Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 19, 2026

Info X Reporters

‘Port’ depan rumah terbongkar, dua lelaki dicekup

PENAMPANG: Tindakan seorang lelaki warga asing menjadikan kawasan hadapan sebuah rumah sebagai lokasi menyimpan dadah terbongkar selepas dia dicekup polis, petang semalam. Penahanannya membawa kepada rampasan 20 paket plastik berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 56.91 gram, manakala seorang lagi lelaki turut ditahan dalam operasi berasingan, tengah malam tadi. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek pertama berusia 33 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) kira-kira jam 2.50 petang. Katanya, syabu yang ditemukan dianggarkan bernilai RM8,500, manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine. “Dalam operasi kedua kira-kira jam 12.10 tengah malam, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan bersama empat paket plastik berisi bahan disyaki syabu seberat 5.23 gram bernilai RM900. “Secara keseluruhan, polis merampas 62.14 gram syabu dianggarkan bernilai RM9,400 menerusi kedua-dua operasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Katanya, kes kedua pula disiasat mengikut Seksyen 39A(1) akta sama, manakala kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan lanjut. “Polis menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah bagi membolehkan tindakan diambil,” katanya. – Info X

September 18, 2026

Info X Reporters

Ular sawa 50 kilogram jadi ‘tetamu’ di beranda rumah

PUTATAN: Sebuah keluarga di Kampung Lembising, di sini, dikejutkan dengan kemunculan ‘tetamu tidak diundang’ apabila seekor ular sawa seberat kira-kira 50 kilogram ditemukan di luar beranda rumah mereka, petang tadi. Kehadiran reptilia sepanjang kira-kira 4.3 meter itu memaksa penghuni mendapatkan bantuan bomba sebelum ia berjaya ditangkap menggunakan penjerut. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.20 petang sebelum lima anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi. Katanya, pasukan tiba 10 minit kemudian dan menemukan ular sawa berkenaan berada di luar beranda rumah pemanggil. “Anggota bertindak menangkap ular itu menggunakan penjerut dan operasi berjaya dikawal pada jam 6.33 petang. “Tiada mangsa dilaporkan dan operasi tamat sepenuhnya tiga minit kemudian,” katanya ketika dihubungi. Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Norazrin Suhairi. – Info X

September 18, 2026

BERNAMA

Belanjawan 2027: Sabah harap inisiatif premis tamu desa diteruskan – Ewon

SANDAKAN: Kerajaan Persekutuan diharap dapat meneruskan peruntukan bagi inisiatif premis tamu desa pada Belanjawan 2027 sebagai usaha memperkasakan aktiviti ekonomi luar bandar. Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif itu wajar diteruskan, memandangkan aktiviti tamu di kampung begitu sinonim dengan negeri ini. “Sabah mempunyai sekitar 3,000 kampung yang ada pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan saya percaya sebahagian besar daripada kampung-kampung ini, mempunyai tamu mingguan diadakan sekali seminggu. “Apabila ada inisiatif seperti ini diteruskan, kemudahan premis tamu desa itu tidak hanya digunakan untuk tamu mingguan semata-mata, tetapi berpotensi dimanfaatkan untuk program lain seperti mesyuarat agensi Amanah Ikhtiar Malaysia, Jualan Rahmah MADANl atau acara rakyat misalnya perkahwinan,” katanya. Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawan dan Pengangkutan Sabah berkata demikian kepada pemberita, selepas merasmikan premis tamu desa Kampung Ulu Dusun sempena Program Usahawan Tempatan Sabah First di sini hari ini. Ewon berkata perkara itu sudah dikemukakan kepada menteri, timbalan menteri dan ketua setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), baru-baru ini. Beliau berharap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi perhatian untuk meneruskan inisiatif berkenaan. “Berdasarkan pengalaman semasa menjadi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya banyak melawat tamu-tamu dan selepas premis ini disediakan, terbukti membawa impak besar kepada usahawan kecil khususnya golongan wanita dan ibu yang berniaga di tamu mingguan. Premis ini memberi keselesaan dan perniagaan tidak terjejas jika hujan,” katanya. Sementara itu, Pengerusi Koperasi Usahawan Libaran Sabah Berhad Dr Peter Naintin berkata inisiatif premis tamu desa itu, memberi ruang kepada usahawan kecil termasuk penjaja tepi jalan berniaga dalam keadaan selesa serta selamat. “Kita mahu memastikan hak usahawan juga terbela dari segi keselamatan, selain peningkatan pendapatan. Kita berharap pada tahun depan satu lagi premis tamu desa dibina di Kampung Jaya Bakti di sini, kebanyakan usahawan ini terdiri daripada para ibu yang mahu meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.– BERNAMA

