April 28, 2026
Info X Reporters
Kerajaan laksana projek RM200 juta tangani paip uzur di Likas — Limus
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melaksanakan beberapa projek berskala besar termasuk peruntukan sehingga RM200 juta bagi menangani masalah paip uzur yang menjadi punca gangguan bekalan air di kawasan Likas. Timbalan Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Limus Jury berkata, isu kebocoran paip yang kerap berlaku di kawasan itu berpunca daripada penggunaan paip jenis asbestos cement (AC) yang sudah usang serta tekanan tinggi dalam sistem agihan air. Menurutnya, bekalan air di Likas disalurkan dari Loji Rawatan Air Kasigui dan Moyog, namun sistem pengepaman terus meningkatkan tekanan ke atas paip lama, sekali gus menyebabkan risiko kerosakan lebih tinggi. “Antara kawasan yang kerap terjejas akibat gangguan ini termasuk Jalan Keramat dan Jalan Tuaran Bypass,” katanya ketika menjawab soalan lisan ADUN Likas, Tham Yun Fook (Warisan) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini. Beliau berkata, bagi mengatasi masalah berkenaan, Jabatan Air Sabah telah merancang dan melaksanakan beberapa langkah komprehensif bagi meningkatkan kecekapan sistem agihan air. Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan kontrak penyelenggaraan paip di Kota Kinabalu selama tiga tahun bagi membolehkan kerja pembaikan segera dilaksanakan terhadap paip bocor atau rosak. Selain itu, kerajaan turut melaksanakan program menaik taraf dan menggantikan paip jenis asbestos cement di daerah Kota Kinabalu yang kini berada dalam fasa pelaksanaan dengan kemajuan fizikal melebihi tujuh peratus. “Projek bernilai kira-kira RM28 juta ini dijadualkan siap pada Februari 2027 dan melibatkan penggantian paip lama termasuk di kawasan Likas,” katanya. Dalam masa sama, Limus berkata, satu lagi projek berskala besar melibatkan kerja penggantian paip usang serta penaiktarafan paip transmisi dan agihan di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan turut diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13. Katanya, projek berkenaan yang dianggarkan bernilai RM200 juta itu akan dilaksanakan melalui peruntukan pinjaman Persekutuan dan dijangka bermula pada suku keempat tahun 2027. Beliau berkata, pelaksanaan semua inisiatif itu dijangka dapat meningkatkan kebolehpercayaan sistem agihan bekalan air serta mengurangkan kekerapan gangguan bekalan dalam jangka sederhana dan panjang. “Kerajaan komited memastikan masalah bekalan air, khususnya di kawasan berpenduduk padat seperti Likas, dapat ditangani secara berperingkat dan berkesan,” katanya. – Info X
April 28, 2026
Info X Reporters
ADUN Likas bangkit isu paip uzur, sekolah daif dalam perbahasan DUN Sabah
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook membangkitkan beberapa isu kritikal termasuk kelemahan infrastruktur asas, pendidikan dan kos sara hidup ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini. Dalam perbahasannya, beliau menegaskan bahawa usaha kerajaan meningkatkan kapasiti pengeluaran air tidak akan memberi impak menyeluruh sekiranya masalah utama dalam sistem agihan tidak ditangani. Menurutnya, banyak paip bawah tanah khususnya di kawasan Likas sudah uzur dan berusia lebih 30 tahun, sekali gus menjadi punca kebocoran berulang, tekanan air rendah serta gangguan bekalan berpanjangan di beberapa kawasan. “Masalah kita bukan sekadar kapasiti pengeluaran, tetapi kegagalan sistem pengagihan yang semakin tenat. Jika paip uzur terus dibiarkan, sebanyak mana pun air terawat dihasilkan, ia tetap akan hilang di tengah jalan,” katanya. Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan melaksanakan program berskala besar bagi menggantikan paip lama secara berfasa, terutama di kawasan berisiko tinggi dan berkepadatan penduduk. Selain isu bekalan air, Tham turut membangkitkan masalah sistem perparitan yang tidak disenggara dengan baik sehingga menyebabkan banjir kilat berulang di kawasan perumahan dan sekolah sekitar Likas. Dalam pada itu, beliau menyentuh isu pendidikan dengan menegaskan bahawa pembangunan modal insan tidak akan berjaya sekiranya kemudahan asas sekolah masih tidak mencukupi. Katanya, masih terdapat sekolah di Sabah yang berdepan kekurangan kemudahan asas dan keadaan pembelajaran yang tidak selesa, sekali gus menjejaskan kualiti pendidikan. Beliau turut mendedahkan terdapat murid di beberapa kawasan luar bandar yang terpaksa belajar dalam keadaan serba kekurangan akibat kerosakan bangunan sekolah susulan bencana banjir. “Bagaimana kita mahu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi jika masih ada murid belajar dalam keadaan tidak bermaruah,” katanya. Mengulas lanjut, beliau menggesa kerajaan negeri memainkan peranan lebih proaktif dalam menangani isu sekolah daif