Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 22, 2026

Info X Reporters

Utamakan pengalaman rakyat, perkhidmatan proaktif mudahkan urusan kerajaan – KM

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mahu agenda teknologi kerajaan (GovTech) memberi tumpuan terhadap pengalaman rakyat dan penyampaian perkhidmatan secara proaktif, selaras usaha memastikan urusan kerajaan lebih mudah, pantas dan mesra pengguna. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata falsafah GovTech meletakkan rakyat sebagai paksi utama yang bermakna kerajaan tidak lagi menunggu rakyat datang mencari perkhidmatan atau berdepan dengan kerenah birokrasi yang membebankan. “Sebaliknya, teknologi dimanfaatkan agar perkhidmatan kerajaan dapat sampai kepada rakyat secara terus, lancar dan mesra pengguna,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Seminar Digital@Sabah Edisi Ke-18 dan Digital Tamu 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, pada Selasa. Ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun. Hajiji berkata, transformasi digital amat penting untuk meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di Sabah, sekali gus menarik pelaburan dan memajukan ekonomi negeri. “Namun, harus kita ingat bahawa teknologi canggih hanyalah sebuah alat. GovTech tidak akan membawa makna tanpa perubahan sikap dan minda daripada penjawat awam,” katanya. Beliau berkata, kecekapan, integriti dan sifat empati penjawat awam adalah ‘enjin utama’ yang memberi jiwa kepada teknologi demi kesejahteraan rakyat Sabah. Jelasnya, pemodenan sektor awam menerusi GovTech juga membolehkan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan meruntuhkan sistem kerja secara silo. Katanya, integrasi data dan sistem antara agensi di peringkat Persekutuan dan negeri adalah prasyarat bagi mewujudkan perkhidmatan kerajaan yang pantas, mudah dan telus. “Ini terutamanya dalam usaha merapatkan jurang sosioekonomi serta memastikan limpahan pembangunan digital dinikmati rakyat hingga ke kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya. Hajiji turut mengingatkan peningkatan kebergantungan kepada ekosistem digital perlu disusuli benteng keselamatan siber yang kukuh, termasuk perlindungan data peribadi rakyat yang diamanahkan kepada agensi kerajaan. Dalam pada itu, beliau berkata Program Digital Tamu yang dianjurkan serentak mengambarkan tekad kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menyantuni serta memangkin ekosistem ekonomi digital tempatan, khususnya membabitkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sabah. Beliau berkata, Digital Tamu menghimpunkan sehingga 30 pempamer termasuk syarikat teknologi tempatan yang menawarkan solusi digital dan teknologi terkini. Turut terbabit ialah agensi sokongan seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) sebagai pemudah cara mempercepat proses pendigitalan perniagaan PMKS di negeri ini. “Saya amat berharap usahawan-usahawan tempatan dapat memanfaatkan platform ini sepenuhnya demi kelestarian perniagaan mereka pada era digital ini,” katanya. – Info X

September 22, 2026

BERNAMA

Sukan Asia: Skuad takraw ke separuh akhir, misi emas selepas 36 tahun diteruskan

Oleh Muhammad Afiff Md Adnan NAGOYA: Skuad sepak takraw negara melangkah ke separuh akhir acara regu berpasukan selepas muncul juara Kumpulan B, menewaskan India 3-0 pada perlawanan pelengkap kumpulan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya City Mizuho Arena, di sini hari ini. Malaysia bakal berdepan naib juara Kumpulan A, sama ada Korea Selatan atau Indonesia, pada aksi separuh akhir dijadualkan pada Khamis ini. Gandingan Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi dipaksa bekerja keras sebelum memperoleh mata pertama menewaskan trio India, Malemnganba Singh Sorokhaibam, Arun dan Akash Yumnam 15-13, 11-15, 15-6. Regu utama negara yang menampilkan Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam memastikan mata kedua buat Malaysia selepas menundukkan lawan mereka 15-9, 15-12. Regu ketiga dibarisi Muhammad Zarif Marican, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Hafizul Hayazi Adnan melengkapkan kemenangan negara dengan menundukkan trio terakhir India 15-11, 15-5. Malaysia membukan kempen di Sukan Asia dengan momentum kemenangan, menundukkan tuan rumah 3-0 sebelum menewaskan Filipina 3-0. Malaysia kini dalam landasan yang tepat untuk memburu emas pertama acara regu berpasukan selepas kali terakhir menaiki podium tertinggi pada Sukan Asia Beijing 1990, iaitu 36 tahun lepas. Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun, berkata barisan pemainnya perlu memperkemas beberapa aspek permainan menjelang aksi separuh akhir. “Secara keseluruhan kita berpuas hati dengan prestasi pemain-pemain kita. Cuma ada elemen-elemen yang perlu kita tekankan untuk kita bawa ke peringkat separuh akhir supaya tidak leka ataupun cepat hilang tumpuan pada perlawanan penting di peringkat separuh akhir ini. “Mungkin dari segi tumpuan, variasi pukulan kita, first ball kita agak “kendur” pada set kedua regu utama. Itu antara yang kita nampak,” katanya.–BERNAMA

