July 20, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: Kaji semula BUDI Diesel, naik kuota kepada 500 liter sebulan – Masiung
KOTA KINABALU: Kementerian Kewangan Persekutuan dituntut supaya mengkaji semula subsidi BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak mengikut kesesuaian geografi dan jarak perjalanan antara kampung dan bandar yang jauh berbeza berbanding negeri di Semenanjung. Pengerusi Backbencher DUN Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata kuota pembelian BUDI Diesel sebanyak 200 liter sebulan bagi setiap kenderaan persendirian adalah tidak wajar bagi rangkaian jalan raya di Sabah dan Sarawak. Beliau menegaskan, jumlah 200 liter sebulan itu hanya cukup untuk sehari atau dua hari perjalanan di Sabah. Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan menaikkan kuota Diesel sehingga 500 liter sebulan bagi Sabah dan Sarawak. “Pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel dengan syarat kelayakan terlalu ketat umpama menanamkan kebencian rakyat Sabah dan Sarawak kepada dasar baharu Persekutuan. “Kuota 200 liter sebulan adalah tidak priktikal bagi lokasi perjalanan di bumi Borneo. Kerana rakyat sudah bersuara di luar sana terutama penduduk pedalaman yang menempuh perjalanan jauh untuk berurusan atau menjual hasil pertanian di bandar-bandar utama. “Saya ingin mengambil contoh, penduduk pedalaman di kawasan saya di Kuamut. Mereka terpaksa menempuh perjalanan antara lima hingga enam jam untuk berurusan ke Kota Kinabalu. “Penggunaan diesel sudah lebih 100 liter untuk perjalanan sehala.Bayangkan perjalanan berulang alik sudah 200 liter, hanya untuk sehari atau dua hari,” katanya pada Persidangan DUN Sabah, pada Isnin. Beliau yang juga ADUN Kuamut, berkata kawasan diwakilinya lebih besar berbanding negeri Kedah. “Kalau di Semenanjung kita memandu 20 minit sudah melalui dua atau tiga negeri. Tetapi kalau memandu di Sabah selama tiga jam kita cuma melintasi satu atau dua daerah sahaja. “Saya ingin mengingatkan kerajaan Persekutuan. Masih ramai lagi penduduk di kawasan pedalaman di negeri ini yang tidak mempunyi kemudahan jalan raya dan elektrik. “Mereka bergantung kepada pengangkutan bot dan terpaksa menggunakan generator Diesel untuk menjana elektrik. “Mereka-mereka inilah yang terbeban dengan dasar baharu Persekutuan. Oleh kerana syarat subsidi BUDI Diesel terlalu ketat mereka terpaksa membeli Diesel dengan harga RM3.97 senseliter,” katanya. Masiung berkata, di kawasan perkampungan juga ramai warga petani, nelayan dan pemilik bas sekolah memiliki kenderaan yang tidak didaftar atas nama sendiri kerana dibeli melalui pinjaman premis atau keadah sambung bayar. Katanya, merekalah antara penduduk kampung yang tidak layak menikmati subsidi BUDI Diesel. “Kita berharap melalui persidangan DUN ini kerajaan Persekutuan harus mengkaji semula dasar baharu subsidi diesel ini mengikut kesesuaian geografi muka bumi di Sabah dan Sarawak,” katanya. Ends
July 20, 2026
Info X Reporters
Rhinos Cup 2026 platform lahirkan bakat baharu bola sepak Sabah
TUARAN: Penganjuran Rhinos Cup (Sportink) 2026 dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan bola sepak akar umbi di Sabah dengan menyediakan platform terbaik untuk mencungkil serta menggilap bakat muda yang berpotensi mewakili negeri ini di pentas lebih tinggi. Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji, berkata kejohanan itu bukan sekadar medan persaingan antara pasukan, malah berperanan sebagai platform penting dalam usaha mengenal pasti pemain berbakat dari seluruh daerah di Sabah. Beliau berkata, pembangunan bola sepak perlu bermula di peringkat akar umbi dengan memberi peluang kepada pemain muda menonjolkan kebolehan mereka dalam suasana pertandingan yang kompetitif. “Rhinos Cup merupakan satu platform terbaik dalam usaha mengenal pasti bakat muda serta menyediakan pasukan yang lebih bersedia untuk menghadapi cabaran pada masa akan datang. “Kejohanan seperti ini mampu membuka lebih banyak ruang kepada pemain muda membuktikan kemampuan mereka sebelum diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, sekali gus memperkukuh masa depan bola sepak Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Rhinos Cup (Sportink) 2026 sempena Kejohanan Liga Remaja Kebangsaan 2026 di Hilton Garden Inn Kota Kinabalu, dekat sini, pada Ahad. Menurut