September 18, 2026

BERNAMA

Pengampunan bersyarat Najib: DAP bincang pendirian, tindakan parti esok – Loke

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan diadakan esok bagi membincang dan memutuskan pendirian serta tindakan susulan parti itu berhubung pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan serta menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan Keluhuran Perlembagaan. Katanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh telah menyampaikan pendirian dan pandangan yang selaras dengan prinsip perjuangan DAP ketika menjalankan tanggungjawab beliau sebagai anggota Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan. “Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh beliau (Hannah), pandangan tersebut disampaikan secara jujur dan berterus terang demi kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. Loke berkata DAP sejak awal konsisten menuntut keadilan dan akauntabiliti dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain memperjuangkan supaya penyelewengan itu disiasat secara menyeluruh dan mereka yang bertanggungjawab dibawa untuk melalui proses undang-undang yang bebas dan adil. Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta. Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara pagi tadi.-– BERNAMA

September 18, 2026

BERNAMA

Najib masih berhadapan pelbagai kes walaupun jalani tahanan rumah

KUALA LUMPUR: Keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah, tidak menamatkan kes jenayah dan sivil lain yang sedang dihadapinya. Aturan tahanan di rumah itu, merujuk kepada hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International Sdn Bhd yang melibatkan penyelewengan dana berjumlah RM42 juta. Hukumannya dijadualkan tamat pada 23 Ogos 2028. Bagaimanapun, Najib masih berhadapan prosiding undang-undang lain, termasuk rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 15 tahun dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Pada 26 Dis 2025, Mahkamah Tinggi mensabitkan Najib atas 25 pertuduhan membabitkan penyalahgunaan kedudukannya untuk memperoleh dana kira-kira RM2.3 bilion dan kesalahan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan mengenakan denda RM11.4 bilion. Mahkamah mengarahkan hukuman penjara 15 tahun itu bermula selepas Najib selesai menjalani hukumannya dalam kes SRC International. Najib telah memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu pada 29 Dis 2025. Sementara itu, dalam kes sivil berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Mac 2026, mahkamah mendapati Najib bertanggungjawab ke atas kerugian yang dialami oleh SRC International berjumlah kira-kira USD1.3 bilion. Mahkamah mendapati Najib telah memungkiri tugas fidusiarinya, menyalahgunakan kedudukannya dan menyeleweng dana syarikat untuk tujuan peribadi. Mahkamah membenarkan tuntutan SRC International sebanyak USD1.18 bilion dan memerintahkan Najib membayar jumlah tersebut, sebagai tambahan kepada USD120 juta yang telah diterimanya daripada syarikat itu, menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira USD1.3 bilion. SRC International memfailkan saman sivil itu pada Mei 2021, dengan pada awalnya menamakan Najib dan enam bekas pengarah sebagai defendan. Syarikat itu kemudiannya menggugurkan enam bekas pengarah tersebut daripada saman berkenaan, menjadikan hanya Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil, sebagai defendan. Penghakiman ingkar telah direkodkan terhadap Nik Faisal pada 2021, lantas menjadikan Najib sebagai defendan tunggal dalam prosiding tersebut. Najib juga berdepan dengan prosiding jenayah lain yang berkaitan dengan SRC International dan 1MDB. Sementara itu, pada 20 Jun 2025, Mahkamah Tinggi telah melepas dan membebaskannya daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta milik SRC International. Pembebasan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, dalam kes meminda laporan audit 1MDB dikekalkan, selepas Mahkamah Rayuan pada 12 Sept 2023 membatalkan dua notis rayuan yang difailkan oleh pihak pendakwaan. Perkara ini berikutan kegagalan pihak pendakwaan untuk memfailkan petisyen rayuannya dalam tempoh masa yang ditetapkan serta gagal memohon lanjutan masa untuk memfailkan petisyen tersebut. Dalam satu lagi kes yang melibatkan enam pertuduhan pecah amanah jenayah berhubung pembayaran RM6.6 bilion kepada International Petroleum Investment Company (IPIC), Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, juga telah dilepas dan dibebaskan. Secara berasingan, 1MDB telah memfailkan saman sivil berjumlah kira-kira USD5.64 bilion terhadap Najib dan enam individu lain. Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus dijadualkan bersambung pada 15 Mac tahun depan. Saman tersebut mendakwa antara lain, wujudnya pelanggaran tugas fidusiari dan statutori, penyalahgunaan kuasa, konspirasi serta penyelewengan dana 1MDB. Najib juga berhadapan saman sivil bernilai RM42 juta yang difailkan terhadapnya oleh SRC dan anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn Bhd. Kes itu telah selesai pada 16 Mac tahun ini dan pihak-pihak yang terlibat kini sedang membuat penghujahan lisan mereka di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan. Sementara itu, mengenai prosiding kebankrapan terhadap Najib dan anaknya Datuk Mohd Nazifuddin, pada 4 Sept tahun ini, Mahkamah Rayuan telah membenarkan penangguhan prosiding kebankrapan terhadap kedua-dua mereka. Penangguhan itu dibenarkan sementara menunggu penyelesaian rayuan mereka di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) berhubung taksiran cukai tambahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Prosiding kebankrapan itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Tinggi yang berasingan, dengan Mahkamah itu membenarkan LHDN merekodkan penghakiman terus terhadap dua beranak tersebut, berhubung tunggakan cukai yang tidak dibayar bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017. LHDN memfailkan tuntutan untuk mendapatkan semula RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin. Kedua-dua Najib dan Mohd Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan penghakiman terus berkenaan.– BERNAMA

September 18, 2026

Info X Reporters

9 pegawai, anggota polis narkotik dilepas dan dibebas tuduhan terima rasuah

KOTA KINABALU: Sembilan pegawai dan anggota polis narkotik dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan menerima rasuah dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, pada Jumaat. Keputusan itu dibuat selepas mahkamah berkenaan memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh berdasarkan bukti dan keterangan saksi pendakwaan sendiri. Tertuduh terbabit ialah Joevian Gubal Michael, Azizul Ismail, Hairul Amid, Afizul Azwan Anuar, Abdullah Bakir, Bobby Rhyne Warry Nawari, Haikal Ibrahim Abdullah, Sabestino Bong dan Jameswell anak Lakin. Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga, membacakan keputusan itu selepas mendengar keterangan 24 saksi pendakwaan dalam perbicaraan bersama yang bermula pada 14 Ogos 2023, sebelum pihak pendakwaan menutup kesnya pada 24 Julai 2025. Dalam penghakimannya, Jason menyatakan setelah penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan dan bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan, mahkamah mendapati terdapat keraguan pada keterangan itu. Katanya, ia menyebabkan pertuduhan tidak terbukti dan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh. “Berdasarkan kekuatan keterangan pendakwaan, mahkamah tidak bersedia untuk mensabitkan tertuduh sekiranya mereka memilih untuk berdiam diri jika pembelaan dipanggil,” katanya. Berikutan itu, mahkamah melepas dan membebaskan semua sembilan tertuduh tanpa dipanggil membela diri mengikut Seksyen 173(f)(ii) Kanun Tatacara Jenayah. Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan dan pasport semua tertuduh yang diserahkan kepada mahkamah sebelum ini dikembalikan. Semua tertuduh sebelum ini didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang daripada seorang saksi melalui deposit yang dibuat isterinya sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap saksi terbabit di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (LLPK). Namun, dalam keterangannya di mahkamah, saksi berkenaan berulang kali menyatakan wang itu adalah miliknya sendiri hasil jualan dadah, yang menurut hujahan pembelaan terpesong daripada teori rasuah dalam pertuduhan berkenaan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Nur Izzati Safiee, namun ketika keputusan dibacakan pada Jumaat, pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Dzulkarnain Rousan. Sementara itu, peguam Mohd Azhier Farhan Arisin dari Tetuan Azhier, Arisin & Jaafar mewakili tertuduh ketiga, keempat, kelima, ketujuh dan kesembilan. Peguam Sylvester Kuan pula mewakili tertuduh pertama dan kedua; Batholomeo Jingulam bersama Edward Paul mewakili tertuduh keenam, manakala Luke Ressa Balang mewakili tertuduh kelapan. – Info X

