Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

October 3, 2026

Info X Reporters

Gempa bumi lemah magnitud 3.5 di Ranau

RANAU: Gempa bumi lemah bermagnitud 3.5 menggegarkan Panginatan, di sini, pagi ini dengan gegaran turut dirasai penduduk di sekitar daerah berkenaan. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya memaklumkan, gempa bumi itu berlaku pada jam 10.57 pagi pada koordinat 5.9 darjah Utara dan 116.7 darjah Timur. Menurutnya, pusat gempa dikesan kira-kira 14 kilometer (km) di selatan Ranau pada kedalaman 13 km. “Gegaran dirasai di Ranau, Sabah dan kawasan sekitarnya. “Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. MetMalaysia turut meminta orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi berkenaan mengisi borang soal selidik yang disediakan jabatan itu bagi membantu pengumpulan maklumat berkaitan kejadian. – Info X

October 3, 2026

Info X Reporters

Imigresen gempur lima daerah, 82 PATI ditahan

KOTA KINABALU: Seramai 82 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi 12 operasi penguatkuasaan di lima daerah dalam tempoh enam hari. Operasi bermula 26 September hingga 1 Oktober itu dilaksanakan di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Keningau dengan keseluruhan 288 individu diperiksa. JIM Sabah dalam kenyataan berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 43 warga Filipina, 15 warga Indonesia dan 24 warga Pakistan. “Daripada jumlah warga Filipina, 21 adalah lelaki dewasa, 14 wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan. “Bagi warga Indonesia pula, tangkapan membabitkan 11 lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan, manakala semua 24 warga Pakistan yang ditahan adalah lelaki dewasa,” katanya. Menurut kenyataan itu lagi, operasi berkenaan dilaksanakan di pelbagai lokasi strategik sebagai sebahagian usaha berterusan membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen. Sementara itu, JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan di seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen. “Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara. “Sebarang maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh disalurkan kepada JIM menerusi saluran aduan rasmi jabatan,” katanya. – Info X

October 3, 2026

Info X Reporters

Isteri orang dicekup khalwat dalam kereta

KUNAK: Seorang wanita berstatus isteri orang dicekup bersama seorang lelaki kerana disyaki berkhalwat di dalam sebuah kenderaan, di sini, semalam. Pasangan berkenaan dicekup penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kunak menerusi Operasi Cegah Maksiat. Menurut JHEAINS Kunak, pemeriksaan mendapati lelaki dan wanita terbabit berada bersama di dalam sebuah kenderaan dalam keadaan yang membawa kepada kesalahan khalwat. Lebih mengejutkan, hasil pemeriksaan mendapati wanita terbabit berstatus isteri orang. Kedua-duanya kemudian dibawa oleh penguat kuasa JHEAINS Kunak untuk tindakan serta siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang syariah yang berkuat kuasa. JHEAINS dalam pada itu mengingatkan masyarakat supaya menjaga batas pergaulan serta mengelakkan perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah dan membawa kemudaratan kepada institusi keluarga serta masyarakat. – Info X

October 2, 2026

Info X Reporters

Tercampak dari Honda WR-V sebelum mangsa dihanyut arus deras

KOTA KINABALU: Pemandu Honda WR-V yang ditemukan maut kira-kira dua kilometer dari lokasi keretanya terbabas di Jalan Pan Borneo Inanam, di sini, semalam dipercayai tercampak keluar sebelum dihanyutkan arus deras. Siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang semalam ketika mangsa Benny Chen Chun Hwa, 27, dalam perjalanan dari arah Penampang menuju Menggatal. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, sebaik tiba berhampiran simpang masuk Kampung Kawakaan, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan. Katanya, Honda WR-V itu kemudian melanggar penghadang jalan sebelum terjunam ke dalam parit. “Mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan sebelum dihanyutkan arus deras. “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh bomba terpaksa dihentikan sementara pada malam kejadian berikutan keadaan cuaca dan arus deras sebelum disambung semula pagi ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, polis menerima maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira jam 10.50 pagi berhubung penemuan mangsa di kawasan Kampung Kawakaan, Inanam. “Mangsa ditemukan tersangkut pada kayu di dalam sungai, kira-kira dua kilometer dari lokasi kemalangan sebelum dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Sementara itu, Shahrudin berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Royston Ubak di talian 016-3130153 atau mana-mana balai polis berhampiran. Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang selepas Honda WR-V dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam parit ketika hujan lebat, petang semalam. Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video pengguna jalan raya yang menunjukkan kenderaan berkenaan berada di dalam parit di laluan Jalan Pan Borneo. Beberapa individu turut dilihat berada di lokasi bagi membantu, sebelum sebuah kren digunakan untuk mengangkat kenderaan berkenaan keluar dari parit. – Info X

