukan kerajaan Sabah mewujudkan Majlis Seni Sabah,” katanya selepas menemui wakil lima persatuan pengiat seni di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Rabu. Masiung berkata, beliau akan membawa draf cadangan itu pada Persidangan DUN Sabah yang dijangka dijadualkan antara Oktober dan November depan. Katanya, cadangan merealisasikan Majlis Seni Sabah adalah wajar sebagai platform kepada persatuan-persatuan atau kelab pengiat seni di negeri ini menjalinkan hubungan dua hala dengan kerajaan negeri. “Tanpa agensi induk yang menaungi persatuan terbabit sudah pasti menyukarkan kerajaan menyalurkan sebarang inisiatif atau suntikan dana,” katanya. ADUN Kuamaut itu tidak menolak industri seni kreatif di Sabah kurang mendapat perhatian sebelum ini lebih-lebih lagi bidang itu sering tericir dalam pembentangan Belanjawan Negeri. Atas sebab itu katanya, karyawan seni berasa kerjaya mereka dipinggirkan dalam arus perdana. Masiung yakin kerajaan negeri pada hari ini akan mengambil perhatian sewajarnya sesuai dengan sumbangan mereka kepada masyarakat. “Apabila wujud kolaborasi antara pengiat seni dan kerajaan pastinya kolompok itu boleh menjadi duta kepada program penting kerajaan. “Penerbit filem tempatan, muzik, drama, pelakon, penggubah lagu dan artis mempunyai pengaruh merit dan sentuhan dinamik untuk menterjemah usaha kerajaan,” katanya. Lebih dari itu katanya, pengiat seni mempunyai keupayaan luar biasa untuk menyentuh emosi rakyat menerusi karya seni. Delegasi lima wakil persatuan yang menemui Masiung semalam diketuai penghibur veteran Sabah, Datuk Francis Landong bersama wakil dari Persatuan Kreatif Sabah, Persatuan Artis Sabah, Persatuan Karyawan Sabah, Kelab Okestra Sabah, Persatuan Filem dan Visual Sabah dan Persatuan Komposer Penulis Lirik Sabah. – Info X

September 24, 2026

Info X Reporters

Junz Wong dakwa UPEN Sabah ‘simpan’ fail Skim Pembaharuan Bandar Sembulan

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan mendakwa Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN Sabah) kini berdepan kelumpuhan birokrasi berikutan kegagalan memberi maklum balas terhadap Skim Pembaharuan Bandar Sembulan setelah hampir tiga bulan dokumen berkaitan diserahkan. Berikutan itu, ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong menyatakan rasa kecewa dan kebimbangan seriusnya terhadap perkara berkenaan, khususnya nasib penduduk yang terjejas berikutan pelaksanaan skim terbabit oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Beliau mendedahkan, susulan perbahasannya pada Sidang DUN Julai lalu dan pertemuan mesra antara wakil penduduk Sembulan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Datuk Bandar, Datuk Seri Sabin Samitah, satu jalan penyelesaian yang jelas telah dibuka. Bagaimanapun, katanya momentum berkenaan kini mati akibat sikap tidak prihatin dan kelewatan pentadbiran di peringkat negeri. “Selepas sidang DUN Julai, DBKK telah menyerahkan dokumen dan cadangan komprehensif untuk Skim Pembaharuan Bandar Sembulan kepada UPEN Sabah, yang berada di bawah Jabatan Ketua Menteri. “Prosedur standard memerlukan UPEN melakukan due diligence, mengkonsolidasikan penilaian perancangan dan ekonomi, serta memulangkan dokumen yang telah diluluskan kepada DBKK. Hanya selepas itu, perkara ini boleh dibentangkan untuk persetujuan akhir Mesyuarat Kabinet Negeri. “Namun, sudah hampir tiga bulan dokumen tersebut diserahkan, dan UPEN gagal mengeluarkan sebarang keputusan atau memulangkan dokumen kepada DBKK. Akibatnya, DBKK terikat tangan dan tidak dapat melaksanakan pakej pampasan serta penempatan semula yang adil untuk penduduk,” katanya. Atas sebab itu, Junz secara langsung mempersoalkan kecekapan dan akauntabiliti kepimpinan UPEN. “Saya ingin bertanya: Adakah UPEN berfungsi dengan baik, atau telah menjadi ‘kubur’ bagi cadangan rakyat? Pengarah UPEN mesti dipertanggungjawabkan atas kelewatan yang tidak dapat diterima ini. “Apabila pihak berkuasa tempatan telah melakukan tugas mereka, dan Ketua Menteri telah menunjukkan komitmen untuk menyelesaikan isu ini, adalah tidak wajar untuk sebuah jabatan perantara melengah-lengahkan proses ini hanya kerana sikap tidak endah. “Penduduk Sembulan menyokong pembaharuan bandar yang progresif. Yang mereka mahukan hanyalah keadilan, ketelusan dan pakej penempatan semula yang wajar. “Dengan ‘menyimpan’ fail ini, UPEN bukan sekadar melengahkan kertas kerja; mereka secara aktif memanjangkan kebimbangan, ketakutan dan ketidakpastian ratusan keluarga rakyat Sabah,” katanya. Katanya, beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri dan Datuk Bandar Kota Kinabalu atas kesudian berunding dengan Jawatankuasa Tindakan Sembulan, tetapi mendesak Jabatan Ketua Menteri untuk campur tangan segera dan membaiki jentera pentadbiran di jabatan bawahannya. “Visi Ketua Menteri untuk Sabah Maju tidak boleh diculik oleh birokrasi yang lembap. Saya mendesak Jabatan Ketua Menteri untuk segera campur tangan, mengarahkan Pengarah UPEN memberi keutamaan kepada fail Sembulan dan memastikan dokumen dikonsolidasi serta dipulangkan kepada DBKK tanpa kelewatan agar Kabinet Negeri dapat membuat keputusan muktamad yang adil. “Saya jamin kepada rakyat Sembulan dan Tanjung Aru, saya akan terus memantau isu ini. Kita tidak akan membiarkan isu ini disembunyikan. Kerajaan mesti menepati janji dan birokrasi mesti berkhidmat untuk rakyat, bukan menyeksakan mereka,” katanya. – Info X