August 6, 2026
Info X Reporters
Sabah Electricity sahkan kerjasama penuh siasatan kes tiga anggota polis maut
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) mengesahkan kejadian renjatan elektrik yang mengorbankan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Weston, Beaufort, petang tadi dan memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi melengkapkan siasatan. Dalam kenyataan, Sabah Electricity itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta seluruh warga PDRM atas kehilangan tiga anggota berkenaan. Menurut Sabah Electricity, sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu, pasukan teknikalnya segera digerakkan ke lokasi bagi memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat. Katanya, pihaknya turut memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dan agensi berkaitan dalam siasatan yang sedang dijalankan. “Pada masa ini, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan. “Sabah Electricity komited memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sehingga siasatan selesai serta akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan,” menurut kenyataan itu, malam ini. Terdahulu, dalam kejadian jam 5.50 petang tadi, tiga anggota polis dari Balai Polis Weston maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan penjolok besi untuk mengambil buah kelapa di Jalan Weston, Kampung Weston, Beaufort. Kejadian dipercayai berlaku apabila galah besi yang digunakan terkena kabel elektrik sebelum dua lagi anggota yang cuba membantu turut terkena renjatan. Mangsa ialah anggota Balai Polis Weston, iaitu Koperal Chiu Teck Siong, 40; Konstabel Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29; dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26. – Info X
August 6, 2026
Info X Reporters
Kenyataan didakwa fitnah, tidak berasas, Shamsul saman Jufazli
KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Mohd Shamsul Nizam Abdul Wahid memfailkan saman fitnah terhadap seorang individu berhubung kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau menerusi penyebaran dua video di media sosial, baru-baru ini. Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan itu difailkan terhadap pempengaruh media sosial, Jufazli Shi Ahmad pada 23 Julai lalu bagi mendapatkan pembelaan undang-undang berhubung dakwaan yang disifatkan sebagai tidak benar dan menjejaskan reputasinya. Mohd Shamsul berkata, antara tuduhan yang terkandung dalam video berkenaan ialah dakwaan berkaitan penggunaan gelaran profesional Ir, pemalsuan dokumen serta dakwaan mengatakan beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Pengarah JKR Sabah. “Saya ingin menegaskan bahawa segala tuduhan yang dibuat adalah tidak benar dan tidak berasas. Saya masih berkhidmat sebagai penjawat awam dan tidak pernah dibuang kerja,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Beliau beliau turut memperoleh Perintah Injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 3 Ogos 2026 melalui peguamcaranya, Effendi Othman dan Khalid Murshidi dari Tetuan Effendi & Co. Menerusi perintah itu, mahkamah mengarahkan Jufazli mengeluarkan kedua-dua video berkenaan daripada semua platform media sosial serta melarangnya daripada terus menyiarkan, mengulas atau membenarkan penyebaran kenyataan yang didakwa berunsur fitnah. Mohd Shamsul berkata, tindakan undang-undang itu diambil bagi mempertahankan nama baik dan reputasinya selain memastikan perkara berkenaan diselesaikan mengikut lunas perundangan. “Saya percaya kepada proses undang-undang dan memohon orang ramai agar tidak membuat spekulasi lanjut memandangkan perkara ini kini di bawah tindakan mahkamah,” katanya. Kes berkenaan kini sedang dalam proses perundangan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. – Info X
August 6, 2026
Info X Reporters
Dr Joachim, Joniston menang tanpa tanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden PBS
