Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 1, 2026

Info X Reporters

Tiga sekeluarga cemas kereta terjunam ke sungai ketika mengundur

BEAUFORT: Detik cemas dilalui tiga sekeluarga apabila kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai ketika sedang mengundur dalam kejadian di belakang sebuah bank di sini, malam tadi. Semua mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada berhampiran lokasi sebelum ketibaan pasukan bomba. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.42 malam sebelum menggerakkan tujuh anggota bersama jentera ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai. Katanya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah Perodua Bezza terjunam ke dalam sungai selepas dipercayai mengundur sebelum terbabas. “Kejadian membabitkan tiga mangsa iaitu seorang lelaki berusia 28 tahun, seorang wanita berusia 39 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun. “Semua mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi, malam ini. Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan bagi memastikan keadaan semua mangsa berada dalam keadaan selamat. “Semua mangsa selepas itu diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut. “Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.45 malam selepas pasukan bomba memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat,” katanya. – Info X

August 1, 2026

Info X Reporters

BN-PN menang pilihan raya Negeri Sembilan

KOTA KINABALU: Gabungan Barisan Nasional (BN) – Perikatan Nasional (PN) memenangi dua pertiga kerusi pada pilihan raya Negeri Sembilan selepas memperolehi 25 daripada 36 kerusi pada Sabtu. Daripada jumlah itu, BN mendahului di 18 kerusi, manakala PN di tujuh kerusi. Keputusan tidak rasmi itu sekali gus menidakkan usaha Pakatan Harapan (PH) untuk mengekalkan kerajaan negeri yang diterajui pakatan berkenaan sebelum ini. Secara tidak rasmi, PH hanya mendahului di 11 kerusi pada pilihan raya negeri itu. PH bukan saja gagal mempertahankan kerajaan negeri, malah beberapa pemimpin utama mereka turut kecundang, termasuk bekas Menteri Besar yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. Turut kecundang ialah Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Sementara itu, pada sidang medianya, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, BN akan berbincang dengan rakannya, PN mengenai kerjasama pembentukan kerajaan negeri selepas ini. – Info X

August 1, 2026

Info X Reporters

Sabah dapat 40 peratus menerusi projek fasiliti gas terapung

KALABAKAN: Kerajaan Sabah dijangka mendapat 40 peratus bahagian menerusi projek fasiliti gas asli cecair terapung (FLNG) di Sabah yang bakal ditandatangani dengan PETRONAS tidak lama lagi. Perkembangan baharu itu dikongsikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang menyifatkannya sebagai antara kejayaan penting hasil kerjasama baik kerajaan negeri dengan Persekutuan. Beliau berkata, ia juga adalah hasil perjanjian kerjasama yang ditandatangani dengan PETRONAS sebelum ini yang membolehkan kerajaan negeri terbabit secara aktif dalam industri minyak dan gas di negeri ini. Katanya, kerajaan negeri juga bakal mendapat 20 peratus bahagian menerusi projek yang dilaksanakan PETRONAS di lapangan minyak dan gas yang baru ditemui di perairan Sandakan. “Kita berjaya mengadakan perjanjian dengan PETRONAS dan tidak berapa lama lagi, mungkin dalam beberapa bulan ini, kita akan menandatangani perjanjian dengan PETRONAS di mana kita akan mendapat 40 peratus daripada floating gas di Sabah ini. “Di Sandakan, PETRONAS sudah mendapat satu lapangan minyak dan gas, di sini kita akan dibagi 20 peratus,” katanya ketika merasmikan Program Jelajah Rakyat dan Jualan Rahmah MADANI Parlimen Kalabakan di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kalabakan, di sini, pada Sabtu. Terdahulu, beliau mendengar Taklimat Pembangunan Kalabakan yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Kalabakan, Encik Murad Abdul Rashid di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kalabakan. Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman,; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal; Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Negeri, Datuk Jonnybone J Kurum dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy. Hajiji berkata, banyak manfaat yang boleh diperolehi oleh rakyat dan negeri ini dengan adanya hubungan yang baik di antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Katanya, Sabah juga semakin mendapat perhatian pelabur hasil pendekatan mesra pelabur yang dijadikan polisi kerajaan pimpinannya dan ia diakui sendiri oleh diplomat asing yang datang ke negeri ini untuk melihat potensi pelaburan yang ada. “Hampir 40 diplomat asing atau pesuruhjaya tinggi datang berjumpa saya dalam tempoh lima tahun ini, mereka tertarik dengan dasar kita yang mesra pelabur. Mereka kata ini akan melonjakkan Sabah ke arah yang lebih baik dan memang inilah yang kita lakukan untuk Sabah,” katanya. Beliau berkata, kawasan industri sedia ada, khususnya Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) sudah semakin penuh berikutan sokongan pelabur yang semakin baik. Katanya, atas sebab itu kerajaan negeri berusaha mengembangkan kawasan perindustrian baharu termasuk POIC di pantai timur dan taman industri berasaskan ekonomi biru. Sementara itu, mengenai pembangunan Kalabakan, Ketua Menteri berkata kerajaan negeri komited membawa Daerah Kalabakan ke arah pembangunan pesat dan seimbang selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), dengan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan. Antara yang diberi tumpuan, katanya ialah cadangan pembinaan Bandar Baharu Kalabakan yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 ekar, yang bakal menjadi pusat pertumbuhan daerah menerusi pelbagai pembangunan yang dirancang apabila ia dilaksanakan. “Apabila ini dilaksanakan, ia akan menjadi pusat pertumbuhan daerah Kalabakan dengan pelbagai pembangunan yang dirancang,” katanya. Selain bandar baharu, Hajiji berkata kerajaan juga berusaha menambah baik kemudahan infrastruktur Kalabakan, termasuk jalan raya dan pembinaan pusat kuarantin, imigresen dan kastam (CIQ) yang bakal menjadi pintu masuk ke Sabah dari Kalimantan Utara, Indonesia. Beliau berkata, kehadirannya ke Kalabakan hari ini juga bagi meninjau sendiri perkembangan di daerah itu bagi memastikan rakyatnya tidak ketinggalan dari segi pembangunan yang diusahakan oleh kerajaan. – Info X

