Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

July 20, 2026

Info X Reporters

Baru dua bulan berkursus, ERT hotel berjaya padam kebakaran

KOTA KINABALU: Baru dua bulan menjalani kursus Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT), kakitangan sebuah hotel di bandar raya ini berjaya membuktikan keberkesanan latihan diterima apabila bertindak pantas memadam kebakaran membabitkan lima unit kompresor penghawa dingin, hari ini. Kejadian berlaku di tingkat 24 sebuah hotel di Jalan Gaya, di sini, dan tindakan awal pasukan ERT hotel berjaya mengawal serta memadamkan kebakaran sepenuhnya sebelum ketibaan pasukan bomba. Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, PPgB Mohd Hannis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.29 petang. Menurutnya, seramai 13 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan kenderaan utiliti digerakkan ke lokasi sejauh 4.2 kilometer. “Pasukan bomba tiba pada 3.53 petang dan mendapati kebakaran membabitkan lima unit kompresor penghawa dingin yang terletak di tingkat 24 hotel berkenaan. “Bagaimanapun, kebakaran sudah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan ERT hotel sebelum ketibaan anggota bomba,” katanya ketika dihubungi. Difahamkan, pasukan ERT hotel berkenaan baru kira-kira dua bulan menjalani kursus dan latihan berkaitan tindak balas kecemasan. Latihan berkenaan ternyata memberi impak apabila mereka mampu bertindak pantas ketika berdepan situasi sebenar sekali gus membantu mengelakkan kebakaran daripada merebak ke bahagian lain bangunan. Mohd Hannis berkata, sebaik tiba, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan dan kerja ‘overhaul’ di kawasan terbabit bagi memastikan tiada saki-baki api yang boleh mencetuskan kebakaran semula. Katanya, pemeriksaan lanjut turut dilakukan bagi memastikan kebakaran tidak merebak serta keseluruhan kawasan terlibat berada dalam keadaan selamat. “Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini dan operasi berjaya dikawal pada 3.56 petang. “Selepas memastikan tiada lagi keberbahayaan di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.20 petang,” katanya. Operasi membabitkan 13 anggota BBP Kota Kinabalu diketuai PBK I Masri Gari dengan turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kejadian itu sekali gus menunjukkan kepentingan penubuhan dan latihan berterusan pasukan ERT di premis khususnya bangunan bertingkat serta hotel bagi memastikan tindakan awal dapat dilakukan sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat. – Info X

July 20, 2026

Info X Reporters

PPM tumpaskan stor rokok seludup, rampas lebih RM500,000

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan rokok tidak bercukai selepas menyerbu sebuah rumah yang dijadikan stor di Kampung Sungai Keling, di sini, hari ini. Dalam operasi yang dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan itu, seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga stor ditahan bagi membantu siasatan. Komander Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan 396,240 batang rokok disyaki tidak bercukai daripada pelbagai jenama. Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM500,000. “Suspek bersama semua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta penyimpanan barangan tidak bercukai yang menjejaskan hasil negara. Sehubungan itu, beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan lebih berkesan. – Info X

July 20, 2026

Info X Reporters

Dua kanak-kanak lemas ketika mandi kolam

SANDAKAN: Dua kanak-kanak lelaki ditemukan lemas selepas mandi dalam sebuah kolam terbiar dalam kejadian di Jalan Sungai Manila, dekat sini, petang tadi. Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang tadi dengan mangsa dikenali sebagai Mohd Ikmal, 9, dan seorang lagi berusia 11 tahun yang belum diperolehi identitinya. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata sebaik bomba menerima panggilan, lima anggota digerakkan ke lokasi yang terletak 19 kilometer (km) dari balai untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat. Katanya, setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 4.38 petang, kedua-dua mangsa sudah ditemui oleh orang awam. “Pemeriksaan pegawai perubatan di lokasi kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia. “Pasukan bomba bertindak mengangkat dan membawa mangsa sebelum diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini. Jimmy berkata, operasi ditamatkan pada jam 7.08 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi. – Info X