serta mempercepatkan penyelesaian bersama pihak Kerajaan Persekutuan. Dalam perkembangan berkaitan, Tham turut menekankan keperluan penyelarasan penawaran biasiswa dengan keperluan tenaga kerja masa depan negeri, termasuk dalam bidang strategik seperti teknologi, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi baharu. Beliau berkata, tanpa perancangan yang selari, biasiswa berisiko menjadi sekadar bantuan tahunan dan bukan pelaburan strategik untuk pembangunan negeri. Pada masa sama, beliau membangkitkan isu kelewatan pembayaran biasiswa yang didakwa memberi tekanan kepada pelajar, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, dan menggesa penambahbaikan segera dalam sistem penyaluran. Menyentuh kos sara hidup, Tham berkata kerajaan perlu memperincikan langkah intervensi yang lebih konkrit bagi membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi susulan ketegangan geopolitik global. Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri akan memperkenalkan pakej bantuan tambahan bagi meringankan beban rakyat seperti yang dilaksanakan di negeri lain. Dalam pada itu, beliau menyambut baik perkembangan berkaitan pemberian kuasa kepada Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), namun menegaskan isu tuntutan 40 peratus hasil negeri perlu terus diberi keutamaan. Katanya, peningkatan hasil negeri akan membolehkan pelbagai isu asas seperti bekalan air, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur ditangani dengan lebih berkesan. “Tuntutan ini perlu dilihat sebagai isu hak negeri dan bukan isu politik, serta memerlukan sokongan semua pihak secara bersama,” katanya. – Info X
April 28, 2026
Info X Reporters
Tiga remaja lelaki ditahan kes jenayah seksual pelajar
TAWAU: Tiga remaja lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah seksual melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun di daerah ini. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dua daripada suspek berusia 14 dan 17 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 11.50 pagi di Kampung Jawa, di sini, semalam. Katanya, seorang lagi suspek berusia 17 tahun ditahan dalam tangkapan susulan kira-kira jam 1.45 petang hari sama di perkarangan IPD Tawau. “Tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima berhubung dakwaan perbuatan jenayah seksual terhadap mangsa di beberapa lokasi berasingan sekitar daerah ini sejak November tahun lalu hingga Februari tahun ini. “Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian dengan suspek berbeza termasuk di kawasan rumah dan premis awam,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, seorang lagi individu turut disiasat berhubung satu kejadian berasingan di sebuah sekolah, apabila mangsa dipercayai dipaksa melakukan perbuatan tidak senonoh. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. “Polis sedang menjalankan soal siasat dan mendapatkan keterangan lanjut bagi melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan,” katanya. Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan serta pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada risiko jenayah seksual. “Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X
April 28, 2026
Info X Reporters
Empat lelaki disyaki curi kabel terbabit kemalangan ketika dikejar polis
TUARAN: Cubaan empat lelaki disyaki mencuri kabel untuk meloloskan diri gagal apabila kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan ketika dikejar polis berhampiran Kampung Berungis, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian jam 4.40 pagi itu, Toyota Hilux Vigo dinaiki suspek dipercayai cuba melarikan diri sebelum hilang kawalan lalu merempuh sebuah Isuzu Invader. Perlanggaran itu mengakibatkan lima mangsa cedera, termasuk empat suspek dalam Hilux Vigo serta seorang lelaki berusia 61 tahun yang memandu Isuzu Invader. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan lapan anggota dikerahkan ke lokasi. “Setibanya di lokasi, terdapat mangsa tersepit di dalam kenderaan dan operasi mengeluarkan mangsa dijalankan menggunakan peralatan khas. “Semua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan dan dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.34 pagi selepas memastikan kawasan selamat. Kes kini dalam siasatan polis. – Info X
April 27, 2026
Info X Reporters
ADUN Sabah diseru bersatu tuntut hak 40 peratus demi masa depan negeri
