Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 18, 2026

BERNAMA

Ahmad Zahid seru ahli UMNO syukuri keputusan, hormati proses pengampunan Najib

JAKARTA: Ahli UMNO diseru mensyukuri keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan tetap menjaga adab dan menghormati proses yang ditetapkan. Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu sejak awal mengambil pendekatan penuh tertib dan rendah hati dalam membawa permohonan berkenaan menerusi saluran yang ditetapkan. “Penghormatan kepada institusi Raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang akan terus menjadi pegangan kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Halal 20 di sini hari ini. Beliau juga menyifatkan keputusan itu sebagai perkembangan amat bermakna yang membawa kelegaan besar kepada Najib, keluarganya serta seluruh keluarga UMNO yang selama ini menaruh harapan dan mendoakan beliau. “Dengan segala kerendahan hati, UMNO menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas perkembangan ini. Limpah ihsan Tuanku membawa kelegaan yang amat besar buat Najib dan keluarga serta akan sentiasa dikenang dengan penuh penghargaan oleh seluruh keluarga UMNO,” katanya. Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028. Pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat yang ditetapkan sepanjang tempoh tahanan di rumah. Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara hari ini.– BERNAMA

September 18, 2026

BERNAMA

Agong perkenan pengampunan bersyarat Najib, jalani baki hukuman di rumah

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini memperkenan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028. Perintah itu tertakluk sekiranya Najib membayar denda RM50 juta. Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara hari ini. “Beliau hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” menurut kenyataan itu. Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022. Kes yang telah disabitkan melibatkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd manakala kes yang masih dalam perbicaraan ialah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan. Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan dianggotai Peguam Negara, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik Seri Paduka Baginda. Istana Negara menjadi tumpuan pengamal media sejak awal pagi ini bagi mengikuti perkembangan berkaitan Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu. Terdahulu, kenderaan membawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilihat memasuki pintu utama Istana Negara bagi menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu. Hannah kemudian dilihat meninggalkan Istana Negara terlebih dahulu, diikuti Mohd Dusuki pada 9.43 pagi selepas menghadiri mesyuarat berkenaan. Pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan hukuman itu kemudiannya dikekalkan Mahkamah Rayuan pada Disember 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022. Bagaimanapun menerusi mesyuarat ke-61 pada 29 Jan 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan bahawa hukuman penjara bekas Ahli Parlimen Pekan itu dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.Sementara itu pada 26 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion ke atas bekas perdana menteri itu selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB. Beliau memfailkan rayuan pada 29 Dis 2025. Dalam kes sivil pula, Mahkamah Tinggi pada 31 Mac lepas memerintahkan Najib membayar balik USD1.3 bilion kepada SRC International selepas didapati melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kedudukan serta menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi, namun pembayaran itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan. Najib turut berdepan dua lagi saman, masing-masing oleh SRC International dan Gandingan Mentari Sdn Bhd pada 2021 serta saman sivil USD5.64 bilion oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya, yang masih dalam prosiding mahkamah.– BERNAMA

