March 27, 2026
Info X Reporters
Sabah berhak dapat subsidi diesel – Ewon
PUTATAN: Langkah kerajaan Persekutuan mengekalkan subsidi diesel kepada Sabah dan Sarawak disifatkan sebagai tindakan yang memang perlu dilaksanakan. Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, berkata kedua-dua negeri berhak menikmati subsidi diesel sejajar kedudukannya sebagai pengeluar minyak dan gas utama di Malaysia. Jelasnya, jika ada pihak di Semenanjung mempertikaikan subsidi itu, mereka perlu melihat kedudukan dan keperluan dua negeri itu terhadap bahan api berkenaan. “Kalau ada rakan-rakan di Semenanjung yang mempersoalkan kenapa Sabah mendapat subsidi diesel, tanya dulu siapa yang mengeluarkan gas dan minyak itu. “Sabah adalah pengeluar minyak dan mesti jelaskan kepada Sabah apa yang telah dikembalikan semula kepada rakyat Sabah. “Jadi ini pandangan saya, jawapan saya kepada sebahagian mungkin pemimpin, sebahagian pihak di Semenanjung yang melihat kenapa Sabah diberi sedemikian, Semenanjung sebaliknya,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Aidilfitri UPKO, di sini, pada malam Khamis. Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata sejak Akta PETRONAS dikuatkuasakan, Sabah kehilangan sumber terbesarnya iaitu gas dan minyak. “Jadi saya pertahankan keputusan memberikan subsidi diesel, subsidi-subsidi lain yang diperlukan oleh rakyat Sabah kerana sememangnya kita berhak. “Kita sudah subsidikan pembangunan di tempat lain, jadi kembalikan apa yang Sabah ini sepatutnya dapat yang telah hilang sejak akta-akta tertentu diperkenalkan, terutama Akta PETRONAS,” katanya. Katanya, sebagai negeri yang menyumbang hasil gas dan minyak kepada negara, Sabah berhak mendapat semula pulangan daripada hasil minyak dan gas yang diperolehi dalam wilayah Sabah. Beliau berkata, pihaknya menghargai keputusan Kerajaan Persekutuan memberikan subsidi diesel kepada Sabah dan Sarawak sebelum ini. “Saya terlibat membuat keputusan itu. Saya masih berada dalam Kabinet Persekutuan ketika itu dan kita pertahankan kerana Sabah adalah negeri atau kawasan yang mengeluarkan gas dan minyak. “Saya konsisten mengatakan hasil gas dan minyak dari Sabah ini dan dari negeri-negeri pengeluar gas dan minyak inilah yang subsidikan pembangunan di beberapa negeri lain yang tidak mengeluarkan gas dan minyak. “Untuk Sabah kita berhak mendapat pulangannya, bukan hanya pulangan pembangunannya tetapi juga hasil itu digunakan untuk keperluan domestik dalam Sabah. “Jadi salah satu yang boleh dikembalikan itu adalah subsidi kerana rakyat Sabah berhak mendapat pulangan daripada hasil muka buminya iaitu gas dan minyak,” katanya. – Info X
March 27, 2026
Info X Reporters
Hajat ‘beraya sakan’ naik pikap curi tidak kesampaian
KOTA KINABALU: Hasrat dua lelaki untuk ‘beraya sakan’ dengan menaiki kenderaan pikap dipercayai dicuri berakhir apabila mereka dicekup selepas dikejar di Kampung Air, di sini, petang tadi. Kenderaan itu dilaporkan hilang di Kinabatangan sebelum dikesan berada di bandar raya ini oleh ahli kelab kenderaan yang kebetulan terserempak. Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai cuba berlagak tenang memandu di tengah kesibukan kota, seolah-olah kenderaan itu milik sendiri. Namun, gerak-geri mencurigakan mereka mengundang perhatian ahli kelab kenderaan berkenaan. Ahli kelab itu kemudian mengekori pikap terbabit dengan bantuan motosikal serta beberapa kenderaan lain yang berada berhampiran. “Ketika dikejar, suspek memandu laju dan berbahaya sehingga hampir merempuh kenderaan lain, mencetuskan detik cemas di jalan raya,” katanya. Aksi itu bagaimanapun berakhir apabila kenderaan berkenaan secara tiba-tiba berhenti di kawasan Kampung Air, dipercayai kehabisan minyak. Kesempatan itu digunakan pihak yang mengejar untuk menghampiri sebelum dua lelaki terbabit dipaksa keluar dari kenderaan berkenaan. Kedua-dua lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Rakaman video kejadian itu turut tular di media sosial, memaparkan detik mendebarkan usaha orang awam membantu menjejaki kenderaan dicuri. – Info X