Ghazali, Rhinos Cup 2026 yang julung kali dianjurkan di Sabah bakal menjadi pentas persediaan terbaik kepada pasukan dari setiap daerah untuk memburu kejuaraan, selain merebut peluang mewakili Sabah ke Kejohanan Liga Remaja Kebangsaan 2026 yang dijadual berlangsung di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang, Pahang. Katanya, kejohanan itu juga memberi peluang kepada Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) membentuk sebuah pasukan yang mantap dengan menghimpunkan pemain muda terbaik dari seluruh negeri bagi menghadapi saingan di peringkat kebangsaan. Dalam pada itu, beliau menegaskan kejayaan bola sepak Sabah tidak hanya bergantung kepada keupayaan pemain di atas padang, sebaliknya perlu disokong oleh sistem pengurusan yang cekap, tersusun serta kedudukan kewangan yang stabil. Beliau yakin dengan pengurusan yang baik, SAFA mampu merancang pembangunan pemain secara lebih menyeluruh dan berterusan sehingga melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang mampu mengangkat martabat bola sepak Sabah. “Saya percaya dengan komitmen semua pihak, termasuk SAFA, persatuan bola sepak daerah, jurulatih dan ibu bapa, kita mampu membina ekosistem pembangunan bola sepak yang lebih kukuh serta melahirkan generasi pemain yang mampu bersaing di peringkat tertinggi,” katanya. Pada masa sama, Ghazali turut menyambut baik pelaksanaan pelbagai program pembangunan yang diadakan sempena kejohanan itu, termasuk klinik bola sepak, klinik bola sepak pantai dan street football membabitkan pemain bawah 12, bawah 14 dan bawah 17 tahun. Menurutnya, program seumpama itu memberi peluang kepada pemain muda memperoleh pengalaman, meningkatkan kemahiran serta menerima bimbingan daripada jurulatih berpengalaman, sekali gus memudahkan proses mengenal pasti bakat sejak di peringkat akar umbi. Beliau berharap program pembangunan seperti itu dapat diteruskan dan diperluaskan ke seluruh daerah di Sabah supaya lebih ramai pemain muda tempatan mendapat peluang mengembangkan potensi mereka serta menjadi pelapis kepada skuad negeri pada masa depan. Majlis anjuran Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia SAFA itu turut dihadiri Naib Presiden IV SAFA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia SAFA, Rafie Robert; Setiausaha Agung SAFA, barisan Ahli Majlis Tertinggi SAFA serta wakil persatuan bola sepak daerah dari seluruh Sabah.- Info X
July 20, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: 10 langkah atasi isu kesesakan Pelabuhan Sepanggar – Ewon
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sedang melaksanakan 10 pelan tindakan interim bagi menangani isu kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP), termasuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Task Force bagi menyelaras pelaksanaannya. Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan memandang serius isu kesesakan di SBCP kerana memberi kesan kepada kelancaran rantaian logistik, kos operasi dan akhirnya mempengaruhi harga barangan di Sabah. “Jawatankuasa Task Force berperanan menyelaras pelaksanaan 10 pelan tindakan interim yang diluluskan Jemaah Menteri secara bersepadu serta memastikan pemantauan berterusan dilaksanakan secara lebih efektif bersama agensi berkaitan dan pemain industri,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Wong Hong Jun (Warisan-Tanjung Aru) dan Datuk Donald Peter Mojuntin (UPKO-Moyog) mengenai prestasi operasi DP World Sabah serta langkah-langkah Kerajaan Negeri menangani kesesakan di Pelabuhan Sepanggar pada sesi soal jawab Persidangan Dewan DUN Sabah, di sini, pada Isnin. Ewon berkata, 10 pelan tindakan interim yang sedang dilaksanakan ialah penambahan container yard, pelaksanaan kadar tarif baharu, penguatkuasaan peraturan terhadap kontena melebihi tempoh simpanan, pengurangan tempoh penyimpanan kontena secara percuma semasa musim puncak, penyediaan tapak parkir treler di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), pelaksanaan Vehicle Booking System (VBS), pelaksanaan operasi 24 jam oleh agensi kerajaan di SBCP, menaik taraf peralatan pelabuhan, perpindahan operasi Roll-on/Roll-off (RORO) dari SBCP ke Pelabuhan Kota Kinabalu serta pelaksanaan Berthing Window Programme (BWP). “Kementerian sentiasa komited memantau keberkesanan pelan interim ini dari semasa ke semasa dan akan memberikan