September 18, 2026

Info X Reporters

Bekalan gas Sabah dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2030

KOTA KINABALU: Bekalan gas Sabah dijangka meningkat hampir dua kali ganda daripada 700 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) kepada 1,350 MMscfd menjelang 2030. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata peningkatan itu berikutan pelaksanaan tujuh projek pembangunan luar pesisir membabitkan dua syarikat minyak antarabangsa dan empat syarikat minyak Malaysia dalam tempoh empat tahun akan datang. Katanya, projek berkenaan, termasuk pembangunan empat medan gas baharu adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang negeri bagi memenuhi peningkatan permintaan tenaga dan perindustrian. Beliau berkata, perkembangan terbaharu itu turut membuktikan hubungan kerjasama erat antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri dalam usaha berterusan membangunkan sumber minyak dan gas di Sabah. “Strategi ini menyediakan pelan pelaksanaan yang jelas bagi menjamin bekalan gas yang diperlukan untuk menyokong aspirasi perindustrian Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan laporan SMJ Energy dan PETRONAS kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman di Hotel Hilton, pada Jumaat. Laporan Pelan Bekalan dan Penghantaran Gas Jangka Panjang 2025 dan Pelan Pembangunan Gas Pantai Timur Sabah itu menggariskan strategi penghantaran bekalan gas susulan kajian oleh Pasukan Petugas Bersama Strategi Gas Sabah, hasil kerjasama antara agensi-agensi negeri yang diterajui SMJ Energy bersama PETRONAS. Berdasarkan laporan berkenaan, permintaan terhadap bekalan gas tambahan itu akan didorong oleh loji-loji janakuasa baharu serta kemudahan gas asli cecair terapung ketiga PETRONAS (PFLNG3). Ia turut merangkumi pelaburan baharu dalam sektor pembuatan di sepanjang koridor Pantai Barat, bermula dari Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), melalui Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis hingga ke Taman Perindustrian Minyak dan Gas (SOGIP) di Sipitang dan terminal gas di Labuan. Sementara itu, Pelan Pembangunan Gas Pantai Timur Sabah mengesahkan bahawa kelompok medan gas Mutiara di luar pesisir Sandakan boleh dibangunkan bagi membekalkan gas kepada sebuah loji janakuasa gas baharu di Taman Perindustrian Sawit Kinabalu Sandakan serta menukar stesen janakuasa Sabah Electricity di Batu Sapi daripada penggunaan diesel kepada turbin berasaskan gas. Buat pertama kali, Pantai Timur akan dapat menjana bekalan elektrik berasaskan gas sendiri tanpa bergantung kepada penghantaran bekalan dari Pantai Barat. Ketua Menteri berkata strategi itu juga akan membuka peluang kepada pembangunan industri berasaskan gas di Sandakan dan kawasan Pantai Timur secara keseluruhannya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS kerana menerajui kerja-kerja teknikal dengan kerjasama SMJ Energy (SMJE), Sabah Energy Corporation (SEC), Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Pengerusi SMJ Energy dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Naib Presiden Eksekutif SMJ Energy, Datuk Albert Lo. – Info X

September 18, 2026

Info X Reporters

272 warga Filipina dihantar pulang ke negara asal

KOTA KINABALU: Seramai 272 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi program pemindahan melalui laut bagi tahun ini. Semua tahanan dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu sebelum menaiki feri komersial ke Pelabuhan Bongao, Filipina. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam kenyataan hari ini berkata, pemindahan itu membabitkan 166 lelaki dewasa, 63 wanita dewasa, 17 kanak-kanak lelaki dan 26 kanak-kanak perempuan. Menurutnya, mereka berusia antara enam bulan hingga 68 tahun, manakala semua kanak-kanak diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing. “Semua tahanan selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan mempunyai dokumen perjalanan sah untuk melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal,” menurut kenyataan itu. Pada 15 September lalu, tiga tahanan warga Filipina terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita dari Depot Imigresen Papar turut dipindahkan menerusi penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Manila. Setakat ini, seramai 5,233 tahanan PATI dipindahkan ke negara asal, termasuk 3,455 warga Filipina, Indonesia (1,488), China (127), Pakistan (120) dan Vietnam (21), manakala 22 lagi membabitkan warga negara lain. JIM Sabah menyeru masyarakat supaya tidak melindungi atau menggaji PATI serta melaporkan sebarang kegiatan berkaitan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO). – Info X

September 18, 2026

Info X Reporters

Proses pelupusan dadah RM120.43 juta selesai

KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah selesai melupuskan pelbagai barang kes dadah bernilai RM120.43 juta di Tapak Pelupusan Kualiti Alam Sdn Bhd, Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam. Proses bermula jam 7 pagi itu membabitkan barang kes daripada 5,732 kertas siasatan yang dibawa menggunakan empat palet merangkumi 93 kotak. Pelupusan berkenaan disaksikan Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil; Timbalan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Sabah, Deputi Superintendan Ku Azam Ku Abdullah; Pegawai Turus Perundangan dan Naziran JSJN Sabah, Asisten Superintendan Siti Norsaidah Mohamad Shah; Inspektor Zuriaeh serta Koperal Te Cana Xiong. Turut hadir wakil Kualiti Alam Sdn Bhd, Norimah Daud dan Azrul Hakim. Antara barang kes yang dilupuskan ialah 370,223.042 gram syabu, 609,669.2 gram mitragynine, 24,104.15 gram kokain, 3,518.04 gram ketamin dan 2,970.17 gram ganja. Selain itu, 14.95 gram Eramin 5 dan 0.2 gram heroin turut dimusnahkan mengikut tatacara ditetapkan. Penghantaran barang kes dikawal dan diiringi secara berperingkat oleh Kontinjen Selangor, Trafik IPD Klang Selatan serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman. Kawalan turut membabitkan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Nilai serta BPJKK dan Trafik IPD Seremban. Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun pada sidang media 1 September lalu memaklumkan dadah bernilai RM120,429,666.49 akan dilupuskan. Pelupusan itu membabitkan barang kes daripada 5,732 kertas siasatan bagi memastikan dadah berkenaan tidak kembali ke pasaran. – Info X

