August 25, 2026
Info X Reporters
Pembangunan Sabah perlu seiring pembangunan insan – KM
KOTA KINABALU: Kemajuan sebenar Sabah tidak boleh hanya diukur melalui pembangunan fizikal, pertumbuhan ekonomi atau kecanggihan teknologi, sebaliknya perlu turut disertai pembangunan insan yang memiliki ilmu, integriti, akhlak dan rasa tanggungjawab kepada masyarakat. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pengajaran daripada sirah Rasulullah SAW menunjukkan pembangunan sesebuah masyarakat perlu dilakukan secara menyeluruh dengan memperkukuh persaudaraan, memelihara kebajikan masyarakat dan meletakkan prinsip keadilan sebagai asas kehidupan bersama. Katanya, konsep rahmatan lil ‘alamin yang dibawa Rasulullah SAW mengandungi pengertian amat luas, termasuk kasih sayang, keadilan, kebijaksanaan, toleransi, amanah dan penghormatan terhadap martabat manusia. “Baginda membuktikan bahawa kekuatan kepimpinan bukan hanya terletak kepada kekuasaan, tetapi kepada keupayaan membina kepercayaan, berlaku adil serta memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Selasa. Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Musa Aman. Hajiji berkata, dalam konteks Sabah, Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan pembangunan yang dilaksanakan dapat memberikan manfaat seluas-luasnya kepada rakyat dan bersifat inklusif dengan mengambil kira kepentingan masyarakat di bandar mahupun luar bandar. “Kita mahu membina sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari sudut ekonomi dan pembangunan, tetapi turut mempunyai masyarakat yang kukuh nilai moralnya, tinggi integritinya dan erat hubungan sesama mereka,” katanya. Sehubungan itu, beliau berkata nilai yang ditunjukkan Rasulullah SAW seperti amanah, keadilan, kesungguhan, ihsan dan keprihatinan perlu terus menjadi inspirasi dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan. “Bagi penjawat awam, amanah hendaklah diterjemahkan melalui penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berintegriti. Bagi pemimpin, amanah bermaksud meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. “Bagi masyarakat pula, amanah diterjemahkan melalui sikap bertanggungjawab, menghormati undang-undang serta bersama-sama memelihara keamanan dan keharmonian negeri,” katanya. Hajiji berkata Sabah yang mempunyai masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya perlu terus memelihara kepelbagaian sebagai satu kekuatan yang menjadi asas perpaduan dan keharmonian negeri. “Saya menyeru seluruh rakyat supaya terus memelihara semangat perpaduan dan keharmonian yang telah lama menjadi kekuatan negeri Sabah. Janganlah perbezaan pandangan, fahaman mahupun latar belakang menyebabkan hubungan sesama kita menjadi renggang. “Sebaliknya, kita hendaklah memperbanyakkan titik persamaan, membudayakan dialog yang matang serta menyelesaikan perbezaan dengan penuh hikmah,” katanya. Beliau berkata keamanan dan kestabilan menjadi prasyarat kepada pembangunan kerana tanpa perpaduan, segala agenda pembangunan yang dirancang akan menjadi lebih sukar untuk direalisasikan. Dalam pada itu, Ketua Menteri menegaskan peranan generasi muda tidak boleh dipinggirkan dalam menentukan masa depan negeri, khususnya ketika mereka berdepan perkembangan teknologi, kecerdasan buatan, ledakan maklumat serta perubahan sosial yang berlaku begitu pantas. Katanya, golongan muda perlu dilengkapkan bukan sahaja dengan pendidikan dan kemahiran, tetapi juga kekuatan jati diri serta akhlak, selain memanfaatkan media sosial dan teknologi digital untuk menimba ilmu, membangunkan kemahiran, meningkatkan produktiviti serta menyebarkan perkara yang membawa manfaat. “Kita perlu menghindari budaya menyebarkan maklumat yang tidak sahih, fitnah, penghinaan serta kandungan yang boleh merosakkan akhlak dan hubungan sesama masyarakat,” katanya. Hajiji berkata akhlak Rasulullah SAW dalam menjaga tutur kata, menghormati manusia dan menyampaikan kebenaran dengan penuh hikmah sewajarnya menjadi pedoman dalam berinteraksi, termasuk dalam dunia digital. “Kita mahu melahirkan generasi muda Sabah yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing, tetapi dalam masa yang sama tetap teguh jati dirinya, tinggi akhlaknya