Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

July 16, 2026

Info X Reporters

Lelaki ditemukan maut di parkir bangunan

BEAUFORT: Polis sedang menyiasat penemuan mayat seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun di kawasan parkir bawah sebuah bangunan di Cerah Commercial Centre, di sini, malam tadi. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Beaufort. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, sejurus menerima maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Beaufort menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan. Beliau berkata, pihaknya turut merakam percakapan ahli keluarga mangsa selain menjalankan pemeriksaan forensik bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. “Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan. “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan, malam ini. Menurutnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Beaufort atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – Info X

July 15, 2026

Info X Reporters

260 PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal

LAHAD DATU: Seramai 260 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, hari ini. Kesemua mereka dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan sebelum berlepas melalui Pelabuhan Lahad Datu menuju Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan feri komersial. Daripada jumlah itu, seramai 167 adalah lelaki dewasa, 40 wanita dewasa, 30 kanak-kanak lelaki dan 23 kanak-kanak perempuan berusia antara lima hari hingga 68 tahun. Kanak-kanak yang terbabit turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing. JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semua tahanan yang dihantar pulang sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan (Travel Documents) yang sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal. Menurut kenyataan itu, sebelum ini pada 14 Julai lalu, JIM Sabah turut menghantar pulang lima lelaki warga China dari Depot Imigresen Papar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan penerbangan terus ke Guangzhou. “Pada 10 Julai lalu pula, lima lelaki warga Pakistan dari Depot Imigresen Tawau dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Tawau dengan iring kawal pegawai sebelum transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Lahore, Pakistan. “Sehingga hari ini, seramai 4,275 tahanan PATI berjaya dipindahkan ke negara asal masing-masing, membabitkan 2,838 warga Filipina, 1,207 warga Indonesia, 105 warga Pakistan dan 89 warga China,” katanya. JIM Sabah turut menyeru orang ramai supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi jabatan bagi membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini. – Info X

July 15, 2026

Info X Reporters

Lapan sekeluarga cemas, rumah atas air roboh akibat angin kencang

SANDAKAN: Lapan beranak hilang tempat tinggal apabila rumah atas air yang didiami di Jambatan 18, Kampung Sim-Sim, di sini, roboh dalam kejadian petang tadi. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu. Kejadian dikatakan berpunca daripada angin kencang dengan bahagian balkoni rumah dilaporkan runtuh sejak semalam, disusuli keseluruhan bahagian belakang rumah hari ini. Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Sulaiman Salama, berkata mereka menerima panggilan pada jam 5.59 petang sebelum sepasukan tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke lokasi untuk membuat pemantauan. Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati struktur bahagian belakang rumah roboh dipercayai akibat angin kencang. “APM menjalankan pemeriksaan untuk memastikan tiada mangsa mengalami kecederaan dan mengawal kawasan berisiko. “Kita juga menasihatkan penghuni supaya tidak menghampiri kawasan yang runtuh,” katanya ketika dihubungi. Sulaiman berkata, mangsa juga sudah diingatkan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa agar tindakan susulan dapat diambil, sebelum operasi ditamatkan pada jam 7.03 petang. – Info X

July 15, 2026

Info X Reporters

KM iringi TYT pada Majlis Mengadap Sultan Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengiringi Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman pada Majlis Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di Istana Nurul Iman, di sini, pada Rabu. Majlis itu turut dihadiri isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman dan isteri, Datin Siti Yuslaini Mohd Samsuri. Terdahulu pada sebelah pagi, Hajiji dan isteri adalah antara tetamu khas yang menghadiri Majlis Istiadat Barisan Kehormatan Bagi Memperingati Hari Keputeraan Yang Ke-80 Kebawah DYMM Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali, sebelum menghadiri Majlis Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Keputeraan Sultan Brunei di Istana Nurul Iman. Sepanjang lawatan rasmi itu, Hajiji turut menghadiri beberapa lagi acara istiadat rasmi yang telah diatur sempena sambutan berkenaan, termasuk Majlis Persantapan Sempena Hari Keputeraan Ke-80 Sultan Brunei pada Khamis malam. Sementara itu, Ketua Menteri dan isteri tiba di Brunei pada Selasa lalu, bagi mewakili Kerajaan Negeri Sabah dalam istiadat rasmi sempena sambutan berkenaan, sekali gus mencerminkan hubungan erat serta persahabatan yang sekian lama terjalin antara Sabah dan Brunei. – Info X

