July 23, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: Pembinaan lorong memotong, naik taraf jalan alternatif atasi kesesakan di laluan Ranau-Kundasang
KOTA KINABALU: Sebanyak 10 lorong memotong dan lorong mendaki dicadang dibina di laluan antara pekan Ranau dan Kundasang sebagai langkah jangka pendek mengurangkan kesesakan lalu lintas yang berlaku di laluan berkenaan. Cadangan yang dikemukakan melalui Program Pengurusan Trafik Skim Pengurusan dan Penambahbaikan Trafik dan Pengangkutan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah itu dijangka dapat meningkatkan kapasiti jalan, melancarkan pergerakan trafik serta mengurangkan kesesakan di kawasan Ranau dan Kundasang. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, selaku Menteri Kerja Raya dan Utiliti negeri, berkata pembinaan lorong memotong dan lorong mendaki itu turut membantu mengurangkan panjang barisan kenderaan di kawasan berbukit. Katanya, risiko kemalangan akibat aktiviti memotong di sepanjang laluan Tamparuli–Sandakan juga dapat dikurangkan, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya. “Kerajaan merancang pembinaan lorong memotong di beberapa lokasi strategik bagi memudahkan pergerakan trafik, khususnya apabila terdapat kenderaan berat yang bergerak perlahan di laluan berbukit. “Inisiatif ini dijangka meningkatkankelancaran aliran trafik, mengurangkan masa perjalanan serta menambah baik tahap keselamatan pengguna jalan raya. “Melalui Program Pengurusan Trafik di bawah Skim Pengurusan dan Penambahbaikan Trafik dan Pengangkutan, JKR Sabah, sebanyak 10 cadangan pembinaan lorong memotong dan lorong mendaki dikemukakan untuk pertimbangan pelaksanaan bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan tahap perkhidmatan jalan di laluan berkenaan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Rusdin Riman (KDM-Paginatan) mengenai langkah mengatasi kesesakan lalu lintas yang semakin serius di pekan Ranau dan Kundasang pada sesi soal jawab Persidangan DUN, di sini, pada Khamis. Dr Joachim berkata, pada 2025, sebanyak RM2.3 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek berkaitan di tiga lokasi di Jalan Kota Kinabalu-Sandakan di Ranau, iaitu di KM100.00-KM100.20, KM104.42-KM104.68 dan KM106.30-KM106.70. Pada tahun tahun ini pula, katanya sebanyak RM560,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan projek di satu lokasi di jalan yang sama iaitu di KM100.40-KM100.60. Selain itu, katanya kerajaan turut menyediakan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya bagi mengelak kesesakan di antara pekan Ranau dan Kundasang dengan menaik taraf jalan sedia ada di laluan terbabit. Ketika ini, katanya dua projek menaik taraf jalan alternatif sedang dilaksanakan iaitu Jalan Kampung Mohimboyon-Lipantai-Pahu, Ranau dan Jalan Tambiau-Sarapong, Ranau, kedua-duanya projek reka dan bina. “Jalan Kampung Mohimboyon-Lipantai-Pahu sepanjang enam kilometer ini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2027 dengan status kemajuan kerja fizikal kini mencapai 69.69 peratus. “Setelah siap kelak, projek inidijangka dapat mengurangkan kebergantungan pengguna kepada laluan utama, sekali gus membantu mengagihkan aliran trafik serta mengurangkan kesesakan lalu lintas antara Pekan Kundasang dan Pekan Ranau,” katanya. Beliau berkata Jalan Tambiau-Sarapong pula membabitkan kerja naik taraf sepanjang 4.05 kilometer yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2028 dengan status kemajuan kerja fizikal ketika ini mencapai 5.42 peratus. Sementara itu, Dr Joachim berkata dua lagi projek pembinaan jalan baharu turut dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sebagai langkah jangka panjang untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di antara pekan Ranau dan Kundasang. Projek pertama katanya ialah membina Jalan Ranau Bypass dari Bundu Tuhan ke Kilimu, Ranau yang sudah diluluskan bagi pelaksanaan kajian dan penyediaan reka bentuk terperinci. Katanya, cadangan jalan pintasansepanjang 30 kilometer itu melibatkan pembinaan jalan baharu, penaiktarafan jalan sedia ada dan pembinaan tiga jambatan. “Apabila siap kelak, jalan pintasan ini akan menyediakan laluan alternatif dari Bundu Tuhan yang menghubungkan terus ke Jalan Ranau-Sandakan di Kilimu. “Ini membolehkan pengguna yangmenuju ke Sandakan atau kawasan sekitarnya tidak lagi perlu melalui