March 26, 2026
Info X Reporters
Inisiatif BUDI95 dikurang ke 200 liter sebulan bermula April
KOTA KINABALU: Kerajaan mengumumkan penyelarasan kelayakan penggunaan subsidi bahan api di bawah inisiatif BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, berkuat kuasa 1 April ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah berkenaan dilaksanakan sebagai pendekatan bersasar bagi memastikan subsidi terus memanfaatkan majoriti rakyat, khususnya dalam keadaan pasaran minyak global yang tidak menentu ketika ini. Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti corak penggunaan semasa, yang menunjukkan sebahagian besar rakyat menggunakan bahan api pada kadar lebih rendah daripada had baharu tersebut. “Purata penggunaan BUDI95 adalah sekitar 100 liter sebulan. Ini bermakna majoriti rakyat sebenarnya menggunakan kurang daripada 200 liter, dan hampir 90 peratus tidak akan terjejas dengan penyelarasan ini,” katanya. Beliau berkata demikian dalam satu perutusan khas hari ini yang menyentuh langkah strategik negara bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi krisis tenaga global, susulan konflik yang berlaku di Asia Barat. Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa harga subsidi BUDI95 kekal pada kadar RM1.99 seliter sebagai usaha berterusan kerajaan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat. Selain itu, had siling penggunaan bagi golongan e-hailing dan pekerja gig turut dikekalkan sehingga 800 liter sebulan, mengambil kira keperluan pekerjaan serta tanggungjawab harian mereka. Kerajaan menjelaskan bahawa langkah penyelarasan ini bersifat sementara, sementara menunggu kestabilan semula pasaran minyak global dan pemulihan ekonomi dunia yang ketika ini masih belum menunjukkan tanda-tanda positif. – Info X
March 26, 2026
Info X Reporters
1,000 golongan memerlukan diraikan pada rumah terbuka Aidilfitri Sabah
KOTA KINABALU: Lebih 1,000 golongan memerlukan termasuk anak yatim dan pelajar tahfiz bakal diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah pada 28 Mac ini. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, majlis bertemakan Aidilfitri Wadah Perpaduan itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bermula jam 10 pagi hingga 2 petang. Katanya, majlis berkenaan dijangka menerima kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung. “Pada tahun ini, kita memperluaskan penglibatan golongan memerlukan termasuk lebih 1,000 anak tahfiz dan anak yatim untuk bersama-sama meraikan sambutan ini. “Kita juga akan menyampaikan sumbangan kepada sembilan rumah kebajikan melibatkan anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan golongan memerlukan,” katanya ketika ditemui selepas temubual bersama SabahFM di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini. Beliau berkata, pendekatan itu selaras dengan nilai keprihatinan selain menekankan konsep kesederhanaan namun memberi impak kepada masyarakat sasaran. Menurutnya, sebanyak 71 gerai melibatkan usahawan tempatan serta 15 hotel akan menyediakan pelbagai juadah Aidilfitri kepada pengunjung. “Penglibatan vendor ini secara tidak langsung membantu usahawan kecil menjana pendapatan. “Selain itu, enam agensi termasuk pihak berkuasa tempatan dan kementerian turut mengambil bahagian dalam penyediaan sajian bagi memastikan kepelbagaian makanan kepada tetamu,” katanya. Majlis itu dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta barisan kepimpinan negeri. Orang ramai khususnya di sekitar Kota Kinabalu dan daerah berhampiran dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan berkenaan. – Info X