September 22, 2026

Info X Reporters

Suspek curi buah sawit positif dadah

BEAUFORT: Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri buah sawit di sebuah kebun milik orang lain di Kampung Darat, Menumbok, Sabtu lalu. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, penahanan suspek dibuat hasil tindakan pantas anggota Balai Polis Menumbok susulan maklumat berkaitan kehilangan buah sawit di kebun berkenaan. Menurutnya, pengadu sebelum ini memaklumkan kebun sawit miliknya kerap mengalami kehilangan buah sawit selain menyedari kehadiran seorang lelaki tidak dikenali di kawasan kebun bersama sebuah kenderaan yang mengandungi beberapa tandan buah sawit. “Walaupun ketika itu tiada bukti kukuh untuk mengesahkan buah sawit berkenaan diambil dari kebun pengadu, maklumat itu membantu polis menjalankan tindakan susulan. “Hasil tindakan anggota Balai Polis Menumbok, suspek berjaya dikesan sebelum ditahan,” katanya. Beliau berkata, suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk menjalani saringan air kencing. “Hasil saringan mendapati suspek positif methamphetamine. “Suspek diserahkan kepada BSJND IPD Beaufort untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Katanya, polis turut meneruskan siasatan bagi melengkapkan siasatan berkaitan kes kecurian buah sawit berkenaan. “PDRM menegaskan komitmen membanteras kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah, selain memastikan keselamatan masyarakat serta harta benda terus terpelihara,” katanya. – Info X

September 22, 2026

Info X Reporters

Pokok tumbang hempap dua kereta

KOTA KINABALU: Dua kereta mengalami kerosakan pada bahagian bumbung selepas dihempap pokok tumbang di Jalan Tun Razak, hadapan Wisma Merdeka, di sini, pagi tadi. Pokok Angsana berkenaan tumbang berhampiran lampu isyarat sebelum menghalang dua laluan jalan raya dan menghempap sebuah Perodua Axia serta Perodua Alza. Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Mejar (PA) Aizex Junior Simon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi. “Kereta berkenaan sedang bergerak menuju ke destinasi sebelum pokok tumbang berhampiran lampu isyarat. “Bagaimanapun, kedua-dua kenderaan terbabit tidak menyebabkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang,” katanya. Beliau berkata, setibanya di lokasi pada jam 7.13 pagi, anggota mendapati pokok tumbang menghalang laluan dan menghempap dua kenderaan. “Anggota membuat penilaian di lokasi sebelum kerja pemotongan pokok dilakukan, terutama pada bahagian yang menghempap kedua-dua kenderaan bagi membolehkan kenderaan dialihkan. “Kerja pemotongan dan pengalihan pokok kemudian diteruskan dengan bantuan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), menggunakan tiga gergaji rantai,” katanya. Menurutnya, pokok berkenaan berjaya dialihkan sepenuhnya kira-kira jam 8.45 pagi dan laluan jalan raya dapat digunakan semula. Katanya, kedua-dua kenderaan terbabit hanya mengalami kerosakan kemek pada bahagian bumbung dan tiada kecederaan dilaporkan. “Operasi itu membabitkan seorang pegawai dan empat anggota lain-lain pangkat termasuk pemandu dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu. “Pasukan kemudian kembali ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Kinabalu pada jam 9 pagi selepas memastikan kerja pengalihan selesai dan laluan kembali selamat digunakan,” katanya. – Info X