penyelesaian konkrit kepada kesesakan di SBCP. “Kelancaran aliran logistik ini diharap akan meminimumkan kos kendalian secara menyeluruh dan mengelakkan sebarang kenaikan harga barangan yang membebankan rakyat Sabah,” katanya. Mengenai prestasi DP World Sabah, Ewon berkata tujuan utama usaha sama strategik antara Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) dan DP World Sabah adalah untuk meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan serta memposisikan SBCP sebagai hab transhipment dan hab perdagangan utama di rantau BIMP-EAGA serta Intra-ASEAN. Beliau berkata, projek pembesaran SBCP yang sepatutnya siap pada Februari 2025 bagaimanapun mengalami kelewatan sehingga diberikan lima kali pelanjutan masa (Extension of Time – EOT). Katanya, DP World Sabah mengambil alih pengurusan pelabuhan pada September 2024 ketika projek pembesaran masih belum siap, justeru adalah pramatang untuk menjalankan kajian prestasi atau audit rasmi terhadap pengurusan syarikat itu bagi menilai pencapaian sasaran menjadikan SBCP sebagai hab transhipment. Ewon berkata, Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) sebagai badan kawal selia pelabuhan sentiasa menjalankan pemantauan dan penilaian berterusan terhadap prestasi operator konsesi pelabuhan di seluruh Sabah, termasuk DP World Sabah. Katanya, indikator utama yang dipantau ialah Purata Masa Menunggu Kapal Berlabuh (Average Berth Waiting Time – ABWT), tempoh penyimpanan kontena (container dwell time) dan kadar penggunaan kawasan penyimpanan (yard utilisation). Menurut beliau, purata masa menunggu kapal menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara selepas pengambilalihan oleh DP World Sabah hasil peningkatan produktiviti pelabuhan, penambahbaikan perancangan kapal berlabuh serta pengoperasian empat quay crane secara serentak buat pertama kali. “Sebelum pengambilalihan oleh DP World Sabah, purata masa menunggu kapal ialah 66 jam bagi tempoh Disember 2023 hingga September 2024. Selepas pengambilalihan, purata itu berjaya dikurangkan kepada hanya 20.24 jam bagi tempoh Oktober 2024 hingga Julai 2025,” katanya. Bagaimanapun, beliau berkata, peningkatan semula tempoh menunggu kapal kebelakangan ini berpunca daripada kadar penggunaan kawasan penyimpanan kontena yang mencecah sehingga 101 peratus susulan peningkatan jumlah kendalian kontena, pengurangan kira-kira 10 peratus ruang penyimpanan bagi memberi laluan kepada projek pembesaran pelabuhan serta gangguan operasi akibat kerja-kerja menaik taraf pintu gerbang terminal. Beliau berkata, sejak mengambil alih operasi SBCP, DP World Sabah turut meningkatkan kapasiti kawasan penyimpanan kontena sebanyak 41 peratus daripada 6,800 TEUs kepada 9,574 TEUs melalui penyusunan semula kawasan dan kaedah penimbunan kontena yang lebih tinggi. Namun, katanya, pertumbuhan ekonomi Sabah serta peningkatan aktiviti perdagangan menyebabkan kapasiti tambahan itu masih belum mencukupi untuk menampung permintaan semasa, dengan kadar penggunaan container yard secara purata melebihi 70 peratus dan boleh meningkat sehingga 100 peratus pada musim puncak. Sehubungan itu, katanya kementeriannya sedang melaksanakan beberapa langkah tambahan termasuk memanfaatkan kawasan RORO sebagai kawasan simpanan kontena kosong, menyiapkan sebahagian kawasan container yard baharu seluas empat ekar yang dijangka siap pada Disember 2026 serta mengambil alih tanah seluas 14 ekar bersebelahan SBCP untuk dijadikan kawasan simpanan kontena sementara. Mengenai tempoh penyimpanan kontena, Ewon berkata purata container dwell time meningkat daripada 4.0 hari sebelum pengambilalihan DP World Sabah kepada 5.1 hari sehingga Jun 2026. Katanya, peningkatan itu dipengaruhi oleh pertambahan jumlah pengendalian kontena, penggunaan maksimum kawasan container yard, kesesakan di terminal gate serta faktor pelepasan kontena oleh pengimport, ejen penghantaran dan agensi berkaitan yang berada di luar kawalan operator pelabuhan. Beliau berkata, DP World Sabah sedang melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan operasi termasuk mengoptimumkan perancangan pelabuhan, memperkukuh koordinasi bersama pelanggan dan agensi berkaitan serta meningkatkan kecekapan pengendalian kontena bagi mengurangkan container dwell time secara berperingkat. Ewon berkata, secara keseluruhannya DP World Sabah mempamerkan prestasi yang baik meskipun berdepan kekangan kapasiti kawasan container yard yang terhad. Katanya, prestasi syarikat itu bukan disebabkan ketidakcekapan pengurusan pelabuhan, sebaliknya lebih dipengaruhi oleh faktor kapasiti pelabuhan yang kritikal. “Kerajaan negeri menyedari SBCP sedang berdepan cabaran kesesakan sementara akibat lonjakan jumlah kendalian kontena dan pelaksanaan projek pembesaran infrastruktur yang masih berjalan. Namun, pelbagai langkah mitigasi sedang giat dilaksanakan termasuk 10 pelan tindakan interim bagi memastikan kelancaran rantaian logistik dan ekonomi Sabah terus terpelihara,” katanya.- Info X Ends