March 26, 2026
Info X Reporters
Beri perhatian serius soal pemakanan elak penyakit buah pinggang – Masidi
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diingatkan supaya memberi perhatian lebih serius terhadap penjagaan kesihatan, khususnya dalam aspek pemakanan harian bagi mengelak penyakit seperti buah pinggang. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ketika ini penyakit buah pinggang semakin menjejaskan ramai keluarga di negeri ini. Katanya, banyak penyakit serius boleh dicegah sekiranya orang ramai lebih peka terhadap gaya hidup seharian dan tabiat pemakanan, bukan hanya buah pinggang. “Soal kesihatan tidak seharusnya hanya menjadi perhatian apabila seseorang itu jatuh sakit, sebaliknya perlu dijaga lebih awal melalui kesedaran yang lebih tinggi, disiplin diri serta pilihan makanan yang lebih sihat,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Raya Yayasan Buah Pinggang Sabah, di sini, pada Khamis. Pada majlis itu, Masidi turut mengumumkan bantuan khas kerajaan berjumlah RM100,000 kepada yayasan itu bagi menyokong usaha membantu pesakit buah pinggang. Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, bantuan itu akan disalurkan dalam dua peringkat, dengan RM50,000 diserahkan terlebih dahulu, manakala baki RM50,000 lagi akan diberikan selepas yayasan menunjukkan perkembangan yang baik dalam melaksanakan peranannya. Masidi berkata, penyakit buah pinggang tidak boleh dipandang ringan memandangkan ramai pesakit masih bergantung kepada rawatan hemodialisis untuk terus hidup. “Sabah ketika ini mempunyai kira-kira 460 mesin hemodialisis di hospital kerajaan yang memberi perkhidmatan kepada sekitar 2,400 pesakit, bermakna satu mesin dikongsi oleh kira-kira lima pesakit. “Angka itu bukan saaja mencerminkan tekanan terhadap perkhidmatan kesihatan, tetapi juga beban yang ditanggung pesakit, khususnya mereka yang terpaksa melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan,” katanya. Beliau turut menggesa Yayasan Buah Pinggang Sabah supaya lebih proaktif dan strategik dalam memperluaskan perkhidmatan hemodialisis ke kawasan yang masih kekurangan kemudahan itu. Masidi turut menegaskan pentingnya integriti, akauntabiliti dan ketelusan bagi memastikan setiap sumbangan benar-benar memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan. – Info X
March 26, 2026
Info X Reporters
Bomba Keningau beri penjelasan pematuhan SOP operasi SAR di Sungai Pegalan
KENINGAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Sungai Pegalan bukan sekadar perlumbaan siapa paling cepat menemui mangsa, sebaliknya dilaksanakan mengikut prosedur ketat demi keselamatan semua pihak. Menerusi perkongsian di Facebook Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, pihaknya menjelaskan setiap tindakan dalam operasi SAR tertakluk kepada Standard Operating Procedure (SOP) yang mengutamakan nyawa anggota penyelamat. Menurut kenyataan itu, pihak bomba tidak boleh mengarahkan anggota menggunakan kaedah berisiko seperti berhanyut dengan tong atau peralatan tidak standard kerana boleh mengundang bahaya selain melanggar SOP operasi. “Sebarang tindakan di luar SOP bukan sahaja membahayakan anggota, malah boleh memberi implikasi perundangan kepada jabatan, komander operasi dan keluarga anggota,” menurut kenyataan itu. BBP Keningau turut menjelaskan Sungai Pegalan mempunyai pelbagai risiko tersembunyi termasuk ancaman buaya selain fenomena ‘strainer’ dan ‘siphon’ akibat akar, kayu tumbang serta celahan batu di dasar sungai. “Keadaan ini boleh memerangkap penyelamat di bawah arus deras dan