Pekan Kundasang dan Pekan Ranau, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua pekan. Bagaimanapun, pelaksanaan pembinaan fizikal projek ini masih tertakluk kepada kelulusan peruntukan,” katanya. Beliau berkata, satu lagi projek jangka panjang ialah naik taraf jalan gravel kepada jalan berturap Jalan Kampung Mesilau-Kampung Lipasu, Ranau sepanjang lapan kilometer. Jalan itu, katanya akan menghubungkan terus pengguna japan raya dari Kampung Mesilau ke Jalan Kibbas Lipasu, sekali gus melengkapkan rangkaian perhubungan alternatif antara Kundasang dan Ranau. “Pelaksanaan projek ini akanmenyediakan satu lagi laluan alternatif kepada pengguna jalan raya, seterusnya membantu mengagihkan aliran trafik daripada laluan utama, mengurangkan kesesakan serta memendekkan masa perjalanan pengguna. “Projek ini telah diluluskan di bawah RMK-13 dengan kos projek RM138.661 juta dan siling peruntukan sebanyak RM40 juta. Status terkini projek adalah dalam fasa pelantikan jurutera perunding bagi penyediaan reka bentuk terperinci,” katanya. – Info X
July 23, 2026
Info X Reporters
Polis Sabah rekod lebih 13,000 tangkapan, rampasan dadah RM263.82 juta
KOTA KINABALU: Lebih 13,000 individu ditahan Polis Kontinjen Sabah menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan, selain rampasan dadah bernilai RM263.82 juta sepanjang enam bulan pertama tahun ini. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pencapaian itu hasil operasi dan serbuan dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di seluruh negeri. Katanya, secara keseluruhan, ketiga-tiga jabatan berkenaan merekodkan 13,298 tangkapan sepanjang tempoh berkenaan. “Bagi JSJ, sebanyak 2,657 operasi dijalankan oleh Cawangan Risikan, Operasi dan Rekod Jenayah (D4), Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) serta Siasatan Khas (D9) dengan 3,144 tangkapan direkodkan. “Operasi membabitkan pelbagai kesalahan termasuk perjudian, pelacuran, curi kabel, pecah rumah, samun, ragut, pembunuhan, penyeludupan dan jenayah harta benda,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah bagi Julai 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini. Jauteh berkata, JSJN pula menahan 8,735 individu terdiri daripada 5,935 warga tempatan dan 2,800 warga asing. Menurutnya, seramai 38 suspek termasuk enam wanita ditahan dalam kes membabitkan rampasan dadah melebihi satu kilogram. “Rampasan membabitkan 3,560.93 kilogram syabu, 102.48 kilogram ketamin, 65.60 kilogram pil ekstasi, 7.6 kilogram ganja, 5.59 kilogram Eramin 5, 456.21 gram serbuk ekstasi serta 3.98 liter cecair vape. “Keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM263.82 juta,” katanya. Beliau berkata, JSJN turut mencatat prestasi pertuduhan sebanyak 89.91 peratus apabila 2,574 daripada 2,863 kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah, melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 80 peratus. Katanya, sebanyak 6,958 daripada 8,331 kertas siasatan turut berjaya diselesaikan, bersamaan 83.52 peratus dan mengatasi KPI ditetapkan sebanyak 65 peratus. Sementara itu, Jauteh berkata, JSJK menerima 8,595 laporan polis bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Julai lalu yang membawa kepada pembukaan 2,018 kertas siasatan. “Sebanyak 960 serbuan dijalankan dengan 1,419 tangkapan, manakala kerugian akibat jenayah komersil di Sabah dianggarkan RM79.35 juta. “Daripada keseluruhan kertas siasatan yang dibuka, sebanyak 524 kes berjaya dituduh di mahkamah,” katanya. Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) membuka 9,746 kertas siasatan trafik sepanjang enam bulan pertama tahun ini dengan 9,311 daripadanya berjaya diselesaikan. Katanya, sebanyak 453 Ops Mabuk dilaksanakan dengan 2,878 saman dikeluarkan terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol. “JSPT turut melaksanakan 411 operasi membabitkan kenderaan perdagangan dengan 18,983 kenderaan diperiksa dan 1,493 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya. Jauteh berkata, pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen berterusan PDRM Sabah dalam memperkukuh penguatkuasaan, meningkatkan keberkesanan siasatan serta membanteras pelbagai bentuk jenayah demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini terus terpelihara. – Info X
July 23, 2026
Info X Reporters
Operasi sambungan air haram diperkasa, empat ditahan