dan mempunyai rasa tanggungjawab kepada agama, masyarakat, negeri dan negara,” katanya. Sempena sambutan itu, beliau menyeru umat Islam di Sabah memperkukuhkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan menterjemahkannya dalam bentuk amalan, termasuk menyuburkan kasih sayang dalam keluarga, melaksanakan amanah dengan penuh kejujuran, membantu mereka yang berada dalam kesusahan serta memelihara hubungan sesama manusia. Hajiji berkata jika nilai murni yang ditunjukkan Rasulullah SAW diterapkan dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat serta pelaksanaan pentadbiran dan pembangunan, Sabah mampu dibina sebagai negeri yang lebih maju, aman, sejahtera dan diberkati Allah SWT. – Info X
August 25, 2026
Info X Reporters
Terminal pengecasan EV disedia di projek pembangunan baharu luar bandar – Perkasa Realty
KOTA KINABALU: Perkasa Realty Sdn Bhd (PRSB) merancang membina terminal pengecasan kenderaan elektrik (EV) di setiap projek pembangunan baharu yang dilaksanakannya di kawasan luar bandar negeri ini. Pengurus Besar PRSB, Mat Saidi Minting, berkata ia adalah antara komponen baharu yang dimasukkan dalam pelan pembangunan (DP) PRSB untuk projek baharu yang dilaksanakan, sebagai perancangan strategik jangka panjang memenuhi keperluan masa depan. Katanya, terminal pengecasan EV itu sebagai tambahan kepada komponen sedia ada iaitu pembinaan stesen minyak mini untuk projek yang dilaksanakan di luar bandar. Beliau berkata, pihaknya memahami dan mengikuti kemajuan teknologi automotif global yang turut berkembang di negeri ini. “Kita dapat melihat sekarang trend penggunaan EV, maka pembinaan terminal pengecasan adalah suatu keperluan di kawasan luar bandar. “Dengan adanya kemudahan ini nanti, maka pengguna EV tidak perlu risau untuk pergi ke kawasan luar bandar,” katanya dalam pertemuan bersama wakil media di pejabatnya baru-baru ini. Mat Saidi berkata terminal pengecasan EV itu akan menjadi nilai tambah kepada projek pembangunan baharu PRSB, sekali gus membolehkan industri lain turut berkembang. “Sebagai perintis pembangunan nilai tambah ini, PRSB berbangga dapat menyediakan kemudahan terbaik kepada komuniti di kawasan luar bandar,” katanya. PRSB adalah anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) yang bertanggungjawab dalam pembangunan premis perniagaan Bumiputera di kawasan pekan baharu dan luar bandar. Antara misinya adalah untuk membangunkan premis perniagaan di seluruh Sabah, termasuk mengenal pasti kawasan luar bandar yang berimpak tinggi untuk pembangunan kedai. Mat Saidi berkata sehingga kini PRSB sudah membangunkan lebih 120 projek di seluruh Sabah membabitkan penerima manfaat melebihi 1,500 individu dan syarikat Bumiputera. Katanya, PRSB lebih awal merintis pembangunan di kawasan-kawasan terpencil di negeri ini, termasuk sejauh Paitan, Long Pasia dan Pulau Sebatik. “Antara projek yang sedang dilaksanakan sekarang termasuk di Tungku, Lahad Datu, Sook dan Kinabatangan, manakala yang sedang dalam proses penyerahan kepada pembeli pula di Pekan Telupid dan Merotai,” katanya. Sementara di kawasan Tongod, katanya dua fasa projek telah dilaksanakan dengan fasa kedua baru sahaja disiapkan dan diperuntukkan kepada usahawan-usahawan Bumiputera beberapa tahun lalu. “Kita sedang giat mengenal pasti beberapa lagi kawasan baharu yang berpotensi untuk dibangunkan. “Usaha ini akan dilaksana, sama ada di atas tanah milik Sedco atau secara kolaborasi dengan agensi kerajaan lain seperti Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dan pembangunan secara usahasama dengan pemilik-pemilik tanah persendirian ,” katanya. – Info X
August 25, 2026
Info X Reporters
Liga Super: Kemenangan Sang Badak permulaan baik tarik sokongan peminat – Garrido
KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Juan Torres Garrido, menyifatkan kemenangan 3-1 ke atas Star City malam tadi sebagai permulaan yang positif bagi menarik sokongan peminat bola sepak di Sabah untuk menyaksikan perlawanan pasukan mereka, khususnya apabila bermain di Stadium Likas. Katanya, pemain Sabah FC berjaya mempamerkan persembahan yang baik dalam aksi sulung Liga Super 2026/2027 itu, sekali gus memenangi perlawanan mengutip tiga mata untuk skuad Sang Badak. Perlawanan malam tadi, katanya bukan saja mencapai sasaran mengutip tiga mata pada perlawanan pertama Liga Super musim ini, malah berjaya memberikan persembahan yang menarik kepada peminat yang datang ke stadium. “Kita gembira kerana dapat mencapai apa yang kita mahu, iaitu mendapat tiga mata pada perlawanan ini dan bagi saya ia satu permainan yang baik di gelanggang sendiri. “Ia satu permulaan yang bagus dan kita mahu menarik lebih ramai lagi penyokong serta peminat bola sepak ke Stadium Likas pada perlawanan seterusnya nanti,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi. Beliau berkata, penampilan ramai pemain baharu dengan permainan yang menarik membuatkan lebih 4,000 penyokong dan penonton di Stadium Likas malam tadi menyukai persembahan mereka. Sementara itu, Garrido berkata perlawanan malam tadi juga penting bagi menilai kekuatan dan kelemahan pasukan, terutama dalam mencipta peluang dan menghalang kemaraan pihak lawan. Katanya, perlawanan malam tadi menyaksikan gawang Sabah FC dibolosi melalui situasi bola mati dari sepakan sudut, selain turut berdepan beberapa situasi berbahaya menerusi sepakan percuma yang diberikan kepada pasukan lawan. “Pihak lawan kebanyakannya mencipta peluang melalui situasi bola mati dan kita tahu ia memang situasi yang bahaya, tapi ia adalah sebahagian daripada permainan. “Apa yang penting kita belajar dan berusaha memastikan pasukan lawan tidak lagi diberikan peluang seperti itu dan akhirnya kita dapat mengawal perlawanan dengan baik,” katanya. Dalam aksi malam tadi, Sabah membuka jaringan menerusi Dane James Ingham pada minit ke-26 sebelum disamakan Star City menerusi tandukan Rafael Vitor ketika sepakan sudut pasukannya pada minit ke-28. Kedudukan 1-1 itu bagaimanapun berubah pada separuh masa kedua apabila penyerang Sabah, Darren Lok berjaya menjaringkan gol kedua Sang Badak pada minit ke-88, disusuli jaringan ketiga oleh Park Jungbin pada minit kecederaan untuk memberi kelebihan 3-1 kepada tuan rumah. – Info X
August 24, 2026
Info X Reporters
Liga Super: Sang Badak langkah kanan mulakan saingan musim baharu
KOTA KINABALU: Sabah FC memulakan saingan Liga Super musim 2026/2027 dengan langkah kanan apabila menewaskan Star City FC 3-1 dalam aksi pertamanya di Stadium Likas, di sini, malam ini. Sang Badak bagaimanapun terpaksa bekerja keras untuk menambah jaringan selepas terikat 1-1 pada babak pertama sebelum melakar dua gol pada baki permainan separuh masa kedua. Pemain pertahanan Sabah, Dane James Ingham menghadiahkan gol pertama tuan rumah selepas menerima hantaran rakannya, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-26. Jaringan itu, bagaimanapun berjaya disamakan pasukan pelawat dalam masa dua minit selepas itu apabila Star City mendapat peluang baik menjaringkan gol menerusi Rafael Vitor. Rafael menanduk bola hasil sepakan sudut yang diberikan kepada pasukan pelawat sebelum bola tandukannya jatuh tepat ke dalam kiri gawang Sabah. Kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat 45 minit pertama perlawanan. Beralih ke separuh masa kedua, Sabah meneruskan asakan ke atas Star City dalam usaha menambah jaringan, sebelum jaringan kedua Sang Badak muncul pada minit ke-88 untuk Sabah mendahului permainan dengan 2-1 hasil jaringan Darren Lok. Memasuki masa kecederaan, satu lagi jaringan dilakar pemain Sang Badak menerusi pemain import dari Korea Selatan, Park Jungbin, sekali gus mengubah kedudukan kepada 3-1. Jungbin sebelum itu kecewa apabila jaringannya pada minit ke-66 dibatalkan disebabkan ofsaid. – Info X
August 24, 2026
Info X Reporters
Terjun laut tinggal rokok seludup RM601,400