July 15, 2026

Info X Reporters

Inkues Zara Qairina: Saksi pakar lantikan keluarga arwah tidak dibenar meneruskan keterangan

KOTA KINABALU: Saksi pakar lantikan keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Dr Noor Aishah Rosli tidak dibenarkan untuk meneruskan keterangannya dalam inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini. Keputusan itu dibuat Koroner Amir Shah Amir Hassan selepas mendengar hujah lisan daripada semua pihak yang terbabit dalam inkues berkenaan, pada Rabu. Bagaimanapun, keterangan saksi ke-76 itu sebagai Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Kaunselor Berdaftar sejak Isnin, termasuk laporannya yang dijadikan eksibit, dikekalkan dalam rekod prosiding Mahkamah Koroner. Amir Shah berkata, bantahan yang dibangkitkan oleh Pegawai Pengendali inkues diterima sebahagiannya. “Dengan penuh hormat dan tanpa menjejaskan kelayakan akademik atau pengalaman empirikal beliau, saksi ke-76 tidak dibenarkan meneruskan pemberian pendapat pakar dalam inkues ini. “Keterangan lisan dan keterangan dokumen yang telah dikemukakan oleh saksi ke-76, termasuk Eksibit I-299, hendaklah dikekalkan dalam rekod prosiding,” katanya. Amir Shah berkata, status undang-undang Eksibit I-299, sama ada ia akan diterima sebagai pendapat pakar, dihadkan kepada naratif fakta atau ditolak sepenuhnya, serta nilai pembuktian yang akan diberikan kepada keterangan saksi akan diputuskan kemudian. “Perkara-perkara ini akan tertakluk kepada analisis akhir dan seperti yang saya nyatakan sebelum ini, hujahan lanjut daripada semua pihak berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan pada penutupan inkues,” katanya. Dr Noor Aishah adalah saksi yang dipanggil oleh pasukan peguam diketuai Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat. Saksi berumur 51 tahun itu sebelum ini mengakui berdaftar dengan Lembaga Kaunselor, namun tidak berdaftar sebagai Pakar Psikologi Klinikal Kanak-Kanak di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016. Berikutan itu, Pegawai Pengendali Inkues, Nahra Dollah membantah Dr Noor Aishah daripada meneruskan keterangan sebagai saksi pakar. Nahra menyatakan Dr Noor Aishah gagal memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah akta ditetapkan untuk terus memberikan keterangan pakar. Bagaimanapun, peguam yang mewakili ibu dan bapa Zara berhujah, peraturan ketat mengenai keterangan perlu dilonggarkan memandangkan inkues adalah prosiding pencarian fakta bukan adversarial. Mereka berhujah bahawa di bawah Seksyen 45 Akta Keterangan 1950, satu-satunya syarat ialah seseorang itu mempunyai kemahiran atau kepakaran berdasarkan pengalaman dan pengetahuan (empirical skill). Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang pelajar dalam inkues itu pula berhujah, disebabkan ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang itu, Eksibit I-299 juga hendaklah ditolak sepenuhnya sebagai keterangan pakar. Beliau juga berkata semua pendapat lisan yang diberikan Dr Noor Aishah atas kapasitinya sebagai pakar hendaklah diketepikan sepenuhnya. Inkues kematian Zara Qairina yang dilaksanakan sejak September 2025 dibuat bagi mencari punca kematian Allahyarham Zara Qairina selepas ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 dan dilaporkan meninggal dunia sehari kemudian. – Info X