August 1, 2026

Info X Reporters

Tular heret kabel, dua suspek akhirnya diberkas

PAPAR: Selepas hampir dua minggu diburu, dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian tular mengheret kabel menggunakan sebuah Perodua Bezza akhirnya diberkas polis dalam serbuan di sebuah pondok kebun di Kampung Surapit, di sini, semalam. Dalam serbuan kira-kira jam 4 petang itu, polis bukan sahaja menahan kedua-dua suspek, malah merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel telekomunikasi dan utiliti. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 41 tahun itu diberkas hasil risikan serta siasatan susulan laporan polis yang diterima pada 18 Julai lalu. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. “Siasatan bermula selepas seorang pengadu membuat laporan apabila melihat sebuah Perodua Bezza mengheret seutas kabel berwarna hitam di kawasan Simpang Tiga Jalan Takis Hospital, Papar sebelum mengesyaki kabel itu dicuri. “Bertindak atas maklumat yang dikumpulkan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar menyerbu sebuah pondok kebun di Kampung Surapit dan berjaya menahan kedua-dua suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai barang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan termasuk dua pemotong besi, playar, tukul besi, beberapa bilah senjata tajam, empat batang kulit kabel bertulis Telekom Malaysia Berhad serta guni berisi serpihan kabel aluminium yang sudah dibakar. “Hasil soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kejadian berkenaan dengan suspek berusia 24 tahun dipercayai berperanan sebagai pemandu manakala seorang lagi bertindak memotong dan mengendalikan kabel yang dicuri. “Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine dan kes turut dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Papar untuk tindakan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Heryan berkata, mangsa membabitkan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan Sabah Electricity Sdn Bhd, manakala kegiatan itu bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda tetapi turut menjejaskan penyampaian perkhidmatan penting kepada masyarakat. Katanya, kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan, manakala polis masih melengkapkan siasatan termasuk merakam percakapan saksi, menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian serta analisis terhadap barang kes. Terdahulu, pada 18 Julai lalu, tular video sebuah kereta Perodua Bezza berwarna putih dalam keadaan mencurigakan sedang mengheret seutas kabel sepanjang kira-kira enam meter. Dua orang saksi cuba memberhentikan kenderaan berkenaan namun suspek bertindak memecut dan melarikan diri melalui beberapa jalan utama sebelum menghala ke kawasan Benoni,” katanya. – Info X