July 20, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: Tanah Skim Nabawan masih dalam penilaian – Jamawi
KOTA KINABALU: Status kawasan tanah Skim Nabawan masih dalam proses penilaian dan penyelesaian susulan dialog dengan penduduk terbabit pada April lalu. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata beliau mengadakan sesi dialog bersama sebahagian besar penduduk kawasan itu pada 21 April lalu. Katanya, dialog itu turut dihadiri ADUN Nabawan dan pimpinan masyarakat di daerah itu. “Susulan daripada sesi dialog tersebut, MAFFI bersetuju untuk menubuhkan dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Tanah Skim Nabawan yang dipengerusikan Pegawai Daerah Nabawan dan Jawatankuasa Induk Pembangunan Tanah Skim Nabawan yang dipengerusikan Setiausaha Tetap MAFFI,” katanya pada sesi soal jawab lisan Persidangan DUN Sabah, di sini, pada Isnin. Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (GRS-Nabawan) mengenai status terkini kawasan tanah SKIM Nabawan untuk diberikan hak pemilikan atau geran tanah kepada penduduk kampung di kawasan itu. Jamawi berkata, peranan Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Tanah Skim Nabawan ialah untuk membuat penilaian dan persempadanan semula terhadap keseluruhan kawasan Tanah Skim Nabawan, termasuk kawasan yang sudah diusahakan serta kawasan tanah yang belum dibangunkan. “Melalui proses ini, jawatankuasa akan mengenal pasti kawasan tanah skim yang telah dibuka dan diusahakan oleh penduduk setempat, termasuk kawasan penempatan dan kampung yang berada dalam lingkungan Tanah Skim Nabawan. “Seterusnya, hasil penilaian tersebut akan disediakan dalam bentuk pemetaan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Induk Pembangunan Tanah Skim Nabawan yang dipengerusikan oleh Datuk SUT untuk pertimbangan serta tindakan selanjutnya,” katanya. Beliau berkata keputusan Jawatankuasa Induk Pembangunan Tanah Skim Nabawan akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan. “Kementerian kami amat komited untuk menyelesaikan masalah ini yang telahpun berlanjutan lebih 58 tahun sejak ianya ditubuhkan,” katanya.- Info X
July 20, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: Tiang elektrik punca kelewatan LPB Sabah
KOTA KINABALU: Pengalihan utiliti, khususnya pemindahan tiang elektrik dikenal pasti antara faktor yang memberi kesan kepada kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata selain tiang dan aset elektrik, turut menjejaskan kelancaran projek itu ialah pengalihan kabel telekomunikasi dan aset utiliti lain yang berada dalam jajaran pembinaan. Katanya, pengalihan utiliti menjadi komponen kritikal kerana kerja-kerja pembinaan tidak dapat dilaksanakan di kawasan yang masih mempunyai utiliti sedia ada atas faktor keselamatan, risiko gangguan bekalan dan kerosakan infrastruktur utiliti. “Oleh itu, utiliti perlu dialihkan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pembinaan dapat diteruskan,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan DUN Sabah, di sini, pada Isnin. Beliau yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti menjawab soalan Datuk Ir Chin Shu Ying (ADUN Dilantik) mengenai penyebab utama kelewatan penyiapan Projek LPB dan langkah yang diambil untuk mengatasinya. Dr Joachim, berkata proses pengalihan utiliti bukan sekadar melibatkan pemindahan aset, malah merangkumi pengesahan kedudukan utiliti, penyediaan reka bentuk, kelulusan teknikal, penyediaan koridor utiliti, penyelarasan dengan pemilik utiliti dan pelaksanaan kerja-kerja pengalihan. “Sehubungan itu, proses ini memerlukan koordinasi yang rapi antara semua pihak bagi memastikan pengalihan dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur tanpa