July 24, 2026
Info X Reporters
Tanda tanya mayat bersama motosikal dalam parit akhirnya terungkai
KOTA BELUD: Tanda tanya penemuan mayat seorang lelaki bersama sebuah motosikal di dalam parit di Jalan Kota Belud-Kota Marudu berhampiran Kampung Tambilaung, di sini, Selasa lalu, akhirnya terungkai apabila mangsa dipercayai terbabit dalam kemalangan jalan raya. Mangsa berusia 41 tahun dipercayai hilang kawalan ketika menunggang motosikal dari arah Kota Marudu menuju Kota Belud sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan terjunam ke dalam parit. Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sebelum mangsa ditemukan orang awam jam 12.45 tengah hari. “Ketika ditemukan, mangsa dalam keadaan terlentang bersama motosikal di dalam parit yang dipenuhi air dan mayat sudah mengalami pereputan. “Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Menurutnya, polis meminta individu yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan. “Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Chris Isaac anak Rechi di talian 088-976600 sambungan 225 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. Terdahulu, penemuan mayat lelaki bersama sebuah motosikal di dalam parit berkenaan menimbulkan tanda tanya selepas mangsa ditemukan dalam keadaan sudah mengalami pereputan sebelum siasatan polis mendapati dia dipercayai terbabit dalam kemalangan jalan raya. – Info X
July 24, 2026
Info X Reporters
Dadah dirampas di Sabah dilupus di Negeri Sembilan
KOTA KINABALU: Semua dadah yang dirampas di Sabah tidak dilupuskan di negeri ini, sebaliknya dihantar ke Negeri Sembilan untuk dimusnahkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, perkara itu dijelaskan susulan persoalan netizen yang tertanya-tanya mengenai proses pelupusan dadah rampasan di Sabah, terutama membabitkan rampasan dalam kuantiti dan nilai yang besar. Katanya, semua barang kes berkenaan dihantar ke sebuah pusat pelupusan khas di Negeri Sembilan untuk dimusnahkan mengikut prosedur ditetapkan. “Ada netizen bertanya mengapa mereka tidak pernah melihat pelupusan barang kes, terutama dadah yang dirampas di Sabah. “Sebenarnya, tiada pelupusan dibuat di Sabah. Semua barang kes mengikut SOP dan peraturan ditetapkan akan dibawa ke Semenanjung, iaitu di Negeri Sembilan untuk dilupuskan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, semalam. Jauteh berkata, proses pelupusan dilaksanakan secara telus dan mengikut tatacara ditetapkan bagi memastikan semua barang kes dimusnahkan dengan selamat. Menurutnya, orang ramai yang ingin menyaksikan sendiri proses berkenaan boleh berbuat demikian di Semenanjung kerana pelupusan dilaksanakan secara terbuka mengikut prosedur ditetapkan. “Sebab itu masyarakat tidak pernah melihat pelupusan dadah dibuat di Sabah walaupun banyak rampasan direkodkan di negeri ini,” katanya. Beliau berkata, PDRM sentiasa memastikan semua barang kes, khususnya dadah yang dirampas, diuruskan dan dilupuskan mengikut peraturan serta SOP yang berkuat kuasa. – Info X
July 23, 2026
Info X Reporters
Pokok tumbang halang jalan, pengguna terkandas hampir dua jam
KOTA MARUDU: Pengguna jalan raya terkandas hampir dua jam selepas sebatang pokok besar tumbang dan menghalang sepenuhnya jalan utama di Kampung Marudu Laut, di sini, petang tadi. Kejadian menyebabkan laluan berkenaan terputus apabila pokok dianggarkan sebesar dua pemeluk tumbang merentangi jalan sehingga kenderaan dari kedua-dua arah tidak dapat melaluinya. Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Marudu, Leftenan (PA) Rayner Saimon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.09 petang sebelum anggota digerakkan ke lokasi. Katanya, operasi awal membabitkan lima anggota sebelum empat lagi anggota dihantar sebagai bantuan bagi mempercepatkan kerja mengalihkan pokok berkenaan. “Anggota menjalankan kerja pemotongan pokok bagi membuka semula laluan, namun saiz dan berat sisa pokok menyukarkan ia dialihkan secara manual. “APM terpaksa menggunakan winch pada kenderaan operasi untuk menarik dan mengalihkan sisa pokok berkenaan bagi membolehkan laluan dibuka semula,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Rayner berkata, penduduk kampung turut membantu anggota APM mengalihkan sisa pokok yang sudah dipotong. Menurutnya, pengguna jalan raya terpaksa menunggu hampir dua jam sebelum laluan berkenaan berjaya dibuka semula kepada kenderaan. “Operasi selesai sepenuhnya kira-kira jam 5.40 petang selepas semua sisa pokok berjaya dialihkan dan laluan dipastikan selamat untuk digunakan,” katanya. – Info X