July 20, 2026

Info X Reporters

Sidang DUN: Bina Rumah Kasih, bukan kondominium – Junz Wong

KOTA KINABALU: Bina Rumah Kasih Rakyat atau perumahan mampu milik dan bukan kondominium atau pusat beli belah di tapak rumah pangsa Tanjung Aru. Perkara itu adalah antara tiga isu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong ketika Persidangan DUN Sabah, di sini, pada Isnin. Pemimpin Parti Warisan itu berkata, penduduk asal perumahan itu juga perlu diberi peluang untuk terus tinggal di kawasan sendiri melalui penyediaan rumah mampu milik. “Saya ingin memohon agar Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan kepada LPPB supaya tapak Rumah Pangsa Tanjung Aru dibangunkan sebagai Rumah Kasih Rakyat atau perumahan mampu milik untuk rakyat Sabah, bukannya projek komersial seperti pusat beli-belah atau kondominium mewah. “Penduduk asal kawasan tersebut telah banyak berjasa membangunkan komuniti Tanjung Aru. Mereka seharusnya diberikan peluang untuk terus tinggal di kawasan sendiri melalui penyediaan rumah mampu milik yang selesa, selamat dan berkualiti. “Pembangunan yang sebenar ialah pembangunan yang tidak meminggirkan rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 sempena Persidangan DUN, pada Isnin. Dua lagi isu dibangkitkannya berkaitan pempasan tanah Sembulan dan keuzuran jambatan Kampung Tanjung Aru. Isu pampasan tanah di Sembulan, katanya sudah berlarutan sekian lama dan masih menjadi persoalan kepada ramai penduduk yang terlibat. “Ramai yang masih menunggu penyelesaian yang adil dan telus. Oleh itu, saya memohon agar Kerajaan Negeri memberikan penjelasan mengenai status terkini pembayaran pampasan tanah di Sembulan. “Garis masa penyelesaiannya serta langkah-langkah yang sedang diambil bagi memastikan hak rakyat yang terjejas dipelihara,” katanya. Mengenai isu jambatan Kampung Tanjung Aru Lama, Junz berkata keadaan jambatan konkrit yang menjadi laluan harian penduduk setempat itu semakin membimbangkan. “Demi keselamatan pengguna, saya memohon supaya Kerajaan Negeri memperuntukkan dana dan mengambil tindakan segera untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan, pengukuhan atau penggantian struktur jambatan tersebut sebelum berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya. – Info X

July 20, 2026

Info X Reporters

Mengamuk tidak dapat wang, lelaki positif dadah ditahan

BEAUFORT: Berang selepas tidak diberikan wang oleh ibunya, seorang lelaki bertindak mengamuk dan mengugut ahli keluarga sebelum dipercayai menampar anak saudaranya dalam kejadian di daerah ini. Suspek berusia 25 tahun itu kemudiannya ditahan polis sebelum hasil saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, lelaki tempatan berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut susulan kejadian terbabit. Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengamuk selepas berang apabila ibunya enggan memberikan wang kepadanya. “Suspek kemudian dipercayai bertindak mengugut ahli keluarga selain menampar anak saudaranya. “Saringan awal air kencing yang dijalankan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Beaufort mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine,” katanya. Menurutnya, siasatan awal turut mendapati suspek dipercayai seorang penagih syabu. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek ditahan untuk tindakan lanjut. Beliau berkata, IPD Beaufort akan terus memperhebat usaha membanteras penyalahgunaan dadah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu tindakan penguatkuasaan,” katanya. – Info X

July 20, 2026

Info X Reporters

Sidang DUN: 25,000 penduduk Putatan berdepan masalah air, JANS diminta proaktif tangani isu

KOTA KINABALU: Dianggarkan antara 10,000 hingga 25,000 penduduk di sekitar daerah Putatan terkesan teruk berikutan kegagalan fungsi sistem agihan air, terutama pada waktu puncak. Mendedahkan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, mahu Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) membelanjakan peruntukan secara bersasar untuk Putatan. Katanya, peruntukan kira-kira RM201 juta diagihkan kepada JANS menerusi Perbekalan Tambahan 2026 yang dibentangkan di DUN Sabah pada Isnin, sangat kritikal untuk daerah Putatan. “Saya merujuk kepada Jadual Kepala S 34: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang menerima peruntukan tambahan terbesar, iaitu sebanyak RM201,031,812. Bagi rakyat Tanjung Keramat, peruntukan ini sangat kritikal. “Masalah gangguan bekalan air dan tekanan air rendah di kawasanseperti Kampung Meruntum, Ketiau, Muhibbah, Kampung Contoh, Taman Pantai Lok Kawi, Pasir Putih dan kawasan sekitar Tanjung Keramat adalah isu lapuk yang amat menyusahkan kehidupan harian penduduk. “Dianggarkan antara 10,000 hingga 25,000 penduduk di sekitar daerah Putatan terkesan teruk apabila sistem agihan air gagal berfungsi, terutamanya pada waktu puncak,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan DUN Sabah, pada Isnin. Shah Alfie berkata, walaupun kerajaan melaksanakan langkah jangka pendek seperti peluasan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Kasigui, namun isu penstabilan tekanan dalam rangkaian paip agihan di Putatan belum dapat diselesaikan sepenuhnya. “Justeru, dengan adanya peruntukan tambahan RM201 juta ini, saya menggesa Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah serta Jabatan Air Negeri Sabah untuk memastikan dana ini dibelanjakan secara bersasar bagi kawasan Putatan. “Tuntutan saya adalah jelas:Yang pertama, Gantikan paip-paip lama yang sudah usang dengansegera. Yang Kedua, baiki dan selenggara sistem pam penggalak yang rosak. “Kemudian yang ketiga, berikan satu garis masa yang jelas kepada kami, bilakah tekanan air di kampung-kampung ini akan stabil dan pulih sepenuhnya? “Selain itu, saya menuntut agar JANS bersikap lebih proaktif dan sentiasa bersiap siaga dalam menangani isu air yang menjadi keluhan utama rakyat di Tanjung Keramat dan seluruh daerah Putatan. “JANS mesti bertindak pantas untuk menyelesaikan setiap aduan yang diterima. Pastikan pegawai bertugas di peringkat daerah sentiasa mudah dihubungi danbersedia turun padang apabila krisis berlaku. “Rakyat mahu melihat peruntukan ratusan juta yang kita luluskan ini diterjemahkan kepada hasil kerja yang efisien, cepat dan berimpak nyata di lapangan,” katanya. – Info X