TAWAU: Individu dipercayai penyeludup sanggup terjun ke laut dan meninggalkan dua bot membawa hampir 300,000 batang rokok tidak bercukai selepas kegiatan mereka dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, awal pagi tadi. Dalam serbuan kira-kira 2.20 pagi di Jeti Kampung Sri Aman, Batu 3, di sini, PPM merampas rokok, bot dan enjin dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM601,400. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat risikan dan pemantauan terhadap aktiviti mencurigakan dipercayai membabitkan penyeludupan rokok dari negara jiran. Menurutnya, pasukan menemukan dua bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran yang dipercayai digunakan untuk membawa barangan seludup. “Pemeriksaan ke atas kedua-dua bot menemukan 250,000 batang rokok putih jenama Premium International bernilai RM375,000 serta 48,000 batang rokok kretek jenama Menara Dunia bernilai RM86,400. “Dua bot gentian kaca dan dua enjin bot Yamaha berkuasa 200HP turut dirampas,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Ahmad berkata, individu dipercayai terbabit bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ketika serbuan dilakukan. Katanya, usaha mengesan mereka tidak dapat diteruskan berikutan keadaan persekitaran yang gelap, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Menurutnya, sebanyak 55 kes mengikut akta sama direkodkan dari Januari hingga Ogos tahun ini membabitkan rampasan keseluruhan bernilai RM7.34 juta serta penahanan 39 individu. “PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebatkan risikan, rondaan dan operasi penguatkuasaan di lokasi yang dikenal pasti sebagai laluan penyeludupan. “Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara,” katanya. – Info X
August 24, 2026
Info X Reporters
Upah ubah suai, kenaikan sewa dipercayai motif warga emas dibunuh
SANDAKAN: Perselisihan faham mengenai upah mengubah suai rumah serta rasa tidak puas hati terhadap kenaikan kadar sewa bulanan dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang wanita warga emas di Tanah Merah, Jalan Leila, di sini. Mangsa berusia 62 tahun ditemukan dalam keadaan mereput di dalam tandas rumah kayu dua tingkat miliknya, dengan tangan diikat menggunakan tali di belakang badan serta kepala ditutup menggunakan kain. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam pada 8.10 malam, 19 Ogos lalu selepas terhidu bau kurang menyenangkan dari rumah berkenaan. Menurutnya, anggota dari Balai Polis Sandakan tiba di lokasi kira-kira 35 minit kemudian sebelum menemui mayat mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia sejak beberapa hari sebelumnya. “Pemeriksaan berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemukan di tempat kejadian mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah berkenaan. “Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dengan bantuan Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kemudian menjalankan siasatan di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. George berkata, tindakan pantas polis membawa kepada penahanan 10 individu dalam tempoh kurang 24 jam sebelum dua daripada mereka dikenal pasti sebagai suspek utama. Katanya, semua yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita berusia antara 10 hingga 39 tahun. “Tiga daripada mereka adalah warga Filipina, manakala tujuh lagi warga tempatan dan kesemuanya mempunyai hubungan kekeluargaan. “Soal siasat lanjut mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham mengenai upah mengubah suai rumah mangsa serta rasa tidak puas hati kerana mangsa menaikkan kadar sewa bulanan rumah yang didiami semua suspek,” katanya. Menurutnya, polis turut merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan sebagai senjata serta beberapa barangan peribadi mangsa yang dilarikan suspek. “Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X
August 24, 2026
Info X Reporters
Cabul teman wanita dalam kereta, lelaki ditahan
TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencabul teman wanitanya di dalam sebuah kereta di kawasan Megah Jaya, di sini, semalam. Suspek berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada 12.01 tengah malam selepas menerima laporan berhubung kejadian berkenaan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 7.43 malam. Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyentuh beberapa bahagian tubuh mangsa secara paksa setiap kali mereka bertemu. “Suspek juga didakwa pernah memaksa mangsa melakukan perbuatan tidak senonoh, namun ditolak wanita terbabit. “Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rosdi berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan cabul atau gangguan seksual dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang. Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya menjaga keselamatan diri dan keluarga serta segera melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada polis. – Info X