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai menang tanpa bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS). Turut menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PBS ialah Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam. Ketiga-tiga mereka memenangi jawatan itu bagi tempoh 2026-2029 selepas pencalonan bagi pemilihan PBS pada tahun ini yang ditutup pada 31 Julai lalu. Kemenangan tanpa bertanding Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, ADUN Kiulu dan ADUN Lumadan itu diumumkan Setiausaha Agung selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PBS, Datuk Julita Majungki. “Dr Joachim yang ketika ini memangku jawatan presiden sejak tiga tahun lalu adalah satu-satunya calon Presiden PBS ketika pencalonan parti ditutup pada 31 Julai lalu. “Begitu juga ADUN Kiulu, Joniston, adalah satu-satunya calon bagi jawatan Timbalan Presiden di bawah kuota bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Khamis. Katanya, Ruslan menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden PBS bagi kuota Bumiputera Islam. PBS mempunyai tiga kuota Timbalan Presiden, masing-masing bagi kuota Bumiputera bukan Islam, Bumiputera Islam dan Cina atau bukan Bumiputera. Julita berkata, Dr Joachim dan Joniston adalah calon tunggal yang menerima pencalonan mencukupi untuk melayakkan diri dalam pemilihan parti kali ini. Ruslan pula, katanya menang tanpa bertanding selepas seorang lagi calon bagi jawatan Timbalan Presiden kuota Bumiputera Islam hanya menerima satu pencalonan. “Calon perlu mendapat minimum tiga pencalonan bagi melayakkan mereka bertanding pada pemilihan parti,” katanya. Beliau berkata, bagi jawatan Timbalan Presiden di bawah kuota Cina, dua calon layak bertanding iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui dan Ahli Majlis Tertinggi PBS, Goon Thien Shang. Sementara itu, Julita berkata tiga pencalonan diterima bagi dua jawatan naib presiden Bumiputera bukan Islam, iaitu ADUN Tandek, Datuk Hendrus Anding; ADUN Telupid, Datuk Jonnybone J Kurum dan penyandangnya, Datuk Johnny Mositun. Katanya, enam calon pula layak bertanding bagi jawatan Naib Presiden kuota Bumiputera Islam, manakala lima calon bagi jawatan sama di bawah kuota Cina. “Pemilihan kali ini juga menyaksikan 28 calon layak bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi kuota Bumiputera bukan Islam, 23 calon bagi Bumiputera Islam dan 15 calon bagi kuota Cina. “Secara keseluruhan ada tujuh kekosongan Ahli Majlis Tertinggi bagi Bumiputera bukan Islam, lima bagi Bumiputera Islam dan empat bagi kuota Cina. Penerimaan pencalonan ditutup pada 7 Ogos,” katanya. Julita berkata, sebanyak 79 pencalonan diterima untuk semua jawatan yang dipertandingkan pada pemilihan PBS dengan lebih separuh daripada mereka bertanding kali pertama. Sementara itu, Dr Joachim menyifatkan jumlah calon itu, dengan separuh julung kali bertanding membuktikan ramai yang mahu berkhidmat kepada parti. PBS dijadual mengadakan pemilihan sempena kongres tahunannya pada September depan.- Info X
August 6, 2026
Info X Reporters
Galah besi terkena kabel elektrik punca tiga anggota polis maut terkena renjatan
BEAUFORT: Tiga anggota polis yang maut akibat renjatan elektrik di Jalan Weston, Kampung Weston, di sini, petang tadi, dipercayai sedang menjolok buah kelapa menggunakan galah besi sebelum alat itu terkena kabel elektrik. Dalam kejadian 5.50 petang itu berlaku apabila galah besi yang digunakan secara tiba-tiba hilang keseimbangan lalu terkena kabel elektrik di atas. Dua lagi anggota yang berada berhampiran kemudian cuba membantu mangsa, namun turut terkena renjatan sebelum ketiga-tiganya rebah. Mangsa ialah anggota Balai Polis Weston, iaitu Koperal Chiu Teck Siong, 40; Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29; dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga anggota terbabit pergi mengambil buah kelapa sebelum berlaku kejadian berkenaan. “Ketika menggunakan galah besi yang panjang, alat itu dipercayai hilang keseimbangan lalu terkena kabel elektrik. “Dua lagi anggota cuba membantu rakannya, namun turut terkena renjatan elektrik,” katanya ketika dihubungi, malam ini. Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat mereka dibawa ke Hospital Beaufort untuk tindakan lanjut. Katanya, polis sudah membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, manakala bedah siasat akan dijalankan sebelum mayat diserahkan kepada waris. Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 5.56 petang sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort dikejarkan ke lokasi. Pasukan Sabah Electricity kemudian memotong bekalan elektrik di kawasan kejadian sebelum pasukan bomba bersama polis mengangkat mangsa dan memastikan lokasi selamat. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.45 malam. – Info X
August 6, 2026
Info X Reporters
Tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik
BEAUFORT: Tiga anggota polis maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di tepi jalan berhampiran Balai Polis Weston, di sini, petang tadi. Mangsa dikenali sebagai Koperal Chiu Teck Siong, 40; Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29; dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Difahamkan, ketiga-tiga mangsa ditemui terbaring di kawasan berumput di tepi jalan berhampiran Balai Polis Weston dan disyaki meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik. Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa, manakala laporan lanjut dijangka menyusul. Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.56 petang. Susulan itu, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort bersama sebuah Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai. Operasi diketuai Komander Operasi, PBK I Irwan Abdul dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Sabah Electricity. – Info X
August 6, 2026
Info X Reporters
Empat pemilik syarikat, seorang pegawai pemasaran didakwa kemuka dokumen palsu kepada PERKESO
KOTA KINABALU: Empat pemilik syarikat antara lima individu, didakwa di di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, pada Khamis atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berhubung tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dua tahun lalu. Tertuduh, Pausia Abu, 49; Arzeanti Jafar, 40; Nur Farhanah Jamil, 38; Mohd Azhar Ramali, 39 dan seorang eksekutif pemasaran, Foo Fong Kent, 31, masing-masing mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Andi Razalijaya A Dadi. Foo berdepan tiga pertuduhan, Pausia dan Mohd Azhar masing-masing berdepan dua pertuduhan, manakala Arzeanti dan Nur Farhanah masing-masing didakwa atas satu pertuduhan. Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh masing-masing didakwa memberikan kepada seorang ejen PERKESO dokumen Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat masing-masing. Dokumen itu dilampirkan dalam permohonan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0 PERKESO, yang mereka mempunyai sebab untuk mempercayai mengandungi butir matan palsu dengan niat mengelirukan pihak prinsipal. Foo didakwa melakukan kesalahan itu antara 30 Mei hingga 9 Oktober 2024 di Infinity Profit Enterprise di Warisan Square, Jalan Tun Fuad Stephens, di sini, manakala Arzeanti, selaku pemilik Syarikat Tasek Emas Enterprise, didakwa melakukan kesalahan itu pada 6 Ogos 2024 di Desa Sri Taman Laya-Laya, Tuaran. Mohd Azhar, selaku pemilik Syarikat Cyber Vision Enterprise pula didakwa melakukan kesalahan itu pada 7 Jun dan 14 Ogos 2024 di sebuah premis di Alamesra Plaza Utama, Jalan UMS, manakala Pausia, selaku pemilik Syarikat Hajah Yanong Enterprise, didakwa melakukan kesalahan itu pada 15 dan 18 Mac 2024 di Kilang SME Bank, Jalan Papar. Nur Farhanah, selaku pemilik Syarikat Afijay Bersatu pula didakwa melakukan kesalahan itu pada 19 Ogos 2024 di Jalan Tuaran By-Pass, Manggatal. Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun; dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi. Mahkamah menetapkan 14 September depan untuk sebutan pengurusan kes pra-perbicaraan, manakala perbicaraan bagi setiap tertuduh akan dijalankan secara berasingan bermula Oktober depan. Semua tertuduh dibenar ikat jamin dengan dua penjamin tempatan. Foo diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM7,000; Pausia dan Mohd Azhar masing-masing RM10,000 dengan deposit RM5,000; Arzeanti RM8,000 dengan deposit RM4,000; manakala Nur Farhanah RM8,000 dengan deposit RM3,500. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali; passport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah; dan tertuduh tidak boleh mengganggu saksi-saksi pendakwaan sama ada sebelum atau semasa kes berjalan. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Baharom, manakala Foo diwakili peguam Lim Chun Yuan; Pausia, Arzeanti dan Mohd Azhar diwakili peguam Slylyester Kuan. Nur Farhanah pula tidak diwakili peguam.- Info X
August 6, 2026
Info X Reporters
Lelaki melecur di muka akibat kepala dapur gas terbakar
KOTA KINABALU: Seorang lelaki melecur di bahagian muka selepas kepala dapur gas (gas regulator) tong gas terbakar di sebuah restoran di Jalan Cyber City, di sini, tengah hari tadi. Dalam kejadian itu, mangsa berusia 30 tahun dihantar ke hospital oleh rakan sekerja menggunakan kenderaan sendiri untuk mendapatkan rawatan lanjut. Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Zainuddin Saidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.58 tengah hari sebelum menggerakkan lima anggota bersama jentera ke lokasi yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai. Katanya, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran hanya membabitkan kepala dapur gas (gas regulator) pada tong gas LPG di bahagian dapur premis berkenaan. “Kebakaran bagaimanapun berjaya dipadamkan lebih awal oleh pekerja dapur menggunakan alat pemadam api sebelum ketibaan pasukan bomba. “Seorang lelaki mengalami kecederaan melecur di bahagian muka dan telah dihantar ke hospital oleh pekerja premis untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi bagi memastikan tiada lagi punca nyalaan atau bahaya lain yang boleh mencetuskan kebakaran semula. Katanya, selepas keadaan disahkan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2 petang. – Info X