July 23, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: Beri ruang masyarakat pilih calon Ketua Kampung sebelum dilantik – Madius
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disaran memberi ruang kepada proses saringan dan perundingan bersama masyarakat dalam pelantikan Ketua Kampung di negeri ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Madius Tangau, berkata pendekatan itu bukan bertujuan mengurangkan kuasa kerajaan, sebaliknya membantu memilih calon yang benar-benar berwibawa dan diterima rakyat. “Cadangan ini lahir daripada pengalaman sebenar proses pemilihan Ketua Kampung di Daerah Kecil Tamparuli di mana masyarakat setempat diberi peluang menyuarakan pandangan terhadap calon-calon yang dicadangkan,” katanya. Beliau menyarankan perkara itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Kahamis. Katanya, beliau menghormati kuasa melantik Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung adalah di tangan kerajaan melalui menteri sebagaimana diperuntukkan dalam Rang Undang-Undang berkenaan. “Ketua Kampung yang baik bukan sahaja memenuhi syarat undang-undang, tetapi mestilah mendapat keyakinan masyarakat yang dipimpinnya. “Maklumat sebegitu selalunya hanya diketahui oleh masyarakat setempat dan sukar dikenal pasti melalui semakan pentadbiran semata-mata, sekali gus menjadikan penglibatan komuniti sebagai nilai tambah kepada proses pelantikan,” katanya. Madius menegaskan, apabila seseorang Ketua Kampung mendapat kepercayaan rakyat, mereka lebih mudah menyatukan masyarakat, menyelesaikan pertikaian secara damai serta menggerakkan pembangunan kampung. “Akhirnya, yang mendapat manfaat ialah Kerajaan sendiri kerana dasar dan program kerajaan lebih mudah dilaksanakan dengan kerjasama masyarakat,” katanya. – Info X
July 23, 2026
Info X Reporters
Dakwaan salah laku pengarah hospital selesai disiasat, tindakan sedang diambil – JKNS
KOTA KINABALU: Siasatan terperinci kes salah laku membabitkan seorang pengarah hospital di Sabah yang tular di media sosial baru-baru ini sudah selesai dijalankan oleh sebuah jawatankuasa khas yang dilantik Kementerian Kesihatan (KKM). Perkara itu dijelaskan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menerusi satu kenyataan media pada Khamis sebagai maklum balas terhadap dakwaan salah laku seorang pengarah hospital yang dikaitkan dengan serangan seksual dan buli di tempat kerja. Katanya, syor tindakan terhadap pengarah hospital terbabit juga sedang dilaksanakan mengikut lunas undang-undang. “JKNS memandang serius dakwaan ini dan ingin memaklumkan bahawa siasatan terperinci telahpun selesai dijalankan oleh jawatankuasa khas yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menyiasat perkara tersebut. “Hasil siasatan berkenaan telah diperolehi dan syor-syor tindakan susulan sedang dilaksanakan mengikut prosedur serta perundangan semasa yang berkuat kuasa,” katanya. Kenyataan itu menyebut, JKNS tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, khususnya perbuatan serangan seksual, gangguan dan buli di tempat kerja. Tegasnya, sebarang perlakuan sedemikian adalah bertentangan dengan nilai integriti serta etika perkhidmatan awam, di samping memberi kesan terhadap kesejahteraan fizikal dan mental warga kerja kesihatan. “JKNS kekal komited untuk memastikan setiap warga kerja dapat menjalankan tugas dalam persekitaran yang selamat, saling menghormati dan kondusif. Sehubungan itu, Jabatan akan terus memperkukuh usaha bagi memelihara integriti organisasi serta kebajikan warga kerjanya. “JKNS menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan ruang diberikan kepada proses pentadbiran yang sedang dilaksanakan agar dapat disempurnakan secara teratur, adil dan selaras dengan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya. – Info X
July 23, 2026
Info X Reporters
S.Comm bentang pelan telekomunikasi dan AI kepada Ketua Menteri, sokong pembangunan KBEIP