August 1, 2026

Info X Reporters

Kerajaan komited perkukuh pembangunan negeri menerusi SMJ 2.0

KOTA KINABALU: Kerajaan komited memperkukuhkan agenda pembangunan negeri melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai kesinambungan usaha membina sebuah negeri yang lebih maju, berdaya saing dan sejahtera. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia selaras dengan aspirasi yang terkandung dalam tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’. “Hala tuju ini memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi yang mampan, pemerkasaan modal insan, peningkatan produktiviti, pengukuhan daya saing, penerapan inovasi dan teknologi serta pembangunan yang inklusif agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera di Menara Kinabalu, di sini, pada Sabtu. Ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun. Pada masa yang sama, Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif yang menyentuh kehidupan rakyat, termasuk dalam aspek pendidikan, kebajikan, perumahan, kesihatan, pembangunan luar bandar, pemerkasaan wanita dan belia serta penyediaan kemudahan asas yang lebih berkualiti. “Saya yakin dengan semangat kebersamaan, tadbir urus yang berintegriti, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan serta sokongan padu seluruh rakyat, kita mampu membawa Sabah melangkah lebih jauh sebagai sebuah negeri yang lebih maju dan sejahtera. “Kerana pada akhirnya, ukuran sebenar kejayaan sesebuah kerajaan bukanlah kepada apa yang berjaya dibina, tetapi sejauh mana rakyat menikmati hasil pembangunan tersebut,” katanya. Sementara itu, Hajiji berkata pelancaran Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera pada hari ini bukan sekadar satu acara, tetapi harus diraikan dengan semangat patriotisme yang membara. “Marilah kita bersama-sama menghayati erti kemerdekaan yang sebenar. Kemerdekaan bukan hanya sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga bebas daripada belenggu kemiskinan dan perpecahan. Kemerdekaan adalah anugerah yang perlu kita hargai dan pertahankan,” katanya. Hajiji turut berkata dalam era digital ini rakyat mempunyai ruang yang lebih luas untuk menyuarakan pandangan dan mengikuti perkembangan pembangunan negeri. “Kerajaan Negeri menghargai setiap pandangan dan teguran sebagai tanda keprihatinan rakyat terhadap masa depan Sabah. “Namun, setiap pandangan hendaklah disampaikan secara bertanggungjawab, berlandaskan fakta yang sahih serta dengan niat untuk membina, bukannya memecahbelahkan. “Manfaatkanlah kemudahan teknologi dengan bijaksana untuk menyebarkan maklumat yang tepat, memupuk persefahaman dan memperkukuh perpaduan,” katanya. Dalam pada itu, Ketua Menteri meminta semua untuk mengibarkan bendera kebangsaan di setiap sudut negeri ini dengan penuh semangat. “Semoga seluruh rakyat akan terus bersatu padu, bekerjasama, dan saling membantu antara satu sama lain, demi masa depan Sabah yang lebih cemerlang. “Marilah kita menjadikan sambutan pada tahun ini sebagai titik tolak untuk memperbaharui iltizam dalam membina sebuah Sabah yang lebih maju dan sejahtera,” katanya. Ends

July 31, 2026

Info X Reporters

Laluan dari bandar raya Kota Kinabalu menuju ke Teluk Likas ditutup sementara

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengumumkan penutupan serta-merta sebuah jambatan di Kilometer 2.850, Jalan Tun Fuad Stephen bermula jam 12 tengah hari hari ini selepas pemeriksaan mendapati berlaku kerosakan struktur yang serius pada lantai konkrit jambatan berkenaan. JKR Sabah dalam satu notis awam memaklumkan, tindakan itu diambil sebagai langkah keselamatan bagi melindungi pengguna jalan raya daripada sebarang risiko yang boleh mengancam nyawa akibat keadaan struktur jambatan yang tidak lagi selamat digunakan. Menurut notis itu, penutupan hanya membabitkan laluan dari bandar raya Kota Kinabalu menuju ke Teluk Likas sahaja, manakala pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. JKR Sabah turut memaklumkan laluan berkenaan hanya akan dibuka semula selepas kerja pembinaan lencongan sementara disiapkan dan disahkan selamat untuk digunakan. Sehubungan itu, orang ramai diminta merancang perjalanan lebih awal serta memberi kerjasama dengan mematuhi arahan papan tanda dan petugas di lokasi bagi memastikan kelancaran trafik serta keselamatan semua pengguna jalan raya. JKR Sabah turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami sepanjang tempoh penutupan tersebut dan menegaskan bahawa langkah berkenaan adalah perlu bagi memastikan keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan.- Info X