KOTA KINABALU: Polis Sabah memperkasakan operasi membanteras kegiatan penyambungan paip air secara haram di kawasan setinggan dalam usaha membantu mengurangkan ketirisan bekalan air di negeri ini. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi bersepadu bersama Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan agensi berkaitan itu dilaksanakan sejak 15 Julai lalu. Katanya, setakat ini empat individu sudah ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyambungan paip air secara haram. “Individu yang ditahan membabitkan penduduk tempatan dan pemegang dokumen IMM13 yang menetap di kawasan setinggan. “Mereka sudah diserahkan kepada Jabatan Air untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini. Mengulas lanjut, Jauteh berkata, operasi berkenaan akan dilaksanakan secara berterusan dengan tumpuan di kawasan setinggan sekitar Alamesra hingga Inanam. Menurutnya, pemantauan susulan turut dilakukan bagi memastikan sambungan paip yang dipotong tidak disambung semula. “Hari ini kita putus, esok kita akan periksa semula. Jika disambung kembali, kita akan potong lagi. “Operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan,” katanya. Beliau berkata, tindakan itu antara usaha membantu kerajaan negeri menangani masalah ketirisan bekalan air akibat penyambungan paip secara haram. Katanya, operasi berkenaan turut bertujuan mengekang pertambahan rumah setinggan selepas siasatan mendapati terdapat individu yang memiliki beberapa rumah untuk disewakan di kawasan berkenaan. “Usaha ini bukan sahaja untuk mengekang pertambahan setinggan haram, tetapi memastikan masalah ketirisan air dapat diatasi dan bekalan air disalurkan secara sah kepada pengguna,” katanya. – Info X
July 23, 2026
Info X Reporters
Dakwaan gangguan seksual di hospital berlaku Oktober lalu – Polis
KOTA KINABALU: Dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang pengarah di sebuah hospital di Sabah yang tular di media sosial sejak semalam sebenarnya membabitkan kejadian yang didakwa berlaku pada Oktober tahun lalu. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, polis sudah menerima laporan berhubung dakwaan itu pada Januari lalu dan siasatan sudah dijalankan sebelum isu berkenaan tular. “PDRM sudah menerima laporan berhubung kes ini pada Januari lalu, manakala kejadian yang didakwa berlaku adalah pada Oktober tahun lalu. “Kes ini hanya mula tular di media sosial semalam, namun siasatan polis sudah pun dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini. Jauteh berkata, kertas siasatan sudah dibuka sebaik laporan diterima dan siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kes berkenaan. Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan. “Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas siasatan selesai,” katanya. Terdahulu, tular satu rakaman video Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Chin Tek Ming yang menggesa dakwaan gangguan seksual dan buli dikaitkan dengan kakitangan sebuah hospital di Kota Kinabalu disiasat secara menyeluruh serta diberikan perhatian segera oleh pihak berkuasa. Dalam rakaman itu, beliau berkata, sebarang dakwaan membabitkan gangguan seksual dan buli di tempat kerja tidak boleh dipandang ringan serta perlu ditangani mengikut saluran dan prosedur sewajarnya. – Info X
July 22, 2026
Info X Reporters
Lelaki didakwa edar 74.8 kg syabu
TAWAU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, pada Rabu atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 74.87 kilogram (kg). Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan letak kereta sebuah bangunan di Jalan Tun Hamdan, di sini, pada 12 Julai lalu. Tertuduh, Sopian Mustafa, 40, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar 74,866 gram methamphetamine di kawasan letak kereta sebuah bangunan di Jalan Tun Hamdan, di sini pada jam 10.30 malam, 12 Julai lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh turut berdepan hukuman sebat tidak kurang 12 kali. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh diwakili peguam Prem Elmer Ganasan. Tiada ikan jamin tidak dibenarkan terhadap tertuduh, manakala 20 Ogos depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi. – Info X
July 22, 2026
Info X Reporters
Kes bayi ditemui dalam semak, remaja lelaki direman bantu siasatan