August 6, 2026
Info X Reporters
Yayasan Sabah tawar rebat bayaran balik pinjaman hingga 30 peratus dan pengampunan CTOS
KOTA KINABALU: Peminjam Pengajian Yayasan Sabah sekali lagi berpeluang menikmati insentif rebat menarik melalui pelaksanaan Program Rebat Budi Madani 2026 yang akan berlangsung dari 6 hingga 26 Ogos ini. Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Yayasan Sabah berkata program itu adalah satu inisiatif khas bagi menghargai peminjam yang komited melaksanakan pembayaran balik pinjaman pengajian serta memupuk budaya pembayaran yang mampan. Melalui program ini, katanya peminjam ditawarkan kadar rebat yang menarik mengikut pelbagai kategori bagi menggalakkan lebih ramai peminjam menunaikan tanggungjawab membuat pembayaran balik pinjaman pengajian. Jelas Yayasan Sabah, bayaran balik pinjaman pengajian penting dalam menyumbang kepada kelestarian dana tajaan pengajian yang ditawarkannya kepada pelajar negeri ini. Katanya, di bawah Program Rebat Budi Madani 2026, tiga kategori rebat ditawarkan, bermula dengan rebat 30 peratus kepada peminjam yang berhasrat untuk melunaskan keseluruhan baki pinjaman mereka, khusus untuk peminjam kategori Aktif Bayar, yakni mereka yang membuat pembayaran secara konsisten. Kedua, katanya tawaran rebat 25 peratus kepada peminjam yang berhasrat untuk melunaskan keseluruhan baki pinjaman mereka, khusus untuk peminjam yang tidak termasuk dalam kategori Aktif Bayar. “Yang ketiga ialah rebat 20 peratus kepada peminjam yang membuat pembayaran secara ansuran biasa,” katanya. Pada tahun lalu, katanya program rebat seumpama itu berjaya memberi impak positif terhadap peningkatan kesedaran dalam kalangan peminjam untuk menunaikan tanggungjawab mereka berdasarkan pencapaian jumlah kutipan pinjaman pengajian tertinggi iaitu RM8 juta sejak Yayasan Sabah ditubuhkan. Pemberian insentif itu juga, katanya adalah sebahagian daripada program sosial Kumpulan Yayasan Sabah untuk meringankan beban kewangan yang ditanggung peminjam. “Selain itu, Program Rebat Budi Madani 2026 adalah satu bentuk penghargaan kepada peminjam yang aktif dan konsisten membuat pembayaran. “Pemberian kadar rebat yang lebih tinggi kepada golongan ini adalah sebagai tanda penghargaan di atas dedikasi mereka mematuhi jadual pembayaran balik yang ditetapkan,” katanya. Sejajar dengan peluncuran Program Rebat Budi Madani 2026 kali ini katanya, Yayasan Sabah akan membuka kaunter khas bermula 6 Ogos 2026 kepada peminjam yang berminat menyertai program berkenaan. Katanya, bagi jelajah pertama, sesi satu diadakan di Foyer Bilik Kapalai & Manukan, Aras 2, Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu, bermula jam 9 pagi hingga 3 petang, 6 Ogos 2026, diikuti sesi kedua Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu dari jam 5 petang hingga 10 malam, pada 8 Ogos 2026 (Sabtu). Ia kemudian disusuli jelajah kedua di Tapak Tamu Pekan Papar dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang pada 15 – 16 Ogos 2026 (Sabtu – Ahad), manakala jelajah ketiga di Tapak Tamu Pekan Kota Belud dari 9.00 pagi – 4.30 petang pada 22 – 23 Ogos 2026. Selain itu, katanya sebagai salah satu manifestasi keprihatinan, pihak Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah turut menawarkan program pengampunan CTOS. Melalui program itu, jelasnya peminjam ingkar yang disenaraikan dalam CTOS boleh memohon untuk dikeluarkan daripada senarai dengan membayar balik pinjaman tertunggak dalam jumlah yang munasabah. “Program berbentuk pengampunan ini diharap dapat meringankan beban peminjam yang sebelum ini perlu membayar jumlah tunggakan pinjaman yang besar untuk dikeluarkan daripada senarai CTOS. “Di samping itu, sebagai alternatif bagi memudahkan peminjam berinteraksi berhubung kedua-dua program ini, mereka boleh mengunjungi Kaunter Pembayaran Balik Pinjaman Pengajian, Bahagian Pungutan Pinjaman Pengajian di Aras 26, Menara Tun Mustapha, Kompleks Ibu Pejabat Yayasan Sabah. “Untuk maklumat lanjut mengenai Program Rebat Budi Madani 2026 dan Pengampunan CTOS ini sila layari Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah atau menghubungi talian 011-33181088 dan emel ke [email protected] mengenai Program Rebat Budi Madani 2026,” katanya.- Info X