July 20, 2026

Info X Reporters

Chester Pang terus terajui KREATIF Sabah bagi penggal 2026-2028

KOTA KINABALU: Chester Pang Thien Fook terus diberi kepercayaan untuk menerajui Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF Sabah) selepas dipilih sebagai Pengerusi bagi penggal 2026-2028 pada Mesyuarat Agung Pertama pertubuhan itu yang berlangsung di sebuah hotel di Inanam, di sini. Pemilihan itu dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh hala tuju gabungan yang menghimpunkan pelbagai persatuan seni kreatif di Sabah, selain memperkasakan pembangunan industri kreatif negeri menerusi kerjasama lebih erat antara penggiat industri dan kerajaan. Barisan kepimpinan baharu KREATIF Sabah turut menyaksikan Guadik Ansiw dilantik sebagai Timbalan Pengerusi, Mohd Nazri Saidali sebagai Setiausaha dan Raimon Sukudat sebagai Bendahari, selain dibantu barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif daripada pelbagai persatuan seni kreatif di negeri ini. Dalam ucapan sulungnya, Chester merakamkan penghargaan kepada semua presiden dan pengerusi persatuan ahli yang memberi kepercayaan kepadanya untuk terus memimpin KREATIF Sabah bagi penggal baharu. Beliau berkata, penubuhan KREATIF Sabah menjadi titik permulaan penting dalam usaha menyatukan semua persatuan seni kreatif di negeri ini sebagai sebuah badan induk yang mampu menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam merangka dasar serta memperkukuhkan pembangunan industri kreatif Sabah. “Sudah sekian lama kita mengimpikan sebuah platform yang mampu menyatukan semua persatuan seni kreatif sebagai pemegang taruh industri untuk bersama-sama membantu Kerajaan Negeri Sabah membangunkan sektor kreatif yang lebih tersusun dan mampan,” katanya. KREATIF Sabah menerima kelulusan pendaftaran daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 28 April lalu dan kini dianggotai lapan persatuan yang mewakili pelbagai cabang industri kreatif termasuk filem, muzik, seni persembahan serta seni visual. Antara persatuan terbabit ialah Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA), Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA), Kelab Orkestra Kinabalu Sabah (KOKiS), Persatuan Komposer, Penulis Lirik dan Artis Nasyid Sabah (KOPAN), Persatuan Bakat Skrin Sabah (PBSS), Persatuan Penggerak Kreatif dan Inovasi Sabah (SCREIMO), Persatuan Komuniti Seniman Jalanan Sabah (SBC) serta Persatuan Bakat Seni dan Kreativiti Sabah (PBSKS). Menurut Chester, fokus utama KREATIF Sabah selepas ini adalah memperkukuh struktur organisasi, menyusun pelan tindakan strategik bersama barisan kepimpinan baharu serta memperluaskan jaringan kerjasama dengan kementerian, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam industri kreatif. Beliau berkata, KREATIF Sabah turut merancang mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah pada awal Ogos depan sebelum meneruskan siri pertemuan dengan kementerian serta agensi berkaitan bagi membentangkan perkembangan semasa industri kreatif negeri. Katanya, pertemuan itu juga akan dimanfaatkan untuk mengemukakan cadangan kerjasama strategik yang mampu merancakkan pembangunan ekonomi kreatif atau ekonomi jingga di Sabah, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni tempatan. Sementara itu, Mesyuarat Agung berkenaan turut menyaksikan pelantikan Datuk Roger Chin sebagai Penasihat Kehormat pertama KREATIF Sabah. Pelantikan itu diyakini mampu memperkukuh peranan pertubuhan berkenaan dalam membangunkan ekosistem industri kreatif yang lebih mampan, berdaya saing dan inklusif. Dalam ucapannya, Roger menegaskan kepentingan perlindungan harta intelek (IP) bagi memastikan pengkarya serta pencipta asal menikmati manfaat ekonomi daripada hasil karya yang dihasilkan. Beliau turut mengingatkan penggiat industri supaya meneliti setiap kontrak yang ditawarkan sebelum menandatanganinya bagi mengelakkan hak dan kepentingan mereka terjejas. Katanya, kewujudan KREATIF Sabah kini membolehkan ahli mendapatkan pandangan serta nasihat daripada persatuan masing-masing atau terus merujuk kepada beliau berkaitan sebarang perjanjian yang melibatkan hak harta intelek. Mesyuarat Agung pertama itu turut dihadiri wakil pelbagai persatuan seni, agensi berkaitan serta komuniti kreatif dari seluruh Sabah yang menyatakan komitmen untuk bersama-sama memperkukuh pembangunan industri kreatif negeri secara lebih menyeluruh.- Info X