menjejaskan kesinambungan perkhidmatan kepada pengguna. “Selain itu, faktor-faktor lain seperti pengambilan tanah, keadaan geoteknik di lokasi tertentu, penyelesaian isu-isu teknikal di tapak serta prestasi pelaksanaan kontraktor turut mempengaruhi kemajuan projek mengikut pakej masing-masing,” katanya. Bagi menangani isu-isu itu, katanya kerajaan memperkukuh mekanisme penyelarasan melalui Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek LPB dan mesyuarat penyelarasan secara berkala di peringkat tapak. Jelasnya, isu-isu kritikal yang memerlukan keputusan dasar turut dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi seperti Kementerian Kerja Raya, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bersama Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah bagi mempercepatkan proses penyelesaian dan mengurangkan impak terhadap pelaksanaan projek. Katanya, sebagai langkah penambahbaikan bagi pelaksanaan projek infrastruktur pada masa depan, kerajaan memberi penekanan kepada pelaksanaan kerja-kerja awalan, khususnya penyediaan reka bentuk terperinci, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti sebelum projek pembinaan dimulakan. “Pendekatan ini membolehkan isu-isu pelaksanaan dikenal pasti dan diselesaikan lebih awal, sekali gus mengurangkan risiko kelewatan semasa fasa pembinaan. “Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan setiap pakej Projek LPB Sabah secara berterusan bagi memastikan projek ini dapat disiapkan dengan teratur, berkualiti dan memberi manfaat kepada rakyat serta pembangunan Negeri Sabah,” katanya.- Info X
July 20, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: Tenaga boleh baharu disasar meningkat kepada 1,200 MW pada 2030
KOTA KINABALU: Penjanaan tenaga boleh baharu di Sabah disasar meningkat kepada 1,200 MegaWatt (MW) pada 2030, berbanding 307 MW yang dijana pada masa ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sasaran itu mewakili 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan tenaga negeri, berbanding hanya 16 peratus ketika ini. Beliau berkata, sasaran penjanaan tenaga boleh baharu itu mampu dicapai menerusi beberapa projek yang sedang dan akan dilaksanakan antara tahun ini hingga 2030. “Bagi meningkatkan kapasiti itu, beberapa projek strategik sedang dan akan dilaksanakan, antaranya, projek Solar Berskala Besar (LSS) berjumlah 450 MW yang merangkumi 200 MW yang kini dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap pada hujung 2026 hingga awal 2027 serta tambahan 250 MW yang sedang melalui proses bidaan dan disasarkan siap pada 2028,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Isnin. Beliau menjawab soalan Datuk Arthur Joseph Kurup (BN-Sook) mengenai hala tuju kerajaan negeri dalam meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2030. Hajiji berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 200 MW / 400 MW perjam yang kini dalam proses bidaan dan dijangka siap pada 2028, diikuti projek penjanaan tenaga angin berkapasiti 100 MW yang dijangka siap pada 2029. Selain itu, katanya Projek Hidroelektrik Upper Padas berkapasiti 187 MW dan Projek Hidroelektrik Oriole Padas berkapasiti 162 MW yang dijangka siap pada 2030 juga sedang dilaksanakan. “Dengan pelaksanaan projek-projek itu secara berfasa, kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu di Sabah dijangka meningkat kepada sekitar 1,200 MW menjelang 2030, bersamaan kira-kira 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri. “Selanjutnya, kerajaan negeri yakin sasaran 50 peratus pada 2035 dapat dicapai melalui projek tenaga boleh baharu yang telah dikenal pasti sambil memastikan bekalan elektrik Sabah kekal mencukupi, stabil dan berdaya harap serta mampu milik selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negeri,” katanya. Hajiji berkata, projek tenaga boleh baharu di Sabah dilaksanakan melalui inisiatif strategik di bawah Pelan Induk Tenaga Negeri, Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040) yang menetapkan hala tuju jelas untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu dalam campuran kapasiti penjanaan tenaga negeri dengan sasaran mencapai 50 peratus menjelang 2035. – Info X
July 20, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: Pemberian Khas RM1.5 bilion hanya interim, rundingan 40 peratus diteruskan