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Wilfred Madius Tangau menyeru semua wakil rakyat di Sabah, sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang, supaya bersatu hati dalam memperjuangkan hak 40 peratus hasil negeri demi masa depan yang lebih baik untuk rakyat. Beliau berkata, tuntutan berkenaan tidak wajar dilihat sebagai isu politik semata-mata, sebaliknya sebagai agenda bersama yang menyentuh soal maruah, pembangunan dan kesejahteraan Sabah secara menyeluruh. “Segala isu yang dibangkitkan termasuk pelaburan, logistik dan keterjaminan makanan, semuanya berpunca daripada satu perkara utama iaitu kedudukan kewangan negeri. “Persoalannya, sampai bila Sabah perlu terus bergantung kepada pihak lain untuk membangunkan negeri sendiri,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, hari ini. Menurutnya, Sabah mempunyai potensi besar untuk berkembang, namun kekangan kewangan serta kebergantungan berterusan kepada kerajaan Persekutuan menyebabkan banyak projek penting tidak dapat dilaksanakan mengikut keperluan rakyat. Beliau turut memberi contoh pembangunan di Lahad Datu yang masih berdepan pelbagai kekangan asas termasuk bekalan air terawat, kecekapan logistik serta kelewatan projek akibat proses pembiayaan yang panjang. Katanya, kelewatan kelulusan pembiayaan bagi menaik taraf kemudahan barge di kawasan berkenaan menyebabkan kos meningkat hampir dua kali ganda daripada RM8 juta kepada RM16 juta. “Keadaan ini menunjukkan bagaimana birokrasi dan kebergantungan kepada pinjaman kerajaan pusat boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta memperlahankan pembangunan negeri,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu keterjaminan makanan apabila Sabah ketika ini hanya mampu menghasilkan kira-kira 20 peratus daripada keperluan beras sendiri. Justeru, katanya, Sabah memerlukan sumber kewangan yang lebih kukuh bagi membolehkan pelaksanaan dasar pertanian dan makanan dilakukan secara lebih berkesan dan mampan. “Jika hak 40 peratus ini dikembalikan seperti yang diperintahkan mahkamah, di situlah letaknya maruah dan kekuatan kewangan Sabah. “Dengan hak itu, Sabah mampu membina, memimpin dan berdiri sendiri tanpa perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada pihak lain,” katanya. Sehubungan itu, beliau menegaskan rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu perubahan dan kini mahukan tindakan nyata daripada semua pemimpin tanpa mengira fahaman politik. Katanya, semua wakil rakyat perlu mengenepikan perbezaan politik dan tampil sebagai satu pasukan dalam menuntut hak negeri demi memastikan Sabah terus maju, makmur dan sejahtera. – Info X
April 27, 2026
Info X Reporters
Wanita dicekik, diugut lelaki warga asing
TAWAU: Seorang wanita dicekik dan diugut seorang lelaki ketika sedang menunggu rakannya dalam kejadian di Kampung Sungai Imam, di sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, mangsa berusia 36 tahun didatangi suspek dari arah belakang sebelum lelaki terbabit mencekik lehernya dan mengacukan objek tajam ke arah dagu. Mangsa turut diugut dengan kata-kata “kalau mahu selamat, ikut aku” namun bertindak melawan untuk mempertahankan diri. Akibatnya, mangsa dipukul dan ditendang oleh suspek sehingga mengalami kecederaan serta kesakitan pada bahagian muka dan badan sebelum membuat laporan polis. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai menjalankan operasi mengesan suspek. “Suspek seorang lelaki warga asing berusia sekitar 20 tahun berjaya ditahan di perkarangan Balai Polis Bombalai. “Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan. “Saya menasihatkan orang ramai khususnya wanita supaya sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri serta mengelakkan berada bersendirian di kawasan sunyi,” katanya. – Info X
April 27, 2026
Info X Reporters
Tergamak kau dera anak baru berusia setahun lebih
TAWAU: Seorang wanita ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes penganiayaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan di sebuah rumah di Taman Semarak, di sini, semalam. Kes itu terbongkar selepas ibu mangsa mendakwa melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan suspek melakukan perbuatan tidak wajar terhadap anaknya ketika berada di bawah jagaan wanita berkenaan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa selepas rakaman itu diperoleh. “Rakaman CCTV berkenaan menunjukkan beberapa perlakuan yang dipercayai berlaku terhadap mangsa ketika dijaga suspek. “Kejadian dipercayai berlaku Khamis lalu ketika mangsa ditinggalkan di bawah jagaan suspek yang diupah sebagai penjaga anak sejak kira-kira setahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, suspek yang dianggap sebagai individu dipercayai keluarga itu menerima bayaran bulanan sekitar RM450 untuk menjaga kanak-kanak berkenaan. Katanya, bertindak atas laporan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Tawau bersama Balai Polis Bombalai menjalankan operasi mengesan suspek. “Hasil tindakan pantas, suspek wanita tempatan berusia 57 tahun berjaya ditahan kira-kira jam 3.45 petang di Kampung Pangkalan Asli, Merotai Besar. “Suspek kemudian dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan terhadap kanak-kanak. “Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan supaya segera melaporkan sebarang kes penganiayaan kepada pihak berkuasa. “Orang ramai yang mengesyaki sebarang kes penganiayaan boleh menghubungi talian 089-772121, menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya. – Info X