October 2, 2026

BERNAMA

Perkasa GPS sebagai wadah budayakan sikap prihatin, kesukarelawanan – Armizan

KOTA KINABALU: Gerakan Pengguna Siswa (GPS) perlu terus diperkasakan sebagai wadah untuk membudayakan sikap prihatin, kesukarelawanan dan saling membantu dalam kalangan mahasiswa, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali. Beliau berkata penglibatan GPS dalam menangani isu kos sara hidup perlu membawa manfaat langsung kepada kehidupan mahasiswa, termasuk menerusi pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) di institusi pendidikan tinggi (IPT). “Empati dan peduli rakan mahasiswa … inilah antara transformasi peranan GPS yang mahu kita perkukuh melalui i-FB sejajar dengan tiga terasnya 3S, iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan,” katanya. Beliau berkata demikian menerusi laman Facebooknya hari ini bersempena dengan Program Advokasi Kepenggunaan dalam Aktivisme Belia dan Penyerahan Geran i-FB yang dihadiri lebih 1,000 mahasiswa di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu, di sini malam tadi. Armizan berkata ketika ini, terdapat 196 GPS di seluruh negara, termasuk 34 GPS di Sabah, manakala 56 GPS terlibat dalam menjayakan i-FB di IPT masing-masing, termasuk tujuh di Sabah. Jaringan berkenaan, katanya, dapat menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama mahasiswa, pihak institusi, sektor swasta dan rakan strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memastikan pelaksanaan i-FB dapat digerakkan secara berterusan. “Melalui i-FB, mereka turut menjadi penggerak yang menyuburkan budaya kepedulian, kesukarelawanan dan saling membantu, sekali gus membina jaringan sokongan agar mahasiswa yang berdepan dengan kekangan dapat memberikan tumpuan pada pengajian,” katanya. Dalam pada itu, Armizan berkata program berkenaan turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk berdialog tentang isu kos sara hidup serta peranan mereka dalam menggerakkan advokasi kepenggunaan di kampus. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Belia Sabah, pihak UiTM Sabah dan semua rakan strategik atas kerjasama dalam menjayakan program berkenaan. Beliau berharap usaha bersama itu dapat terus memperkukuh peranan mahasiswa sebagai pengguna yang bijak dan cakna, selain menjadi penggerak komuniti kampus yang prihatin terhadap kebajikan sesama mereka.–BERNAMA

October 2, 2026

Info X Reporters

Carlsberg Malaysia raih dua pengiktirafan The Edge Billion Ringgit Club Awards

SHAH ALAM: Carlsberg Brewery Malaysia Berhad (Carlsberg Malaysia) meraih dua pengiktirafan pada The Edge Billion Ringgit Club Awards 2026, termasuk anugerah Highest Return-on-Equity (ROE) bagi sektor Produk dan Perkhidmatan Pengguna untuk tahun ketujuh berturut-turut. Syarikat itu turut menerima anugerah Best Corporate Responsibility (CR) Initiatives buat kali ketiga dalam kalangan syarikat bermodal pasaran antara RM1 bilion hingga RM10 bilion. Pengiktirafan berkenaan mencerminkan prestasi kewangan serta usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat dalam mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham, pihak berkepentingan serta komuniti. Anugerah Highest ROE itu berdasarkan prestasi ROE tiga tahun syarikat bagi tempoh 2023 hingga 2025. Menurut Laporan Tahunan Bersepadu 2025, Carlsberg Malaysia mencatatkan pulangan atas dana pemegang saham sebanyak 125.8 peratus pada 2025, 134.3 peratus pada 2024 dan 177.8 peratus pada 2023. Sementara itu, pengiktirafan Best CR Initiatives diberikan susulan usaha syarikat memperkukuh amalan perniagaan bertanggungjawab serta memberi impak positif sepanjang rantaian nilainya. Antara inisiatif yang diketengahkan ialah peluasan program sumber bertanggungjawab kepada pembekal, termasuk amalan berkaitan hak asasi manusia dan buruh selaras dengan Pelan Tindakan Negara mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) 2025-2030 serta Dasar Hak Asasi Manusia Global syarikat yang diperbaharui. Program Top Ten Charity Campaign yang dilaksanakan sejak 1987 turut menjadi antara inisiatif tanggungjawab korporat syarikat, dengan kutipan mencecah RM600 juta pada 2025 dan memberi manfaat kepada lebih 700 sekolah aliran bahasa di seluruh negara. Pengarah Urusan Carlsberg Malaysia, Stefano Clini, berkata dua pengiktirafan itu mencerminkan usaha bersama warga syarikat serta kepercayaan pengguna, pelanggan, komuniti dan pihak berkepentingan. Beliau berkata syarikat akan terus melabur dalam jenama, keupayaan kilang bir dan inisiatif transformasi digital bagi memperkukuh daya tahan perniagaan serta mencipta nilai mampan jangka panjang kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan. Katanya, langkah itu penting berikutan ketidaktentuan geopolitik dan turun naik pasaran modal yang terus membentuk persekitaran operasi yang semakin mencabar. Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Kelestarian Carlsberg Malaysia, Pearl Lai, berkata syarikat terus memperkukuh agenda ESG menerusi program Brewing Tomorrow. Katanya, syarikat bersama rakan kerjasama berpegang kepada Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) 4 berkaitan Pendidikan Berkualiti menerusi kempen Top Ten bagi membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih baik untuk pelajar dan pendidik. Carlsberg Malaysia adalah antara 183 syarikat yang layak menyertai Billion Ringgit Club tahun ini daripada 1,060 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Anugerah berkenaan mengiktiraf syarikat berdasarkan prestasi pertumbuhan keuntungan, ROE dan jumlah pulangan kepada pemegang saham dalam tempoh tiga tahun bergulir, selain komitmen terhadap tanggungjawab korporat.-Info X