amat sukar untuk melepaskan diri walaupun memakai jaket keselamatan,” katanya. Menurutnya, operasi SAR yang dijalankan bukan sekadar menunggu, sebaliknya melibatkan strategi pembahagian sektor secara sistematik bersama agensi lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). “Pasukan pertama memberi tumpuan kepada pencarian permukaan dan tebing dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang. “Pasukan kedua pula meluaskan pencarian sehingga lima kilometer melibatkan laluan Sungai Ansip hingga ke Sungai Melalap di Tenom,” katanya. Selain itu, penggunaan dron turut dilaksanakan bagi memantau kawasan berisiko tinggi yang sukar diakses, manakala penggunaan bot adalah terhad berikutan keadaan sungai yang cetek, berbatu serta mempunyai halangan seperti kabel merentasi sungai. Dalam pada itu, BBP Keningau menegaskan operasi tetap diteruskan tanpa henti walaupun berdepan cabaran ekstrem termasuk tebing curam, bongkah batu besar dan air keruh. Katanya, kejayaan menemukan mangsa oleh pasukan sukarelawan atau penduduk kampung juga dianggap sebagai kejayaan bersama kerana mereka merupakan rakan strategik dalam operasi. “Tiada istilah siapa lebih hebat. Matlamat kita hanya satu iaitu membawa mangsa pulang kepada keluarga,” katanya. Bomba turut menghargai kerjasama penduduk Keningau yang terus memberi sokongan sepanjang operasi bersepadu dijalankan. – Info X
March 26, 2026
Info X Reporters
Malam di rumah saudara bertukar detik hitam
TAWAU: Niat seorang remaja perempuan bermalam di rumah saudara bertukar detik hitam apabila menjadi mangsa perbuatan terkutuk seorang lelaki dikenali dalam kejadian di Merotai Besar, di sini. Kejadian itu disedari selepas mangsa tampil membuat laporan polis sebelum siasatan segera dijalankan pihak berkuasa. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan laporan diterima, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai dengan kerjasama penduduk kampung menjalankan operasi mengesan suspek. “Lelaki warga asing berusia lingkungan 20 tahun itu berjaya ditahan di hadapan sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Simpang Tiga Merotai Besar. “Suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang sedang disiasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. – Info X
March 26, 2026
Info X Reporters
Kerajaan siap siaga hadapi risiko kesihatan akibat cuaca panas – Julita
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi cuaca panas berterusan yang dibimbangi memberi kesan kesihatan kepada rakyat, khususnya pekerja luar, komuniti luar bandar dan golongan berisiko. Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata pihaknya memandang serius peningkatan kes berkaitan haba yang dilaporkan di seluruh negara seperti dinyatakan Kementerian Kesihatan (KKM). “Di Sabah, ramai rakyat bekerja di luar seperti nelayan, petani dan pekerja ladang, maka risiko pendedahan kepada haba adalah lebih tinggi dan memerlukan perhatian khusus,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Julita turut menggesa sekolah, pusat jagaan kanak-kanak dan penjaga untuk mengambil langkah berjaga-jaga tambahan bagi melindungi kanak-kanak daripada ancaman cuaca panas. Katanya, perhatian juga ditumpukan tergadap golongan berisiko lain seperti warga emas, wanita hamil dan individu yang menghidap penyakit kronik. “Kerajaan negeri sedang memantau keadaan cuaca secara rapi dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan amaran dan tindakan dapat dilaksanakan dengan segera. “Kemudahan kesihatan di peringkat daerah juga sentiasa dipantau bagi memastikan tahap kesiapsiagaan kekal mencukupi. “Kami komited untuk memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara sepanjang tempoh cuaca panas ini,” katanya. – Info X