KOTA KINABALU: SEDCO Communications Sdn Bhd (S.Comm) membentangkan pelan pembangunan syarikat dan perkembangan projek strategik yang disertainya kepada kerajaan negeri, di sini, pada Rabu. Pembentangan itu dibuat Pengerusi Sabah Economic Development Corporation (SEDCO), Datuk Masiung Banah ketika kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Masiung membentangkan pelan induk berhubung kerangka cadangan Kudat Blue Economy Industrial Park (KBEIP) yang bakal dilaksanakan di Kudat. Pada sesi pembentangan itu, S.Comm memaklumkan perancangannya untuk mengembangkan penglibatan dalam sektor telekomunikasi, selain sedang menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat luar negara bagi meneroka pembangunan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) di Sabah. Sementara itu, SEDCO selaku peneraju utama pembangunan KBEIP memaklumkan sedang merangka garis panduan awal bagi melaksanakan kerja-kerja tanah dan pengukuran tapak sebagai persediaan pelaksanaan projek dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). Projek KBEIP dirancang sebagai hab industri berteraskan ekonomi biru yang menggabungkan pembangunan maritim, teknologi hijau dan industri berimpak tinggi, sejajar dengan usaha memperkukuh pembangunan ekonomi Sabah. Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Thomas Logijin; Pengurus Besar SEDCO, Datuk Ar Jemas Wong Kein Peng dan Ketua Pegawai Eksekutif S.Comm, Subha Maraiah. – Info X
July 23, 2026
Info X Reporters
Presiden PRBS tidak akun salah guna jawatan dapatkan suapan bina dewan RM2 juta
KOTA KINABALU: Seorang pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan sebanyak RM2 juta selepas dihadapkan di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, pada Khamis. Tertuduh yang juga Presiden Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (PRBS), Makinsos Nawai, 67, didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan peruntukan RM2 juta dari Kementerian Kewangan Sabah untuk projek Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus di Kota Marudu dan melaksanakan sendiri pembinaannya pada 2022. Beliau membuat pengakuan tidak bersalah atas alasan dewan itu sudah siap sepenuhnya selepas mendengar pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Andi Razalijaya A Dadi. Berdasarkan kertas pertuduhan, Makinsos didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu peruntukan Pembinaan Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus berjumlah RM2 juta. Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus di Kota Marudu pada sekitar 2022. Tertuduh didakwa mengambil tindakan mengemukakan permohonan dan melaksanakan sendiri pembinaan Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus tanpa persetujuan Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah yang beliau mempunyai kepentingan dalam menguruskan permohonan peruntukan dan pelaksanaan dewan terbabit. Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah 24(1) akta yang sama. Seksyen itu memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. Mahkamah kemudian menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk pengurusan kes pra-perbicaraan, manakala 2 hingga 4 November depan sebagai tarikh perbicaraan. Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan RM5,000 sebagai deposit kepada mahkamah bersama dua orang penjamin tempatan. Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan termasuk memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan. Pendakwaan dikendalijan Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom, manakala Makinsos diwakili peguam Datuk Ram Singh, Prem Elmer Ganasan, Prabjit Singh Gill dan Ian Vun Chit Khen. – Info X
July 23, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: Pembinaan lorong memotong, naik taraf jalan alternatif atasi kesesakan di laluan Ranau-Kundasang
KOTA KINABALU: Sebanyak 10 lorong memotong dan lorong mendaki dicadang dibina di laluan antara pekan Ranau dan Kundasang sebagai langkah jangka pendek mengurangkan kesesakan lalu lintas yang berlaku di laluan berkenaan. Cadangan yang dikemukakan melalui Program Pengurusan Trafik Skim Pengurusan dan Penambahbaikan Trafik dan Pengangkutan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah itu dijangka dapat meningkatkan kapasiti jalan, melancarkan pergerakan trafik serta mengurangkan kesesakan di kawasan Ranau dan Kundasang. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, selaku Menteri Kerja Raya dan Utiliti negeri, berkata pembinaan lorong memotong dan lorong mendaki itu turut membantu mengurangkan panjang barisan kenderaan di kawasan berbukit. Katanya, risiko kemalangan akibat aktiviti memotong di sepanjang laluan Tamparuli–Sandakan juga dapat dikurangkan, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya. “Kerajaan merancang pembinaan lorong memotong di beberapa lokasi strategik bagi memudahkan pergerakan trafik, khususnya apabila terdapat kenderaan berat yang bergerak perlahan di laluan berbukit. “Inisiatif ini dijangka meningkatkankelancaran aliran trafik, mengurangkan masa perjalanan serta menambah baik tahap keselamatan pengguna jalan raya. “Melalui Program Pengurusan Trafik di bawah Skim Pengurusan dan Penambahbaikan Trafik dan Pengangkutan, JKR Sabah, sebanyak 10 cadangan pembinaan lorong memotong dan lorong mendaki dikemukakan untuk pertimbangan pelaksanaan bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan tahap perkhidmatan jalan di laluan berkenaan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Rusdin Riman (KDM-Paginatan) mengenai langkah mengatasi kesesakan lalu lintas yang semakin serius di pekan Ranau dan Kundasang pada sesi soal jawab Persidangan DUN, di sini, pada Khamis. Dr Joachim berkata, pada 2025, sebanyak RM2.3 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek berkaitan di tiga lokasi di Jalan Kota Kinabalu-Sandakan di Ranau, iaitu di KM100.00-KM100.20, KM104.42-KM104.68 dan KM106.30-KM106.70. Pada tahun tahun ini pula, katanya sebanyak RM560,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan projek di satu lokasi di jalan yang sama iaitu di KM100.40-KM100.60. Selain itu, katanya kerajaan turut menyediakan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya bagi mengelak kesesakan di antara pekan Ranau dan Kundasang dengan menaik taraf jalan sedia ada di laluan terbabit. Ketika ini, katanya dua projek menaik taraf jalan alternatif sedang dilaksanakan iaitu Jalan Kampung Mohimboyon-Lipantai-Pahu, Ranau dan Jalan Tambiau-Sarapong, Ranau, kedua-duanya projek reka dan bina. “Jalan Kampung Mohimboyon-Lipantai-Pahu sepanjang enam kilometer ini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2027 dengan status kemajuan kerja fizikal kini mencapai 69.69 peratus. “Setelah siap kelak, projek inidijangka dapat mengurangkan kebergantungan pengguna kepada laluan utama, sekali gus membantu mengagihkan aliran trafik serta mengurangkan kesesakan lalu lintas antara Pekan Kundasang dan Pekan Ranau,” katanya. Beliau berkata Jalan Tambiau-Sarapong pula membabitkan kerja naik taraf sepanjang 4.05 kilometer yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2028 dengan status kemajuan kerja fizikal ketika ini mencapai 5.42 peratus. Sementara itu, Dr Joachim berkata dua lagi projek pembinaan jalan baharu turut dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sebagai langkah jangka panjang untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di antara pekan Ranau dan Kundasang. Projek pertama katanya ialah membina Jalan Ranau Bypass dari Bundu Tuhan ke Kilimu, Ranau yang sudah diluluskan bagi pelaksanaan kajian dan penyediaan reka bentuk terperinci. Katanya, cadangan jalan pintasansepanjang 30 kilometer itu melibatkan pembinaan jalan baharu, penaiktarafan jalan sedia ada dan pembinaan tiga jambatan. “Apabila siap kelak, jalan pintasan ini akan menyediakan laluan alternatif dari Bundu Tuhan yang menghubungkan terus ke Jalan Ranau-Sandakan di Kilimu. “Ini membolehkan pengguna yangmenuju ke Sandakan atau kawasan sekitarnya tidak lagi perlu melalui Pekan Kundasang dan Pekan Ranau, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua pekan. Bagaimanapun, pelaksanaan pembinaan fizikal projek ini masih tertakluk kepada kelulusan peruntukan,” katanya. Beliau berkata, satu lagi projek jangka panjang ialah naik taraf jalan gravel kepada jalan berturap Jalan Kampung Mesilau-Kampung Lipasu, Ranau sepanjang lapan kilometer. Jalan itu, katanya akan menghubungkan terus pengguna japan raya dari Kampung Mesilau ke Jalan Kibbas Lipasu, sekali gus melengkapkan rangkaian perhubungan alternatif antara Kundasang dan Ranau. “Pelaksanaan projek ini akanmenyediakan satu lagi laluan alternatif kepada pengguna jalan raya, seterusnya membantu mengagihkan aliran trafik daripada laluan utama, mengurangkan kesesakan serta memendekkan masa perjalanan pengguna. “Projek ini telah diluluskan di bawah RMK-13 dengan kos projek RM138.661 juta dan siling peruntukan sebanyak RM40 juta. Status terkini projek adalah dalam fasa pelantikan jurutera perunding bagi penyediaan reka bentuk terperinci,” katanya. – Info X