April 27, 2026
Info X Reporters
Kerajaan Negeri perkukuh langkah tangani kos sara hidup, kekal subsidi bahan api
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengambil langkah segera dan bersepadu bagi melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat susulan ketidaktentuan harga minyak global akibat konflik antarabangsa. Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peningkatan harga minyak dunia serta gangguan rantaian bekalan tenaga, khususnya susulan konflik di Asia Barat, berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi negeri termasuk lonjakan kos operasi, logistik dan harga barangan. “Implikasinya, tekanan inflasi akan meningkat, sekali gus menjejaskan kuasa beli rakyat dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini. Menurut beliau, sebagai langkah segera, Kerajaan Negeri menyokong pendekatan Kerajaan Persekutuan mengekalkan harga bahan api bersubsidi, termasuk petrol RON95 pada RM1.99 seliter dan diesel bersubsidi pada RM2.15 seliter bagi Sabah, Sarawak dan Labuan. Katanya, kerajaan negeri juga konsisten memperjuangkan pengekalan subsidi diesel di Sabah kerana ia kritikal dalam mengawal kos pengangkutan serta mengelakkan beban kenaikan harga dipindahkan kepada pengguna. Dalam masa sama, Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menubuhkan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis bagi memantau bekalan tenaga dan merangka langkah mitigasi, termasuk memperkukuh kawalan harga serta membanteras penyeludupan. Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban rakyat, termasuk bantuan kewangan bersasar menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang memberi manfaat kepada 100,000 penerima dan dijangka meningkat kepada 140,000 penerima dengan peruntukan RM339.16 juta. “Inisiatif ini dilaksanakan selari dengan bantuan Persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang memanfaatkan lebih 800,000 penerima di Sabah dengan peruntukan RM1.25 bilion,” katanya. Selain itu, Hajiji berkata, usaha memperkukuh daya tahan isi rumah turut diperkasa melalui program Kebun Dapur bagi menggalakkan rakyat menghasilkan bekalan makanan sendiri, sekali gus mengurangkan perbelanjaan harian. Katanya, Kerajaan Negeri juga menggalakkan penggunaan produk tempatan yang lebih berpatutan dan mampu merangsang permintaan domestik serta menyokong industri tempatan. Bagi mengurangkan beban utiliti, katanya, kerajaan menyediakan rebat bil elektrik RM40 kepada Ketua Isi Rumah berdaftar dengan eKasih serta diskaun 10 peratus kepada rumah kebajikan, rumah ibadah dan institusi pendidikan, selain sektor pertanian, akuakultur dan perikanan. Tambag beliau, turut dilaksanakan ialah diskaun 20 peratus melalui Off-Peak Tariff Rider (OPTR) kepada pengguna komersial dan industri voltan rendah bagi mengurangkan kos operasi. Dalam jangka sederhana dan panjang, Hajiji berkata, kerajaan memberi tumpuan kepada sekuriti makanan dengan peruntukan lebih RM102.86 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi meningkatkan pengeluaran pertanian, ternakan dan perikanan. Beliau berkata, lima daerah dikenal pasti sebagai Lembah Pengeluaran Makanan iaitu Keningau, Tenom, Nabawan, Tongod dan Tambunan bagi mengoptimumkan pengeluaran makanan berskala besar. “Antara projek utama termasuk Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC) dan pembangunan industri tenusu di Sook, yang dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada import serta menstabilkan harga pasaran,” katanya. Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada kecekapan logistik melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam projek pembesaran Pelabuhan Sepanggar bagi meningkatkan kapasiti kargo dan mengurangkan kos pengangkutan. Pada masa sama, katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah bekerjasama dengan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) termasuk pelaksanaan kajian Pelan Tindakan Penstabilan Harga oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS). Dalam sektor perniagaan pula, beliau berkata, kerajaan komited memperkukuh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi mengembangkan pengeluaran dan pengkomersialan produk tempatan. Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar mengamalkan perbelanjaan berhemah, mengelakkan pembaziran serta tidak menyalahgunakan subsidi demi memastikan kestabilan bekalan barangan dan bahan api terus terpelihara. – Info X