August 24, 2026
Info X Reporters
30 emas di Selangor antara pencapaian terbaik Sabah
SUBANG JAYA: Kutipan 30 pingat emas, 27 perak dan 36 gangsa pada SUKMA XXII Selangor 2026 yang berakhir malam ini antara pencapaian terbaik Sabah dalam sejarah penyertaan temasya sukan dwi tahunan itu. Pencapaian terbaik Sabah masih dicatat pada SUKMA Perak 2018 apabila kontinjen negeri itu membawa pulang 33 emas, 27 perak dan 46 gangsa. Sabah turut mengutip 30 emas, 29 perak dan 39 gangsa pada SUKMA Kuala Lumpur 2022, manakala pada SUKMA Sarawak 2024, kontinjen negeri itu mengakhiri saingan dengan 29 emas, 36 perak dan 55 gangsa. Pada edisi kali ini, Sabah menghantar kontinjen seramai 744 atlet, terdiri daripada 385 lelaki dan 359 wanita, selain 148 jurulatih serta 51 pengurus pasukan. Kontinjen berkenaan mengambil bahagian dalam 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan, membabitkan lebih 10,000 atlet daripada 15 kontinjen yang merebut 468 pingat emas. Walaupun gagal mencapai sasaran 40 emas, pencapaian 30 emas kali ini bukan sahaja antara yang terbaik dalam sejarah penyertaan Sabah di SUKMA, malah mengatasi kutipan emas pada edisi Sarawak dua tahun lalu. Sepak takraw, olahraga, petanque dan karate muncul antara penyumbang utama kutipan emas Sabah. Skuad sepak takraw mengekalkan status sebagai pasukan terbaik dalam temasya itu selepas meraih lima emas dan satu perak daripada lapan emas yang ditawarkan. Empat emas disumbangkan skuad wanita yang menyapu bersih semua acara dipertandingkan iaitu berpasukan, regu dua pemain, regu tiga pemain dan regu empat pemain, manakala satu lagi emas hadir menerusi acara regu dua pemain lelaki. Pulau Pinang muncul pencabar terdekat dengan dua emas, manakala satu lagi emas menjadi milik tuan rumah Selangor. Petanque turut menyerlah apabila Sabah mengungguli sukan berkenaan dengan empat emas dan satu perak daripada tujuh emas yang ditawarkan, dengan tiga lagi emas dikongsi Sarawak, Melaka dan Selangor. Skuad olahraga pula menyumbang empat emas, tujuh perak dan empat gangsa daripada 47 emas yang dipertandingkan untuk menduduki tempat kelima terbaik. Johor mengungguli olahraga dengan sembilan emas, lapan perak dan lima gangsa, diikuti Terengganu (7e, 3p, 3g), Wilayah Persekutuan (6e, 1p, 3g) dan Kelantan (5e, 2p). Karate Sabah turut mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa daripada 15 emas yang ditawarkan, sekali gus muncul pasukan terbaik dalam sukan berkenaan. Sabah mengatasi Johor (2e, 2p, 3g), Perak (2e, 1p, 5g), Selangor (2e, 1p, 3g) dan Terengganu (2e, 1p, 1g). Pencak silat menyumbang dua emas, dua perak dan tiga gangsa, gimnastik artistik (2e, 1p, 1g), memanah (2e, 1p, 1g), pelayaran (2e, 3g), wushu (2e, 3g) dan menembak (2e). Sukan lain turut menyumbang menerusi akuatik renang (1e, 2g), boling padang (1e), tinju (4p, 2g), muaythai (3p, 3g), angkat berat (1p, 2g), bola sepak wanita (1p), e-sukan (1p), golf (1p), akuatik terjun (2g), lawan pedang (2g), judo (2g), berbasikal (1g), ragbi wanita (1g) dan tenpin boling (1g). Atlet gimnastik artistik lelaki, Marvell Vincent Voo, muncul penyumbang pingat emas individu terbanyak Sabah apabila meraih dua emas menerusi acara senam lantai dan palang sejajar. Atlet berusia 18 tahun itu turut menyumbang satu perak dalam acara kuda pelana serta membantu pasukan Sabah meraih gangsa dalam acara berpasukan. Sementara itu, tuan rumah Selangor muncul juara keseluruhan SUKMA XXII dengan 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa, jauh meninggalkan Wilayah Persekutuan yang mengutip 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa. Sabah mengekalkan kedudukan di tangga kelapan keseluruhan, di belakang Terengganu (41e, 44p, 35g), Sarawak (40e, 40p, 62g), Pulau Pinang (38e, 54p, 59g), Johor (36e, 52p, 43g) dan Perak (31e, 33p, 50g). Pasukan di bawah Sabah ialah Pahang (28e, 19p, 34g), Melaka (19e, 12p, 15g), Perlis (17e, 7p, 17g), Kedah (14e, 22p, 45g), Kelantan (14e, 5p, 16g), Negeri Sembilan (7e, 11p, 28g) dan Brunei (0e, 4p, 6g).-Info X