July 31, 2026

Info X Reporters

PPM tumpaskan stor rokok seludup di Tenom

TENOM: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 134,600 batang rokok disyaki tidak bercukai bernilai lebih RM167,520 dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Amboi, di sini, semalam. Dalam operasi jam 8.20 pagi yang dijalankan bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom itu, seorang lelaki yang dipercayai menjaga stor berkenaan sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa. Suspek dipercayai meloloskan diri ke kawasan kebun getah berhampiran, manakala pemeriksaan lanjut di stor berkenaan menemukan pelbagai rokok disyaki tidak bercukai. Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan lanjut di dalam stor menemukan pelbagai jenis rokok dipercayai tidak bercukai. Katanya, antara jenama yang dirampas ialah Grow, Tex Light, Astro Blue Berry Fuze serta beberapa jenama lain. “Kesemua rokok yang dirampas dianggarkan bernilai lebih RM167,520 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. “Usaha mengesan suspek yang melarikan diri sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Ahmad Amri berkata, sehingga 30 Julai lalu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 44 kes di bawah Akta Kastam 1967 membabitkan 30 tangkapan dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan mencecah RM6,208,256.66. Beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dan risikan bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta penyimpanan barangan tidak bercukai demi melindungi keselamatan dan kepentingan ekonomi negara. – Info X

July 30, 2026

Info X Reporters

ESSCOM bongkar pelbagai kegiatan haram, 25 PATI ditahan

SANDAKAN: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) membongkar pelbagai aktiviti menyalahi undang-undang menerusi operasi bersepadu selama dua hari di beberapa lokasi sekitar daerah ini. Operasi pada 29 hingga 30 Julai itu menyaksikan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan, selain tindakan penguatkuasaan, rampasan dan kompaun membabitkan nilai keseluruhan RM433,077. Operasi yang dijalankan di Jalan Istana, Kampung Tabah Baru, Kampung Karamunting dan pusat bandar Sandakan itu membabitkan pelbagai kesalahan termasuk imigresen, penyeludupan, penyalahgunaan barang kawalan, sambungan utiliti haram, pelesenan perniagaan, kesalahan pekerjaan serta jenayah hidupan liar. Komander ESSCOM, Datuk Victor B Sanjos berkata, operasi itu membuktikan keberkesanan pendekatan penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara pelbagai agensi di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE). “Operasi ini bukan sahaja berjaya menahan PATI, malah membongkar pelbagai aktiviti haram yang memberi kesan kepada keselamatan, ekonomi, hasil kerajaan dan kesejahteraan masyarakat. “Kejayaan ini mencerminkan komitmen semua agensi dalam memastikan ESSZONE kekal selamat dan bebas daripada sebarang ancaman jenayah,” katanya dalam kenyataan, malam ini. Beliau berkata, seramai 25 PATI terdiri daripada 21 warga Filipina dan empat warga Indonesia ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63. Katanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut merampas rokok tidak bercukai bernilai RM20,000, manakala Sabah Electricity Sdn Bhd memotong dan merampas kira-kira 300 kilogram kabel sambungan elektrik haram bernilai RM15,000. “Sabah Electricity turut menganggarkan kegiatan penyambungan bekalan elektrik secara haram itu menyebabkan kerugian hasil kira-kira RM300,000 setahun. “Dalam operasi sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 1,105 kilogram minyak masak bersubsidi bernilai RM2,762 serta menyita sebuah kenderaan bernilai RM20,049, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM22,811. “Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan pula menahan dua lelaki bersama 0.07 gram syabu, manakala Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah merampas 1,550 biji telur penyu yang dianggarkan bernilai RM7,750,” katanya. Pada masa sama, beliau berkata Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 20 kertas siasatan kompaun dan sembilan notis atas pelbagai kesalahan, selain mengarahkan majikan menjelaskan tunggakan gaji minimum kepada pekerja. “Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) turut mengeluarkan dua notis berkaitan kesalahan sambungan bekalan air secara haram, manakala beberapa tindakan penguatkuasaan lain diambil oleh agensi yang terbabit mengikut bidang kuasa masing-masing. ESSCOM akan terus memperkukuh operasi bersepadu berasaskan risikan dan kerjasama strategik antara agensi. “Selaras dengan hasrat Tiada Hari Tanpa Operasi, setiap pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi bagi memastikan ESSZONE terus kekal selamat, aman dan kondusif untuk rakyat serta pelabur,” katanya. Terdahulu, operasi berkenaan membabitkan 263 pegawai dan anggota daripada ESSCOM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), JIM, JKDM, KPDN, JTK, Sabah Electricity Sdn Bhd dan JANS. Turut terbabit ialah JHL Sabah, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa agensi penguat kuasa lain. Operasi bersepadu itu diketuai Ketua Staf Bahagian Operasi Darat (BOD) ESSCOM, Datuk Habibi Majinji dengan bantuan Senior Asisten Komisioner (SAC) Shariman Asri yang menyelaras pelaksanaan operasi membabitkan semua agensi penguat kuasa terbabit.