July 15, 2026

Info X Reporters

Lapan pelajar direman bantu siasatan kes gaduh di Tawau

TAWAU: Lapan pelajar lelaki sebuah sekolah menengah, di sini, direman dua hari bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang didakwa berpunca daripada penyebaran gambar dan video berunsur seksual yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin di Mahkamah Majistret Tawau pada Rabu. Ia bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata. Permohonan reman dikemukakan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Nurul Amira Razali. Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat mengenai satu rakaman video berdurasi 27 saat yang tular menerusi aplikasi WhatsApp memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa pelajar dengan seorang lelaki awam di kawasan kedai Batu 5, Jalan Apas. Dalam kejadian itu, lelaki terbabit dipercayai menggunakan topi keledar sebagai senjata ketika pergaduhan berlaku. Susulan kejadian berkenaan, sepasukan polis menahan semua pelajar berusia 13 dan 14 tahun kira-kira jam 3 petang semalam bagi membantu siasatan. Siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai tercetus susulan perselisihan berkaitan dakwaan penyebaran gambar dan video berunsur seksual yang disunting menggunakan teknologi AI. Kandungan berkenaan dipercayai menggunakan wajah dua individu sebelum didakwa tersebar di media sosial sehingga mencetuskan ketegangan antara pihak terbabit. Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut polis mendapati tiada sebarang video suntingan AI seperti yang didakwa ditemui di mana-mana platform media sosial. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata. – Info X

July 15, 2026

Info X Reporters

Kerajaan Negeri bincang dengan MOF mekanisme tambah baik BUDI Diesel di Sabah – KM

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedang mengadakan libat urus dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan agensi Persekutuan yang berkaitan bagi mempertimbangkan mekanisme penambahbaikan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar di Sabah yang mula berkuat kuasa bulan ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata mesyuarat susulanantara agensi-agensi Kerajaan Negeri dengan Kementerian Kewangan dan agensi Persekutuan berkaitan berhubung perkara itu akan diadakan pada 17 Julai ini dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah. “Peluasan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar ke Sabah yang bermula pada 1 Julai lalu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Julai,” katanya. Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri mengambil perhatian serius terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak. “Sehubungan itu, Kementerian Kewangan dan agensi kerajaan yang berkaitan telah diarahkan supaya memperincikan isu-isu berkenaan serta meneliti cadangan yang bersesuaian bagi menangani permasalahan yang dihadapi oleh golongan yang terkesan,” katanya. – Info X

July 15, 2026

Info X Reporters

Kelulusan RUU Profesion Kerja Sosial 2026 iktiraf kepakaran pekerja sosial – Pakar UMS

KOTA KINABALU: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial 2026 di Dewan Rakyat disifatkan satu pengiktirafan bersejarah yang bakal menstruktur semula landskap kebajikan dan khidmat kemanusiaan negara. Pakar Kerja Sosial Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Peter Voo, yang menyambut baik kelulusan itu menyifatkannya sebagai satu anjakan penting ke arah profesionalisme bidang berkenaan. Beliau berkata, pelaksanaan Pendaftaran Pengamal Kerja Sosial akan membawa impak serampang dua mata yang amat kritikal bagi pasca-pandemik dan pengurusan isu komuniti semasa. “Sistem pendaftaran ini bukan sahaja mengiktiraf kepakaran pekerja sosial, malah fungsi standardisasi dan pengawalseliaan di bawah akta baharu ini bertindak sebagai benteng perlindungan undang-undang. “Ia melindungi keselamatan pekerja sosial daripada risiko tugas serta menjamin hak dan privasi penerima perkhidmatan (klien) daripada sebarang bentuk eksploitasi oleh individu tidak bertauliah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Sejajar dengan perkembangan itu, Peter menzahirkan penghargaan dan syabas kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), terutama Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri atas kelulusan RUU berkenaan. Katanya, komitmen jitu Nancy dalam mengemudi siri libat urus dan mempertahankan keperluan akta itu di Parlimen amat luar biasa. “Usaha murni beliau berjaya mengangkat martabat profesion kerja sosial di Malaysia agar setaraf dengan bidang profesional perundangan dan perubatan,” katanya. Melalui penguatkuasaan akta itu nanti, Peter berkata Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial UMS komited untuk terus menyokong hasrat kerajaan dengan melahirkan graduan dan pengamal kerja sosial yang kompeten, beretika dan memenuhi piawaian kompetensi kebangsaan demi kesejahteraan masyarakat mampan. – Info X