September 18, 2026

Info X Reporters

SDBHD rancang perniagaan baharu untuk jana pendapatan, peluang pekerjaan

KOTA KINABALU: Sabah Development Berhad (SDBHD), merancang perniagaan baharu yang berpotensi memberi pulangan kepada syarikat, mewujudkan peluang pekerjaan dan membawa manfaat ekonomi kepada rakyat negeri ini. Pelan perniagaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu dijelaskan oleh Pengerusinya, Datuk Dr Yusof Yacob kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika kunjungan hormat di kediaman rasminya, di Sri Gaya, di sini, pada Jumaat. Kunjungan itu turut disertai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SDBHD, Nixon Abdul Habi. Dr Yusof antara lain memberi penerangan kepada Ketua Menteri mengenai pelan perniagaan syarikat yang sedang dilaksanakan dan bidang baharu yang bakal diterokai bagi menjana pendapatan SDBHD. “Langkah ini bukan saja memperkukuh keupayaan syarikat dalam menjana keuntungan dan menyumbang dividen kepada Kerajaan Negeri, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta memberi manfaat ekonomi kepada rakyat Sabah,” katanya. Pada pertemuan itu, Hajiji menyatakan sokongan terhadap usaha SDBHD meneroka bidang perniagaan baharu yang berpotensi meningkatkan pendapatan syarikat dan menyumbang kepada pembangunan negeri. Hajiji pada masa sama menekankan supaya setiap bidang perniagaan yang diceburi SDBHD memberi manfaat kepada rakyat serta selari dengan aspirasi pembangunan Sabah. – Info X

September 18, 2026

Info X Reporters

Dua pemandu lori ditahan selepas rakaman pemanduan berbahaya tular

TAWAU: Dua pemandu lori ditahan polis selepas rakaman kamera papan pemuka yang memaparkan aksi pemanduan berbahaya di Jalan Apas, laluan Semporna-Tawau, tular di media sosial. Rakaman itu memaparkan sebuah lori dipercayai memotong beberapa kenderaan secara berbahaya sehingga hampir melanggar sebuah motosikal. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung rakaman berkenaan kira-kira jam 9.58 malam pada 17 September lalu. Katanya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3.52 petang pada 29 Ogos lalu ketika sebuah lori Isuzu dalam perjalanan dari Semporna ke Tawau. “Rakaman kejadian tular di Facebook pada 17 September lalu sebelum laporan polis dibuat. “Kedua-dua pemandu lori ditahan kira-kira jam 11.10 malam pada hari sama bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua pemandu berkenaan negatif dadah. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan. “Polis turut mengesan pemilik akaun Facebook yang memuat naik rakaman berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya. Rosdi berkata, polis memandang serius tindakan pemanduan melulu yang boleh mengancam nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya lain. “Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tawau, Sarjan Razlan Razan di talian 019-823 4484,” katanya. – Info X