September 22, 2026

Info X Reporters

ECoS sita kelengkapan elektrik, perkakas gas tanpa label keselamatan

KOTA KINABALU: Energy Commission of Sabah (ECoS) mempergiatkan penguatkuasaan terhadap penjualan kelengkapan elektrik dan perkakas gas yang tidak mempunyai label atau penandaan keselamatan diluluskan di Sabah. Dalam operasi pada 17 September lalu, ECoS memeriksa empat premis di sekitar Kota Kinabalu yang disyaki menjual kelengkapan elektrik dan perkakas gas tanpa label atau penandaan keselamatan ditetapkan. Operasi bersepadu itu membabitkan 22 pegawai ECoS dengan kerjasama empat pegawai Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM). Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai produk tidak mempunyai label atau penandaan keselamatan ditetapkan, termasuk mentol lampu, kabel elektrik, cerek elektrik, seterika elektrik dan dapur gas. Semua produk terbabit disita untuk tindakan lanjut. Mengikut Peraturan 107 Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024 (PPBE 2024), kelengkapan elektrik pengguna yang dikawal selia hendaklah mendapat kelulusan serta mempunyai label atau penandaan keselamatan ditetapkan ECoS sebelum dijual. Kegagalan mematuhi peraturan berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 134 PPBE 2024. Jika disabitkan, pesalah boleh didenda sehingga RM20,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi perkakas gas pula, Peraturan 117 Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 2023 (PPBG 2023) menetapkan setiap perkakas gas yang diluluskan hendaklah mempunyai penandaan atau pelabelan ditetapkan sebelum dijual. Kegagalan mematuhi keperluan itu adalah suatu kesalahan di bawah subseksyen 62(2) Enakmen Bekalan Gas 2023 (EBG 2023). Jika disabitkan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000, termasuk denda tambahan bagi kesalahan yang berterusan selepas sabitan. ECoS turut mengingatkan peniaga, pembekal, pengimport dan pengedar supaya memastikan semua kelengkapan elektrik serta perkakas gas yang dipasarkan mematuhi sepenuhnya keperluan keselamatan dan perundangan. Pengguna pula dinasihatkan supaya memeriksa dan memastikan produk yang dibeli mempunyai label atau penandaan keselamatan yang sah. ECoS berkata, pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan produk yang dipasarkan selamat digunakan, sekali gus melindungi keselamatan dan kepentingan pengguna di Sabah.-Info X

September 21, 2026

BERNAMA

Impian Jaclyn Victor bersama MPO jadi kenyataan, cabar diri nyanyi opera itali

KUALA LUMPUR: Impian penyanyi bersuara lantang Jaclyn Victor untuk menjayakan konsert solo diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bakal menjadi kenyataan pada 17 Okt depan, menerusi penganjuran pementasan khas di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di sini. Konsert bertajuk ‘Jaclyn Victor – Gemilang Bersama MPO’ itu akan dipimpin oleh konduktor muzik berpengalaman Ahmad Muriz Che Rose dan menampilkan kira-kira 20 lagu dalam persembahan berdurasi 90 minit. Jaclyn, 48, berkata persembahan solo di dewan berprestij itu akan menjadi antara pencapaian paling bermakna sepanjang pembabitannya dalam bidang nyanyian. “Ketika mula-mula berada dalam industri, bila mendengar nama MPO saya rasa takut dan berdebar, seperti mahu masuk ke kedai jenama mewah. Apabila (akhirnya) dapat berdiri di sini dan mengadakan konsert solo sendiri bersama-sama MPO antara satu impian terbesar saya. “MPO berada di tahap yang berbeza, jadi saya rasa sangat bersyukur apabila peluang ini akhirnya tiba,” katanya kepada pemberita selepas sidang media konsert berkenaan di DFP di sini. Penganjuran itu meletakkan Jaclyn sebaris dengan beberapa penyanyi tersohor tanah air yang pernah diiringi MPO, antaranya Tan Sri SM Salim, Datuk Seri Sheila Majid, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan Datuk M. Nasir. Kelainan konsert itu antaranya ialah penglibatan Jaclyn dalam genre opera klasik Itali menerusi lagu O Mio Babbino Caro serta Time to Say Goodbye, sebagai menyahut cabaran Ahmad Muriz. “Abang Muriz suka mencabar saya untuk lakukan sesuatu yang baharu. Walaupun saya bukannya penyanyi klasik, saya suka mengambil peluang ini untuk mencabar batas kemampuan vokal saya,” katanya yang pernah tiga kali tampil sebagai penyanyi undangan bersama-sama dengan MPO. “Menyanyi dengan orkestra tiada ruang untuk membuat kesilapan. Garisan emosi dan corak pernafasan pun penonton boleh dengar dengan jelas, jadi saya perlu mempunyai fokus yang amat tinggi,” kata pelantun lagu Gemilang itu. Konsert itu bakal menampilkan gubahan simfoni baharu oleh barisan penyusun muzik termasuk Aubrey Suwito, Luqman Aziz, Gerard Salonga, Shahhakam Mokhtar, Teuku Umar Ilany, Leonard Yeap dan Ahmad Muriz dengan lagu-lagu popular Jaclyn yang akan diberi nafas baharu termasuk Gemilang, Ikut Rentakku, Di Bawah Pohon Asmara, Tiada Lagi Indah dan Beribu Sesalan. “Saya tidak akan turunkan key asal, walaupun ada lagu yang sudah berusia 2O tahun. Jika kita terlalu selesa, kita tidak akan mencabar potensi diri kita,” katanya. Selain koleksi lagu tempatan dan klasik Itali, konsert itu turut dipelbagaikan dengan seleksi lagu pelbagai bahasa dan genre antaranya Tunggu Sekejap, When I Fall In Love, Superwoman, Diamonds Are Forever, Chong Bai, dan Defying Gravity. Sementara itu, Ahmad Muriz berkata beliau sengaja mencabar Jaclyn untuk keluar daripada zon selesa bagi menampilkan sisi berbeza keupayaan vokalnya yang jarang disaksikan penonton. “Apabila kita bercakap mengenai Jaclyn Victor, semua orang sudah sedia maklum dengan kehebatan serta kekuatan vokalnya. Jadi untuk konsert di DFP ini, saya mahu cabar dia keluar daripada zon selesa dan lakukan sesuatu di luar jangkaan. “Walaupun pada awalnya dia agak keberatan dan bimbang, saya yakin dengan teknik serta kawalan vokal yang dimilikinya, Jaclyn mampu membawakannya dengan sangat baik dan bakal memberi kejutan kepada penonton,” katanya. Pada konsert itu, Jaclyn bakal menggayakan busana eksklusif rekaan pereka fesyen tempatan Rizman Ruzaini.–BERNAMA