July 20, 2026

Info X Reporters

Laluan dua hala LPB kini dari Kinarut ke Sungai Damit, Membakut

KOTA KINABALU: Pengguna jalan raya dari selatan ibu negeri kini boleh memandu dengan lebih lancar berikutan pembukaan laluan dua hala Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) bermula dari Jambatan Bongawan sejak Sabtu lalu. Pembukaan laluan dua hala itu diumumkan menerusi laman Facebook Pan Borneo Sabah sebagai makluman kepada orang ramai mengenai perkembangan terkini LPB Sabah. “Orang awam adalah dimaklumkan bahawa 𝐣𝐚𝐥𝐚𝐧 𝐝𝐮𝐚 𝐡𝐚𝐥𝐚 𝐝𝐚𝐫𝐢 𝐉𝐚𝐦𝐛𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐁𝐨𝐧𝐠𝐚𝐰𝐚𝐧 𝐤𝐞 𝐏𝐞𝐫𝐬𝐢𝐦𝐩𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐁𝐞𝐫𝐭𝐢𝐧𝐠𝐤𝐚𝐭 𝐊𝐢𝐦𝐚𝐧𝐢𝐬 telah mula dibuka kepada pengguna pada 18 Julai 2026. “Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa 𝐦𝐞𝐦𝐚𝐭𝐮𝐡𝐢 𝐩𝐚𝐩𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐧𝐝𝐚 𝐤𝐞𝐬𝐞𝐥𝐚𝐦𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐦𝐞𝐧𝐭𝐚𝐫𝐚, 𝐦𝐞𝐦𝐚𝐭𝐮𝐡𝐢 𝐚𝐫𝐚𝐡𝐚𝐧 𝐥𝐚𝐥𝐮 𝐥𝐢𝐧𝐭𝐚𝐬 𝐬𝐞𝐫𝐭𝐚 𝐦𝐞𝐧𝐢𝐧𝐠𝐤𝐚𝐭𝐤𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐡𝐚𝐩 𝐤𝐞𝐰𝐚𝐬𝐩𝐚𝐝𝐚𝐚𝐧 semasa menggunakan laluan tersebut sepanjang tempoh kerja-kerja pembinaan masih dilaksanakan. “Pihak kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama serta kesabaran para pengguna jalan raya,” kata notis umum di laman Facebook Pan Borneo Sabah. Pembukaan laluan dua hala itu menjadikan laluan dua hala LPB di jajaran selatan ibu negeri, khususnya bermula dari Papar kini sudah dibuka hingga ke Sungai Damit, Membakut. Hanya jajaran dari Membakut ke Beaufort dan Sipitang masih menggunakan laluan sehala berikutan kerja pembinaan di beberapa lokasi yang belum siap. Berikutan perkembangan itu, pengguna LPB Sabah dari ibu negeri kini boleh menikmati laluan dua hala yang lebih lancar bermula dari Kinarut ke Benoni, Papar, seterusnya ke Kimanis dan Bongawan serta Sungai Damit, Membakut membabitkan jarak kira-kira 55 kilometer. – Info X