TAWAU: Seorang remaja lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan berkaitan penemuan seorang bayi perempuan yang dipercayai ditinggalkan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa, di sini, pada Selasa. Permohonan reman terhadap remaja berumur 17 tahun itu dibuat di Mahkamah Majistret Tawau pada Rabu yang dikemukakan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri. Perintah reman sehingga 26 Julai itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum bagi membantu melengkapkan siasatan polis, termasuk mengambil sampel Asid Deoksiribonukleik (DNA) daripada suspek. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi. Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi Selasa, bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui orang awam di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa, di sini. Polis kemudian menahan sepasang remaja di Kampung Jawa, berhampiran lokasi bayi berkenaan ditemui, kira-kira jam 10.40 malam pada hari yang sama. Pasangan suspek, iaitu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun turut ditahan, namun kini masih menerima rawatan di Hospital Tawau. – Info X
July 22, 2026
Info X Reporters
Seluar dalam isteri hilang dari ampaian, suami buat laporan polis
TAWAU: Kehilangan beberapa helai pakaian dalam wanita yang dijemur di luar rumah membongkar perbuatan seorang lelaki warga asing yang disyaki mencuri barangan berkenaan di Kampung Haji Matahir, di sini. Kejadian disedari seorang lelaki berusia 47 tahun apabila mendapati beberapa helai pakaian dalam milik isterinya yang dijemur di luar rumah tiba-tiba hilang sebelum tampil membuat laporan polis. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, laporan dibuat di Balai Polis Bombalai sebelum polis menjalankan risikan bagi mengesan individu terbabit. “Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan, polis berjaya mengesan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an sebelum menahannya kira-kira jam 10.30 malam semalam. “Suspek ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Haji Matahir,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, hasil soal siasat membawa polis ke lokasi beberapa barang kes disembunyikan sebelum menemukan pakaian dalam wanita yang dipercayai dicuri. “Polis turut merampas sehelai baju berwarna hijau dan sebuah songkok hitam dipercayai dipakai suspek ketika melakukan perbuatan berkenaan,” katanya. Wilynton berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. “Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan kediaman dan segera melaporkan kepada polis sekiranya mengesan individu atau perlakuan mencurigakan. – Info X
July 22, 2026
Info X Reporters
Pekerja, pengunjung cemas keluar selamatkan diri selepas kebakaran di pasar raya
KOTA KINABALU: Pekerja dan pengunjung sebuah pasar raya di Kolombong, di sini, bergegas keluar menyelamatkan diri selepas kebakaran tercetus di bahagian medan selera premis berkenaan, hari ini. Kebakaran dipercayai bermula di bahagian dapur memasak sebuah gerai sebelum api merebak ke sistem pengudaraan (ventilation) bangunan Bataras Hypermarket Kolombong. Bagaimanapun, tindakan sistem sprinkler automatik bangunan membantu mengawal api daripada terus merebak sebelum pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman sepenuhnya. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.45 pagi sebelum pasukan pertama tiba empat minit kemudian. Katanya, operasi membabitkan 45 anggota dengan bantuan BBP Penampang dan BBP Kota Kinabalu. “Sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran bermula di dapur memasak sebuah gerai di bahagian medan selera sebelum merebak ke sistem pengudaraan bangunan. “Kebakaran membabitkan kira-kira 30 peratus sistem berkenaan dan berjaya dikawal daripada terus merebak dengan bantuan sistem sprinkler bangunan,” katanya dalam kenyataan media. Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 122 meter dengan sumber air daripada pili bomba. Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal kira-kira jam 12.30 tengah hari dan tiada mangsa dilaporkan terbabit. “Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.35 petang selepas pemeriksaan dilakukan dan tiada lagi bahaya dikesan di lokasi,” katanya. Operasi turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity, manakala siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta jumlah kerugian. – Info X