September 18, 2026

Info X Reporters

Tiga rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan

TAWAU: Tiga rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Titingan, di sini, awal pagi ini. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 5.03 pagi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba Jemishin Ujin berkata, seramai 18 anggota bersama jentera FRT, CFRT, EMRS dan lori tangki air dikerahkan ke lokasi. Katanya, pasukan bomba tiba enam minit kemudian dan mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah tidak kekal yang terbakar 100 peratus. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang kira-kira 122 meter dengan enam pancutan air daripada jentera FRT dan lori tangki air. “Seramai 10 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Titingan turut membantu dengan membentangkan satu aliran hos sepanjang kira-kira 61 meter serta satu pancutan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, operasi mengawal dan memadam kebakaran masih giat dijalankan, manakala polis turut berada di lokasi bagi membantu operasi. – Info X

September 18, 2026

Info X Reporters

Lelaki warga asing ditahan bersama pistol, syabu

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan bersama sepucuk pistol semi-automatik dalam serbuan di sebuah bilik penginapan di Jalan Dunlop, di sini, semalam. Serbuan itu turut membawa kepada penemuan tiga butir peluru dan dadah disyaki syabu seberat 901.35 gram di dalam sebuah kereta yang diletakkan di kawasan penginapan berkenaan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau. Katanya, pemeriksaan di dalam bilik penginapan itu menemukan sepucuk pistol semi-automatik jenis Colt .45, satu kelopak peluru dan tiga butir peluru yang disimpan di dalam plastik hitam. “Suspek kemudian membawa pasukan polis ke sebuah Proton Wira yang diletakkan di kawasan penginapan terbabit. “Pemeriksaan terhadap sebuah beg silang hitam di bawah tempat duduk pemandu menemukan satu paket plastik mengandungi bahan hablur jernih disyaki syabu seberat 901.35 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rosdi berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah berkenaan miliknya dan mendakwa bekalan itu diperoleh daripada seorang lelaki di Sungai Pukul, Sebatik. Menurutnya, suspek turut mendakwa pistol berkenaan diperoleh daripada seorang lelaki di Kunak dan dipercayai mahu dijual kepada pihak lain di negara jiran. “Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine. “Suspek direman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, selain tindakan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Info X

September 18, 2026

Info X Reporters

Tiga lelaki dicekup, peralatan pecah rumah dirampas

TAWAU: Tiga lelaki berusia antara 17 hingga 38 tahun ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes pecah rumah membabitkan kerugian kira-kira RM20,000 di Kampung Tanjung Batu Tengah, di sini. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, semua suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dalam operasi di Lorong Jurangan Rosli, Jalan Tanjung Batu. “Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk rumah. “Pemeriksaan mendapati seorang daripada suspek adalah warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kejadian itu membabitkan sebuah rumah yang kehilangan dua komputer riba, televisyen, dekoder Astro, jam tangan, barangan bayi, kasut, beg tangan, emas tiruan dan tiga kipas berdiri. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Beliau menasihatkan orang ramai supaya memastikan pintu serta tingkap dikunci sebelum meninggalkan rumah dan memaklumkan kepada jiran dipercayai jika kediaman ditinggalkan dalam tempoh lama. “Sebarang kejadian atau aktiviti mencurigakan hendaklah segera dilaporkan kepada polis bagi membolehkan tindakan pantas diambil,” katanya. – Info X