October 2, 2026

BERNAMA

Kekalkan momentum, bawa pulang kemenangan menentang Vietnam – Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru skuad Harimau Malaya supaya mengekalkan momentum kemenangan ketika menentang Vietnam dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala ASEAN FIFA 2026, Isnin ini. Menerusi catatan di laman Facebook hari ini, Perdana Menteri berkata semangat juang dan kesungguhan skuad kebangsaan sepanjang kempen tetap membanggakan seluruh rakyat Malaysia meskipun terlepas ke final. Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Harimau Malaya atas kemenangan bergaya membelasah Singapura 6-0 pada aksi malam tadi. “Perjuangan belum selesai. Fokus kini kepada penentuan tempat ketiga dan keempat menentang Vietnam. Kekalkan momentum, berjuang hingga wisel terakhir dan bawa pulang kemenangan untuk Malaysia!” katanya menerusi hantaran itu. “Walaupun terlepas ke final, semangat juang dan kesungguhan Harimau Malaya sepanjang kempen tetap membanggakan seluruh rakyat Malaysia, sekali gus membuktikan pasukan negara mampu bersaing dan memberikan yang terbaik,” katanya. Dalam aksi terakhir Divisyen 1 Kumpulan A di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Indonesia malam tadi, Malaysia membenam Singapura 6-0, namun keputusan itu belum cukup untuk membawa skuad negara ke final berdasarkan jumlah jaringan. Malaysia dan Indonesia terikat dengan tujuh mata serta mencatat perbezaan sembilan gol, namun kelebihan berpihak kepada skuad Garuda yang mengumpul 11 jaringan berbanding sembilan gol oleh skuad negara. Skuad kendalian Indonesia mengesahkan tiket ke final selaku juara kumpulan selepas mengalahkan Bangladesh 9-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta. Aksi penentuan tempat ketiga antara Harimau Malaya dan Vietnam dijadual berlangsung di venue yang sama di Jakarta, Isnin ini.–BERNAMA

October 2, 2026

Info X Reporters

Ellron bersama bekas pemimpin dan ahli STAR sertai PGRS

KENINGAU: Bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin, bersama bekas pemimpin dan ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dari Sook, Nabawan dan Tulid, menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), di sini. Ellron menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Bahagian PGRS Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) PGRS Bahagian Pensiangan di Hotel Sento, di sini, pada Khamis. Beliau turut dilantik sebagai AJK PGRS Bahagian Pensiangan selepas menyertai parti berkenaan. Abdul Ghani berkata, perubahan struktur daripada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Parlimen menjadikan pentadbiran parti lebih mencabar, namun pada masa sama memberi ruang untuk memperkemas persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16. Beliau berkata, PGRS Bahagian Pensiangan turut mewujudkan Jawatankuasa Penyelaras di peringkat DUN sebagai langkah persediaan memperkukuh jentera pilihan raya menghadapi PRU16. Katanya, pelantikan AJK Penaja turut mengambil kira kedudukan DUN dan setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM), manakala penubuhan cawangan PGRS berasaskan PDM di setiap kawasan. Abdul Ghani mengalu-alukan penyertaan Ellron serta bekas pemimpin dan ahli STAR ke PGRS, yang disifatkannya sebagai tambahan kekuatan kepada parti itu di Bahagian Pensiangan. – Info X