September 21, 2026

Info X Reporters

Jeritan remaja gagalkan cubaan cabul

TAWAU: Jeritan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun meminta pertolongan menggagalkan cubaan seorang lelaki mendekatinya di sebuah rumah kedai di Kalabakan, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi itu, mangsa mendakwa terdengar bunyi seperti kucing sebelum seorang lelaki yang menutup wajah tiba-tiba membuka langsir dan menghampirinya. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek kemudian dipercayai naik ke tilam tempat mangsa berada sebelum remaja itu menjerit dan melawan. “Mangsa turut mendakwa ditendang lelaki terbabit sebelum suspek melarikan diri dari lokasi kejadian. “Bertindak atas maklumat, anggota Balai Polis Kalabakan menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 40-an di kawasan kedai berhampiran Bulatan Kalabakan kira-kira jam 9.45 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Rosdi berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelakunya. Sementara itu, beliau berkata ibu bapa serta masyarakat dinasihatlan supaya sentiasa mengambil berat keselamatan kanak-kanak dan segera menyalurkan maklumat kepada polis jika mengetahui atau mengesyaki kejadian yang boleh mengancam mereka. – Info X

September 21, 2026

Info X Reporters

Balai Polis Ranau baharu tingkat khidmat kepada masyarakat

RANAU: Balai Polis Ranau yang baharu dirasmikan hari ini diharap dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepolisan, sekali gus memperkukuh keselamatan masyarakat di daerah berkenaan. Majlis perasmian disempurnakan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, di sini. Jauteh berkata, balai polis berkenaan bukan sekadar bangunan atau prasarana fizikal, sebaliknya simbol kehadiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masyarakat serta pusat penyampaian perkhidmatan yang mesra rakyat, responsif, cekap dan profesional. Menurutnya, keadaan geografi Ranau yang luas serta perkembangan aktiviti ekonomi dan pelancongan memerlukan tahap kesiapsiagaan serta kehadiran polis yang berkesan. “Seluruh warga PDRM khususnya di daerah Ranau perlu terus menjadikan prinsip ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ sebagai pegangan dengan memperkukuh hubungan bersama masyarakat berasaskan kepercayaan, rasa hormat dan kerjasama. “Usaha pencegahan jenayah juga perlu dilaksanakan secara proaktif dengan mengenal pasti isu keselamatan di peringkat akar umbi serta mendekati masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis itu. Beliau berkata, kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat perlu diperkukuh bagi menangani cabaran jenayah semasa. Katanya, ia termasuk penipuan dalam talian, jenayah komersial, penyalahgunaan dadah, keganasan rumah tangga, jenayah seksual, penyeludupan dan jenayah terancang. Menjelang persaraan wajibnya, Jauteh turut berpesan kepada warga PDRM Kontinjen Sabah supaya terus berkhidmat dengan ikhlas, memelihara integriti, menghormati masyarakat dan menegakkan undang-undang secara adil. “Teruskan perjuangan, teruskan khidmat bakti, peliharalah nama baik pasukan dan teruslah menjadi polis yang dipercayai rakyat,” katanya. – Info X