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan persetujuan terhadap kadar baharu Pemberian Khas RM1.5 bilion dari kerajaan Persekutuan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei lalu hanya penyelesaian interim. Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Mohd Ishak Ayub, berkata bayaran itu tidak boleh ditafsirkan sebagai persetujuan terhadap amaun muktamad Pemberian Khas kepada Sabah. Beliau berkata, persetujuan itu dibuat tanpa prejudis terhadap hak Perlembagaan Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan. Katanya, ia juga tidak menjejaskan keperluan untuk meneruskan rundingan bagi pelaksanaan formula 40 peratus dalam menentukan amaun muktamad Pemberian Khas yang sewajarnya diterima Sabah. “Kerajaan Sabah kekal dengan pendirian tegas bahawa formula 40 peratus sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah dilaksanakan sepenuhnya. “Bagaimanapun, sekiranya persetujuan mengenai amaun muktamad Pemberian Khas menurut Perlembagaan Persekutuan tidak dapat dicapai melalui rundingan, kerajaan Sabah berpandangan bahawa pelantikanseorang penaksir bebas, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan, hendaklah dilaksanakan,” katanya. Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab lisan Persidangan DUN Sabah pada Isnin, bagi menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tamparuli) mengenai Pemberian Khas RM1.5 bilion dari Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sabah. Mohd Ishak berkata kerajaan Sabah sudah menerima bayaran interim Pemberian Khas bagi 2026 berjumlah RM600 juta dari Kerajaan Persekutuan pada 12 Jun lalu. Bagi baki RM900 juta katanya, Kerajaan Sabah sudah memohon supaya jumlah itu disalurkan kepada dalam tahun ini juga. Beliau turut mendedahkan beberapa siri surat-menyurat di antara kerajaan Persekutuan dan Sabah bertarikh 9 Jun, 19 Jun dan 26 Jun 2026 dibuat selepas pengumuman Perdana Menteri mengenai Pemberian Khas RM1.5 bilion pada 30 Mei lalu. – Info X
July 20, 2026
Info X Reporters
Peniaga kecil di Sulaman bakal terima bantuan tunai RM3,000
TUARAN: Peniaga kecil yang menjalankan perniagaan di tepi jalan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, di sini, bakal menerima bantuan tunai RM3,000 seorang. Bantuan itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika merasmikan Karnival Usahawan dan STEM X Challenge sempena pertandingan akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Lok Batik, di sini, pada Ahad. Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata beliau sudah mengarahkan Pegawai Daerah Tuaran untuk menyenaraikan peniaga kecil di Sulaman supaya bantuan tunai itu dapat diagihkan. “Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya telah berjanji dan saya berharap saya akan mendapat senarai tersebut dalam tempoh yang terdekat ini,” katanya pada majlis berkenaan. Ketua Menteri berkata, beliau memahami keperluan peniaga kecil yang amat memerlukan bantuan sedemikian. Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran Karnival Usahawan dan STEM X Challenge amat signifikan kerana dapat membantu usahawan kecil dalam perniagaan mereka. “Ianya memberi semangat dan peluang kepada usahawan kecil terutama golongan muda untuk meneruskan aktiviti harian. “Bukan semua kita boleh bekerja sebagai pegawai kerajaan tetapi kita boleh menceburkan diri dalam perniagaan dan menjadi seorang usahawan. “Jika kita berjaya menjadi seorang usahawan maka ianya boleh mendatangkan pendapatan yang lebih baik lagi. Yang penting kita mesti rajin dan jangan malu,” katanya. Beliau berkata kerajaan juga menyediakan pelbagai bantuan untuk usahawan terutama usahawan muda agar dapat bergerak maju. Mengenai STEM X Challenge, beliau berkata bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) amat penting pada zaman yang serba moden ini. “Amat penting untuk anak-anak kita menguasai STEM kerana ianya amat diperlukan untuk mencapai kejayaan dan tentunya dalam pembangunan negara dan masyarakat,” katanya. Katanya, penganjuran program yang mengambil inspirasi sempena World Cup 2026 turut membawa mesej bahawa semangat kesukanan boleh diterjemahkan dalam bidang pendidikan dan inovasi. “Sebagaimana sukan menuntut disiplin, strategi, kerjasama dan semangat juang yang tinggi, begitu jugalah bidang STEM dan keusahawanan memerlukan sifat yang sama untuk mencapai kejayaan,” katanya. Ends